Thursday, December 23, 2010

Kejatuhan Woods


PADA tahun dunia menyaksikan Tiger Woods mengalami keruntuhan rumah tangga, kehilangan ranking utama, imej ikon dan setiap kejohanan yang disertainya, sukan golf berkembang maju dengan bintang baru dan kelihatan tidak begitu bergantung kepada Woods semata-mata selepas ini.

Kejatuhan Woods mendominasi golf sepanjang tahun, bermula permohonan maafnya pada Februari yang mencuri tumpuan global hinggalah dia menamatkan 'rehat' lima bulan pada kejohanan Masters AS pada April dengan beraksi penuh tekanan untuk berakhir di tangga keempat.

Juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu bertungkus-lumus menamatkan musim 2010 tanpa sebarang kejuaraan. Skandal seksnya menjadi bahan gurauan dan menjurus kepada perceraian pada Ogos dengan isterinya, Elin Nordegren. Statusnya sebagai pemain nombor satu dunia dirampas pemain England, Lee Westwood.

"Ia satu tempoh yang menarik buat golf," kata Westwood. "Ia lebih menarik apabila lebih mudah buat mana-mana pemain untuk menjadi pemain nombor satu. Bagi orang berkecuali yang tidak biasa menyaksikan golf, ia berjaya mencuri imaginasi mereka." Ketika musim berakhir, Woods ada alasan untuk lebih optimis. Permainannya memaparkan kembali kegemilangan lampau, kalah pada perlawanan play-off pada satu kejohanan sumbangsih Cabaran Dunia dengan pukulan yang mengingatkan ramai kenapa mereka menontonnya sebelum ini.

"Setiap orang berharap dia akan kembali seperti sebelum ini," kata pemain Jerman, Martin Kaymer. "Saya fikir, dalam benak fikiran setiap orang, dia masih pemain terbaik dunia." Hujung bulan lalu, genap setahun selepas insiden kemalangan kereta yang mendedahkan skandal itu, Woods yang sebelum ini suka menyendiri berterus-terang dengan khalayak yang selama ini mengaguminya tanpa ragu-ragu.

"Saya bersyukur kerana saya menilai semula kehidupan saya kerana ia membuatkan saya lebih kuat daripada biasa," kata Woods. "Saya bukan lagi lelaki yang sama setahun lalu dan ia sesuatu yang bagus." Ketika pemain ranking kedua dunia itu berdepan sambutan hari jadinya ke-35 pada 30 Disember, dia tidak langsung menyandang sebarang kejuaraan dan kurang empat kejuaraan utama daripada rekod sepanjang zaman 18 dimenangi Jack Nicklaus.

Dengan Woods sekadar seorang pemain biasa di lapangan, sukan itu masih mempamerkan drama dan kemahiran yang menarik peminat lama sebelum kehadiran Woods.

Phil Mickelson memenangi Masters AS dengan gaya dramatik, meraih kejuaraan keempatnya dan jaket hijau Masters kali ketiga. Di lubang ke-13 pada hari terakhir, Mickelson memukul 6-iron di antara dua pokok dan singgah tiga kaki dari lubang.

Pemain Ireland Utara, Graeme McDowell memenangi Terbuka AS di Pebble Beach, pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen menjuarai Terbuka British di lapangan terkenal St Andrews dan Kaymer merangkul Kejuaraan PGA AS di Whistling Straits.

Namun bukan hanya pemenang kejuaraan utama mencipta nama. Pemain Ireland Utara, Rory McIlroy menyamai catatan pusingan terbaik pada kejohanan utama dengan 63 di St Andrews, ketika angin kencang menafikan peluangnya bergelar juara.

Westwood menamatkan lima tahun penguasaan Woods di puncak ranking sekalipun gagal memenangi kejuaraan utama pertamanya dan membatu Eropah memenangi Piala Ryder.

Eropah mengalahkan Amerika Syarikat 14.5-13.5 di Wales untuk merampas kembali Piala Ryder, dengan Westwood, Kaymer dan McDowell bertindak cemerlang. McDowell mengalahkan Hunter Mahan 3 dan 1 untuk memastikan trofi milik Eropah.

"Saya tidak pernah berasa terlalu gemuruh di lapangan golf sebelum ini," kata MCDowell.

Pemain Amerika, Jim Furyk memenangi Kejuaraan Jelajah PGA AS manakala pemain Sweden Robert Karlsson memenangi Kejohanan Dunia Dubai manakala Kaymer berkongsi tangga ke-13 untuk mengungguli Race to Dubai.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!