Saturday, March 17, 2012

Pelajar KUIM maut dipanah petir


Seorang pelajar Kolej Universiti Teknologi Melaka (KUIM) maut dipanah petir sebelum menjalani latihan bola sepak di stadium kolej berkenaan di Kuala Sungai Baru semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, Mohd Ridwan Jamal, 20, pelajar semester empat Diploma Kejururawatan bersama sembilan rakan yang lain berada di tepi padang untuk menjalani latihan.

Kakak mangsa, Roslinda Jamal, 41, yang dimaklumkan mengenai insiden itu oleh rakan adiknya melalui panggilan telefon berkata, adiknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kem Terendak, Sungai Udang.
"Lebih kurang jam 7 malam saya tiba di Hospital Kem Terendak dan diberitahu oleh doktor bahawa adik saya sudah meninggal dunia dan usaha menyelamatkannya melalui kaedah bantuan pernafasan juga gagal," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.

Mayat Mohd Ridwan yang juga anak bongsu dari enam adik-beradik itu di bawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Roslinda berkata, dia dimaklumkan bahawa ketika kejadian, hujan renyai-renyai sebelum satu dentuman kuat diiringi panahan petir berlaku.

"Mereka beritahu saya, semua pelajar di padang berkenaan tercampak dari tempat masing-masing lalu melarikan diri dari padang itu sebelum menyedari Mohd Ridwan terbaring tidak sedarkan diri," katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - BERNAMA





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!