Friday, November 21, 2014

Pesakit barah maut terjatuh dari kondominium


Pesakit barah maut terjatuh dari kondominium  | Seorang pesakit barah maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh bangunan kondominium di Seksyen 13, di sini, malam semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun itu yang tinggal di tingkat empat bangunan sama, dikatakan naik ke tingkat tujuh sebelum terjatuh di tempat letak kereta pelawat di hadapan kondominium itu. Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia yang berada di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan seorang jiran yang memaklumkan ada lelaki jatuh di hadapan rumahnya.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia segera berlari ke tempat kejadian sebelum melihat seorang lelaki berpakaian seluar pendek dan baju T putih sudah tidak bernyawa. "Melihat keadaannya yang sudah tidak bernyawa lalu saya menutup mayatnya dengan akhbar lama sebelum menunggu pasukan perubatan dan polis sampai. "Kami percaya dia yang tinggal di tingkat empat naik ke tingkat tujuh kerana ada sebelah selipar di koridor tingkat sama selain atap genting dari tingkat enam yang pecah turut ada di sisi mayat mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Saksi berkata, pada mulanya dia meminta jiran memaklumkan penghuni yang lain jika ada mereka yang kehilangan ahli keluarga tetapi tiada yang mengaku sebelum kira-kira 15 minit kemudian isteri mangsa turun ke tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat. -BH




.

Punca remaja perempuan dirogol lima lelaki di Lombong Buaya, Puchong


Punca remaja perempuan dirogol lima lelaki di Lombong Buaya, Puchong | Seorang remaja perempuan terpaksa melalui detik hitam apabila dirogol oleh lima lelaki yang dipercayai rakan teman lelakinya sendiri selepas melarikan diri dari pihak polis dalam kejadian di Lombong Buaya, Kampung Sri Aman, Puchong 12 November lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun berkenaan dikatakan mengikuti teman lelakinya seorang warganegara Myanmar yang dikenali sebagai Mohd Hisham keluar makan di Kampung Sri Aman.

Sebaik selesai makan, mereka pulang ke rumah dan diekori oleh lima suspek menaiki tiga motosikal sebelum terserempak dengan kereta peronda polis yang cuba menahan mereka untuk membuat pemeriksaan. Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika cuba ditahan, mereka berjaya meloloskan diri daripada ditahan kereta peronda polis dan sampai ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika ditempat kejadian, mangsa diraba oleh rakan teman lelakinya yang bernama "Pendek" menyebabkan mangsa berang dan bertindak menumbuk muka sehingga hidung suspek berdarah. "Suspek menjadi marah dan bertindak merogol pengadu secara bergilir-gilir. Teman lelaki mangsa ada melihat kejadian terbabit tetapi tidak berani untuk membantu disebabkan takut kerana suspek ramai. "Empat suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi masih diburu,"katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. -Metro




.

Heboh diperkatakan, bintang bolasepak Mesut Ozil sebagai anak derhaka kepada bapa sendiri. Inilah puncanya..



Heboh diperkatakan, bintang bolasepak Mesut Ozil sebagai anak derhaka kepada bapa sendiri | Hubungan Mesut Ozil dengan bapanya hancur, gara-gara perbicaraan membabitkan kedua-dua mereka di mahkamah. Mustafa Ozil membawa Mesut Ozil Marketing Company ke mahkamah dan meminta ganti rugi £495,000 (RM2.59 juta) kerana kehilangan pendapatan menerusi kontrak penajaan. Mesut pula membalas pendakwaan itu dengan menuntut bapanya memulangkan £800,000 (RM4.2 juta) yang dipinjamnya. Kes itu bagaimanapun diselesaikan di luar mahkamah bulan lalu, tetapi mahkamah negeri Dusseldorf minggu ini baru saja mengesahkan kes itu sudah selesai.

Abangnya, Mutlu menguruskan hal ehwal pemain itu sejak setahun lalu. Namun sebelum itu, Mustafa adalah ejen anaknya, selain menjadi eksekutif 'Mesut Ozil Marketing Company'. Pada musim panas 2013, Mustafa bukan saja mengendalikan perbincangan untuk anaknya berpindah dari Real Madrid ke Arsenal, tetapi juga mengaut kontrak tajaan berjuta pound dengan Adidas. Hubungan antara ayah dan anak bertukar keruh tidak lama selepas itu, apabila Mesut dikatakan kecewa dengan perceraian ibu bapanya. Pemain Jerman itu segera memecat bapanya dan melantik abangnya, Mutlu sebagai ejen barunya.

Mustafa juga menjadi tumpuan ketika anaknya meninggalkan Real dalam suasana kurang menyenangkan, apabila bertelagah dengan presiden Florentino Perez pada September 2013. Real menuduh Ozil dan bapanya tamak, manakala Mustafa menegaskan Perez bukan orang yang wajar dihormati. Ada yang membuat spekulasi kacau bilau dalam kes Mesut menjadi punca kemerosotan prestasinya menjelang hujung tahun itu. Mustafa, bagaimanapun mempunyai alasan baru untuk membela dirinya. Dalam satu wawancara dengan akhbar Cologne, 'Express' minggu ini, dia mendakwa bahawa teman wanita Mesut, Mandy Capristo, menghancurkan hubungan antara bapa dan anak.


"Teman wanitanya ketika itu menjadi pemisah antara bapa dan anak. Dia buat Mesut jadi gila," katanya. Apa pun puncanya, hubungan di antara Mesut dan bapanya begitu dingin tahun lalu dan menjadi semakin buruk. "Hubungan kurang baik antara Mesut dan bapanya bukan perkara baru," kata Pengurus Besar skuad Jerman, Oliver Bierhoff kepada Express. "Bagaimanapun, Mesut sentiasa merahsiakan soal peribadinya. Dia tidak pernah menceritakan kepada kami mengenai perkara itu." Ozil Marketing ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.-AP




.

Unik, perkahwinan di bawah permukaan air



Unik, perkahwinan di bawah permukaan air | Gambar menunjukkan rakaman saat pasangan ini disatukan menjadi suami isteri-di bawah permukaan air. Majlis ini dianjurkan oleh sebuah kelab menyelam, Top Dive, yang melancarkan konsep baru pelancongan perkahwinan di Polynesia Perancis. Pasangan pengantin itu, Nicolas dan Alxandra dari Madrid, Sepanyol, berpegang tangan di depan seorang paderi Polynesia yang berdiri di altar yang dibuat dari dari mutiara.

Pasangan berkenaan mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan berkenaan, empat meter di bawah permukaan air di Bora Bora, majlis pertama seumpanya di kawasan berkenaan dan pastinya bukan yang terakhir. Pengurus Top Dive Paul Ramos, di Polynesia berkata dia merancang perkahwinan seumpama itu untuk pasangan menikmati pengalaman sekali seumur hidup mereka dengan bayaran hanya sebanyak RM11,280. Baik Alexandra mahupun Nicolas, mereka teruja untuk melangsungkan perkahwinan secara unik itu. "Saya seperti berjalan di permukaan bulan," kata Nicolas. Dalam pada itu, pakaian pengantin perempuannya seperti sut angkasa lepas.


Tidak seperti pengantin lain, dia tidak bimbang untuk menggayakan rambutnya kerana dia terpaksa memakai topi keledar. Topi keledar berkenaan mempunyai udara yang dipam dari permukaan air. Seperti majlis perkahwinan lain, jurugambar bawah permukaan air akan disediakan untuk merakam saat bahagia pasangan itu. Paderi melangsungkan majlis itu menerusi fon kepala yang turut disambung pada pasangan pengantin berkenaan. Dan majlis itu tidak mengambil masa lama, hanya 20 minit saja.-AP



.

Wanita kesal nekad bunuh diri dan hilang kaki ketika remaja kerana putus cinta



Wanita kesal nekad bunuh diri dan hilang kaki ketika remaja kerana putus cinta | Disebabkan kemurungan, seorang remaja cuba membunuh diri dengan berbaring di landasan kereta api tetapi sempat menukar fikiran di saat-saat akhir. Walaupun terselamat, dia kehilangan kedua-dua kakinya. Kini selepas tujuh tahun berlalu, Helen Galsworthy berazam meneruskan kehidupan dan menjadi ibu penyayang. Menceritakan pengalamannya pada 2007 itu, Helen berkata, dia baru berusia 18 tahun tetapi terlalu kecewa kerana percintaannya gagal. Dia kemudian berbaring di landasan kereta api dengan harapan nyawanya dicabut segera. Namun, beberapa detik sebelum digilis, Helen mengubah fikiran dan menyelamatkan diri. -AP




.

Inilah Laddawan Tong-Keaw atau Pink, gadis Thailand yang menolak pelawaan Kim Kardashian untuk jadikan dia anak angkat



Inilah Laddawan Tong-Keaw atau Pink, gadis Thailand yang menolak pelawaan Kim Kardashian untuk jadikan dia anak angkat | Seorang gadis yang menetap di sebuah penempatan miskin di Thailand, membuat keputusan yang mengejutkan apabila menolak pelawaan bintang realiti televi­syen, Kim Kardashian untuk menjadi anak ang­­katnya.Mail Online me­laporkan, gadis ber­kenaan, Laddawan Tong-Keaw atau le­bih dikenali sebagai Pink berkata, dia gembira apabila mende­ngar hasrat Kardashian itu, namun lebih ber­minat untuk belajar di negara asalnya dan membantu penduduk miskin di wilayah Phang Nga.


“Saya berasa sa­ngat gementar apabila mengetahui Kardashian mahu menjadikan saya sebahagian daripada kehidupannya. Saya sa­ngat gembira dan perkara ini akan me­ngubah kehidupan saya. “Semua orang mahukan kehidupan yang baik, begitu juga saya. Saya melihat perkara ini (menjadi anak angkat) tidak baik untuk saya kerana saya terpaksa meninggalkan banyak perkara di sini dan saya belum bersedia untuk berubah,” jelas Pink yang menyifatkan Kardashian sebagai wanita yang budiman.


Hasrat mengambil anak angkat itu dinyatakan oleh ibu seorang anak tersebut selepas dia bersama krew penerbitan Keeping Up with The Kardashians mengadakan lawatan ke rumah perlindungan kanak-kanak miskin di wilayah Phang Nga April lalu. Kardashian berkata, dia tidak mempunyai sebarang maksud tersirat ketika menyatakan hasrat untuk menjadikan Pink sebagai anak angkat kerana apa yang dilakukan adalah untuk mengubah kehidupan gadis berusia 13 tahun itu. “Saya tidak boleh melupakan dia. Saya ada memberitahu suami saya tentang Pink yang begitu comel dan baik. Saya sangat berminat untuk menjadikan dia sebagai anak angkat,” ujarnya. -AP




.

Khasiat istimewa kopi yang tidak diketahui ramai



Khasiat istimewa kopi yang tidak diketahui ramai | Selulit boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah selebriti atau model jelita. Namun bagaimanakah anda boleh menyingkirkan atau mengurangkannya dengan rawatan mudah di rumah? Skrub kopi! Selulit adalah musuh nombor satu kafein kerana ia bukan sahaja menganjalkan kulit, ia turut mengandungi antioksidan. Jika anda mengamalkan skrub kopi dengan kerap, anda boleh melihat pengurangan selulit pada tubuh badan anda. Skrab kopi ini telah menjadi kegemaran selebriti terkenal seperti Miranda Kerr, Elle Macpherson dan juga Kendall Jenner.

Dipetik daripada Elle, kami berkongsi cara mudah menghasilkan skrub kopi dengan pelembap yang sesuai pada kulit anda. Anda memerlukan kopi, minyak kelapa, garam laut atau gula, bekas kosong serta berus kering (tidak diwajibkan). Campurkan semua bahan dan gaulkannya sehingga serasi, kemudian masukkan ke dalam bekas kosong untuk kegunaan anda pada masa akan datang. Sebelum mandi, anda digalakkan memberus badan anda dengan perlahan agar pergerakan darah berjalan lancar serta kulit mengelupas. Selepas itu ketika mandi, sapukan skrub kopi itu pada badan anda dan urut. Lakukan setiap kali mandi untuk kesan yang lebih cepat.




.

Suami kejutkan mahkamah selepas menangis dan merayu agar hakim benar dia 'makan luar'



Suami kejutkan mahkamah selepas menangis dan merayu agar hakim benar dia 'makan luar' | Seorang lelaki mengejutkan mahkamah selepas menangis dan bersungguh-sungguh merayu supaya hakim membenarkannya mencari kepuasan seksual secara bebas sebagai cara untuk ‘memperbetulkan’ isterinya yang ‘mogok’ sejak tujuh tahun lalu. Roberto Moyo, 59, dari Mpopoma mendakwa dia pernah hilang kewarasan dan dimasukkan ke institut pakar psikiatri tempatan selepas isterinya, Leandy Moyo, 52, menolak untuk bersenggama walaupun mereka tetap berkongsi katil dan selimut. Kata Moyo, selepas menerima terapi daripada doktor, dia dinasihati untuk tidak mengharapkan layanan daripada isterinya lagi.

 “Tanpa layanan Leandy, tahap kesihatan saya semakin buruk,” katanya. Moyo dan Leandy berumahtangga sejak 26 tahun lalu. Mereka juga pernah mendapatkan kaunseling selama dua minggu atas nasihat mahkamah tetapi ia tetap gagal membawa ketenangan dalam hidup mereka. Kata Moyo, dalam keadaan semasa dia pasti tidak mendapat apa yang diingini daripada Leandy.

Pada masa sama, katanya, agama anutannya, Katolik Roman, tidak membenarkan perceraian walau dalam apa keadaan sekali pun. “Saya rasa sebenarnya hubungan antara kami sudah tidak wujud lagi dan saya merayu mahkamah memberi kebenaran khas kepada saya,” katanya. Sementara itu, isterinya, Leandy berkata, suaminya seorang lelaki yang menyakitkan hati. “Dia tidak suka tidur di rumah dan selalu pulang lewat sambil berlagak meniduri wanita lain. “Saya tetap menganggapnya sebagai suami, cuma saya mahukan ketenangan di rumah,” katanya ketika ditemui. -AP




.

Penemuan objek di belakang tangga utama Madrasah disahkan bukan janin manusia



Penemuan objek di belakang tangga utama Madrasah disahkan bukan janin manusia | Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bagan Nira terkejut apabila menemui objek mirip janin manusia di belakang tangga utama Madrasah Ikhlasiah Kampung Bagan Nira petang, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Muhamad Hanafi Yusop, 38, baharu selesai menunaikan solat Zohor di surau itu dan ingin pulang ke rumah, bagaimanapun terkejut apabila menemui tompokan darah pada lantai surau berkenaan.

Menurutnya, dia kemudiannya mengambil gambar objek berkenaan dan meminta pendapat rakan-rakan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp sebelum pulang ke rumah dan bersiap untuk menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bagan Nira. “Saya terima pelbagai reaksi daripada kumpulan WhatsApp termasuk seorang rakan yang bekerja di hospital memaklumkan objek itu menyerupai janin manusia, sementara seorang lagi minta saya menghubungi polis,” katanya.


Mohd Hanafi berkata, dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Sabak Bernam bagi memaklumkan penemuan objek terbabit dan dia yang ketika itu berada di SRA Bagan Nira terus ke madrasah bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut. “Polis tiba ke lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang. Setelah diteliti seorang pegawai polis yang dipercayai pakar dalam menentukan objek terbabit memberitahu kemungkinan objek itu bukan janin manusia,” katanya. Menurutnya, polis kemudiannya membungkus objek terbabit dan membawanya untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa memaklumkan, objek mirip janin manusia yang ditemui itu disahkan bangkai seekor haiwan. -SH




.

Berita baik.. Buku teks digital mulai 2016 bakal selesai isu beg sekolah berat



Berita baik.. Buku teks digital mulai 2016 bakal selesai isu beg sekolah berat | Isu beg sekolah berat yang sering dibangkitkan ibu bapa dijangka diselesaikan melalui pelaksanaan Buku Teks Digital Interaktif Digital yang dijangka bermula pada 2016 hingga 2025. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inovasi itu adalah gelombang kedua transformasi buku teks selepas pelaksanaan inovasi buku teks digital awal tahun lalu, sekali gus membolehkan pengajaran, pembelajaran, koloboratif dan pentadbiran dijalankan melalui persekitaran pembelajaran maya.

 “Inovasi ini juga usaha kementerian menyelesaikan isu beg sekolah berat yang sering dibangkitkan ibu bapa “Apa yang penting ibu bapa tidak perlu menanggung kos tambahan dengan pelaksanaan buku teks digital ini, sebaliknya semua peralatan berkaitan ‘Google Chrome Book’ diberi kepada sekolah untuk ditempatkan secara kekal bagi kegunaan murid khususnya bagi pelaksanaan buku teks digital ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pendidikan (KPM) 2014, di sini, semalam.

Gelombang pertama inovasi buku teks digital dilancarkan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada Februari lalu yang membolehkan 313 judul buku teks boleh diakses oleh murid, guru dan ibu bapa melalui 1BestariNet. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, penggunaan pembelajaran melalui sistem ini di sekolah bergantung kepada kebijaksanaan pentadbir sekolah dalam memastikan semua pelajar berpeluang menggunakan inovasi berkenaan. -Metro



.

Oh.. Nelayan berjaya tangkap ikan kerapu seberat 200kg dan jual dengan harga RM19,000 di Bintulu


Oh.. Nelayan berjaya tangkap ikan kerapu seberat 200kg dan jual dengan harga RM19,000 | Penat bertarung selama dua jam sebelum berjaya mendaratkan ikan kerapu seberat 200 kilogram (kg) berbaloi bagi seorang nelayan di sini semalam apabila dia berjaya menjual hasil tangkapan tersebut pada harga RM19,000. Nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Madin, 40, memberitahu, dia langsung tidak menyangka mendapat rezeki lumayan tersebut kerana selama ini belum pernah berjaya menangkap ikan sebesar itu.

Katanya, ikan tersebut telah dibeli oleh seorang peniaga ikan di pasar basah Bintulu. “Hasil tangkapan ini ternyata menjadi rezeki segera buat keluarga saya apabila ada peniaga ikan yang sanggup membelinya dengan harga RM19,000 atau RM95 bagi sekilogram. “Sejak bekerja sebagai nelayan, inilah kali pertama saya menangkap dan melihat ikan kerapu sebesar itu, mungkin antara yang terbesar pernah ditangkap di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Madin, dia menyedari ikan ‘gergasi’ itu tersangkut di pukatnya ketika berada di kawasan kira-kira 50 kilometer dari luar pantai Bintulu petang semalam. “Saya mengambil masa kira-kira dua jam bertarung dengan ikan tersebut sebelum berjaya mendaratkannya atas bot. “Saya bernasib baik kerana tali penarik yang digunakan untuk menaikkan pukat itu tidak putus,” katanya. Sementara itu, tinjauan di pasar basah Bintulu mendapati orang ramai tertarik untuk melihat ikan gergasi tersebut dari dekat. Beberapa pengunjung turut ti­dak melepaskan peluang un­tuk merakamkan gambar dan menyentuh ikan tersebut. -Utusan




.

Lelaki maut lemas dalam kereta yang terbabas dan terperangkap dalam parit penuh air


Lelaki maut lemas dalam kereta yang terbabas dan terperangkap dalam parit penuh air | Banjir di Terengganu meragut nyawa kedua apabila seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas sebelum terperangkap dalam parit yang dipenuhi air dalam kejadian di Kilometer 82.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Bintang), di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa, Shamsul Mohd, 28, dari Kampung Putrajaya, Bandar Permaisuri, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh tiang elektrik di bahu jalan. Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa terhumban ke dalam parit yang dipenuhi air.

"Mangsa terperangkap di dalam keretanya dan dipercayai lemas sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu. "Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya. Menurutnya ini adalah mangsa kedua di Terengganu selepas seorang pelajar tingkatan satu ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, di sini, petang semalam. -Metro




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!