Wednesday, January 22, 2014

Tiket konsert Shah Rukh Khan di Malaysia cecah RM1,999


Tiket konsert Shah Rukh Khan di Malaysia cecah RM1,999 | AKHBAR harian Los Angeles Times pernah menggelarkan beliau sebagai 'Bintang Filem Tersohor Dunia'. Sementara majalah berita popular Amerika Syarikat, Newsweek, juga pernah menamakan beliau sebagai salah seorang daripada 'Top 50 Figura Paling Berpengaruh Dunia'. Dengan pesona dan aura yang dimiliki figura berusia 48 tahun bernama Shah Rukh Khan (SRK) ini, sedia memenangi hati berbilion-bilion peminatnya di seantero dunia. Tidak hairanlah duta kepada jenama popular Pepsi, Sprite , Nokia, Hyundai, Compaq dan Tag Heuer ini mempunyai pendapatan bersih bemilai lebih USD 549,000,000 (lebih kurang RM1,821,307,143.84). Dan tahun ini pula majalah Forbes India meletakkan beliau di tangga No 1 dalam 'Senarai 100 Selebriti' sekaligus mengangkat aktor kelahiran Mumbai, India ini sebagai 'Selebriti Paling Berpengaruh India'.

Justeru kedatangan penghibur yang juga dikenali dengan jolokan 'Raja Romantik Bollywood' ini ke Malaysia untuk mengadakan konsert berskala besar pada Februari ini, pastinya menjadi satu detik yang paling dinanti-nantikan ramai peminat dan bakal mencipta sejarah tersendirinya. Beberapa minggu selepas pengumuman konsertnya yang dijadualkan pada Oktober lepas, pihak penganjur telah mengumumkan bahawa ianya terpaksa ditangguhkan.Tetapi kali ini penganjurnya iaitu 2Spicy Entertainment dan Hitman Solution memberi jaminan 100% bahawa konsert 'Temptation Reloaded Live in Malaysia Featuring Datuk Shah Rukh Khan & Stars' akan direalisasikan pada 15 Februari 2014, bertempat di Stadium Merdeka. Tambah istimewa, konsert tersebut turut dihangatkan lagi dengan penampilan bintang Bollywood yang tak kurang popularnya, Madhuri Dixit, Rani Mukherji, Jaqueline Fernandez dan Arijit Singh.

Adakah anda peminat tegar, atau dalam istilah anak-anak muda hari ini, 'peminat kipas susah mati' (die hard fans), teruja? Semestinya lah, kan. Tapi kalau dilihat pada harga tiketnya yang bermula dengan harga RM99, RM149, RM179, RM249, RM499, RM999 dan yang paling mahal RM1,999 - juga boleh buat kita pitam dan sakit dada tiba-tiba. Kan? Meskipun ini bukan konsert pertama SRK di Malaysia, difahamkan konsert tersebut bakal menjanjikan sebuah persembahan yang luarbiasa. Selama tiga jam, para penonton akan dihiburkan dengan deretan lagu hits petikan filem pecah panggung yang pernah dilakonkan SRK. Selain itu konsert yang mengggunakan lampu berteknologi ‘Pemancar Cahaya Diode’ (LED) ini akan dipenuhi dengan muzik, tarian dan gimik. Tapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah tiket yang bernilai RM1999 itu. Tolak tepi golongan VIP kerana mereka mampu untuk membeli tiket dengan harga sebegitu.

Namun sebagai peminat biasa, agaknya berapa ramai yang sanggup membayar tiket dengan harga semahal itu? Bukan apa, cuma ada segelintir yang berpendapat SRK tidak menyanyi termasuk jugalah bintang-bintang yang mengiringinya nanti. Sebaliknya mereka hanya miming - seperti mana dalam filem-filem mereka. Sekali fikir, anda pergi menonton konsert idola pujaan anda tapi sayangnya mereka tak menyanyi. Jadi persoalannya, kepuasan yang bagaimana yang anda dapat? Berbaloikah harga tiket RM1,999 itu? Tapi bila difikir dua kali..., dengan nama dan 'x-factor' dimiliki SRK, penulis percaya ramai peminat yang berpendapat apa lah sangat dengan harga tiket RM1,999 asalkan boleh menatap wajah idola kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Biarlah ianya sekadar miming pun, tapi tarian yang bakal dipersembahkan pasti mampu memukau penonton. Kalau sudah namanya peminat tegar, sekalipun SRK hanya muncul di pentas tanpa berbuat apa-apa, itu sudah cukup membuat peminat-peminat histeria. Betul? Menurut pihak penganjur yang dihubungi petang semalam, jualan tiket-tiket setakat ini sangat memberangsangkan. Justeru benar lah bagai dikata, apalah sangat dengan harga tiket RM1,999 itu, janji dapat saksikan SRK beraksi meskipun beliau tidak perlu mengeluarkan suara sendiri. Barangkali inilah yang dikata, penangan Shah Rukh Khan. - mD





.

1 Penyokong CHELSEA:

eima on January 22, 2014 at 3:20 PM said...

org gile je kot pi tgk ... huh

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!