Tuesday, September 18, 2012

Kisah menarik dari bekas pemain badminton negara


Kira-kira 10 tahun lepas rutin hariannya banyak dihabiskan di gelanggang badminton, tetapi kini Wong Choong Hann tidak lagi menghabiskan masanya dengan bulu tangkis, tetapi tangannya lebih selesa 'membelai' bunga-bunga segar yang diawet. Sejak bersara dari arena badminton dua tahun lepas, bekas pemain badminton kebangsaan yang pernah mewakili negara di beberapa kejohanan antarabangsa seperti Piala Thomas, sukan Olimpik dan Sukan Asia itu kini menghabiskan masa di butik bunga yang diusaha bersama dua rakannya.

Wong, 35, yang ditemui di 'LavieFlo', butik bunganya di Damansara Utama di sini, berkata bunga yang terdapat di butik itu berbeza daripada kedai bunga lain kerana ia hanya menawarkan bunga segar yang diawet. "Bunga segar biasa harganya mahal tapi cepat layu...bunga plastik hanya cantik dipandang semasa baru, tetapi bunga segar yang diawet bukan sahaja boleh tahan lama, malah mengekalkan tekstur asalnya yang lembut dan warna asli," katanya.

Pemain badminton yang dahulunya sentiasa bermandi peluh di gelanggang, kini juga pandai menyusun kata-kata yang berbunga sesuai dengan karier baharu beliau yang memerlukan lebih sentuhan kelembutan. "Bunga-bunga ini bukan sahaja indah dan tak jemu mata memandang, malah ia menyalurkan aura segar kepada sesiapa yang berada berdekatan...percikan haruman pada kuntumannya menjadikan bunga-bunga ini wangi seperti bunga yang mekar di waktu pagi," katanya. Wong berkata minat beliau dalam bidang itu bermula apabila mendengar cerita seorang rakan yang baharu pulang dari China mengenai keindahan bunga segar.

Ekoran itu beliau mengunjungi Kunming dan Yunnan di China dan terus 'jatuh cinta' pandang pertama sebaik melihat keindahan bunga-bungaan di kedua-dua tempat itu dan mengambil keputusan untuk memasarkannya di Malaysia. Beliau berkata bersama dua rakan kongsi -- Ellen Loke dan David Lim --mereka mengeluarkan lebih RM2 juta sebagai modal untuk membuka butik, membawa masuk hampir dua kontena bunga-bunga segar serta pelbagai perbelanjaan lain seperti sewa kedai dan gaji pekerja. Tiga jenis bunga iaitu bunga ros, carnation dan hydrangers dibawa masuk untuk dipasarkan di negara ini serta beberapa negara lain di Asia Tenggara.

Bagi memastikan bunga yang dibawa masuk berkualiti tinggi, Wong berkata pihaknya melantik ketua unit produk, Ji Xiang Sheng dari China sebagai koordinator di Kunming dan Ji adalah orang yang bertanggungjawab memajukan sistem pengawetan bunga segar di China. Mengenai proses pengawetan bunga, Wong berkata keseluruhan proses mengambil masa 15 hari termasuk masa paling kritikal empat jam pertama selepas dipotong daripada pokok, melunturkan warna bunga serta mewarnakan semula bunga mengikut warna yang dikehendaki.

Bunga jenis itu mampu bertahan lama dan sentiasa segar seperti bunga yang baru dipetik dan ia perlu disimpan di tempat yang bersuhu di antara 35 dan 40 darjah celsius serta tidak boleh diletakkan di kawasan terkena panas matahari atau air. Mengenai harga, Wong berkata ia dijual pada harga RM80 hingga RM1,000 dan pembeli boleh memilih tapak serta gubahan bunga mengikut citarasa mereka. Wong yang turut mempunyai empat pusat latihan badminton di sekitar Lembah Klang, berkata walaupun beliau kini terlibat dalam industri bunga, ia tidak melunturkan semangatnya untuk terus berusaha melahirkan pemain pelapis badminton negara.- Bernama






.

2 Penyokong CHELSEA:

Unknown on September 18, 2012 at 12:09 PM said...

respek!!!

Anonymous said...

Dari pemain badminton kini bisnes bunga..macam tak caya.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!