Thursday, August 21, 2014

Bapa lupa 'tinggalkan' anak dalam kereta selama 8 jam


Bapa lupa 'tinggalkan' anak dalam kereta selama 8 jam | “Bapa mangsa tidak menyedari anaknya sedang tidur dalam kereta lalu terus masuk ke sekolah, tetapi dia terkejut apabila mendapati keadaan anaknya sudah tidak bernyawa apabila kembali semula ke kereta selepas tamat sesi persekolahan.” Begitu kata Soaid Adam, 45, bapa saudara kepada Muhammad Aqil Arfan Adnan, empat tahun, yang maut dipercayai akibat lemas selepas terperangkap lebih lapan jam dalam kereta milik bapanya di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, semalam. Kejadian disedari kira-kira jam 4 petang oleh bapa mangsa, Adnan Salleh, 42, yang juga guru apabila lelaki berkenaan kembali semula ke keretanya untuk pulang ke rumah di Pendang.

Sebelum itu, lelaki berkenaan dikatakan meletakkan kenderaan di parkir sekolah kira-kira jam 7.30 pagi tanpa menyedari anak bongsu daripada empat beradik berkenaan sedang tidur di belakang kereta selepas menghantar isterinya yang bertugas sebagai guru di SMK Syed Ahmad berhampiran.Soaid berkata, Adnan difahamkan terlupa menghantar anak lelakinya ke sebuah tadika yang terletak berhampiran sekolah isterinya lalu pergi ke sekolah tempat dia mengajar. “Bapa mangsa dipercayai terlupa anaknya sedang tidur di tempat duduk belakang lalu meninggalkannya dipercayai untuk masuk ke kelas.

“Namun selepas bapa mangsa mahu pulang dan mengambil isterinya kira-kira jam 4 petang (semalam), dia terkejut apabila melihat anaknya tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam tadi. Difahamkan, bapa mangsa kemudian mengejarkan anaknya ke Hospital Kuala Nerang sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau berasa simpati dengan kejadian menimpa keluarga mangsa dan berharap insiden berkenaan dijadikan iktibar supaya tidak berulang. “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dengan kejadian menimpa,” katanya. -Metro




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!