Tuesday, July 24, 2012

Kereta pintar, memang menakjubkan


Suis atau punat tertentu bagi mengendalikan fungsi-fungsi kereta mungkin tidak lagi relevan dalam tempoh dua tahun lagi. Ini kerana, jurutera pakar dari syarikat pengeluar audio elektronik global, Harman telah menghasilkan gajet yang hanya memerlukan pemandu untuk mengenyitkan mata atau melakukan ekspresi muka sama ada bagi mengurangkan bunyi audio atau suhu penghawa dingin dalam kereta. Dengan hanya menggunakan sensor infra merah yang dipasang pada papan pemuka kereta, ia mampu mengenal pasti mimik wajah pemandu bagi mengawal kenderaan mereka.


Sebuah komputer tersembunyi dalam kereta akan menterjemah isyarat yang sepadan dengan senarai arahan untuk radio, sistem navigasi satelit, pemanas dan telefon bimbit. Gerak isyarat itu yang masih diuji pada kereta prototaip masih belum dimuktamadkan dan kereta itu dijangka akan berada di jalan raya dalam tempoh dua tahun lagi. Teknologi itu boleh digunakan sama ada untuk menghidupkan atau mematikan radio dan alat pemain muzik, mengurangkan bunyi audio dengan mengangguk ke kanan dan menguatkan kembali audio dengan mengangguk ke kiri.


Pemandu juga boleh membuat panggilan telefon dengan membuat isyarat mengangkat gagang dan mendail dengan hanya menyebut nama individu yang mahu dihubungi. Pengarah Teknologi Harman, Hans Roth berkata, penciptaan gajet itu adalah untuk mengurangkan gangguan pada pemanduan kereta. "Semua ini akan mengubah perbezaan fungsi dalam sebuah kereta dan kita masih menguji beberapa isyarat yang akan dijadikan standard untuk setiap kereta di seluruh dunia,'' katanya. - AGENSI






.

Anjing lahirkan anak kucing


Seorang lelaki warga Korea Selatan  mengatakan, anjing peliharaannya telah melahirkan seekor anak kucing dalam keadaan sihat. "Setelah haiwan kecil itu lahir, saya tidak percaya. Itu kelihatan seperti kucing dan mengiyau seperti kucing. Jadi, bagaimana boleh menganggapnya sebagai anak anjing," ujar Jeong Pyong-bong (63), pemilik anjing, seperti dipetik dari star. Menurutnya, khabar tentang anjingnya yang melahirkan anak kucing, telah tersebar di seluruh negera. "Orang dari seluruh negera datang ke rumah saya untuk melihat," tambahnya. Jeong pun menjelaskan bagaimana anjingnya yang berwarna coklat, dapat melahirkan seekor anak kucing warna putih dengan bintik hitam, bersama beberapa ekor anak anjing berwarna putih, "Saya rasa saya tahu bagaimana ini terjadi. Anjing saya suatu malam meninggalkan rumah. Saya tidak tahu apa yang terjadi, tapi kemungkinan ia telah dihamili oleh seekor kucing," tuturnya.


Walaupun demikian, pakar menilai hal itu sangat mustahil terjadi. "Tidak mungkin anjing melahirkan kucing. Jumlah dan sifat kromosom anjing dan kucing jelas sangat berbeza," jelas Profesor Son Chang-ho, dari Universiti Nasional Chonnnam Fakulti Kedoktoran Haiwan. "Kemungkinan yang paling masuk akal, anak anjing itu menyerupai seekor anak kucing," cetusnya.






.

Agaknya dah jadi trend bakar diri sendiri yer


Seorang lagi lelaki di Israel dilaporkan nekad membakar diri hanya beberapa jam sebelum pengebumian Moshe Silman yang melakukan tindakan sama pada 14 Julai lalu. Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, lelaki berumur 40-an dan berkerusi roda itu melecur teruk selepas membakar dirinya di perhentian bas Yehud, berhampiran Tel Aviv, kelmarin. "Beberapa saksi yang berada di tempat kejadian cuba untuk memadamkan api sebelum membawa mangsa ke hospital. Siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui punca kejadian," katanya.


Minggu lalu, Silman membakar dirinya sebagai tanda protes bagi menuntut keadilan sosial di Tel Aviv dan dia disahkan meninggal dunia enam hari selepas kejadian itu.





P/S - Entri terdahulu [KLIK]





.

Impiannya menjadi penyanyi, akhirnya jadi kenyataan


Impian seorang gadis penghidap agorafobia atau takut untuk keluar daripada rumah untuk menjadi penyanyi, akhirnya menjadi kenyataan selepas lagu single pertamanya, Never Let Go dikeluarkan minggu lalu. Jemma Pixie Hixon, 21, dari Britain, yang tidak keluar rumah sejak tiga tahun lalu akibat fobia terhadap persekitaran di luar, sebelum ini hanya popular di YouTube. Namun, namanya kini popular di United Kingdom, China dan Asia Timur apabila lagunya didengar hampir 12 juta kali di Internet. Lagu single pertamanya, Never Let Go, diterbitkan oleh syarikat rakaman dalam talian DJ5parks, dan ia dirakam Hixon hanya menggunakan komputer ribanya di rumah.

Gadis itu berkata, kejayaannya menghasilkan lagu diharap dapat menjadi inspirasi kepada mana-mana individu yang menghidap agorafobia. "Saya rasa gembira jika ada orang mendengar lagu saya. Ia lagu yang baik dan saya mengharapkan sokongan peminat," katanya. Penyanyi remaja itu yang masih tinggal bersama ibu bapanya, mencipta lagu dalam studio buatan sendiri di dalam biliknya di Malvern, Worcestershire, dengan menggunakan mikrofon, kamera web dan komputer riba Apple Mac. Dia pada mulanya memuat naik lagu versi cover ke dalam YouTube sebelum memasukkan lagu ciptaannya sendiri menggunakan kelengkapan terbabit.


Hixon berkata, dia mula diserang agorafobia yang membuatkannya panik pada usia enam tahun dan keadaan bertambah teruk apabila dia terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun. "Apabila diserang panik, saya rasa sukar untuk bernafas dan berasa jantung saya akan meletup. Situasi itu sangat pelik kerana secara logiknya tiada apa yang perlu saya bimbangkan jika berjalan keluar daripada rumah, tetapi itulah realitinya apabila saya cuba berbuat demikian," katanya. - AGENSI






.

Jangan cari saya, saya mahu berehat dan tenangkan fikiran


Tiada apa yang lebih bermakna buat penyanyi Ariel Peterpan selain daripada bersyukur kerana dibebaskan dari penjara Kebun Waro di sini pada bulan penuh kemuliaan. Pembebasan itu jelas Ariel, merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas melalui fasa yang menyulitkan sebagai banduan selama dua tahun. Bagaimanapun, Ariel enggan untuk menjelaskan panjang lebar mengenai hikmah yang diperoleh kerana bimbang tersalah cakap. "Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai belum tentu tidak bagus buat kamu.


"Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," kata Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham pada sidang akhbar di sini hari ini. Pada sidang media yang diadakan tujuh jam selepas beliau dibebaskan dari penjara Kebon Waru di sini, Ariel mesra melayan pertanyaan dan sentiasa melemparkan senyuman.






.

Bahaya makanan segera..


Rakyat Singapura yang sering menikmati hidangan burger, kentang goreng dan makanan segera ala-Amerika Syarikat lain berisiko untuk mendapat penyakit kencing manis dan jantung yang membawa risiko maut, menurut hasil kajian antarabangsa. Pada masa sama, hasil kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Circulation menyebut bahawa makanan segera tempatan atau rantau Asia seperti mee atau ‘dumpling’, tidak memberi risiko yang sama. Disebabkan fenomena globalisasi, makanan segera ala-Amerika kini menjadi sesuatu yang biasa bagi kebanyakan penduduk di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kajian dilakukan terhadap lebih 60,000 penduduk Singapura berketurunan Cina.

“Banyak masyarakat asing menerima (makanan segera Barat) kerana ia satu petanda mereka membangunkan ekonomi,” kata ketua kajian itu, Andrew Odegaard dari Kajian Kesihatan Awam Universiti Minnesota. “Makanan Barat mungkin diterima lebih baik dari sudut kebudayaan tetapi daripada perspektif kesihatan ia mungkin kesan buruk,” katanya. Peserta yang mengambil bahagian dalam kajian ditemubual pada 1990-an dan tabiat pemakanan mereka dipantau selama satu dekad. Mereka berusia antara 45 hingga 74 tahun pada permulaan kajian itu. Ketika masih dalam tempoh kajian, 1,397 peserta meninggal dunia disebabkan masalah jantung dan 2,252 lagi menghidap kencing manis jenis kedua.


Kajian mendapati, mereka yang makan makanan segera dua kali atau lebih seminggu berisiko 27 peratus untuk menghidap penyakit kencing manis dan 56 peratus berisiko tinggi mendapat sakit jantung berbanding mereka yang makan sedikit atau langsung tidak mengambil makanan segera. Daripada 811 peserta yang makan makanan segera gaya Barat empat kali atau lebih seminggu, risiko kematian akibat sakit jantung meningkat sehingga 80 peratus. Hasil kajian itu tidak berubah sekalipun penyelidik mengambil kira faktor lain yang mungkin mempengaruhi kesihatan termasuk umur, jantina, berat, status merokok dan tahap pendidikan.

Selain itu, rakyat Singapura yang makan makanan segera ala Barat kebanyakannya adalah golongan muda, berpendidikan dan aktif secara fizikal dan mungkin tidak merokok berbanding mereka yang terikat dengan diet tradisional. - Reuters







.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!