Thursday, August 1, 2013

Inilah kesalahan lelaki AS yang dikenakan hukuman 165 tahun penjara


Inilah ksalahan lelaki AS yang dikenakan hukuman 165 tahun penjara  | Seorang lelaki dari Michigan dijatuhi hukuman penjara 165 tahun oleh Mahkamah Miami hari ini kerana sanggup ke Haiti dari Florida beberapa kali untuk melakukan penderaan seks kepada puluhan kanak-kanak di rumah penjagaan untuk orang miskin yang dimilikinya. Juri mahkamah memutuskan Matthew Andrew Carter, 68, didapati bersalah atas lima tuduhan pada Februari lalu kerana melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak, termasuk cubaan mengadakan pelancongan seks membabitkan kanak-kanak. Pada hari kedua keputusan penghakiman, Hakim Joan Lenard memerintahkan Carter dikenakan hukuman maksimum iaitu 15 tahun penjara untuk kesalahan pertama dan 30 tahun penjara untuk tuduhan berikutnya.

Carter yang turut menggunakan nama “William Charles Harcourt” dan “Bill Carter,” menguruskan pusat penjagaan Morning Star Center di Croix-des-Bouquets dan di ibu negara, Port-au-Prince, mulai 1995. Pihak pendakwa tertuduh mensasarkan orang miskin dan kanak-kanak tidak berumah sebagai mangsa mereka. Bekas penghuni Morning Star yang dipanggil untuk perbicaraan dan juga ketika sesi penghakiman, memberitahu tertuduh memaksa mereka mengadakan hubungan seks ketika tertuduh mengagihkan makanan, pakaian, patung permainan, tempat perlindungan dan kelas tuisyen ketika mereka berusia kanak-kanak.

"Perbuatan Carter menyebabkan reputasi Amerika tercalar sebagai negara yang ikhlas memberi bantuan kepada golongan memerlukan," kata Lenard. “Ingin saya nyatakan di sini kepada semua mangsa tertuduh, saya sebagai warga Amerika, saya meminta maaf kepada anda. Ini bukan cara Amerika," katanya. Ribuan kenaka-kanak hidup di rumah anak yatim atau pusat penjagaan seperti Morning Star meskipun salah seorang ibu bapa mereka masih hidup akibat kemiskinan. - AFP





 .

SPECIAL ENTRY : Mengenang pemergian mendiang Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan


Baru sahaja saya bertemu dengan mendiang Chua malam tadi semasa majlis berbuka puasa," kata Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang. Tengku Abdullah yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ditemui wartawan Malaysian Digest, Mohd Fauzi di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) tengahari tadi ketika beliau datang memberi penghormatan buat Chua Boon Huat, pemain hoki skuad kebangsaan, yang meninggal dunia awal pagi tadi selepas terbabit dalam kemalangan jalanraya. "Beliau seorang pemain hoki yang penuh dedikasi, dan ini merupakan satu kehilangan yang besar. Chua adalah nadi utama kepada pasukan, dari segi pengalaman, dan juga semangat," kata Tengku Abdullah. "Saya bangga ada pemain seperti Chua," tambahnya lagi. Tengku Abdullah juga mengharapkan pemain yang lain meneruskan perjuangan biarpun pemergian Chua merupakan kenyataan perit untuk diterima.


Beliau menggesa pemain hoki lain terus cuba mencapai kejayaan walaupun telah kehilangan seorang wira pasukan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut sama berada di PPUM turut menyampaikan ucapan takziah untuk keluarga Chua dari seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan. "Saya bangga dengan kejayaan Chua dan beliau seorang yang banyak mengatur strategi. "Chua seorang atlet cemerlang yang telah banyak berbakti pada negara. Pemain lain harus jadikan Chua sebagai contoh dan aspirasi. "Chua ini unik, dia seorang saja pemain hoki yang berbangsa Cina," kata Khairy.


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak juga menzahirkan ucapan takziahnya di atas pemergian pemain hoki kebangsaan Chua Boon Huat awal pagi tadi, dan juga atlet bola keranjang negara Jacky Ng Ahad lepas menerusi akaun Twitter beliau. Jacky Ng meninggal dunia pada usia 25 tahun akibat serangan jantung ketika berada di Jinjiang, China untuk pertandingan jemputan sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan Asian di Manila Ogos nanti.


Sementara itu, bagi abang Chua, Alif Nur Najmi Chua, ketika ditemui wartawan di luar ruang menunggu Pathologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebentar tadi, beliau berkata adiknya merupakan adik kesayangan. "Saya betul tidak menduga dia akan pergi buat selama-lamanya hari ini," kata Alif, 42. "Kali terakhir saya berjumpa dengan dia bulan lepas, tetapi kami masih berhubung menerusi telefon," tambahnya. Berbicara mengenai perwatakan adik bongsunya, Alif berkata Chua seorang yang berdisiplin.Alif juga merupakan bekas pemain hoki untuk negeri Melaka. "Chua selalu ikut saya main hoki dulu, saya perkenalkan dia pada sukan ini. Masa dia darjah enam, saya hadiahkan kayu hoki untuk hari lahirnya," kata Alif. Alif berkata ini merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja kepada keluarga mereka tetapi juga kepada negara. "Saya redha dengan pemergiannya," tambah Alif. "Dia ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama teman wanitanya, Louise. Samada tahun ini atau tahun depan, saya kurang pasti," katanya lagi.


Bercerita mengenai kematian bapa mereka, juga akibat kemalangan jalanraya, sembilan tahun lepas, pada waktu itu, Chua di dalam perjalanan dari Malaysia ke United Kingdom untuk latihan hoki. Chua cuma mendapat berita sedih itu setelah tiba di kota London dan menurut Arif, Chua terus menaiki penerbangan pulang balik ke Malaysia untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka. Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Saravanan Murugan, ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata kehilangan Chua Boon Huat merupakan kerugian besar kepada Malaysia, khususnya bagi sukan hoki. "Chua merupakan seorang yang komited, selain merupakan pemain paling lama beraksi. Beliau yang juga orang kanan hoki Malaysia sentiasa bersedia menunjuk ajar pemain lain," katanya. "Kehilangan beliau tiada ganti," tambah Saravanan. Saravanan juga berkata beliau yakin Chua akan sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia.Kementerian Belia dan Sukan juga akan cuba membantu keluarga Chua dan akan berbincang mengenai sumbangan untuk mereka, menurut Saravanan.


Bagi ibu Chua, Tan Kuai Neo, 64, dia diberitahu mengenai kejadian pada jam 4 pagi dari teman wanita mendiang anaknya. Ketika ditemui, Tan berkata Chua meminati hoki sejak kecil. Walaupun dia pernah melarang Chua bermain hoki kerana sukan itu kelihatan merbahaya, Chua tetap berdegil kerana minat yang cukup mendalam. "Kalau dia tidak main hoki, dia tidak boleh duduk diam," kata Tan. Tan juga berkata Chua akan pulang ke Melaka setiap kali mendapat cuti. Tambahnya lagi, mayat mendiang anaknya dijangka dibakar Isnin ini dan akan dibawa pulang ke Melaka hari ini. Pada jam 10.15 pagi tadi, suasana sedih menyelubungi PPUM apabila keluarga Chua masuk ke ruangan Pathologi Forensik PPUM untuk melihat mendiang.

Seramai 15 orang ahli keluarga Chua hadir untuk menuntut mayat beliau sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Melaka. Menurut Tan lagi, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada bulan Jun yang lepas. "Dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan ganjil masa saya berjumpa dengannya," kata ibu Chua lagi. Penjaga gol hoki negara, S Kumar juga berada di PPUM bersama keluarga Chua. Ketika ditemui, Kumar memberitahu wartawan kali terakhir beliau bertemu Chua malam tadi di Majlis Berbuka Puasa Perbadanan Hoki Malaysia. "Hampir satu jam saya bersembang dengan Chua di majlis itu. Selalunya dia banyak makan, tetapi malam tadi dia makan sikit," kata Kumar.Kumar berkata Chua merupakan seorang pemain yang berdedikasi dan tidak pernah putus asa, disamping selalu inginkan kemenangan dalam setiap permainan. Bagi bekas pemain hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini, dia mengenali Chua sejak berusia 17 tahun. "Kami selalu pergi latihan bersama-sama, saya juga sering ke rumah Chua di Melaka," kata Nor Saiful kepada wartawan. "Semalam saya tidak berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa Perbadanan Hoki kerana menghadiri majlis anjuran TNB," tambahnya.


Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menerusi akaun jaringan sosialnya melahirkan ucapan takziah di atas pemergian pemain hoki skuad kebangsaan awal pagi tadi. "Takziah kepada keluarga Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, yang meninggal dunia kira-kira jam 3.00 pagi tadi setelah mengalami kemalangan di LDP. "Beliau seorang bintang hoki yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan merupakan seorang atlet yang cemerlang, berdisiplin, sentiasa positif dan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda. "Terima kasih, Boon Huat. Jasamu akan sentiasa dikenang oleh negara," tulis beliau di Twitter dan Facebooknya.Chua Boon Huat maut dalam kemalangan yang berlaku pada jam 2.25 pagi.

Beliau berusia 33 tahun. Mengikut laporan dari Bernama, kemalangan berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong, dekat Stesen LRT Kelana Jaya. Kereta Chua telah dilaporkan melanggar sebuah lori dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Damansara terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan Chua yang tersepit dalam keretanya. Beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Chua berasal dari Bukit Cina, Melaka dan merupakan salah seorang pemain yang paling lama beraksi untuk skuad kebangsaan. Beliau adalah anak bongsu dari empat beradik, dan mempunyai dua kakak dan seorang abang. Penglibatan beliau dalam sukan hoki bermula sejak beliau berada di Darjah Empat, dan mula bermain hoki bersama skuad Malaysia pada usia 17 tahun untuk Sukan Komanwel yang diadakan di negara ini pada tahun 1998. -mD





.

Pelakon Drama, Benji menceraikan isterinya Safiyya Stephanie Kar Leng Lee buat kali kedua


Pelakon Drama, Benji menceraikan isterinya Safiyya Stephanie Kar Leng Lee buat kali kedua | Pelakon drama, Benjy menceraikan isterinya buat kali kedua, Safiyya Stephanie Kar Leng Lee, 30, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, hari ini. Lafaz dibuat dihadapan Hakim Khairul Azwadi Mohamed Nor pada jam 9.40 pagi selepas kedua-keduanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik. Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 34, dan Safiya dilihat tenang sejurus lafaz cerai dibuat. Sebelum itu hakim telah meminta kedua-duanya saling bersalaman dan bermaafan. Benjy juga dilihat sempat mencium dahi Safiya buat kali terakhir. Mahkamah telah menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah dan memerintahkan Safiya untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.


Dalam pada itu anak lelaki tunggal dramatis terkenal, Azean Irdawaty ini berkata, dia bersyukur akhirnya segala telah selesai dan dia akan meneruskan kehidupan barunya selepas ini. Benjy turut menyatakan punca perceraian mereka adalah disebabkan tidak sehaluan lagi namun mereka masih berkawan baik. "Tak ada apa-apa yang boleh saya katakan lagi. Saya akan teruskan kehidupan baru saya selepas ini. Allhamdulillah semuanya telah selesai. "Kalau hari sekolah, Firdaus dengan ibunya, bila cuti dia dengan saya. Atau kadang-kadang kalau rindu, saya datang jumpa dia. "Kami bercerai secara baik kerana dah tak sehaluan lagi tapi kami masih mempunyai hubungan sebagai kawan baik dan akan menjaga anak kami, Firdaus secara bergilir-gilir", katanya ketika ditemui diluar dewan mahkamah.


Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Cintaku Saerah ini berkahwin dengan Safiya Stephanie Kar Leng Lee yang merupakan seorang mualaf pada 9 Februari 2004. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Firdaus Juan Benjamin yang kini berusia 7 tahun. Untuk rekod, Benjy dan Safiya pernah bercerai pada 7 Julai 2008 dengan talak satu dan kemudian pasangan ini telah merujuk semula pada hari yang sama. Benjy juga sebelum ini pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara. Baru-baru ini Benjy sekali lagi didakwa atas kesalahan menyalahguna dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada 26 Jun lalu. - mD






.

Pemain Hoki Negara, Chua Boon Huat Maut Kemalangan



Pemain Hoki Negara, Chua Boon Huat Maut Kemalangan  | Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut selepas terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dinaikinya melanggar sebuah lori di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dekat Stesen LRT Kelana Jaya di sini pukul 2.25 pagi Khamis. Jurucakap polis Petaling Jaya berkata kereta Proton Perdana dipandu Chua, dipercayai terlanggar sebuah lori tangki air, di LDP dalam kejadian 2.25 pagi itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Damansara diketuai seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan Chua yang tersepit dalam keretanya. Beliau berkata Chua mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. "Mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya. Chua yang berasal dari Bukit Cina, Melaka merupakan antara pemain hoki paling lama bermain untuk skuad kebangsaan. Mendiang mula beraksi untuk pasukan negara sejak berusia 17 tahun pada 1998. -Mstar



P/S - Minat dia masa zaman kegemilangan sukan hoki negara.. :(





.

MR. PAI EPAL - MARDIHAH



Menarik membaca kisah ini, hasil tulisan penulis Mardihah. Novel ini mengisahkan seorang chef, Izz Amir yang jatuh cinta kepada Yaya, seorang gadis yang dilihatnya memayungkan si ibu ketika hari hujan. Sejak itu, cintanya mekar dihati dan dia berusaha memiliki hati Yaya. Yaya juga berniat menjadi seorang chef, demi meneruskan impian arwah abahnya. Namun cinta yang baru berputik dalam hati Yaya, rupa-rupanya menjadikan dia seorang yang sabar untuk terus mencintai Izz Amir. Cinta mereka terhalang kerana umi Izz Amir sudah ada pilihan menantu. Nekad memilih Yaya menjadi teman hidupnya, Umi membuang Izz Amir dalam hidupnya. Izz Amir dibiarkan hidup merempat tanpa memiliki apa pun melainkan cintanya buat Yaya dan seorang rakan baik yang dianggapnya seperti adik sendiri.

Dalam satu kejadian, membuatkan Yaya menyimpan rasa benci buat Izz Amir. Dia tekad melupakan lelaki itu, dan membawa diri ke Paris. Namun sebenarnya Izz Amir sentiasa setia dan sabar mendampinginya walaupun tanpa Yaya sedari. Izz Amir menjadi seorang yang sering sakit, kurus dan tak terjaga. Berusaha mencari kerja sambilan, demi kasih sayangnya pada Yaya dan menyediakan kos perubatan buat sahabat yang tenat menghidap penyakit kanser usus.


Novel ini lengkap ditulis dengan kisah suka duka dan tidak dinafikan, kisah yang boleh dijadikan teladan. Cerita Izz Amir yang begitu tulus menyintai Yaya. Dan kisah Yaya yang juga memiliki hanya satu cinta. Iaitu buat lelaki yang bernama Izz Amir. Dapatkah mereka bersatu pada akhirnya??


Tajuk : Mr. Pai Epal
Penulis : Mardihah
Halaman : 753 muka surat
Harga : RM28/RM31





P/S - Fully recommended by Lulu Caldina





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!