Seorang ibu dan dua anaknya terbunuh manakala seorang lagi anggota keluarganya cedera, apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van muatan ais kiub di Jalan Kota Baharu-Pasir Puteh, dekat Kampung Mahligai di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Maisarah Mohd Ali, 34, yang memandu kereta tersebut dan anaknya Zakiah Hanim Uda, 4, mati di tempat kejadian manakala seorang lagi anaknya, Rashidah, 3, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Anak saudara Maisarah, Aishah Shafikah Mohd Zuki, 7, mengalami cedera parah dan patah paha kirinya, kini dirawat di hospital yang sama dan dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Ab Rahim Che Ghani, berkata mayat ketiga-tiga mangsa dibedah siasat di HUSM sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. Katanya pemandu van tersebut Adnan Jusoh, 38, yang mengalami cedera ringan sudah membuat laporan di Balai Polis Bachok di sini. Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dan Ketereh bersama 10 anggota berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan dalam masa setengah jam, katanya.
Beliau berkata kejadian berlaku ketika Maisarah yang memandu PERODUA Viva itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selising, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Beliau berkata kemalangan tersebut adalah yang terburuk di daerah itu di musim perayaan ini dan beliau menasihati pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu. - BERNAMA
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment