Saturday, March 9, 2013

Bahaya : Akibat suka menanduk bola


Seorang pemain bola sepak di Bacup, Lancashire berumur 27 tahun meninggal dunia selepas diserang strok akibat sering menanduk bola. Bryan Herbert yang menyertai pasukan Bacup Borough, rebah beberapa jam selepas satu perlawanan, sebelum meninggal dunia lapan minggu selepas dia dimasukkan ke hospital. Herbert adalah penyerang yang sering menjaringkan gol untuk pasukannya serta dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Inkues menunjukkan satu darah beku di otaknya yang disebabkan oleh tindakannya yang sering menanduk bola, sekali gus menyebabkannya diserang strok. Kejadian bermula pada Ogos lalu, apabila dia mengadu sakit kepala kepada teman wanitanya selepas satu perlawanan, sebelum rebah sejurus selepas itu. Dia kemudiannya dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia pada Oktober lalu dengan teman wanitanya, Vicky Bruty dan ahli keluarga berada di sisi. -AP





.

Mayat Hugo Chavez diawet untuk dipamer selama-lamanya dalam muzium


Mayat Presiden Venezuela, Hugo Chavez akan diawet dan diletakkan di dalam bekas kaca untuk dipamerkan selama-lamanya di muzium tentera, tidak jauh dari Istana Presiden. Naib Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang ketika ini memimpin kerajaan sementara Venezuela, mengumumkan semalam, mayat Chavez kini berada di akademi ketenteraan sekurang-kurangnya selama tujuh hari, sebelum ditempatkan di Muzium Revolusi tidak lama lagi.


Menurutnya, upacara menyemadikan mayat Chavez diadakan pada pukul 11 pagi ini, namun tidak menyatakan di mana upacara itu akan berlangsung. "Kami memutuskan untuk mengawet mayat Komander Presiden (Chavez), agar beliau kekal dalam ingatan rakyat Venezuela, sama seperti beberapa pemimpin terkenal dunia, Lenin, Mao Zedong dan Ho Chi Minh," katanya. - AGENSI





.

Gambar-gambar Amerika Syarikat yang dilanda ribut salji


Ribut salji yang melanda utara Amerika Syarikat (AS) menyebabkan beratus-ratus buah sekolah ditutup, jalan raya serta lebuh raya tidak boleh digunakan dan 2,600 penerbangan dibatalkan. Ribut itu juga menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan ekoran jalan raya yang licin akibat ais dan salji. Ribut salji tersebut kini bergerak ke arah berpuluh-puluh buah negeri dari Minnesota ke Virginia selepas Montana dilanda salji setebal 60 sentimeter manakala North Dakota dilanda salji setebal 38 sentimeter.


 Perkhidmatan Cuaca Nasional berkata, Chicago dijangka dilanda salji setebal 2.5 sentimeter sejam pada waktu puncak ketika orang ramai pulang kerja. Beratus-ratus jentolak dikerahkan untuk membersihkan salji di jalan raya dan lebuh raya namun kenderaan itu dijangka tidak dapat membawa apa-apa perbezaan ekoran salji setebal 30 sentimeter melanda Chicago.


Jabatan Cuaca memberi amaran supaya orang ramai hanya berada di rumah jika tiada urusan kecemasan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. Hampir 900 penerbangan ditunda di Lapangan Terbang O'Hare, Chicago manakala 260 penerbangan lagi dibatalkan di Chicago Midway, semalam.


Lebih 100 penerbangan pula dibatalkan di Minneapolis, Minnesota, menjadikan jumlah 1,465 penerbangan dibatalkan semalam. Sebanyak 1,162 penerbangan yang dijadualkan hari ini dibatalkan terutama di kawasan Washington. - AFP





.

Anjing ni buat sesuatu yang sangat pelik


Seekor anjing jenis German Shepherd milik wanita Perancis menyelamatkannya daripada cubaan membunuh diri dengan menyalak apabila dia cuba untuk menembak jantungnya menggunakan senapang, kata pegawai polis tempatan. Wanita berusia 63 tahun itu berjalan ke tamannya di bandar Sorgues di wilayah Vaucluse, melakukan beberapa cubaan tembakan menggunakan peluru kaliber-22 dan memalingkan senjata itu ke arah dadanya.

“Pada ketika dia mahu memetik picu senjata, anjingnya melompat kepadanya dan tembakan itu terlepas ke arah lain,” kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP, sambil menambah bahawa anjing itu “mungkin dapat mengesan sesuatu dan menyalak ke arah wanita itu bagi menyelamatkannya.” Wanita itu dijumpai dalam keadaan sedar oleh suaminya tetapi mengalami sakit dada. Dia dibawa ke hospital tetapi kecederaannya tidak mengancam nyawa. - AFP






.

Sudahlah curi kereta, bayi dalam kereta dicekik sampai mati


Seorang pencuri kereta mencekik seorang bayi berusia dua bulan hingga mati selepas menyedari kehadiran bayi tersebut dalam kereta yang dicurinya, semalam. Menurut polis, bayi berkenaan berada dalam kenderaan jenis SUV itu ketika ia dicuri oleh Zhou Xijun, 48, di wilayah Jilin. "Suspek menyedari ada seorang bayi di dalam kereta tersebut lalu berhenti di tepi jalan dan mencekik mangsa hingga mati. "Suspek kemudiannya menanam mayat mangsa di dalam timbunan salji," jelas polis. - AFP






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!