Saturday, December 6, 2014

Misteri pembunuhan kejam, mayat dikerat terbongkar


Misteri pembunuhan kejam, mayat dikerat terbongkar | Misteri pembunuhan kejam yang menyaksikan kepala dua mangsa dipotong dan dibuang di dua daerah di negeri ini berjaya diselesaikan selepas polis memberkas seramai 17 lelaki warga Myanmar dan menemui sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi kejadian ngeri berkenaan. Rumah berwarna hijau muda yang mempunyai dua bilik bernombor 575R itu terletak di Kampung Pisang, Machang Bubuk di sini, dipercayai disewa suspek sejak empat bulan lalu dengan kadar RM300 sebulan dan merupakan sebahagian daripada 27 unit keseluruhan yang dimiliki seorang pesara guru. Menurut sumber polis, susulan penahanan dua suspek utama beberapa hari lalu, mereka dibawa ke situ dan menemui tiga bilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk memotong badan mangsa.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak licik selepas mengecat semula dinding rumah berkenaan untuk menghilangkan kesan darah. “Polis terpaksa menggunakan alat khas untuk mengesan darah di bahagian dinding rumah itu yang telah dicat semula dan berjaya menemuinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya yang melancarkan ‘Ops Kelar’ berjaya menahan semua suspek di sekitar negeri ini dan di Rawang, Selangor dengan dua tangkapan terbaharu di Georgetown malam tadi. Menurutnya, sejak awal tahun ini terdapat 18 kes pembunuhan membabitkan warga Myanmar berlaku di negeri ini dan pihak­nya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes berikutan penahanan suspek terlibat.

“Pada mulanya mereka membungkus mayat dan meninggalkan di tepi jalan namun trend berkenaan berubah apabila kepala mangsa turut dipotong dan anggota badan yang lain dibuang di beberapa lokasi untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya. Sebelum ini, orang awam gempar apabila menemui kepala manusia yang dibungkus dalam plastik hitam di hadapan sebuah restoran di Taman Impian Ria pada 24 November lalu, sebelum disusuli penemuan badan manusia dalam tali air di Sungai Bakap sehari selepas itu. Polis kemudiannya menemui sepasang kaki berhampiran lokasi penemuan badan serta tangan dalam longkang di Simpang Ampat, Nibong Tebal yang terletak kira-kira 15 kilometer dari situ.

Isnin lalu pula, orang ramai menemui sepasang tangan dan satu lagi kepala yang dibuang berhampiran Balai Polis Machang Bubuk di sini. Abdul Rahim berkata, tindakan itu seolah-olah mencabar polis dan pihaknya akan membanteras jenayah kejam berkenaan habis-habisan dan ketika ini sedang mengesan beberapa anggota badan seorang mangsa yang masih belum ditemui. Sepanjang operasi itu, katanya, polis turut merampas kereta dan motosikal yang digunakan suspek yang bekerja sebagai buruh untuk membuang mayat. Ditanya mengenai punca kejadian, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati dendam lama di negara asal termasuk masalah keluarga dan hutang menjadi motif utama dan perkara itu berlarutan apabila warga Myanmar berkenaan tiba di negara ini. “Siasatan mendapati rakyat Myanmar yang tinggal di negeri ini kebanyakan berasal dari kawasan sama di negara asal dan sentimen dendam dan masalah peribadi dibawa ke sini,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Rahim memberi amaran kepada rakyat asing yang bekerja di negeri ini supaya mematuhi undang-undang negara. Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pisang, Machang Bubuk terkejut selepas mendapat tahu jirannya terlibat dengan kejadian pembunuhan kejam tersebut. Roziah Hamid, 50, berkata, sejak menyewa di situ, warga Myanmar berkenaan tidak bercampur dengan jiran dan hanya bergaul sesama mereka. “Mereka akan keluar bekerja pada awal pagi dan pulang lewat petang. Saya terkejut kerana rumahnya terletak kira-kira 10 meter sahaja dari rumah saya dan tidak sangka berlaku kejadian potong kepala di situ,” katanya.-Utusan




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!