Monday, May 20, 2013

David Beckham dan isteri, Victoria berkongsi gambar intim mereka


Dia dikenali dengan memek muka yang selalu serius dan jarang tersenyum. Namun Victoria Beckham membuktikan dia boleh tersenyum, untuk suami sekurang-kurangnya. Bekas penyanyi yang juga pereka fesyen itu telah memuat turun gambarnya dan suami David Beckham yang telah diambil pada Hari Tahun Baru ketika bercuti di Maldives - dimuat turun sempena David Beckham bersara daripada bola sepak. Dalam gambar hitam putih itu, Victoria, 39, dilihat tersenyum manis sambil memeluk bahu suaminya.

Victoria sentiasa dipuji peminat kerana dia tetap konsisten menjadi tulang belakang kejayaan suaminya dalam kerjaya bola sepak dan peragaan yang menyaksikan keluarga mereka terpaksa berpindah-randah dari Manchester ke Madrid, Los Angeles dan kembali ke London dan ketika bekas Kapten England itu bermain dengan kontrak lima bulan untuk Paris Saint-German. Pemain tengah itu membuat pengumuman baru-baru ini, memberitahu dunia bahawa dia akan bersara dari dunia bola sepak. -AP





.

Sanggupkah anda berbelanja besar demi sebotol minyak wangi?


Sanggupkah anda membeli sebotol minyak wangi berharga lebih dari RM12,000 walaupun sebanyak mana wang anda miliki? Baru-baru ini, jenama fesyen terkenal, Chanel telah melancarkan minyak wangi edisi terhad yang diberi nama Grand Extrait. Dijual dengan harga £2732.24 (RM12,521.76), minyak wangi tersebut merupakan minyak wangi Chanel yang termahal. Malah, harga tersebut juga adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan koleksi terhad minyak wangi Chanel sebelum ini yang pernah dijual dengan harga £1366.12 (RM6,257.38).

Namun formula yang digunakan untuk membuat wangian tersebut sebenarnya tidaklah jauh berbeza daripada minyak wangi yang boleh dibeli di kedai bebas cukai dengan harga RM300. Apa yang membuatkan Grand Extrait lebih mahal adalah botolnya yang diperbuat daripada kaca serta diukir dengan penuh teliti. Namun persoalannya sekarang, sanggupkah anda membelinya walaupun anda seorang selebriti kaya?






.

Inilah gadis pertama Arab Saudi yang berjaya tawan Everest


Wanita Arab Saudi, Raha Moharrak, 25 mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama negaranya tiba di puncak gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, kelmarin, kata seorang pegawai pelancongan. Beliau tiba di puncak setinggi 8,848 meter awal pagi kelmarin bersama sekumpulan pendaki rakyat asing dan jurupandu Nepal.


Gembira dengan kejayaan

"Beliau tiba di puncak bersama 12 anggota ekspedisi lain", kata seorang pegawai kementerian pelancongan Nepal, Syanendra Shrestha kepada AFP dari Everest Base Camp. "Kami berjaya menghubungi Raha, beliau amat letih dan sedang berehat", kata bapa wanita terbabit, Hassan Moharrak kepada AFP sambil menambah bahawa keluarganya amat gembira dengan pencapaian terbabit. Sebelum ini Arab Saudi turut mencatat sejarah apabila dua atlit wanitanya buat pertama kali menyertai Sukan Olimpik London pada 2012.

Awal bulan ini kerajaan membenarkan beberapa pelajar perempuan di sekolah persendirian untuk menyertai sukan olahraga tetapi meminta sekolah memastikan gadis berkenaan mengenakan pakaian yang sopan dan bertudung ketika aktiviti sukan bagi bidang yang bersesuaian. Aktivis hak asasi, Human Right Watch, menyatakan Arab Saudi adalah satu-satunya negara di dunia yang masih lagi melarang pelajar wanita menyertai sukan di sekolah kerajaan.

"Adalah sesuatu yang hebat bagi seorang wanita Arab Saudi mampu tiba di puncak Everest", kata pengarah inisiatif global Human Right Watch, Minky Worden, kepada AFP. "Kita tahu masih ada berjuta-juta wanita dan gadis di Arab Saudi yang dinafikan hak mereka untuk mendaki walaupun di gim dan menyertai sukan lain, termasuk di sekolah kerana ia adalah membabitkan dasar kerajaan". katanya.



Tabung kebajikan

Ekspedisi Everest Moharrak juga digelar sebagai Arab with Altitude bertujuan memungut dana bagi tabung kebajikan pendidikan di Nepal. Dalam pada itu, beratus-ratus pendaki cuba mendaki kemuncak tertinggi di dunia itu dalam masa beberapa hari akan datang ketika keadaan cuaca dilaporkan baik. -AFP






.

Ritual aneh yang diamalkan oleh askar


Askar-askar yang dibubarkan percaya ritual meminum darah kambing akan dapat membantu tentera diwujudkan semula di Haiti. Upacara yang merupakan sebahagian daripada amalan ilmu hitam dikenali sebagai voodoo itu berlangsung di sini kelmarin. Selepas meminum darah kambing yang dipanaskan, mereka berarak di sepanjang jalan raya di sini untuk meraikan ulang tahun ke-210 kewujudan bendera kebangsaan Haiti.


Askar-askar tersebut menuntut pemerintah mewujudkan semula tentera di negara Amerika Tengah itu. Angkatan Bersenjata Kebangsaan Haiti dibubarkan pada 1995 kerana ia kerap terlibat menggulingkan pemerintah dan menggunakan kekerasan dalam menangani tunjuk perasaan. - AP





.

Inilah gambar kontroversi Beyonce yang membuatkan dia dikatakan hamil lagi



SEKIAN lama membisu akhirnya Benyonce Knowles membuat kenyataan mengenai khabar angin dia kini sedang mengandung anak kedua. Menurut laporan Dailymail, isteri kepada penyanyi rap dan komposer Jay Z itu tidak senang dengan khabar angin itu dan menyifatkan individu yang menyebarkan berita tersebut seperti tidak mempunyai kerja lain untuk dibuat. "Sejak awal lagi saya tidak boleh menghentikan gosip dan tidak boleh mengubah pemikiran orang yang terlanjur mempercayainya. "Apa yang saya hanya mampu lakukan ialah duduk dan mentertawakan individu-individu yang tidak punya kerja selain membuat khabar angin tentang diri saya," katanya.

Gosip kehamilan kedua Beyonce tercetus apabila dia muncul dengan perut yang sedikit buncit pada salah satu konsertnya, malah media E! News turut mengesahkan berita tersebut. Beyonce sendiri telah memiliki seorang anak bersama Jay Z, Blue Ivy Carter yang lahir pada 7 Januari 2012, itu pun dia terpaksa menghadapi kontroversi sepanjang kehamilannya. -AP





.

Cerita kemalangan ngeri di MRR2. Apa yang terjadi?


Empat maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek berfungsi salah sebuah kereta, dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 5.30 petang membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal itu menyebabkan pemandu dan tiga penumpang kereta PERODUA Viva maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala sekurang-kurangnya tiga cedera. Mangsa maut dikenal pasti sebagai pemandu PERODUA Viva, Hasbullah Abdul Ghani, 26; dan isterinya, Nurul Intan Syahida, 22, yang duduk di bahagian penumpang depan, yang putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.

Turut maut dua penumpang di bahagian tempat duduk belakang, iaitu Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22, kedua-duanya adalah sepupu kepada Nurul Intan. Kejadian dikatakan berlaku apabila PROTON Satria yang menuruni jalan Bukit Antarabangsa hilang kawalan apabila brek dipercayai tidak berfungsi, lalu merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan, sebelum merempuh PERODUA Viva yang dinaiki empat individu.



Berpusing beberapa kali 

Pada masa sama, kereta Suzuki Swift dari Ampang menghala Gombak hilang kawalan dan berpusing beberapa kali ketika cuba mengelak PROTON Satria, sebelum turut merempuh PERODUA Viva. Sebuah motosikal dari arah sama turut terbabas ketika mengelak, lalu jatuh di lokasi kejadian. Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala yang cedera dihantar ke Hospital Ampang. Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata kemalangan membabitkan empat maut itu berpunca daripada kerosakan brek PROTON Satria sebelum merempuh kenderaan dinaiki empat mangsa.


Katanya, tiga kenderaan lain termasuk sebuah motosikal dari arah Ampang menghala Gombak turut terbabas dan berlanggar sesama mereka ketika mengelak PROTON Satria yang merempuh pembahagi jalan. Beliau berkata, empat individu yang menaiki kereta PERODUA Viva maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, selain turut tersepit sebelum dihantar HKL untuk bedah siasat. Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil lebih sejam mengeluarkan mangsa tersepit berikutan hujan lebat. Siasatan lanjut dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya ketika dihubungi, semalam. Kemalangan terbabit turut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua belah laluan berkenaan sehingga lebih 10 kilometer. -BH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!