Wednesday, September 25, 2013

LU'LU DAN MARJAN - ANARIF




Hehe, nampak jer novel keluaran terbaru Kaki Novel ni, lulu terus jatuh hati, ya ada persamaan disitu.. sebab bunyi nama.. Tapi ceritanya juga menarik, memang lain dari yang lain.

Mengisahkan Marjan, yang diberi masa untuk mencari seorang 'isteri' yang tidak memandang harta dan gelaran semata. Jika gagal, dia harus mengahwini Suri. Marjan adalah seorang bakal pewaris takhta, dan menyamar menjadi pemandu kepada keluarga Dato' Safwan yang terhutang budi kerana menyelamatkan Dato' Safwan dari dirompak. Kerja Marjan adalah sebagai driver anak majikannya, Lu'lu dan adik tirinya Laila. Satu masalah buat Marjan sebab Laila ni pendiam sangat, berbeza dengan Lu'lu yang selalu kasar dan memberontak. Malah Lu'lu juga dingin apabila berhadapan dengan ibu tiri dan adik tirinya, Laila.

Entah sejak bila, Marjan mula menyimpan niat 'untuk mengubah' Lu'lu kembali menjadi periang. Malah ketika Dato' Safwan terkorban dalam kemalangan langgar lari, Marjan dapat rasakan bagaimana kehadirannya sangat penting untuk menemani Lu'lu. Marjan meluahkan perasaan, dan melamar Lu'lu menjadi isterinya, namun terjadi sesuatu menyebabkan Lu'lu mula hilang kepercayaan pada Marjan. Dan rahsia siapa sebenarnya Marjan, bukanlah satu rahsia lagi. Malah ibu tiri Lu'lu juga punya agenda tersendiri. Ketika Marjan hampir mengahwini Suri, Lu'lu pula hilang.. Nak tahu cerita lebih lanjut, mari dapatkan novel ini..


Tajuk : Lu'lu Dan Marjan
Penulis : Anarif
Halaman : 777 muka surat
Harga : RM28/RM31




P/S - Recommended by Lulu Caldina




.


Apa yang kita tak ketahui mengenai kopi luwak



Apa yang kita tak ketahui mengenai kopi luwak | Kopi Luwak terkenal di seluruh dunia, dan turut mendapat publisiti dalam program Oprah Winfrey Show serta filem, The Bucket List, tetapi ada cerita sedih di belakang populariti kopi itu. Tidak ramai mengetahui, musang yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia itu menjadi mangsa seksaan pengeluar minuman tersebut. Satu siasatan oleh penyiasat haiwan mendapati, musang berkenaan menerima layanan tidak sewajarnya seperti dikurung di dalam sangkar yang sempit, kotor, serta mengalami jangkitan kulit. Menurut penyiasat, keadaan mengejutkan yang dialami musang-musang itu didedahkan selepas pemeriksaan dijalankan di ladang-ladang yang menghasilkan kopi luwak di sekitar Indonesia dan Filipina.

Rakaman video yang diambil oleh penyiasat juga menunjukkan, musang-musang terlibat turut mengalami penyakit berkaitan sistem saraf seperti berjalan laju setiap masa, berpusing-pusing dan mendongak kepala, petanda haiwan tersebut berada di bawah tekanan akibat kebosanan dan kemurungan. Menurut pekerja ladang yang ditemui sepanjang siasatan, musang secara umumnya diletakkan di dalam sangkar selama tiga tahun. Seorang lagi pekerja ladang mendedahkan, ada antara musang dipaksa makan biji kopi terlalu banyak, mengakibatkannya mengalami kekurangan vitamin dan masalah nutrisi.

Bagaimanapun, penyeksaan dialami musang-musang itu tidak pernah didedahkan sebelum ini, namun pemilik ladang biasanya mendakwa, mereka menghasilkan kopi luwak daripada musang yang hidup bebas di hutan. Bekas pedagang kopi, Tony Wild yang juga penulis buku Coffee: A Dark History memberitahu BBC, harga kopi luwak boleh mencecah sehingga 60 pound (RM303) secawan, hanya kerana orang ramai percaya ia sukar dihasilkan.

Kopi luwak yang dihasilkan daripada najis musang yang makan biji kopi sebelum ia dibersihkan dan diproses, turut dijual di gedung membeli-belah terkemuka Harrods. Dalam penyiasatan berasingan oleh BBC, produk kopi luwak terkenal, Wahana Luwak yang dijual di Harrods, dihasilkan oleh sebuah syarikat, Sari Makmur yang menggunakan musang yang dikurung di dalam sangkar. Perkara itu pada mulanya dinafikan oleh Sari Makmur, namun pekerja mereka mendedahkan sebaliknya, sekali gus membuatkan syarikat itu akhirnya mengaku mereka berbuat demikian. - AGENSI





.

Ya, Presiden Amerika Syarikat mengaku, takut dengan isteri


Ya, Presiden Amerika Syarikat mengaku, takut dengan isteri | Siapa lebih berkuasa? Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama atau suaminya, Barack Obama yang merupakan Presiden negara ini? Semua orang tahu Obama merupakan lelaki paling berkuasa di dunia, tetapi Michelle pula merupakan seorang wanita yang hebat sehingga Obama 'takut' kepadanya dan berjaya mempengaruhi Presiden AS itu berhenti merokok. Obama sendiri secara berseloroh mengaku beliau berhenti merokok kerana 'takut' pada isterinya. Pengakuan Obama tersebut dirakam ketika pemimpin AS itu menyertai satu majlis berhubung kepentingan masyarakat sivil di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ketika bersembang dengan tetamu pada majlis berkenaan.

Dalam pita rakaman agensi berita CNN, Obama dilaporkan bertanya kepada seorang lelaki yang berada di sebelahnya selepas menghadiri majlis itu, sama ada dia sudah berhenti merokok. Apabila soalan itu ditanya semula kepadanya, Obama dengan berseloroh berkata: "Saya sudah tidak merokok kira-kira enam tahun lalu. Ini kerana saya takut dengan isteri saya.'' Obama yang terkenal dengan kehidupannya yang sihat, namun mempunyai kelemahan terikat dengan tabiat merokok, dan beliau mengaku kuat merokok ketika muda dalam buku memoirnya Dreams From My Father. Tabiat merokok Obama dan usahanya untuk berhenti menjadi tajuk pilihan media AS ketika beliau berkempen untuk menjadi Presiden negara ini pada pilihan raya Presiden AS 2008. Pada tahun pertama menjawat jawatan Presiden AS, Obama menyifatkan dirinya sudah 95 peratus sembuh daripada tabiat merokok, semuanya gara-gara takutkan isterinya, Michelle. - AFP






.

Miley Cyrus dedah kekasih baru sebaik memutuskan pertunangan


Miley Cyrus dedah kekasih baru sebaik memutuskan pertunangan | Pasangan selebriti Miley Cyrus dan Liam Hemsworth yang baru sahaja memutuskan pertunangan mereka nampaknya sudah mempunyai pengganti masing-masing apabila Liam dilihat mesra dengan pelakon Eiza Gonzales. Pelantun "Wrecking Ball" itu yang seperti tidak mahu mengalah dengan memuat naik gambar mesranya bersama produser album "Bangerz", Mike WiLL Made It. Perkara tersebut telah disahkan oleh satu sumber yang mengatakan bahawa Miley dan Mike kini menjalin hubungan cinta.

"Semua orang tahu mereka kini bercinta. Mike sangat melindungi Miley," ujar sumber tersebut. Sementara itu, bintang filem "Hunger Games" itu telah dilaporkan secara rasminya sudah keluar dari rumah yang pernah didudukinya bersama bekas tunangnya di Lake, California. Menurut laporan Showbizspy, Liam memindahkan barang-barangnya ketika Miley berada di Eropah untuk mempromosikan album terbarunya dan Liam kini dikatakan menetap di West Hollywood. -AP




.

Lelaki warga asing kurang siuman di sekitar Pekan Lama Nilai, Salak Tinggi dan Labu


Lelaki warga asing kurang siuman di sekitar Pekan Lama Nilai, Salak Tinggi dan Labu | Pihak berwajib digesa mengambil tindakan segera terhadap seorang lelaki warga asing yang didapati kurang siuman dan sering merayau-rayau dekat sekitar Pekan Lama Nilai, Salak Tinggi dan Labu. Warga prihatin, P Arivalagan, 31, berkata, kelibat lelaki dipercayai warga Bangladesh yang bergelandangan itu mula kelihatan sejak awal tahun lalu. “Menurut cerita orang sekeliling, sudah hampir lima tahun lelaki berkenaan menetap di negara ini atas urusan kerja. Namun, tidak diketahui pula bila dan bagaimana dia menjadi tidak siuman. “Selain merayau-rayau tidak tentu hala dan sering meminta duit daripada orang ramai, ada kalanya dia akan terjerit-jerit macam orang kerasukan lalu menggesel-geselkan mukanya pada permukaan tanah,” katanya. Katanya, risau dengan keselamatan orang awam, dia segera melaporkan perkara tersebut kepada 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) pada 22 Julai lalu.

“Beberapa hari kemudian, saya dimaklumkan 1MOCC bahawa aduan dibuat telah pun dimajukan kepada Majlis Perbandaran Nilai (MPN) untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun MPN terpaksa menolak kerana berada di luar bidang kuasa mereka. “Kemudian, saya diberitahu masalah berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. Tetapi, sama seperti MPN, pihak JKM juga tidak mempunyai kebenaran untuk mengendalikan kes ini atas alasan yang sama,” katanya. Menurutnya, dalam panggilan yang dibuat kepada JKM pada 14 Ogos lalu, dia turut dimaklumkan bahawa kes itu akan dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan.

“Pada 19 Ogos 2013, saya hubungi pula Imigresen untuk mendapatkan respons mereka. Pihak terbabit menjelaskan tidak ada operasi dilakukan sehingga penghujung Ogos. Justeru, mereka perlu menunggu arahan pihak atasan terlebih dahulu sebelum langkah sewajarnya diambil. “Namun, sehingga kini masih tiada tindakan daripada mereka walaupun saya pernah mengetengahkan hal ini kepada sebuah akhbar berbahasa India lebih kurang 20 hari lalu,” katanya. Arivalagan berkata, dia agak kecewa dengan situasi tersebut. Justeru, dia berharap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum kejadian tidak diingini berlaku. -SH




.

Permohonan harta sepencarian Wan Nor Azlin keatas bapanya ditolak mahkamah


Permohonan harta sepencarian Wan Nor Azlin keatas bapanya ditolak mahkamah | Mahkamah Tinggi Syariah semalam meluluskan bantahan awal bapa aktres terhadap permohonan harta sepencarian yang dikemukakan oleh Wan Nor Azlin bagi pihak ibunya yang telah meninggal dunia. Hakim, Mohamed Fouzi Mokhtar dalam keputusannya berkata, tuntutan Wan Norazlin Wan Mohd Hussin tidak munasabah dan wanita itu tiada hak di sisi undang-undang. Mahkamah juga memerintahkan kes yang difailkan sebelum ini dibatalkan serta kos guaman ditanggung oleh Wan Norazlin.

 Wan Nor Azlin, 45, diwakili peguamnya, Mahyuddin Md Zahari, sebelum ini memfailkan injunksi terhadap bapanya, Wan Mohd Husin Wan Ibrahim, 76, daripada menjual sebuah rumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Wan Mohd Husin, yang ditemani peguamnya, Roshdan Sujak Rafie, ditemui selepas prosiding berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah. “Saya tiada duit. Sejak jual rumah saya hidup merata-rata,” katanya ringkas. Sementara itu, di lobi mahkamah, Wan Nor Azlin akan mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu. “Saya mahu duit saya kembali. Itu sahaja,” katanya. -SH




.

Tertekan mahu diceraikan suami, wanita ini nekad cuba bunuh diri dengan bayinya


Tertekan mahu diceraikan suami, wanita ini nekad cuba bunuh diri dengan bayinya | Gara-gara tertekan akibat mahu diceraikan oleh suami, seorang wanita warga China yang hilang pertimbangan cuba membunuh diri bersama bayi perempuan berusia lebih sebulan dengan terjun dari bumbung sebuah hotel di Bukit Puchong dekat sini hari ini. Wanita berusia 35 tahun dan bayi perempuannya berusia setahun lima bulan itu bagaimanapun bernasib baik apabila sempat diselamatkan oleh seorang anggota polis dan sepasukan anggota bomba setelah dipujuk hampir 20 minit. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Tinggi, Sehat Bedol berkata, beliau bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja memperoleh maklumat mengenai cubaan membunuh diri itu kira-kira pukul 9 pagi.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kami melihat anggota polis, Sarjan Tay Bung Him sedang berkomunikasi dan memujuk seorang wanita yang duduk sambil memeluk anaknya di hujung bangunan agar membatalkan hasratnya. "Anggota polis bahagian Narkotik, Balai Polis Bukit Puchong itu segera menaiki bumbung hotel empat tingkat kerana insiden cemas tersebut berlaku selang lima kedai dari balai polis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Menurut Sehat, kehadiran anggota polis terbabit cukup membantu kerana wanita berkenaan hanya tahu bertutur dan memahami bahasa Mandarin sahaja.

Beliau berkata, semasa dipujuk, wanita yang dalam keadaan bercelaru emosi itu dilihat marah-marah dan kadang-kala menangis, begitu juga dengan anak perempuannya yang turut menangis sekali-sekala. Katanya, setelah hampir 20 minit memujuk, wanita terbabit dilihat mula tenang dan kesempatan itu digunakan oleh anggota polis dan bomba untuk mendekati dan menangkapnya. "Dia kemudian dibawa turun ke bawah dan dipisahkan dengan anaknya sebelum dihantar ke Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut," katanya. Beliau berkata, pihaknya difahamkan wanita itu bukan pelanggan hotel berkenaan tetapi datang dan terus naik ke atas bumbung hotel tersebut. Katanya, sepanjang insiden cemas itu, tiada kelibat suami mangsa di tempat kejadian dan kekecohan tersebut turut menarik perhatian orang ramai. -Utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!