Saturday, February 23, 2013

Penyanyi rap maut dalam kejadian tembakan


Penyanyi rap dari Oakland yang sedang mencipta nama, Kenneth Cherry Jr, 27, maut bersama dua yang lain dalam satu kejadian tembakan dari sebuah Range Rover di Las Vegas Strip semalam, kata polis. Jurucakap Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, Jose Hernandez berkata dalam kejadian awal pagi itu, seorang atau lebih penyerang menaiki kenderaan terbabit melepaskan tembakan ke atas sebuah kereta Maserati yang dipandu Cherry Jr dan membunuh penyanyi itu.

"Saya melihat bebola api. Satu bunyi kuat kedengaran diikuti dua lagi bunyi," John Lamb, Saksi 

“Tembakan mengakibatkan kereta Maserati hilang kawalan lalu merempuh teksi yang membawa dua penumpang.


Teksi terbakar 

“Teksi itu terbakar di persimpangan Las Vegas Boulevard dan Flamingo Road, menyebabkan pemandu dan seorang penumpang terbunuh,” katanya. Hernandez berkata tembakan dan perlanggaran di persimpangan sibuk dekat hotel Bellagio dan Caesars Palace menyebabkan satu lagi kemalangan membabitkan empat kenderaan manakala sekurang-kurangnya empat cedera. Polis berkata, tembakan berpunca daripada pergaduhan di kawasan letak kereta di Aria Resort and Casino tetapi penyiasat tidak menemui motif. Wakil MGM Resorts International, yang memiliki Aria, enggan memberi komen mengenai kejadian tetapi berikrar membantu polis dalam siasatan itu. Seorang saksi, John Lamb yang dipetik saluran 8News Now, KLAS-TV berkata, beliau mendengar bunyi kuat dan melihat bebola api. “Saya melihat bebola api. Satu bunyi kuat kedengaran diikuti dua lagi bunyi,” katanya. Jurucakap hospital berkata, tiga orang dirawat dan dibenarkan keluar di Pusat Perubatan Universiti selepas kejadian tetapi enggan memberikan butiran lanjut mengenai mangsa keempat. - REUTERS






.





.

Korban anak untuk selamatkan suami


Beberapa bulan selepas satu keluarga kelaparan terpaksa berpisah dengan anak mereka akibat kemiskinan melampau, seorang lagi wanita di Bihar menjual bayi perempuannya berusia dua bulan pada harga 5,000 rupee (RM284.82) untuk membayar bil perubatan suaminya yang sakit. Shama Perveen, penduduk Isopur di Phulwarisharif di sini, menjual bayi perempuannya Nazia kepada penduduk kampung Shehzadi, beberapa hari lalu. "Saya tiada pilihan lain kecuali jual bayi untuk dapat wang membayar rawatan suami,"

Shama Perveen, Penduduk Isopur Ibu tiga anak itu terpaksa mengambil tindakan itu selepas tiada siapa membantu suaminya, Sarfaraz yang mengalami sakit dalam perut. Tiada pilihan “Saya bertanya hampir semua penduduk sekitar untuk bantuan kewangan tetapi tiada siapa mahu. Saya tiada pilihan lain kecuali jual bayi untuk dapat wang membayar rawatan suami,” kata Shama kepada media kelmarin. “Saya kini resah selepas jual anak perempuan tunggal saya, namun apa yang dapat saya lakukan?


Tiada jalan lain. 

Jika saya tidak lakukannya, suami saya akan mati. “Doktor beritahu, dia perlu jalani pembedahan segera yang menelan belanja 5,000 rupee. “Apabila susah hati, saya jumpa wanita itu untuk lihat bayi saya. Melihatkan bayi itu di pangkuannya, saya lega,” kata Shama. Suaminya memperoleh wang dengan melakukan kerja mengecat, namun sejak beberapa bulan lalu, dia mengalami masalah kewangan meruncing kerana terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan.

Julai lalu, seorang wanita miskin dari blok Forbesganj di timur daerah Araria di Bihar menjual bayi lelaki empat bulan kepada pasangan Nepal dengan bayaran hanya 62 rupee (RM3.53) oleh kerana keluarga terbabit benar-benar dalam kesempitan hidup. Budak lelaki itu kini masih tidak dapat dikesan. - AGENSI






.

Kate Middleton tertekan dengan suami..


Duchess of Cambridge, Kate Middleton semakin tertekan kerana suaminya, Putera William terlalu bimbang akan kesihatannya. Kerisauan suaminya itu disebabkan Middleton pernah dimasukkan ke hospital kerana alahan teruk dan tiada selera makan. Namun kini, Middleton dikatakan tidak lagi muntah malah semakin kuat dan ceria semula sehingga mampu untuk bercuti bersama William di sebuah pulau.

“Kate gembira dapat berehat sebelum kelahiran anak pertama mereka, tetapi William sangat paranoid kerana khuatir Kate dijangkiti penyakit melalui makanan yang dimakannya. “Jadi, William telah membawa pengawal keselamatan tambahan untuk mengawasi dan menyelia kakitangan dapur supaya buah, sayur, ikan, ayam dan sebagainya dibersihkan dengan betul,” kata sumber.





.

Kerana kejadian tragis itu, dia menjadi wira


Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sini layak dijulang sebagai wira setelah menyelamatkan nyawa adik perempuannya yang cedera parah akibat kemalangan kereta yang turut mengorbankan ibunya, di State Highway 401, selatan Naselle, di sini, pagi kelmarin. Jurucakap polis, Russ Winger berkata, kereta yang dipandu Jessica Marie Rath terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan setelah wanita berusia 26 tahun itu dipercayai tertidur sewaktu memandu untuk menjemput suaminya, Keaton Huff di sebuah jeti di Portland. Sejurus kemalangan itu berlaku, Aryanna Rath terus bertindak menarik keluar ibu dan adiknya, Lylah Huff dari kenderaan mereka serta menutup badan keduanya dengan selimut.

Dia kemudiannya cuba meminta bantuan pengguna jalan raya kerana lokasi kemalangan itu sedikit tersorok sambil badannya basah terkena hujan dan bergelut dengan kesejukan dinihari. Menurut saksi, Kraai McClure dan Scott Beautler, mereka berhenti untuk memeriksa sebatang pokok rosak dan menemukan wanita yang telah mati manakala kanak-kanak itu sedang kesejukan kira-kira pukul 8 pagi. ''Aryanna wajar digelar sebagai hero. Kami hanya bertindak selepas itu sedangkan dia menyelamatkan nyawa adiknya,'' kata Beautler.


Lylah dikejarkan ke hospital Astoria dan menemukan bapanya di situ sebelum mereka dipindahkan ke sebuah hospital di Portland untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sementara itu, bapa Aryanna, Huff berkata, kali terakhir dia menghubungi isterinya pada tengah malam kejadian bagi memaklumkan lokasi dia akan mendarat di Portland. Dua jam selepas itu, isterinya masih tidak menghubunginya membuatkannya memuat naik status meminta bantuan rakan-rakan Facebook dan dia dimaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia. - AGENSI






.

Tangkuban parahu, Bandung Ditutup Buat Pengunjung


Pusat pelancongan Gunung Tangkubanparahu di daerah Bandung Barat menutup sementara kawasan itu kepada pelawat hari ini berikutan syor Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Badan Geologi Indonesia, setelah berlaku peningkatan aktiviti di kawah utama gunung berapi itu sejak Khamis. Ketua PVMBG, Surono berkata pada Khamis ada hembusan hujan abu dan gegaran sehingga pihaknya menaikkan status gunung berapi itu dari normal menjadi waspada. Status waspada itu menasihatkan agar orang ramai menjauhi dalam radius 1.5 km dari kawah Ratu, iaitu satu daripada dua kawah utama gunung berapi itu.

Pasukan PVMBG sedang memantau aktiviti gunung berapi itu terutamanya gas beracun yang disembur kawah Tangkubanparahu, namun sehingga ini belum ada syor supaya penduduk sekitar kawasan itu dipindahkan ke pusat pemindahan. Pihak pengurusan taman alam Tangkubanparahu mengambil keputusan menutup tempat itu kepada para pelawat mulai pagi ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.


Gunung Tangkubanparahu ialah sebuah gunung berapi aktif yang mempunyai sembilan kawah, termasuk dua kawah utama di puncaknya iaitu kawah Ratu dan kawah Upas, yang masing-masing berdiameter 1,000 meter dengan kedalaman kawah 400 meter. Catatan PVMBG menyebut bahawa dalam tempoh antara tahun 1829 hingga 1994, Gunung Tangkubanparahu mengalami tiga kali letusan magmatik yang turut menyemburkan asap setinggi dua km ke udara dan empat kali letusan freatik. -BERNAMA





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!