Wednesday, January 22, 2014

Kajian mendedahkan, bekerja syif jejaskan kesihatan


Kajian mendedahkan, bekerja syif jejaskan kesihatan | Satu kajian mendedahkan bahawa bekerja syif boleh merosakkan hampir 1,500 daripada 24,000 gen manusia, sekali gus menjelaskan mengapa masalah itu sering dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan. Gangguan masa tidur akibat bekerja syif dan gangguan ritma harian (jet lag) turut dikhuatiri meningkatkan risiko orang ramai menghidap barah payu dara, penyakit jantung, kencing manis dan penyakit-penyakit lain yang mengancam nyawa manusia. Penyelidik dari Universiti Surrey mendapati, gangguan kepada kitaran 24 jam secara semulajadi ke atas badan manusia boleh mengganggu ritma gen-gen manusia. Bagi menilai kesan ke atas manusia dengan ujian gangguan ini, penyelidik menggunakan sebanyak 28 responden yang diletakkan dalam jadual kerja selama 28 jam sehari tanpa kitaran semula jadi cahaya gelap.

Hasil ujian itu mendapati kitaran bangun tidur responden-rsponden itu tertunda selama empat jam setiap hari sehingga mereka tidur 12 jam lagi selari dengan hari-hari biasa. Sampel darah turut menunjukkan selepas eksperimen ke atas responden-responden dijalankan, mereka mengalami pengurangan enam kali ganda gen yang memaparkan 'ritma sirkadian' atau kitaran aktiviti harian yang dipantau dalam kebanyakan benda hidup dalam tempoh 24 jam. Prof. Derk-Jan Dijk dari Pusat Penyelidikan Tidur Universiti Surrey berkata, mereka menemui kira-kira enam peratus daripada gen-gen itu mengalami ritma sirkadian yang bermakna aktiviti mereka seharian lebih tinggi pada satu tempoh masa tertentu berbanding dengan orang lain. '

'Kami berpendapat, mereka yang terlibat dalam syif siang sepatutnya rasa bimbang tentang fungsi lali dan mereka yang bekerja syif malam terlibat dalam mengawal selia gen lain. ''Kajian ini mempunyai kesan penting kerana kami kini perlu mencari mengapa ritma-ritma ini wujud dan berfikir tentang kesan seterusnya. ''Sekiranya kami meletakkan sesiapa menjalani protokol-protokol ini, kami mempengaruhi proses paling asas yang boleh menjelaskan mengapa bekerja syif mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kesihatan,'' tambah beliau. - AGENSI





.

Pelakon Yana Samsudin nak kahwin?


Pelakon Yana Samsudin nak kahwin? | Berat sebenarnya mulutnya untuk mengatakan yang dia sudah betul-betul bersedia mahu bergelar isteri kerana soal jodoh bukan ditentukan oleh dirinya sebaliknya diserahkan kepada yang Maha Esa. Sekadar mampu melemparkan tersenyum seketika namun akhirnya pelakon dan pengarah, Yana Samsudin berkata, "Tahun ini, tahun 2014 saya dah buka hati saya untuk berkahwin. Kalau dulu ibu saya selalu bertanya bila saya nak berkahwin, tapi ketika tu saya katakan padanya yang saya belum bersedia. Sekarang ni saya da terfikir dah...InsyaAllah saya dah sedia bergelar isteri", kata gadis berusia 29 tahun ini ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran MIG bertempat di N'Dah Catering & Services, Shah Alam, malam tadi.

Pemilik nama sebenar Norliana Samsudin ini berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media bilakah dia mahu menamatkan zaman bujangnya. Ini kerana agak lama juga kisah percintaan pelakon yang pernah mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta ini diperkatakan ramai. Dia dikatakan menjalin hubungan cinta dengan adik kepada pelakon dan pengarah filem Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari yang juga seorang pelakon. Justeru ditanya mengenai perkembanan hubungan mereka, kata Yana, "Kami macam biasa. Dah lima tahun kami berkawan. Saya perempuan, tak boleh lah nak cakap lebih-lebih. Lebih baik tanyakan pada dia (Fadzil)", tuturnya ringkas sambil tersenyum. Dalam pada itu, ditanya mengenai sejauh mana kesahihan dakwaan dia kononnya melakukan pembedaan plastik pada wajahnya, Yana menafikan hal tersebut.

Dia juga menolak dakwaan segaja melarikan diri darpada media apabila timbulnya isu ini. "Saya tak lari daripada media. Sekitar bulan November tahun lalu saya sibuk dengan penggambaran. Kemudian sekembalinya saya daripada menjalani penggambaran Fear Factor Selebriti Malaysia musim baru di Cape Town, saya mengalami penurunan berat badan. Saya juga ada pulang bercuti di kampung kerana nenek saya sakit. "Masa saya kurus tu, ramai juga yang cakap wajah saya nampak lain tapi saya rasa sama saja. Tapi saya akui saya ada buat gigi iaitu saya ratakan gigi saya. Saya sebenarnya kurang selesa juga dengan gigi baru ni sebab terlalu rata (gelak). Tapi kalau yang lain... (dia sekadar menggelengkan kepala)", itu reaksi Yana ketika mengulas isu tersebut. - mD





.

Cerita terkini mengenai pelakon bermasalah, Lindsay Lohan






Cerita terkini mengenai pelakon bermasalah, Lindsay Lohan | TIDAK serik-serik! Masih tidak puas menimbulkan masalah kepada orang lain, penyanyi Lindsay Lohan dikatakan terus mengulangi sikap negatifnya yang memang sudah diketahui umum. Baru-baru ini dia dikatakan telah pergi ke kelab malam untuk berhibur, tunggang-langgang mabuk, selama dua hari berturut-turut tanpa henti. Saksi kejadian memaklumkan bahawa Lohan, 28, akan berada di kelab tersebut sehingga pukul 4.30 pagi. "Dia (Lohan) memang tidak kisah dengan keadaan sekeliling. Sudahlah orang awam mengenalinya. Tetapi dia langsung tidak kisah, tetap dengan sikapnya tidak menghiraukan orang sampaikan ada yang menasihatkan Lohan supaya pulang ke rumah. "Apa sudah jadi dengan dia pun kami tidak tahu. Dia memang suka minum dan berparti liar, kata saksi yang melihat kejadian itu kepada portal TMZ.com.


Tambah saksi berkenaan, Lohan juga telah berpakat bersama beberapa gadis di sekitar bandar London untuk menghabiskan masa mereka di kelab-kelab paling hangat di bandar berkenaan. Mengumpul geng untuk memabukkan diri pula nampaknya. "Mereka akan dibayar dan ditawarkan beribu-ribu dolar untuk setiap penampilan di kelab malam. Kami diberitahu Lohan telah membuat beberapa penampilan di kelab- kelab tersebut. Khabarnya, dia memang sudah menyusun jadual untuk beberapa penampilan lain juga. "Paling menarik mereka dikatakan dibayar sekitar RM15,000 (US$5,000) sehingga RM33,000 (US$10,000) setiap malam, kata sumber yang sama. Memang tidak dinafikan bekas pesakit pusat pemulihan itu masih tidak serik untuk merosakkan dirinya.


Diekori polis 

Rupa-rupanya ada satu lagi perkara menarik yang perlu dibicarakan mengenai wanita yang sentiasa diberi jolokan gadis bermasalah ini. Memetik laporan portal yang sama, semasa dalam perjalan pulang, beberapa paparazi telah mengekori Lohan. Mana tidaknya, untuk mendapat gosip baru mengenai sang pelakon yang popular dalam filem komedi, Mean Girls. Kadang-kadang paparazi ini juga boleh bersikap keterlaluan dan bertindak agresif. Demi keselamatan dan rasa tidak selesanya, Lohan telah memanggil polis untuk menjaga dirinya. Dalam laporan The Daily Mail, Lohan telah membuat panggilan polis dan meminta mereka untuk mengekorinya dalam jarak tiga meter antara kereta miliknya. Tidak habis dengan itu, Lohan juga dilaporkan telah membuat satu permintaan untuk menangkap setiap paparazi yang menunggunya di luar kelab malam. Alasan yang diberikan Lohan mereka itu perlu ditangkap atas dakwaan paparazi itu semua sedang melepak dan menganggu ketenteraman dirinya.


Bahagia bersama pengganti 

Berbalik kepada kisah cintanya pula, Lohan kini sedang enak diulit cinta bersama seorang model sambilan yang juga seorang pelajar, Christian Arno Williams. Dengar cerita, Lohan juga sentiasa bercakap dengan orang di sekeliling mengenai kekasih hatinya itu yang baru berusia 24 tahun itu. Dalam satu jelajah selebriti di Kensington, London baru-baru ini, Lohan dilihat tidak habis-habis memberitahu umum bahawa dia sedang bahagia bersama Williams. "Lohan sangat melebih-lebih tentang teman lelakinya itu. Kami memang tidak tahan dengan sikap Lohan. Sangat menunjuk-nunjuk,€ kata sumber itu kepada contactmusic.com. Pasangan ini dikhabarkan telah bertemu dalam majlis Anugerah Fesyen Shanghai dan sejak itu mereka telah menjalinkan cinta mereka secara rapat. Sepanjang putiknya cinta mereka itu, Lohan juga dilaporkan telah membeli seutas jam tangan jenama Rolex yang berharga kira-kira RM162,410 (£30,000) buat lelaki itu. -AP




.

Tiket konsert Shah Rukh Khan di Malaysia cecah RM1,999


Tiket konsert Shah Rukh Khan di Malaysia cecah RM1,999 | AKHBAR harian Los Angeles Times pernah menggelarkan beliau sebagai 'Bintang Filem Tersohor Dunia'. Sementara majalah berita popular Amerika Syarikat, Newsweek, juga pernah menamakan beliau sebagai salah seorang daripada 'Top 50 Figura Paling Berpengaruh Dunia'. Dengan pesona dan aura yang dimiliki figura berusia 48 tahun bernama Shah Rukh Khan (SRK) ini, sedia memenangi hati berbilion-bilion peminatnya di seantero dunia. Tidak hairanlah duta kepada jenama popular Pepsi, Sprite , Nokia, Hyundai, Compaq dan Tag Heuer ini mempunyai pendapatan bersih bemilai lebih USD 549,000,000 (lebih kurang RM1,821,307,143.84). Dan tahun ini pula majalah Forbes India meletakkan beliau di tangga No 1 dalam 'Senarai 100 Selebriti' sekaligus mengangkat aktor kelahiran Mumbai, India ini sebagai 'Selebriti Paling Berpengaruh India'.

Justeru kedatangan penghibur yang juga dikenali dengan jolokan 'Raja Romantik Bollywood' ini ke Malaysia untuk mengadakan konsert berskala besar pada Februari ini, pastinya menjadi satu detik yang paling dinanti-nantikan ramai peminat dan bakal mencipta sejarah tersendirinya. Beberapa minggu selepas pengumuman konsertnya yang dijadualkan pada Oktober lepas, pihak penganjur telah mengumumkan bahawa ianya terpaksa ditangguhkan.Tetapi kali ini penganjurnya iaitu 2Spicy Entertainment dan Hitman Solution memberi jaminan 100% bahawa konsert 'Temptation Reloaded Live in Malaysia Featuring Datuk Shah Rukh Khan & Stars' akan direalisasikan pada 15 Februari 2014, bertempat di Stadium Merdeka. Tambah istimewa, konsert tersebut turut dihangatkan lagi dengan penampilan bintang Bollywood yang tak kurang popularnya, Madhuri Dixit, Rani Mukherji, Jaqueline Fernandez dan Arijit Singh.

Adakah anda peminat tegar, atau dalam istilah anak-anak muda hari ini, 'peminat kipas susah mati' (die hard fans), teruja? Semestinya lah, kan. Tapi kalau dilihat pada harga tiketnya yang bermula dengan harga RM99, RM149, RM179, RM249, RM499, RM999 dan yang paling mahal RM1,999 - juga boleh buat kita pitam dan sakit dada tiba-tiba. Kan? Meskipun ini bukan konsert pertama SRK di Malaysia, difahamkan konsert tersebut bakal menjanjikan sebuah persembahan yang luarbiasa. Selama tiga jam, para penonton akan dihiburkan dengan deretan lagu hits petikan filem pecah panggung yang pernah dilakonkan SRK. Selain itu konsert yang mengggunakan lampu berteknologi ‘Pemancar Cahaya Diode’ (LED) ini akan dipenuhi dengan muzik, tarian dan gimik. Tapi, apa yang menarik perhatian penulis ialah tiket yang bernilai RM1999 itu. Tolak tepi golongan VIP kerana mereka mampu untuk membeli tiket dengan harga sebegitu.

Namun sebagai peminat biasa, agaknya berapa ramai yang sanggup membayar tiket dengan harga semahal itu? Bukan apa, cuma ada segelintir yang berpendapat SRK tidak menyanyi termasuk jugalah bintang-bintang yang mengiringinya nanti. Sebaliknya mereka hanya miming - seperti mana dalam filem-filem mereka. Sekali fikir, anda pergi menonton konsert idola pujaan anda tapi sayangnya mereka tak menyanyi. Jadi persoalannya, kepuasan yang bagaimana yang anda dapat? Berbaloikah harga tiket RM1,999 itu? Tapi bila difikir dua kali..., dengan nama dan 'x-factor' dimiliki SRK, penulis percaya ramai peminat yang berpendapat apa lah sangat dengan harga tiket RM1,999 asalkan boleh menatap wajah idola kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Biarlah ianya sekadar miming pun, tapi tarian yang bakal dipersembahkan pasti mampu memukau penonton. Kalau sudah namanya peminat tegar, sekalipun SRK hanya muncul di pentas tanpa berbuat apa-apa, itu sudah cukup membuat peminat-peminat histeria. Betul? Menurut pihak penganjur yang dihubungi petang semalam, jualan tiket-tiket setakat ini sangat memberangsangkan. Justeru benar lah bagai dikata, apalah sangat dengan harga tiket RM1,999 itu, janji dapat saksikan SRK beraksi meskipun beliau tidak perlu mengeluarkan suara sendiri. Barangkali inilah yang dikata, penangan Shah Rukh Khan. - mD





.

Isu penyanyi diarah turun pentas kerana berhijab (luahan cerita sebenar)


Isu penyanyi diarah turun pentas kerana berhijab | Penyanyi, Marinatasha Isnariah Mustapar, 33 sebak ketika menceritakan beliau diminta turun daripada pentas oleh seorang wakil syarikat yang menjemputnya menyanyi daripada atas pentas dengan alasan beliau bertudung. Pertama kali tampil memberi penjelasan kepada media berhubung kejadian yang berlaku pada 18 Januari itu hari ini, Marinatasha yang mengenakan hijab berwarna hitam berkata, kejadian itu tidak seharusnya berlaku di negara ini. "Pada waktu kejadian saya telah berada di atas pentas tapi terpaksa mengemaskan peralatan di hadapan 100 orang tetamu. Anda semua boleh bayangkan bagaimana perasaaan saya pada itu. "Saya rasa amat terhina. Perkara ini tidak seharusnya berlaku di Malaysia. Saya rasa amat malu tapi saya terpaksa akur dan turun," kata Marinatasha dalam nada sebak sambil mengesat air mata menggunakan tisu.

Marinatasha menambah seorang penyanyi yang dijemput pada majlis itu kemudiannya mempelawa beliau menyanyikan dua buah lagu. Marinatasha mendakwa kerana tidak berpuas hati kerana beliau tetap naik ke pentas dan menyanyi, wakil syarikat berkenaan kemudiaan memarahi beliau. "Saya hanya menegakkan hak saya. Kenapa saya tidak boleh menyanyi di atas pentas hanya kerana saya bertudung? Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku," tegas Marinatasha.

Sementara itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang turut bersama dalam sidang media itu mengesa pihak syarikat berkenaan memohon maaf kepada Marinatasha bagi menyelesaikan isu berkenaan. "Kita menjemput pihak syarikat meminta maaf dengan Marinatasha dengan itu isu ini akan selesai. "Ini satu peringatan kepada semua pihak agar tidak melakukan diskriminasi kepada wanita yang berhijab. Kita ada ramai bintang termasyur yang berhijab di negara ini. "Atas persefahaman antara kaum dan agama kita harus memahani dan menghormati pendekatan semua agama untuk ketenteraman dalam negara kita ini," kata Freddie tegas. -Utusan




.

Syarikat telekomunikasi digesa cari kaedah kurangkan caj dan kos penggunaan telefon


Syarikat telekomunikasi digesa cari kaedah kurangkan caj dan kos penggunaan telefon | Syarikat telekomunikasi digesa mencari kaedah untuk mengurangkan caj dan kos penggunaan telefon di negara ini. "Saya seru supaya mereka ini cuba duduk dan berfikir, bagaimana dapat kurangkan kos penggunaan berkaitan telefon (perbualan dan sms) yang ada. Dulu mahal, kini sepatutnya makin murah," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata syarikat telekomunikasi yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengumumkan keuntungan yang besar, pada masa yang sama patut mengumumkan juga untuk mengurangkan kos. "Sepatutnya ada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih besar (kepada masyarakat) selain membina menara-menara komunikasi di luar bandar, pada masa sama mereka mesti umumkan pengurangan kos," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Felda Sg Tengi dalam program bersama komuniti.

Ahmad Shabery berkata kerajaan komited untuk terus memberikan kemudahan akses Internet dengan apa cara sekalipun kepada masyarakat di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman. Beliau berkata ia didorong dengan perubahan teknologi yang semakin pantas yang perlu dimanfaatkan rakyat agar tidak ketinggalan dalam mendapatkan sesuatu maklumat dengan cepat dan tepat. "Adalah menjadi dasar kerajaan, apabila disebut kurangkan subsidi pada sesetengah benda, ini supaya duit itu dapat buat macam-macam perkara, contohnya, mewujudkan pusat Internet di kawasan pedalaman," kata Ahmad Shabery. Beliau mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negara diukur melalui komunikasi.

Beliau memberikan contoh, "kalau dahulu yang ada telefon cuma orang kaya, ketua kampung, atau menggunakan telefon awam, kini semua orang termasuk kanak-kanak mempunyai telefon." "Teknologi komunikasi seperti jalur lebar dan Internet mengukur kemajuan sesebuah negara. Kalau tiada, orang akan cakap 'tidak macam di tempat saya' atau malas balik kampung sebab tiada Internet," katanya. Mengulas mengenai program Pusat Internet 1Malaysia, Ahmad Shabery berkata terdapat 424 pusat sedemikian dibina di seluruh negara. Pusat itu merupakan program SKMM yang menyediakan capaian Internet jalur lebar di kawasan terpilih dan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun lalu. - Bernama



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!