Thursday, October 28, 2010

Mayat Remaja Perempuan Ditemui Berlipat Dalam Beg Pakaian


Seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya disumbat ke dalam sebuah beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata mayat remaja tanpa identiti yang dipercayai berusia belasan tahun dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh seorang pekerja bengkel berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.
"Pekerja tersebut yang menunggang motosikal melalui lorong bersemak itu terjumpa sebuah bagasi besar sebelum bertindak menendang-nendang beg tersebut. Curiga dengan berat beg, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa.
"Mangsa ditemui dalam keadaan berlipat dan pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia belasan tahun berdasarkan saiz badan dan tidak mengalami kecederaan luaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata mangsa yang bertubuh sederhana, berpakaian gaun biru paras lutut, berkulit sawo matang dan berambut lurus mencecah bahu, tidak diikat dan dipercayai baru mati berdasarkan keadaan mayat yang masih 'segar' dan tidak berbau.
Abdul Jalil berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut yang berdekatan dengan Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (RABEKA) Taman Ukay Perdana.
"Beberapa helai pakaian termasuk tuala mandi turut ditemui dalam bagasi berkenaan yang disyaki milik mangsa. Bagaimanapun punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga iaitu remaja perempuan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk proses pengecaman dan pengesahan.


P/S - Mesti kecik orgnya..Tgk beg tu pun kecik... 






Sharapova dilamar dengan cincin berlian RM780,000


LOS ANGELES: Apabila pemain Los Angeles Lakers, Sasha Vujacic melamar bintang tenis Maria Sharapova awal bulan ini, beliau membawa bersamanya sebentuk cincin yang sesuai untuk juara tiga kali kejohanan Grand Slam itu.

Sejak menerima lamaran Vujacic, Sharapova dilihat memakai cincin berlian besar yang dipercayai bernilai AS$250,000 (RM778,950.07).

Menurut pakar barang kemas dihubungi US Weekly, cincin pertunangan Sharapova adalah 8 karat, berlian terletak di atas lingkaran platinum.
Suku juta dollar adalah nilai yang banyak untuk dibelanjakan membeli sebentuk cincin, namun mungkin tidak kisah kerana memperoleh banyak wang setiap tahun.

Seorang lelaki dikatakan perlu membelanjakan dua bulan gaji untuk membeli cincin.

Oleh kerana Vujacic dikatakan bakal memperoleh AS$5.5 juta (RM17.12 juta) tahun ini bersama Lakers, ia bersamaan membeli sebentuk cincin AS$912,000 (RM2.84 juta).

Sudah tentu peraturan dua bulan itu tidak diterima golongan selebriti, jika tidak Bill Gates perlu memberi isterinya berlian bersaiz batu Gibraltar.
Ketika Vujacic seorang multi jutawan hasil bakat dalam bola keranjang yang diceburinya, beliau tidak akan dianggap sebagai pencari nafkah utama keluarga. Tahun lalu, Forbes menganggarkan pendapatan Sharapova bernilai AS$25 juta (RM77.82 juta) dalam kemenangan dan penajaan.

Tidak dapat dibayangkan banyak pemain NBA lain yang akan membawa cek bayaran satu perlima daripada isteri mereka.





Gambar pelangi berkembar


DEVON - Seorang jurugambar, Andy Kyle yang berusia 53 tahun berjaya merakamkan gambar pelangi berkembar yang melengkung dan seakan-akan kelihatan seperti sebuah jambatan di Sungai Dartmouth di Devon, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar itu dirakamkan selepas Kyle merakamkan lebih 2,000 imej sejak tujuh tahun lalu sebelum dia berjaya merakam gambar pelangi berkembar.
Imej kedua pelangi itu dikatakan berlaku disebabkan oleh dua biasan cahaya matahari pada titisan hujan.





Update :AC Mizal Terselamat Hukuman Penjara 25 Hari


Pengacara popular, AC Mizal menarik nafas lega selepas tidak perlu bermalam di penjara selama 25 hari bermula Khamis, selepas berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anak bersama bekas isteri, Shafnie Zainudin,35, yang tertunggak RM9,800 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Bekas pengacara Konsert Akademi Fantasia itu juga menjelaskan denda RM1,500 bagi kesalahan menghina mahkamah yang mana, jika gagal Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah memerintahkan dia dipenjarakan selama 10 hari.
AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, menjelaskan denda tersebut beberapa minit selepas keputusan dibuat.
“Alhamdulillah, lega tidak di penjara. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana menunjukkan saya tidak bersalah 100 peratus. Saya bayar nafkah cuma ada masanya saya tidak mampu kerana kontrak kerja tamat.
“Saya sudah bayar apabila boleh dan saya harap selepas ini tidak ada orang yang akan memfitnah atau menyebarkan cerita saya tidak bayar nafkah anak,” katanya yang menambah telah memaafkan individu tersebut.
Abdul Halim membuat keputusan itu pada prosiding komital yang dimulakan oleh Shafnie bagi mendapatkan perintah untuk menghantar AC Mizal ke penjara atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal menjelaskan tunggakan nafkah anak yang secara keseluruhan berjumlah RM50,000.
Berdasarkan perintah yang direkodkan hasil persetujuan bersama dalam perbincangan secara sulh, tunggakan itu perlu dilangsaikan secara ansuran RM200 setiap bulan sebelum anak kedua pasangan itu, Muhammad Shabil Iman berusia 18 tahun.
Selain Muhammad Shabil Iman, 11, mereka mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Shafiq Iman, 14, hasil perkahwinan yang dibina pada 24 Jun 1995 sebelum berpisah pada 17 Oktober 2001.
Bagaimanapun, Abdul Halim pada penghakimannya berpendapat, tindakan AC Mizal mendepositkan RM9,800 yang merupakan tunggakan untuk 49 bulan daripada Januari 2005 hingga 19 Disember 2009 ke dalam akaun bersama dia dan Muhammad Shabil Iman bukan bersifat penghinaan kepada mahkamah.
Sebaliknya, tindakan itu adalah merupakan pelanggaran atau terpesong daripada perintah memandangkan cara pembayaran yang sepatutnya ialah secara ansuran dengan dimasukkan bersama RM300 sebagai nafkah semasa di akaun bersama Shafnie dan Muhammad Shafiq Iman di bank RHB.Beliau juga menolak dakwaan Shafnie bahawa AC Mizal telah melanggar perintah untuk menyediakan perbelanjaan bagi awal persekolahan memandangkan perintah itu sendiri kabur dan tidak diperincikan.
Abdul Halim juga hanya menyifatkan tindakan AC Mizal yang tidak membantu dalam persekolahan anak walaupun berkemampuan sebagai malang, namun perkara itu masih tidak menghina ekoran perintah jelas menyatakan bantuan adalah untuk anak dihantar ke sekolah bantuan kerajaan.
Shafnie menghantar anak sulung mereka ke sekolah swasta aliran agama di Bangi, dekat sini.
Bagaimanapun, AC Mizal disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah bagi kegagalannya menyerahkan laporan kewangan tahunan syarikatnya, Best Line Entertainment (M) Sdn Bhd kepada Shafnie dalam tempoh 60 hari bermula 31 Disember setiap tahun.
“Pada mahkamah, responden gagal meyakinkan bahawa kegagalan itu disebabkan syarikat tidak berfungsi adalah mustahil kerana syarikat tersebut adalah berdaftar dan diselia oleh badan suruhanjaya.
“Persoalannya, mengapa responden tidak menunjukkan perjalanan syarikat untuk dinilai oleh mahkamah?” tambah Abdul Halim.
Justeru itu, beliau berkata, hukuman atau ‘ubat’ perlu diberikan kepada AC Mizal untuk membangkitkan kesedaran kepadanya dalam melaksanakan perintah yang telah dipersetujuinya pada 22 Disember 2004.
Abdul Halim juga menyelitkan nasihat kepada AC Mizal dan Shafnie supaya memastikan anak tidak menjadi mangsa dalam perceraian mereka.
“Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa dan akan dihisab kelak. Anak bukan hak eksklusif kepada satu pihak. Biarlah anak merasai mereka masih mempunyai ibu dan bapa walaupun telah berpisah.
“Amat malang jika ibu bapa yang bercerai memisahkan anak dari ibu atau bapa. Jika itu terjadi, tunggulah seksaan daripada Allah dan api neraka,” katanya yang mengambil masa selama 45 minit untuk membacakan penghakiman setebal 36 halaman.
Semasa ini, Shafnie yang hadir di mahkamah bersama kakak dan diwakili peguam syarie Mohd Ridhawan Husin dilihat mengesat air mata manakala AC Mizal tekun mendengar di sisi peguamnya, Siti Aishah Din.
AC Mizal kini sudah berkahwin semula dengan pelakon Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Reeve Damien dan Fea Eryssa.

P/S - Wah kalau alasan takde kontrak, takde duit jd nafkah tak byr, so, bila dah senang, jelaskanlah.. masa dok keluar newspaper, tayang keta, tayang harta, tak ada ke langsung rasa bersalah? eh tak layak la dpt anugerah datuk..perangai...adeh..




Cari haiwan mati dilanggar untuk dipanggang

BOURNEMOUTH, England - Sekumpulan pelajar Universiti Bournemouth di sini mempunyai satu cara pelik untuk mendapatkan makanan secara percuma ekoran harga makanan yang tinggi dan masalah kewangan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelajar-pelajar itu mencari bangkai arnab, burung kuang bayas dan jika bertuah akan mendapat rusa yang baru dilanggar oleh kereta di sebuah sebuah jalan raya.
Seorang kakitangan universiti itu yang sudah bertugas hampir sepuluh tahun berkata: "Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis haiwan di tepi jalan.
"Mereka sebelum ini menggunakan haiwan itu untuk sesi pengajaran bagi menunjukkan sejarah perkembangan kaedah penyembelihan haiwan.
"Namun, selepas kelas itu, kami mendapat banyak timbunan daging (selepas belajar menyembelihnya). Justeru, kami kemudian memanggang daging itu."
Para pelajar di universiti itu menyatakan pengajaran dalam kelas itu menyebabkan mereka mencari lebih banyak haiwan yang mati mengikut masa kelapangan masing-masing.
Seorang pelajar arkeologi forensik berumur 23 tahun berkata: "Selepas menggunyah beberapa kali, saya terlupa saya memakan daging haiwan yang kepalanya dilanggar sebuah kereta."
Bagaimanapun, seorang pegawai kesihatan Majlis Daerah New Forest berkata, seseorang yang makan haiwan yang dilanggar kereta perlu berjaga-jaga dengan tahap kesihatan haiwan berkenaan yang mungkin membawa penyakit.


P/S - Bangkai? 








Rooney tak hormat MU


PENGURUS Manchester United, Alex Ferguson, yang pernah menjual beberapa pemain ternama sebelum ini, diuji tahap kesabarannya dan menyedari kuasanya berkurangan apabila gagal untuk memujuk Wayne Rooney kekal di kelab itu.
Rooney mungkin mengubah fikirannya tetapi prospek penyerang England itu menuruti jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez mengangkat kaki dari Old Trafford menyebabkan Ferguson terpaksa berfikir secara mendalam kerana perlu membina semula pasukan ketika beliau menghampiri suku angka abad menerajui kelab itu.

Dengan generasi pemain yang membantu United meraih apa yang mereka capai setakat ini, pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, semakin menghampiri persaraan, pengurus berbangsa Scotland berusia 68 tahun itu perlu banyak berfikir.

Malah beliau kelihatan terkejut berbanding orang lain, seakan-akan tidak percaya pemain Inggeris yang hampir sampai ke puncak keupayaannya seperti Rooney, mahu meninggalkan Old Trafford.

Akhbar Inggeris memuatkan berita bagaimana pemain seperti David Beckham, Roy Keane, Ruud van Nistelrooy, Jaap Stam dan Paul Ince, di sebalik status profil tinggi mereka, ditunjukkan pintu keluar selepas tidak sefahaman dengan pengurus itu.

Namun kes ini amat berbeza.

Ferguson berkata kelmarin beliau asalnya diberitahu mengenai keputusan Rooney oleh ketua eksekutif kelab, David Gill dan hanya selepas itu mendengar daripada mulut pemain itu sendiri bahawa dia "mahu keluar".

Ia membuatkan beliau berasa sakit hati secara profesional dan terluka secara peribadi dan ketika tampil di depan media, Ferguson hampir dilihat sebagai seorang bapa yang kecewa terpaksa berdepan kesalahan seorang anak lelaki yang curang.


"Saya tidak percaya, saya tergamam," kata Ferguson kepada MUTV.

"Kami sudah melakukan segala-galanya yang termampu buat Wayne Rooney sejak minit pertama dia hadir di kelab ini. Kami sering berada di sana sebagai tempatnya berlindung.

"Kami membantunya daripada segi kehidupan peribadinya dan perkara lain... nasihat yang kami berikan kepadanya - malah saya pernah bersedia memberikannya nasihat kewangan, banyak kali," kata Ferguson.

Sudah tentu ada persoalan mengenai berapa lama Ferguson, yang mengumumkan menarik balik perancangannya untuk bersara pada 2002, akan terus kekal.

Di depan sidang akhbar yang penuh, Ferguson kelihatan bukan seperti dirinya sendiri ketika beliau membaca satu kenyataan, berkata pada Mac Rooney bercakap mengenai kekal di United sepanjang hayat dan bagaimana beliau tidak tahu apa yang mengubah fikiran penyerang itu.

"Ada kekecewaan beberapa kali apabila anda terpaksa menangani masalah dengan pemain zaman moden," kata Ferguson.

"Ia tidak mudah seperti beberapa tahun lalu apabila anda berunding mengenai kontrak, kerana ketika itu pemain terpaksa bergantung dan percaya kepada pengurus. Sebagai pengurus, anda lebih banyak ada hubungan dengan ibu bapa ketika itu.

"Kami kini berunding dengan ejen yang bergantung sepenuhnya terhadap pemain... kami tinggal di sebuah dunia berbeza sekarang dan kami perlu menanganinya dengan cara berbeza. Ia menyedihkan tapi itulah hakikatnya." Sudah pasti, ketika beliau meratapi kurangnya kesetiaan di kalangan pemain moden, Ferguson terlepas pandang hakikat bahawa Everton, yang memperkenalkan Rooney sebelum disambar United sebagai seorang pemain berusia 18 tahun, juga kecewa apabila kelab Old Trafford itu tampil membawa buku cek mereka enam tahun lalu.

Apabila Ferguson mengambil alih daripada Ron Atkinson pada November 1986, keluarga Rooney menikmati parti sambutan hari jadi pertamanya dan mungkin kini jurang usia itu semakin jauh.

Rooney, yang akan berusia 25 tahun Ahad ini, muncul pemain utama dalam Liga Perdana Inggeris selama lebih lapan tahun, bermain 67 perlawanan buat England, termasuk pada dua pusingan akhir Piala Dunia, namun Ferguson masih merujuknya sebagai "seorang budak" kelmarin.


Pengurus United itu berkata selepas mendengar berita pemain yang dibeli dengan harga STG25 juta (RM122.5 juta) itu tidak mahu kekal, beliau memberitahunya: "Kami tidak mahu sesuatu yang tidak masuk akal daripada anda. Jangan tidak menghormati kelab," - sesuatu yang tidak setaraf dengan percakapan seorang profesional.

Mungkin tiba masanya pengendali berbangsa Scotland itu memutuskan sama ada beliau pun sudah cukup sampai masanya untuk berundur. Bukan mudah buatnya untuk membina semula pasukan yang boleh disegani di England dan Eropah.



P/S - Bungkus lah menyu musim ni...ngee..



Misteri imej wanita guna telefon bimbit pada 1928

IMEJ dalam filem The Circus tahun 1928 menunjukkan seorang wanita  seolah-olah sedang bercakap dengan menggunakan telefon bimbit

LONDON - Imej seorang wanita misteri dalam filem The Circus lakonan pelawak terkenal, mendiang Charlie Chaplin pada tahun 1928 mencetuskan misteri apabila dia dilihat berbual dengan menggunakan sebuah telefon bimbit bersaiz kecil di telinganya, lapor sebuah akhbar semalam.
Mungkinkah dia seorang yang genius yang sedang menguji teknologi baru secara rahsia sehingga dia tidak menyangka gelagatnya yang sedang berbual seorang diri dengan tangannya seperti memegang satu alat seperti telefon bimbit telah dirakamkan oleh kamera filem berkenaan.
Dalam imej itu, tiada sesiapa pun yang berada berhampiran dengannya melainkan seorang lelaki berpakaian sut yang berjalan di depannya.
Lebih menghairankan, lenggok tubuhnya ketika bercakap seorang diri kelihatan sama dengan gaya orang yang berbual menggunakan telefon bimbit.
Penemuan itu dikesan oleh pemilik koleksi filem lama, George Clark.
Sejak penemuan itu, dia menunjukkan filem tersebut kepada lebih 100 orang namun tiada siapa yang dapat memberikannya penerangan yang meyakinkan berhubung gelagat wanita berkenaan.
Ada yang berpendapat wanita itu mendengar sebuah radio kecil.
Individu lain berpendapat wanita itu menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit schizophrenia.
"Satu-satunya teori saya ialah wanita tersebut merupakan seorang pengembara masa yang menggunakan telefon bimbit," kata Clark yang turut meletakkan klip video tersebut di laman perkongsian video, YouTube.
Dalam laman YouTube itu, terdapat adegan gerak perlahan yang menunjukkan wanita itu seperti sedang bercakap menggunakan telefon bimbit semasa dia berjalan dan berhenti pada satu ketika.




Maut turun bukit


MELAKA: “Arwah Fadzly (Mohd Fadzly Mohd Ariff) sepatutnya menemani saya bertemu pelanggan di Tangkak, Johor pagi ini (semalam), namun dia mahu membawa rakan lain untuk berjumpa bakal pelanggan di Jempol, Negeri Sembilan.
“Tidak sangka arwah terbabit kemalangan dan meninggal dunia. Pagi tadi (semalam) kami sama-sama bersarapan di Bukit Serindit,” kata Perunding Pinjaman Persendirian CIMB Bank, Rahizan Abd Rahim, 34, mengenai kemalangan ngeri di Jalan Bukit Bulat Menggong, Alor Gajah, pagi semalam, membabitkan dua rakan sekerjanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, dua kakitangan bank yang juga Perunding Pinjaman Persendirian, Khairul Afif Mohd Kassim, 24, dari Taman Satelit, Bahau, Negeri Sembilan, dan Mohd Fadzly Mohd Ariff, 22, dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Difahamkan, kereta dipandu oleh Khairul Afif terbabas ke laluan bertentangan ketika menuruni bukit di tempat kejadian sebelum kemalangan.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua mereka cedera parah akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurut Rahizan, Mohd Fadzly adalah kakitangan di cawangan CIMB Jalan Bendahara, dekat sini, yang menunjukkan prestasi kerja baik walaupun baru berkhidmat.

“Arwah memang paling kelakar dan ceria di pejabat. Namun, dalam dua hari kebelakangan ini, saya menyedari perubahan ketara pada dirinya apabila tiba-tiba jadi pendiam dan kurang bercakap.




Nak tengok? jom...

Berikutan tsunami yang melanda Indonesia... jom tgk... Gambar-Gambar terkini mengenai kejadian tersebut...
Sangat menyedihkan.. Kejadian yang memeranjatkan dunia...
Takziah buat mangsa yang terlibat dan semoga semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini..



 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!