Serpihan meteor yang ditemui di kaki pergunungan Sierra, utara California pada Ahad lalu dipercayai merupakan sebahagian daripada tahi bintang gergasi yang meletup dengan kekuatan satu pertiga letupan bom atom di Hiroshima semasa perang dunia kedua. Pakar meteor dari Institut Geofizik dan Fizik Planet UCLA, John T. Wasson berkata, setiap serpihan batu itu mempunyai berat 10 gram, sama berat dengan duit syiling lima sen Amerika Syarikat.
Wasson berkata, satu daripada serpihan meteor itu ditemui berhampiran bandar Coloma, timur laut Sacramento. “Saya percaya, lebih banyak serpihan meteor akan ditemui dan saya berharap akan menemui ketulan yang besar,’’ katanya. Menurut pakar, tahi bintang yang terbakar itu berusia antara empat dan lima bilion tahun, sama dengan usia sistem solar dan dipercayai bersaiz sebesar sebuah van mini ketika memasuki atmosfera bumi dengan menghasilkan bunyi dentuman kuat pada Ahad lalu.
Letupan itu boleh dilihat dari Sacramento di California hingga ke bandar raya Las Vegas dan sebahagian utara Nevada. Pegawai Jabatan Program Berhampiran Bumi NASA di Makmal Pelancaran Jet di Pasadena, California, Don Yeomans berkata, ia merupakan peristiwa yang berlaku sekali dalam tempoh setahun di seluruh dunia. “Untuk melihat peristiwa ini adalah suatu perkara yang istimewa. Kebanyakan tahi bintang yang dilihat di langit pada waktu malam hanya bersaiz sebesar batu kecil dan sebutir pasir,’’ katanya.
Meteor itu dipercayai seberat 70 tan dan semasa ia berkecai, ia mungkin menghasilkan tenaga menyamai letupan lima kilo tan atau satu pertiga daripada kekuatan letupan bom atom di Hiroshima iaitu 15 kilo tan. Meteor itu memasuki bahagian atas atmosfera bumi dengan kelajuan 80,000 kilometer sejam, lebih laju daripada kelajuan bunyi, sekali gus menghasilkan bunyi letupan. Pengumpul meteor, Robert Ward dari Prescott, Arizona, berkata, dia menemui ketulan pertama tahi bintang itu pagi kelmarin, antara sebuah taman dan padang besbol di bandar Lotus. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment