Seorang kanak-kanak maut setelah dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kampung Bukit Lata, di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Dini Harith Nahiran,6, dikatakan sedang menyeberangi jalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, sebuah pacuan empat roda dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang melanggar mangsa. Berikutan kejadian, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan bahagian belakang sebelah kiri. “Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk dapatkan rawatan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa ditahan untuk siasatan,” katanya.
Haliluddin berkata,, kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa dipercayai dipandu warga negara Thailand. Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, bapa mangsa, Nahiran Mat Amin,35, berkata, mangsa anak kedua daripada tiga beradik yang semuanya lelaki merengek minta dibelikan 'walkman' pada malam kejadian. Menurutnya, dia memaklumkan kepada mangsa tidak dapat membelikannya lagi ketika itu dan berjanji untuk memenuhi permintaan mangsa pada hari kejadian. “ Arwah turut berkali-kali meminta saya bacakan surah Yasin untuknya. Saya sempat bacakan Yasin untuk arwah walaupun ketika itu kami dalam perjalanan ke Kota Bharu,” katanya.
Menurutnya, dia tidak tahu tentang kejadian sehingga dimaklumkan keluarganya kerana ketika itu dia sedang tidur. “Saya tidak tahu macam mana kejadian boleh berlaku, sebelum kejadian dia (arwah) meminta izin keluar dengan bapa saudaranya untuk ke sungai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Pasir Mas. Nahiran berkata, hari-hari terakhirnya arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan agak terkejut dengan kejadian menimpa anaknya lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gual Periok.-SH
.
1 Penyokong CHELSEA:
alfatihah untuk arwah.moge rohnye dicucuri rahmat.takziah buat keluarga arwah.
Post a Comment