Tuesday, January 27, 2015

Penuntut Kolej Shahputra Kuantan dalam perjalanan pulang ke kampus, maut kereta dirempuh bas



Penuntut Kolej Shahputra Kuantan dalam perjalanan pulang ke kampus, maut kereta dirempuh bas | Dua penuntut Kolej Shahputra Kuantan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti semester terbunuh apabila Perodua Viva dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres di Kilometer 153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pemandu, Aimi Sarah Abd Hissam, 20, dari Taman Muda, Cheras, Kuala Lumpur dan penumpang, Nurul Aida Ahmad Tajudin, 20, dari Setiawan, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Difahamkan, Aimi mengambil jurusan diploma pereka fesyen manakala Nurul penuntut diploma dalam bidang arkitek.

 Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sebelum kejadian, bas ekspres yang membawa 28 penumpang menghala ke Kuala Terengganu, Terengganu, dari Kajang, Selangor, terpaksa berhenti di lorong kecemasan apabila seorang daripada penumpang mahu membuang air besar. “Pemandu memberhentikan bas di lorong kecemasan sebelum kereta dipandu Aimi dari arah sama melanggar belakang bas ekspres berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Beliau berkata, siasatan awal mendapati, rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, pemandu bas ekspres berkenaan bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan dihantar ke Hospital Bandar Jengka (HBJ), dekat sini untuk bedah siasat,” katanya. Mohamad Noor berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. “Kita tidak pasti apa yang berlaku dan amat memerlukan kerjasama saksi bagi membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Metro




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!