MELIHAT kecekalan dan ketabahan suami isteri dari wilayah Shanxi di China yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari anak perempuannya yang hilang harus dicontohi oleh masyarakat. Biarpun perit yang ditanggung dalam usaha mencari anak perempuan sulung, Feng Yun, yang diculik ketika berusia sembilan tahun empat tahun lalu, namun pasangan itu tidak pernah mengenal penat lelah. Menurut Feng Jianlin, bapa kepada Feng Yun, anak perempuannya itu hilang selepas tidak pulang dari sekolah pada Mac tahun 2008. "Di awal kehilangannya, saya mencari di kawasan-kawasan berdekatan, selain itu saya juga membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa," ujar Jianlin. Katanya, proses pencarian mula diperluaskan selepas tiga bulan dari tempoh anaknya hilang yang dilakukan secara bersendirian. Kini, biarpun setelah empat tahun berlalu, pencarian masih diteruskan. "Saya tidak akan berputus asa untuk mencarinya," ujarnya.
Memulakan cerita, bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, anak perempuannya didapati hilang selepas tidak pulang dari sekolah pada awal Mac 2008. Menurut bapa tabah ini, selepas tiga bulan kehilangan anak sulung, dia sekeluarga mengambil keputusan untuk menutup perniagaan kedai tayar miliknya untuk memberi fokus kepada pencarian Yun. "Bermula dari situ, saya mengelilingi semua kawasan di seluruh daerah di negara ini untuk mencarinya sendiri," katanya yang menjalankan pencarian dengan sebuah van usang miliknya. Ditemani isteri dan dua orang lagi anaknya, mereka sekeluarga meneruskan satu perjalanan yang tidak penghujung. "Saya tidak akan berputus asa mencari walaupun terpaksa jauh mengembara," ujarnya yang pernah meminta pertolongan daripada pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan mencari anaknya.
Katanya lagi, selepas kehilangan anak perempuan sulung, isterinya sering sakit kerana terlalu rindukan Yun, malah dua adiknya juga turut merindui kakaknya. "Kami semua memerlukannya dan terlalu rindukan dia,"ujarnya. Dengan van usang yang ditampalkan gambar anak yang hilang, Jianlin meneruskan perjalanan di seluruh daerah di negara ini untuk mencari anaknya di samping membantu ibu bapa yang kehilangan anak mereka. "Setiap kali sampai di sesuatu tempat, saya akan mengedarkan risalah di dataran awam untuk menyebarkan maklumat mengenai anak saya," ujarnya yang menubuhkan sebuah laman web yang mengumpulkan kumpulan ibu bapa yang kehilangan anak.
Katanya, dalam usahanya itu, dia terpaksa menggunakan semua wang simpanan untuk tujuan perbelanjaan. Malah dia juga terpaksa membuat pinjaman dengan sanak-saudara. Kini kehidupannya lebih perit dan hanya bergantung kepada elaun sara hidup asas yang diberikan oleh kerajaan. "Kami tidak tahu sejauh mana kami boleh mencari, tetapi inilah cara yang paling berkesan untuk mencari," ujarnya yang telah mengembara sejauh beribu-ribu kilometer. Sehingga kini, tiada statistik yang lengkap dikeluarkan oleh kerajaan, tetapi secara kasarnya menunjukkan sebanyak 30,000 hingga 60,000 kanak-kanak di China dilaporkan hilang setiap tahun.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment