Sejenis alat ringkas dan murah yang digunakan bagi memantau paras oksigen dalam darah boleh menyelamatkan nyawa bayi baru lahir yang mengalami masalah jantung kongenital, menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal perubatan The Lancet, hari ini. Berdasarkan perangkaan, masalah jantung kongenital mengundang kematian antara tiga hingga tujuh peratus di kalangan bayi baru lahir, namun ia mampu dirawat melalui pembedahan, terutamanya jika masalah tersebut dikesan pada peringkat awal.
Kajian sekumpulan pakar yang diketuai Dr. Shakila Thangaratinam dari Universiti Queen Mary, London itu memeriksa oksimetri nadi dengan meletakkan alat pemantau kecil pada hujung jari tangan atau jari kaki bagi memeriksa paras oksigen dalam hemoglobin arteri. Ia berfungsi dengan cara membandingkan perbezaan cahaya merah yang diserap oleh darah beroksigen dan cahaya inframerah yang diserap oleh darah terdeoksigen.
Paparan digital alat tersebut serta-merta memberi bacaan mengenai paras oksigen dalam darah. Menurut kajian itu, oksimetri nadi didapati mengesan 76.6 peratus masalah jantung kongenital dan mempunyai kadar hanya 0.14 peratus 'positif palsu', iaitu terma yang membawa maksud alat tersebut tersalah memberi tafsiran. Risiko 'positif palsu' juga didapati rendah apabila bayi diuji lebih sehari selepas dilahirkan, lebih baik berbanding dalam tempoh 24 jam pertama. Penyelidik berkata, oksimetri nadi sangat berguna sebagai ujian amaran awal bukan invasif untuk bayi yang tidak mempunyai simptom ketara masalah kardiak.
Bagi pengesahan lanjut bayi baru lahir yang berisiko menghidap masalah jantung, satu pemeriksaan menggunakan peralatan ekokardiografi akan digunakan dan seterusnya dirawat melalui pembedahan. Penggunaan oksimetri nadi menjadi isu kerana ada pihak yang meragui keberkesanannya dan setakat ini Amerika Syarikat satu-satunya negara yang menggunakannya secara rutin. - AFP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment