Thursday, October 9, 2014

Punca Letupan Di Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang



Punca Letupan Di Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang | Pergaduhan melibatkan kumpulan gengster dipercayai sebagai punca insiden letupan di Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang pada Khamis. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kumpulan gengster mungkin menjadi punca kejadian letupan, yang dipercayai menggunakan bom tangan, tetapi polis sedang menyiasat kes itu dari semua sudut. Seorang joki kereta cedera parah dalam letupan itu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera dan dimasukkan ke HKL dan Hospital Tung Shin. Khairi berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 4.25 pagi. "Ketika kejadian, sebahagian mangsa mahu menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire apabila satu bahan letupan jatuh ke arah mereka dari tingkat dua bangunan itu. "Mangsa-mangsa merupakan pelanggan pub dan penghuni di hotel-hotel berdekatan. "Sebuah kereta Toyota Camry, Mazda dan BMW turut rosak dalam letupan itu," tambahnya. Kes itu diklasifikasikan sebagai cubaan untuk membunuh di bawah Akta Senjata Api. -Mstar



.

Bumbung pusat peperiksaan terbang, murid duduki UPSR terjejas



Bumbung pusat peperiksaan terbang, murid duduki UPSR terjejas | Seorang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, Kudat, cedera manakala murid lain yang dipercayai sedang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) terjejas apabila sekolah berkenaan mengalami kerosakan akibat ribut, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, bumbung bilik kelas dan guru rosak manakala cermin sebuah kenderaan pecah. Murid cedera dikejarkan ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut. Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak sekolah berkenaan.


Sementara itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk tujuan pemeriksaan. -Metro




.

Lelaki mati sesak nafas selepas kejar seekor biri-biri yang terlepas sebelum sempat di sembelih sempena Aidiladha



Lelaki mati sesak nafas selepas kejar seekor biri-biri yang terlepas sebelum sempat di sembelih sempena Aidiladha | Seorang lelaki warga Asia berusia 50-an mati kerana sesak nafas selepas mengejar seekor biri-biri yang terlepas sebelum sempat di sembelih sempena Aidiladha, Isnin lalu. Menurut sumber, warga emas berkenaan dikatakan sedang mengasah pisau dan bersiap untuk mengikat haiwan itu berhampiran rumahnya di Yanbu, bandar pelabuhan Laut Merah di barat Saudi. Namun, biri-biri berkenaan tiba-tiba nelarikan diri. “Ia lari ke sebuah taman besar dan lelaki itu tidak berhenti mengejarnya. “Setelah sekian lama mengejar, lelaki berkenaan kemudian rebah dan mati,” lapor akhbar Sabq. - Agensi





.

Perkahwinan aneh, iaitu dengan makhluk halus



Perkahwinan aneh, iaitu dengan makhluk halus | Perkahwinan antara Bagus Kodok Ibnu Sukodok dengan ‘isteri’ pilihannya semalam tidak sukar menarik perhatian ramai kerana sifatnya yang luar biasa. Tidak seperti perkahwinan biasa, Bagus Kodok memilih makhluk halus - bernama Peri Roro Setyowati - sebagai pasangannya. Tidak hanya itu, majlis mengikut adat Jawa itu diadakan di rumah seniman bernama Bramantyo Prijosusilo di Desa Sekaralas di daerah Widodaren, Ngawi itu juga dijadikan sebagai suatu karya seni.

Tanpa kelibat si isteri, majlis itu dimulakan dengan upacara dikenali sebagai midodareni dan diakhir dengan bedhol manten. Bramantyo berkata, sepanjang proses perkahwinan itu dia tidak akan menggunakan lampu elektrik, sebaliknya hanya obor dan lampu minyak tanah. “Majlis ini tidak boleh hanya dilihat sebagai upacara biasa, sebaliknya dipandang dalam kerangka seni, iaitu seni kejadian yang digabungkan dengan tradisi Jawa,” katanya.

Menurut Bramantyo, seni kejadian memperluaskan panggung menjadi ruang dan waktu. Pada ruang dan waktu tertentu, katanya, seniman akan memunculkan suatu peristiwa. “Kali ini saya hadirkan sebuah perkahwinan adat Jawa melalui suatu upacara,” katanya. Tinjauan media pagi semalam mendapati, pengantin lelaki Bagus Kodok, 63, sedang dimandikan bersendirian mengikut tradisi Jawa dan tetamu mulai tiba.- Agensi





.

Kecederaan pemandu F1 akibat kemalangan tragis di Grand Prix Jepun, kini didedahkan


Kecederaan pemandu F1 akibat kemalangan tragis di Grand Prix Jepun, kini didedahkan | Pemandu Formula 1 Jules Bianchi mengalami kecederaan otak yang serius akibat kemalangan teruk sewaktu Grand Prix Jepun, menurut keluarganya. Pakar-pakar pula memaklumkan bahawa peluang untuk pulih daripada kecederaan sebegitu sangat tipis. Semalam adalah hari ketiga pemandu pasukan Marussia dari Perancis itu berada di bawah pemerhatian intensif selepas kemalangan pada hujung minggu lalu dan keluarganya sering berada di sisinya. "Jules masih di dalam Unit Rawa­tan Rapi Pusat Perubatan Am Mie di Yokkaichi.

Dia telah mengalami kecederaan diffuse axonal dan keada­annya kritikal tetapi stabil. "Pakar-pakar perubatan di hospital ini memberikan rawatan dan penjagaan terbaik dan kami berterima kasih atas semua yang telah dilakukan untuk Jules sejak kemalangan itu," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarganya dan pihak hospital. Bianchi, 25, tidak sedarkan diri selepas kemalangan pada kelajuan tinggi apabila dia me­rempuh sebuah kendera­an penyelamat sewaktu Grand Prix Jepun yang berlangsung dalam hujan Ahad lalu. Dia segera menjalani pembedahan otak, dengan para doktor berkata dia mengalami kecederaan parah.


Kecederaan diffuse axonal adalah trauma yang menyebar ke seluruh otak, dan disebabkan oleh gegaran mengejut ke atas otak. Ini menyebabkan lebam dan kematian sel-sel. Tubuh akan membengkak kerana bertindak balas tubuh terhadap kecederaan itu, yang memburukkan lagi keadaan kerana menghalang pengaliran darah ke otak dan menyebabkan lebih banyak kerosakan. Para pakar berkata, kadar pemulihan akibat kecederaan sebegitu, yang sering kali akibat kemalangan kenderaan, tidak menggalakkan.

Ichiro Miyao, yang menge­tuai kumpulan sokongan terhadap mang­sa-mangsa kemalangan trafik di Jepun berkata, mereka yang pulih sering kali mengalami kerosakan kekal. Ibu bapa Bianchi, Christine dan Philippe, yang ke Jepun selepas perlumbaan itu menghabiskan masa sebelah pagi semalam melawat anak lelaki mereka itu. Para doktor di hospital berkenaan telah melonggarkan had waktu melawat untuk membenarkan mereka melihatnya pada bila-bila masa, menurut sumber hospital kepada AFP. - AFP




.

Lelaki dibelasah hanya kerana menjeling



Lelaki dibelasah hanya kerana menjeling | Jelingan membawa padah. Itu nasib malang menimpa dua lelaki yang dibelasah dengan kerusi, meja dan botol kaca di sebuah restoran di Metro Prima Kepong, di sini, oleh sekumpulan lelaki menyebabkan mangsa menerima beberapa jahitan di kepala dan badan. Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Isnin lalu, kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 20 tahun sedang makan di restoran itu sebelum didatangi sekumpulan lelaki tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakan mangsa menjeling mereka.

Menurut sumber, mangsa menafikan ada menjeling mereka dan mendakwa hanya makan, namun tidak dipedulikan sebelum diserang. “Suspek bertindak ganas dengan menghentak kerusi dan meja ke badan mangsa yang tidak mampu melawan kerana dikepung kumpulan itu. “Tidak cukup dengan itu suspek turut mengambil botol kaca dan menghentak ke kepala dan badan kedua-dua mangsa menyebabkan mereka berlumuran darah,” katanya.

Sumber berkata, selepas membelasah mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dan akibat kejadian itu mangsa cedera di kepala dan badan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Menurutnya, mereka hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar. Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!