Wednesday, September 4, 2013

KEKASIH HALAL - ORKID EDYLIYNE



Lufta Shirin Mawar masih bergelar pelajar ketika diminta untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Feroz, pilihan mamanya. Bagi Lufta, pertama kali menemui Feroz, tidak ada yang istimewa pun lelaki itu dimatanya. Namun jodoh mereka kuat, dan mereka sah bergelar suami isteri walaupun sama-sama masih belajar. Setelah berkahwin, Lufta tetap tinggal di asrama, dan hanya balik ke rumah Feroz dihujung minggu. Cintanya buat suami memang bersemi sejak itu. Namun hubungan mereka tidak diketahui oleh orang lain. Pada pandangan orang lain, mereka seolah pasangan kekasih.

Sungguh Lufta menyintai Feroz. Lelaki itu sempurna dengan sikap yang sangat penyayang. Tidak ada kekurangan sedikit pun. Namun siapa sangka dalam kesempurnaan itu, rupa-rupanya Feroz sebenarnya curang. Kecurangan yang dia sama sekali tidak sedar. Dan Feroz memang sangat-sangat serius dengan hubungan terlarangnya itu. Bagaimana harus dia menerima dugaan besar ini, sedangkan ketika itu dia mula hamil anak pertama mereka?


Tajuk : Kekasih Halal
Penulis : Orkid Edyliyne
Halaman : 610 muka surat
Harga : RM24/RM27




P/S - Fully Recommended by Lulu Caldina





Memohon maaf dan memberikan kemaafan


Memohon maaf dan memberikan kemaafan | MEMBERIKAN kemaafan merupakan pengorbanan terbesar dalam hidup manusia. Ia juga bakal menentukan sama ada kita mampu mengekalkan sebuah persahabatan atau terus mempunyai musuh yang berkekalan. Walaupun kemaafan sesuatu yang kelihatan mudah, hakikatnya ia tidak semudah yang dijangka. Apatah lagi, apabila pelakunya telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan dan maruah diri. Memohon maaf juga bukan perkara mudah. Ia menguji maruah diri. Apatah lagi memohon maaf itu sendiri seolah-olah mencabar ego diri untuk mengaku salah dan silap kepada orang lain.

Ia sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh mereka yang sanggup menerima kesilapan diri sendiri sekalipun ia mungkin hal yang memalukan. Aidilfitri ini merupakan peluang terbaik untuk kita semua melakukannya, sama ada memberi maaf atau memohon maaf. Benarlah, kita tidak mampu melupakan kejadian tertentu yang telah berlaku sepanjang perhubungan kita dengan individu lain. Bagaimanapun, memberi dan memohon maaf merupakan jalan terbaik untuk kesejahteraan psikologi.

Di manakah letaknya proses kemaafan ini? Dikatakan bahawa kemaafan berada pada tahap kognitif, iaitu sejauh mana pemikiran kita menafsirkan sesuatu kejadian yang telah berlaku. Ada orang yang mudah memaafkan hal yang besar, sebaliknya ada individu yang sangat sukar memaafkan kesilapan yang kecil. Ia bergantung kepada sejauh mana mental kita memproses besar atau kecilnya sesuatu perkara. Ia juga bergantung kepada personaliti seseorang manusia.


Kesanggupan memberi maaf 

Kajian-kajian psikologi jelas menunjukkan bahawa ada dua implikasi utama dalam kesanggupan seseorang memaafkan orang lain. Mereka yang sanggup memberi maaf didapati akan lebih bersikap simpati dan menolong mereka yang dimaafkannya sebaliknya, mereka yang tidak sanggup memberikan kemaafan, didapati akan terus gelisah dalam hidupnya. Bahkan, ada yang meneruskan kemarahan dengan melakukan tingkah laku agresif lain seperti membalas dendam dan melakukan tindakan di luar batas undang-undang. Mereka yang memaafkan juga didapati mampu melakukan aktiviti sosial dengan baik, bukan sahaja terhadap mereka yang dimaafkannya, tetapi juga terhadap orang lain. Bagaimanapun, mereka yang tidak sanggup memberi maaf didapati lebih bersikap antisosial dan mengasingkan diri daripada masyarakat.

Umumnya, ahli psikologi percaya bahawa memaafkan orang lain bergantung sama ada individu itu dihadapkan dengan emosi negatif atau positif pada waktu kesalahan itu berlaku. Misalnya, orang yang dihadapkan dengan emosi negatif, contohnya dimarahi, dihina atau emosi mereka telah diganggu dengan teruk, mereka ini didapati sangat sukar untuk memaafkan pelakunya. Sebagai contoh, kecurangan dalam hubungan atau perceraian dalam rumah tangga. Ia menjadi hal yang sangat sukar untuk dimaafkan kerana peristiwa yang berlaku melibatkan emosi negatif. Sebaliknya, dalam keadaan tertentu kemaafan sangat mudah diberikan, khususnya apabila mangsa mempunyai emosi positif terhadap pelakunya.

Misalnya, dalam keadaan kemalangan jalan raya yang tidak disengajakan, walaupun mangsa berasa tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku, mereka biasanya lebih mudah memaafkan pihak yang satu lagi. Lebih-lebih lagi jika pihak bertentangan mengalami musibah yang lebih teruk. Begitu jugalah sekiranya mereka yang bersalah memohon maaf daripada mangsa. Pelaku ini akan dinilai secara positif, atau dalam erti kata lain sebagai manusia yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab. Ini akan menjadikan mereka lebih mudah dimaafkan berbanding mereka yang terus mengekalkan sifat ego diri walaupun telah membuat kesilapan.

Bagi sesetengah individu, kemaafan diberikan kerana ia menggambarkan 'kebaikan' imej diri terhadap keluarga, sahabat atau masyarakat. Kita berasa bersalah sekiranya tidak memberikan kemaafan kepada orang lain. Dalam agama Islam, memohon maaf dan memberi kemaafan merupakan satu sifat yang sangat terpuji. Justeru, Aidilfitri yang sedang diraikan ini merupakan peluang terbaik untuk kita semua bermaaf-maafan.





.

Curi gerudi, bapa tembak anak


Seorang bapa nekad menembak anak lelakinya kerana ditangkap mencuri di salah sebuah kedai keperluan dan peralatan rumah, semalam. Remaja berusia 17 tahun itu mengalami luka di bahagian perut selepas ditembak. Laporan news.com.au yang dipetik berkata, remaja berkenaan, Quasaun Smalls telah mencuri satu mata gerudi dari Home Depot di Long Island City. Menurut laporan, kejadian bermula apabila bapa mangsa, Robert Smalls, 39, menjadi berang apabila mengetahui anaknya dilepaskan oleh pihak polis dan hanya menerima "desk apperance ticket" iaitu notis peringatan bertulis untuk hadir ke mahkamah tempatan atas kesalahan yang dilakukan.

Sedangkan, bapa mangsa mahu anaknya 'menginap' semalaman di dalam penjara sebagai pengajaran. Dek kerana tidak berpuas hati, ketika mangsa kembali ke rumah keesokkan harinya, berlaku pertengkaran antara kedua beranak itu. Pertengkaran itu berakhir apabila si bapa yang juga bertugas sebagai seorang warden penjara mengeluarkan pistol 9mm miliknya lalu menembak anaknya.

Menurut laporan itu juga, jiran turun mengakui mendengar suara teriakan yang diikuti dengan bunyi tembakan. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital dan bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil dan akan pulih segera. Sementara itu, bapa mangsa terus menghubungi pihak polis sebaik menembak anaknya dan ditahan untuk tindakan selanjutnya. Bapa mangsa didakwa kerana menyerang dan memiliki senjata api. -AP



.

Penyanyi terkenal ini cetus kontroversi lagi!


Penyanyi terkenal ini cetus kontroversi lagi! | JUSTIN Bieber didakwa diserang semasa di kelab malam Kanada, baru-baru ini. Bagaimanapun, petugas keselamatan dilaporkan sempat membantu penyanyi itu daripada cedera. Bieber dan rakan-rakannya bergegas keluar meninggalkan bahagian VIP kelab Toronto pada jam 3 pagi, Sabtu lalu selepas menendang lelaki yang cuba menjatuhkannya ke lantai. Penyanyi 20 tahun ini terus menerus dihimpit kontroversi mengenai sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Bulan lalu, Bieber bersama rakannya dituduh memulakan pergaduhan di New York Club. Seorang model yang terlibat dalam perbalahan itu kemudiannya memfailkan saman terhadap Bieber. -AP




.

Gambar ini mencetus kontroversi


Gambar ini mencetus kontroversi | Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Aaron Pino memuat turun sebuah foto yang mencetus kontroversi: anjing disalib. Serta merta, foto ini mencetus ketidakselesaan di antara pengguna Internet. Pino, 22 tahun, dari Tecate, California, muncul dalam gambar memegang salib kayu kecil dengan seekor anjing padanya. Gambar itu tersebar dengan pantas seperti virus dan memicu ribuan koment marah atas kekejamannya terhadap haiwan. Seperti dipetik laman Publimetro.cl, Aaron meminta maaf kerana telah memuat turun gambar dan menjelaskan bahawa dia telah menemukan anjingnya dan dibunuh dan disalib di sungai. Dan tanpa berfikir panjang dia mengambil gambar anjing itu dan memuat turunnya ke dalam akaun facebook nya. -AP




.

Penyanyi ini akan mengenakan gaun perkahwinan mewah di majlis resepsinya seberat 25kg!


Penyanyi ini akan mengenakan gaun perkahwinan mewah di majlis resepsinya seberat 25kg! | BAKAL melangsungkan perkahwinan, penyanyi dangdut 1000 Alasa, Zaskia Gotik akan mengenakan gaun mewah seberat 25 kilogram dalam majlis resepsinya nanti. Pereka baju tersebut, Ayok Dwipanca, berkata, gaun itu dihiasi dengan batu kristal swafroski dengan corak merak. Bukan sahaja pakaiannya dihiasi indah, persiapan 'pawon' atau khidmat katering sudah disediakan berhampiran masjid. "Dekorasi dan susun atur kelengkapan juga hampir siap. "Begitu juga meja tetamu yang kelihatan mewah dengan hiasan lilin dan alunan muzik," katanya. Lagu September Ceria menjadi lagu tema perkahwinan Zaskia bersama ahli perniagaan, Vicky Prasetyo. -SH





.

Alasan bapa yang belum mahu kebumi anak yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu


Alasan bapa yang belum mahu kebumi anak yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu | ''Selagi saya tidak dapat keadilan dan kebenaran, saya akan terus menunggu (tidak mengkebumikan). Keputusan saya muktamad,'' tegas bapa kepada pemuda yang ditemui mati tersepit pada palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya 20 Julai lalu. Meskipun menyedari tohmahan dan kutukan yang diterima kerana tidak mengebumikan jenazah anaknya, Sherol Aizam, 27, yang telah meninggal dunia sejak 46 hari lalu, namun Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai bapa untuk mengetahui punca kematian anaknya itu terlebih dahulu.

Tambah Mohd. Damanhuri, apa yang diharapkan kini hanyalah proses permohonan untuk bedah siasat kedua dijalankan terhadap mayat anaknya itu dapat berjalan secepat mungkin. ''Ahad lalu, empat pegawai dari pejabat imam besar masjid negeri juga ada datang. Saya telah serahkan gambar-gambar kecederaan yang dialami Sherol Aizam dan saya suruh mereka menilaikan sendiri mengapa saya bertindak (tidak mengkebumikan) begitu. ''Macam-macam tohmahan saya terima, tapi tindakan saya bersebab. Kecederaan anak saya melampau dan mereka boleh kata akibat sesak nafas. Dari kaki sampai ke kepala macam dihempap bangunan,'' katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan. Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat kesan-kesan kecederaan pada badan. Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherol Aizam yang cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Dia yang merupakan anak sulung dipercayai masuk dengan membuka tingkap di bahagian sinki dapur rumah jenis teres setingkat itu yang terletak selang beberapa buah dari kediaman keluarganya. Jenazah Sherol Aizam sehingga ke hari ini, disimpan di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB). ''Saya tidak mahu bila sudah dibacakan talkin, jenazahnya nanti dikorek semula. Itu lebih menyeksakan. Jadi lebih baik segala urusan dunia kita selesaikan dulu. Bila sudah dikebumi, saya tidak mahu usik lagi,'' katanya. Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 September depan untuk pihak pendakwa membalas afidavit tambahan yang telah dikemukakan oleh Damanhuri melalui peguamnya, Mohd. Fitri Asmuni.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amri Johari memaklumkan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti afidavit yang telah difailkan oleh pihak pemohon. Sementara itu, Mohd. Fitri ketika ditemui selepas prosiding berkata, permohonan itu dibuat bukan kerana pihaknya tidak mengakui laporan bedah siasat pertama tetapi terdapat beberapa perkara yang tidak dijelaskan dalam laporan tersebut khususnya mengenai kesan lebam yang dialami mangsa. -Utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!