Tuesday, November 11, 2014

Tindakan ala 'gentleman' Presiden Rusia, Vladimir Putin jadi viral di media sosial


Tindakan ala 'gentleman' Presiden Rusia, Vladimir Putin jadi viral di media sosial | Ketika ini, 21 pemimpin APEC atau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik menyertai sesi pemukiman di Tasik Yangi, Beijing termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin. Apa yang menariknya tentang persidangan APEC ini adalah tentang apa yang berlaku semalam semasa sesi makan malam dan pembukaan. Ketika itu, hos yang juga tuan rumah APEC kali ini iaitu Presiden China, Xi Jinping sedang sibuk berbual dengan Presiden Obama di sebelah kanannya.


Disebelah kirinya, isteri beliau Peng Liyuan dilihat sedang berbual dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. Mungkin kerana cuaca malam agak sejuk, wanita pertama China berkenaan memulakan perbualan dengan bercerita tentang situasi suhu ketika itu. Bertindak ala ‘gentleman’, Putin bingkas bangun dan memakaikan jaket beliau kepada Liyuan. Tindakan Putin itu sempat dirakamkan lensa kamera dan turut ditonton oleh jutaan rakyat China.


Selang beberapa saat kemudian jaket Putin ditukarkan oleh pembantu Liyuan dengan jaket yang lain. Namun begitu, insiden tersebut telah dengan cepat menjadi viral serta heboh diperkatakan melalui Weibo dan beberapa media sosial yang lain. Malah, rakaman insiden itu turut ditonton berulang kali di platform YouTube.Laman web Washington Post melaporkan pihak penapisan China telah segera menarik balik penyebaran video berkenaan di negara itu. Selang beberapa jam, mereka telah berjaya menyekat video dan foto insiden daripada terus ditonton oleh rakyat Negara berkenaan. -AP




.

Inilah 10 saluran baru yang dilancarkan oleh Astro


Inilah 10 saluran baru yang dilancarkan oleh Astro | Astro hari ini melancarkan 10 saluran baharu termasuk lapan dalam definisi tinggi (HD) yang akan mula bersiaran 16 November ini. Dalam masa yang sama, Astro turut melancarkan Astro Plus, sebuah platform yang menawarkan filem dan program televisyen dari Hollywood menerusi perkhidmatan Video On Demand. Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro akan terus melakukan inovasi dalam membawakan yang terbaik kepada pelanggannya.Ini termasuk membawakan kandungan terkini dari luar menerusi pelbagai platform termasuk PVR, HD dan Astro on the Go.


 Astro turut melancarkan dua pakej baharu, Fans Pack pada harga RM99 sebulan dan Astro Super Pack Plus dengan RM178 sebulan. Pelanggan HD sedia boleh menonton saluran HD dan definisi standard (SD) baru secara percuma bermula 16 November sehingga hujung Februari 2015. Astro kini dinikmati di lebih 4.2 juta isi rumah di Malaysia dan 16 juta pengguna di seluruh negara menerusi 180 saluran.




.

Kanak-kanak maut selepas terminum ubat untuk rawat ketagihan dadah milik ibu bapanya


Kanak-kanak maut selepas terminum ubat untuk rawat ketagihan dadah milik ibu bapanya | SEORANG kanak-kanak berusia 2 tahun maut selepas terminum metadon, iaitu sejenis ubat untuk merawat ketagihan dadah milik ibu bapanya yang diletakkan di dalam botol minuman Tom and Jerry. Menurut laporan Mirror, susulan kejadian itu, ibu bapa mangsa Sophie Jones, Michelle King, 29, dan Barry Jones, 42, berdepan hukuman penjara kerana kecuaian mereka hingga menyebabkan kanak-kanak itu tertelan cecair yang tidak sepatutnya.

Selepas menyedari Sophie tidak bernafas, pasangan tersebut menghubungi ambulans ke rumah mereka di Blackpool, Lancashire di England. Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia. Selepas keputusan itu, Inspektor Andy Cribbin dari Balai Polis Lancashire berkata, kematian Sophie adalah akibat diabaikan orang tuanya yang sepatutnya melindungi mangsa daripada sebarang kemudaratan.

“Kematiannya boleh dielakkan jika tiada penggunaan dalam rumah. Tindakan meninggalkan metadon dalam cawan kanak-kanak sama seperti meninggalkan senjata api di tempat yang boleh dicapai kanak-kanak,”katanya. Jones, yang juga mempunyai 93 kesalahan jenayah akan dijatuhi hukuman penjara bermula bulan depan bersama pasangannya yang sebelum ini telah menerima hukuman lebih awal kerana mengaku bersalah.-AP




.

Cara pelik sambut ulang tahun ke-100


Cara pelik sambut ulang tahun ke-100 | Seorang moyang menyambut ulang tahun ke-100 dengan cara lain daripada yang lain-menggunakan payung terjun. Eleanor Cunningham, 100, dari Howes Cave, New York, yang melakukan terjunan itu Sabtu lalu mencium cicit perempuannya berusia tujuh bulan sebelum menyiapkan diri untuk acara itu. Percaya atau tidak, ini sebenarnya bukan kali pertama dia melakukannya malah warga emas lincah itu sebenarnya menggemari sukan itu yang pertama kali dicubanya pada usia 90 tahun.


Bagaimanapun, terjunannya Sabtu lalu dilakukan bersama jurulatih Dean McDonald yang mengakui Eleanor rakan terjunan paling tua pernah dibawanya. Malah doktornya juga tidak menghalang perancangannya kerana menganggap dia masih kuat dan mampu melakukannya. -AP




.

Guru tinggalkan nota sebelum bunuh diri bersama anak autisme dalam satu kejadian tragis di negara jiran



Guru tinggalkan nota sebelum bunuh diri bersama anak autisme dalam satu kejadian tragis di negara jiran | Seorang guru lelaki sempat menguruskan sawahnya dan meluangkan masa makan malam bersama keluarga sebelum dtemui dalam keadaan menyedihkan bersama anaknya yang menghidap autisme. Beberapa jam kemudian, bapa mentua guru terbabit berdepan pengalaman mengerikan apabila menemui mayat guru itu yang dipercayai membunuh diri bersebelahan mayat anak lelakinya itu. Pegawai polis Udon Thani, Singharaj Kaewkerdme berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di daerah Mak Khaeng.

“Bapa mentua guru itu terjaga kira-kira pukul 7 pagi dan berasa aneh kerana terhidu bau darah. “Apabila diselidik, dia menemui kedua-dua mayat dalam bilik tidur mereka,” katanya. Singharaj berkata, polis juga menemui nota terakhir ditinggalkan guru terbabit. Katanya, siasatan polis mendapati pasangan anak-beranak itu mati akibat kecederaan parah pada kepala. “Sepucuk pistol ditemui berhampiran tangan kiri si bapa,” katanya. Doktor pula berkata, kedua-dua mereka mati kira-kira lima jam sebelum ditemui. Sementara itu, bapa mentua guru terbabit berkata, dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku.

“Dia seorang bapa dan suami yang baik. Dia juga tabah menjaga anaknya yang menghidap autisme, tetapi sesekali dia merungut mengenai keluarganya,” katanya. Melalui nota ditinggalkan, guru itu memohon maaf dan meminta mereka menjaga anggota keluarga yang lain, termasuk isteri dan seorang anak perempuannya yang berusia 10 tahun. Sementara itu, beberapa jiran melaporkan mereka terdengar bunyi tembakan kira- kira pukul 2 pagi. -AP




.

Lelaki dakwa berjaya rakam raksasa misteri



Lelaki dakwa berjaya rakam raksasa misteri | Seorang lelaki di sini mendakwa berjaya merakamkan video dan gambar satu objek yang dipercayai seekor raksasa misteri yang mendiami Tasik Loch Ness berhampiran Drumnadrochit dekat sini. Lelaki tersebut, Richard Collis, 58, berkata, dia melihat satu objek pelik sedang berenang di permukaan tasik berkenaan ketika sedang memandu berhampiran kawasan itu pada minggu lalu. “Saya melihat seperti ada seekor haiwan berleher panjang sedang berenang di permukaan tasik dan saya terus mengambil telefon bimbit untuk merakamkan gambar serta video.

“Saya yakin objek berkenaan adalah raksasa yang mendiami tasik ini sejak beratus-ratus tahun lalu,” katanya. Tasik tersebut terkenal dengan legenda raksasa Loch Ness selepas seorang lelaki, Christian Spurling merakamkan gambar objek menyerupai seekor raksasa berleher panjang sedang berenang pada tahun 1993. Sejak itu beberapa individu juga mengaku berjaya merakamkan imej raksasa misteri tersebut di tasik berkenaan. – Agensi




.

Lelaki guna cara luar biasa untuk pikat hati wanita



Lelaki guna cara luar biasa untuk pikat hati wanita | Seorang lelaki di China membelanjakan sebanyak 500,000 yuan (RM300,000) untuk membeli 99 telefon pintar iPhone6 dalam usaha memikat hati seorang rakan sekerja, semalam. Lelaki itu yang dikatakan menghabiskan semua wang simpanannya yang dikumpulkan selama dua tahun, menyusun telefon baru itu untuk membentuk lambang hati di tengah-tengah lot parkir berhampiran tempat kerja mereka pada waktu makan tengah hari. Wanita yang menjadi sasarannya tiba di tempat berkenaan selepas dipujuk oleh rakan sekerja yang lain tetapi hingga kini masih belum memberi jawapan.

Lelaki itu melakukannya sehari sebelum 11/11 (11 November) yang digelar ‘Hari Single’, hari yang biasanya menyaksikan jualan barangan di China meningkat mendadak kerana jumlah orang yang ingin melakukan perbuatan ganjil serupa itu, tetapi dalam skala lebih kecil. Beberapa minggu lalu, seorang jutawan menghadiahkan seluruh rakan sekolah menengahnya telefon pintar berkenaan. - Agensi




.

Terkejut jumpa bangkai ikan lumba-lumba terdampar di pantai Tanjung Aru


Terkejut jumpa bangkai ikan lumba-lumba terdampar di pantai Tanjung Aru | Seorang pekerja yang melakukan kerja pembersihan terkejut apabila menemui bangkai ikan lumba-lumba sepanjang kira-kira dua meter terdampar di pantai Tanjung Aru, berhampiran Kelab Golf Kinabalu (KGC), di sini, semalam. Dalam kejadian jam 6.30 pagi, haiwan seberat kira-kira 60 kilogram (kg) dan dipenuhi kesan parut dan calar pada tubuh, dipercayai tersesat sebelum terdampar di pantai berkenaan. Menurut pekerja terbabit, Helen Elleno Gomic, 41, ketika menyapu sampah berhampiran restoran di KGC, dia terkejut melihat objek seakan ikan gergasi terdampar di tepi pantai.

“Ketika itu, saya tidak pasti ikan jenis apa dan sebaik dihampiri, saya mendapati ia adalah bangkai ikan lumba-lumba. “Saya tidak pasti punca kematiannya, tetapi terdapat beberapa parut dan kesan calar pada tubuh haiwan ini,” katanya ketika ditemui. Helen berkata, dia kemudian segera memaklumkan perkara itu kepada majikan sebelum menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.

“Tidak lama kemudian, sepasukan pegawai JHL bersama penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) tiba melakukan pemeriksaan terhadap bangkai haiwan ini. “Mereka kemudian mengambil bangkai ini untuk dikaji,” katanya. Difahamkan, ikan berkenaan dipercayai tersesat dan terperangkap dalam pukat nelayan sebelum dilepaskan. Haiwan dari spesies ‘Bottlenose’ dan dilindungi ini dipercayai memasuki air cetek sebelum terdampar di tepi pantai berhampiran KGC Tanjung Aru. Spesies ini mudah ditemui di perairan beriklim sederhana dan tropika.




.

Kisah sebenar 4 budak merayau terungkai



Kisah sebenar 4 budak merayau terungkai  | Empat kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau di sebuah restoran di Sibu Jaya petang Sabtu lalu difahamkan keluar dari rumah tanpa kebenaran, bukannya dihalau ibu bapa angkat mereka sebagaimana yang tersebar dan menjadi viral di laman sosial. Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kodri berkata, ibu angkat mangsa berusia 32 tahun yang tinggal di Taman Kristal, di sini, membuat laporan polis Ahad lalu memaklumkan empat anak angkatnya berusia dua hingga tujuh tahun tiada di rumah. Katanya, semua kanak-kanak itu ditinggalkan di rumah sebelum wanita berkenaan keluar, tetapi sebaik pulang mendapati mereka tiada di rumah dengan mangga kunci jeriji dipecahkan.

"Hasil siasatan awal bersama ibu angkat kanak-kanak itu, dia mengesahkan tiga kanak-kanak berusia dua, enam dan tujuh tahun itu diambil sebagai anak angkat daripada saudaranya pada awal tahun lalu, manakala seorang lagi yang berusia tujuh tahun diambil sejak lahir. "Wanita itu memaklumkan, ketika dia keluar, anak angkatnya ditinggalkan di rumah dengan jeriji dikunci dengan mangga. Mereka ditinggalkan tanpa penjaga, namun semua keperluan seperti makanan disediakan," katanya. -Metro




.

Pengawal maut tertembak diri sendiri ketika kosongkan pump gun



Pengawal maut tertembak diri sendiri ketika kosongkan pump gun | Seorang pengawal keselamatan maut apabila tertembak diri sendiri ketika sedang mengosongkan pump gun di sebuah pejabat keselamatan di Bayan Baru, di sini, malam tadi. Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, mangsa M Pusbanathan, 52, maut di tempat kejadian akibat tembakan terkena bahagian dada kanannya. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner PR Gunarajan berkata, sebelum kejadian mangsa baru selesai tugasan mengawal keselamatan di sebuah bank di Sungai Dua.

"Sebelum itu mangsa sudah mengeluarkan empat butir peluru di tempat kerjanya manakala sebutir lagi dipercayai terlekat pada senjata api berkenaan. "Mangsa kemudiannya pulang ke pejabat untuk mengeluarkan baki peluru yang masih tersangkut, namun malangnya dia terlepas tembakan lalu mengenai dada kanannya.

"Siasatan mendapati mangsa mati dalam keadaan terduduk di atas kerusi dan ketika kejadian ada seorang lagi rakan sekerjanya sedang mengosongkan senjata api untuk disimpan di dalam peti keselamatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, berikutan kejadian itu, rakan mangsa yang berada di pejabat berkenaan ditahan untuk disoal siasat. Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinan g(HPP) untuk bedah siasat. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!