Saturday, December 25, 2010

Sinopsis Khurafat


“KHURAFAT-Perjanjian Syaitan” mengisahkan perjanjian terlarang, persekongkolan antara manusia & syaitan.Satu bentuk penyelewengan yang nyata dalam Aqidah Islam dan amat ditegah dalam Agama.Manusia, disogok dengan nafsu serakah dan dendam membara, tanpa mengira akibat dan bahana, rela membelakangkan Allah untuk memperoleh apa yang dicita walau dengan apa cara, akhirnya hanyut dengan bisikan  dan tipu daya syaitan durjana.

Kisah bermula dengan Johan, seorang pemuda yang berkerja sebagai Pembantu Perubatan di sebuah hospital kerajaan. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Ayshah. Seawalnya pasangan ini hidup aman dan bahagia, namun tanpa disangka ujian melanda di pertengahan jalan, kesan daripada ‘gangguan misteri’ yang berterusan.

Dalam pada masa gangguan-gangguan itu, hadir pula seorang perempuan tua yang tidak Johan kenali namun sering menyapa dan cuba mendekati Johan sewaktu di tempat kerja. Tanda tanya dan trauma yang melanda Johan dan Ayshah tidak habis di sana, malah ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan yang bernama Anna.Walaupun setelah mengetahui Johan sudah berumah tangga dan bergelar suami yang sah pada Ayshah, Anna masih terus mengganggu dan merayu untuk menerimanya semula. Ini menyebabkan Johan bertambah runsing dan bertekad untuk mempertahankan rumah tangganya dengan segala daya.



Tidak lama setelah berkali-kali ditolak cintanya, Anna ditemui mati;bunuh diri. Kematian Anna adalah kemuncak bagi segala siri kejadian misteri yang berlaku dalam hidup Johan dan Ayshah.

Apa yang menghantui dan menggangu Johan dan Ayshah sebenarnya? Adakah ini semua hanya halusinasi dan gangguan minda mereka atau adakah ini semua merupakan petanda-petanda bagi merungkai jawapan bagi semua persoalan mereka?


Segalanya akan terjawab bila anda menyaksikan “KHURAFAT-Perjanjian Syaitan” yang akan ditayangkan serentak di pawagam seluruh Malaysia pada 13 Januari 2011.





“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat  mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendapatkan mudharat kepadamu.  Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)” (Surah Yunus:106)



**                  **

Syamsul masuk liang lahad


CABARAN tugas seorang pengarah bukan setakat mengemudi lakonan, sebaliknya menterjemahkan skrip menjadi plot yang hebat.

Lantaran itu, pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof akui pengalaman menyiapkan filem keempatnya, Khurafat sangat menguji diri daripada aspek idea, kreativiti, lakonan dan pengarahan.

Berbeza dengan pengalaman menerbitkan tiga filem yang membawa genre aksi iaitu Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan sekuel, Evolusi KL Drift 2, Syamsul mencari pembaharuan apabila mencuba filem yang membawa elemen seram dan saspen dalam cara berbeza berbanding filem sedia ada.


Khurafat yang akan menemui penonton di pawagam mulai 13 Januari depan menampilkan Syamsul bersama Liyana Jasmay sebagai pelakon utama dibantu Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani, A Galak, Latiff Borgiba dan Ruzaidi Abdul Rahman.

Kata Syamsul yang juga bertindak selaku penulis skrip, filem yang dihasilkan kali ini dianggap rumit kerana dia mahu menampilkan cerita yang lari daripada stereotaip.

“Selalu saya menulis cerita mengikut perjalanan awal hingga akhir namun, kali ini saya bermula dengan kesudahannya terlebih dulu dan mencari ‘twist’.


“Ketika menulis skrip, apa yang saya mahukan penghujung cerita ini adalah suatu yang penonton tidak sangka.

“Ia kisah imaginasi saya bersama pengalaman yang pernah kita dengar seperti gangguan dalam bilik mayat dan kisah seram di hospital.

“Saya juga percaya kesan bunyi sangat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perasaan penonton untuk berasa seram. Bagi saya, setiap adegan hantu yang muncul ada sebab tertentu dan ia dirungkai pada penghujung cerita.


“Sebelum filem ini siap, saya banyak membuat rujukan filem seram Hollywood dan Asia. Sebolehnya saya mahu pelbagai cara hantu itu ditunjukkan.

“Mungkin ada yang berkata, hantu dalam filem ini mempunyai persamaan dengan Ju-On. Itu pandangan masing-masing,” katanya.

Dalam filem ini, Syamsul yang membawa watak sebagai Johan juga memberanikan diri berlakon dalam liang lahad. Namun, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang insiden pelik.

Mengenai pemilihan Liyana yang melakonkan watak isteri, Syamsul berkata dia sejak awal lagi berhasrat memilih Liyana untuk berlakon.

Katanya, watak Aishah nampak ringkas, tetapi cukup penting pada perjalanan cerita.

Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) ini berkata, dia berminat lagi untuk mencuba kisah seram pada masa akan datang dan mungkin menampilkan elemen komedi seram pula.

“Kelainan suatu yang subjektif untuk dijelaskan. Terpulanglah kepada penonton untuk menilai. Daripada pengalaman, saya sebagai penonton, saya melihat ada filem seram kita bagus, tetapi tidak dijelaskan dengan sepenuhnya.

“Saya harap, filem ini dapat membuka mata bahawa Khurafat mampu setanding dengan filem seram antarabangsa lain,” katanya.


Ayahnya, Datuk Yusof Haslam turut berbangga dengan percubaan anaknya kali ini.
Beliau percaya filem seram masih punya permintaan tersendiri.

“Saya berharap filem ini membawa pembaharuan pada filem tempatan. Apa yang penting, kita seharusnya menyokong dan mengangkat filem tempatan ke tahap yang membanggakan,” katanya.

Pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor, hadir sama Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah.

Bagi Sabrina, dia turut membawa cabaran besar dalam lakonan apabila melakonkan babak menakutkan dalam bilik mayat.

Akuinya, dia sudi terima tawaran kerana Syamsul sendiri yang menawarkan watak menarik kepadanya.

“Untuk watak itu, saya sanggup melakonkan adegan dalam peti di bilik mayat dan mandi jenazah kira-kira jam 2 pagi,” katanya.

Liyana berkongsi perasaan gembira kerana dapat menimba pengalaman bersama Syamsul dengan watak suami isteri.


“Memang pengalaman bercampur gembira dan takut ketika berlakon filem ini. Syamsul seorang pengarah berbakat besar yang berupaya memberikan hasil yang sangat membanggakan. Saya percaya filem ini akan mendapat sambutan,” katanya.




.

Betul ke?

Menjelang Final AFF Suzuki esok,
Malaysia menentang Indonesia...
Lulu terkejut bila salah sebuah akhbar Indonesia,
mengkhabarkan berita yang kurang enak didengar...
huhuhuhu...


-Laporan dari Malaysia-
Penyokong Malaysia Tidak Seheboh Indonesia
Tiket yang belum dijual sehingga hari ini masih berjumlah 15 ribu keping.
Warga Malaysia menyaksikan babak final Piala AFF 2010 tidak sebesar di Indonesia. Buktinya, sehingga sehari sebelum final, tiket masih banyak yang belum terjual.

Menurut Kumar, salah seorang petugas penjual yang ada di Stadium Bukit Jalil, tiket yang ada hingga hari ini, Sabtu 25 Disember 2010, masih berjumlah 15 ribu keping.

Seluruhnya merupakan tiket untuk kategori  yang dijual RM30. Sedangkan untuk kategori VIP berharga RM50 telah habis terjual.

"Kalau masih ada baki, tiket akan kami jual esok," kata Kumar.

Ketika tinjauan (Indonesia), suasana kaunter tiket di Bukit Jalil tidak seramai di Indonesia. Bahkan suasana boleh dikatakan sangat lengang.

Suasana di kaunter tiket boleh dikatakan lengang. Para pembeli yang baru tiba tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan tiket yang diinginkan. Di Malaysia, pembeli juga tidak perlu membuat pesanan terlebih dulu. Pembeli boleh terus membeli tiket di kaunter tiket.


(AKHBAR INDONESIA)



.

Holiday yang meletihkan..

Salam...Selamat petang..


Jam dah menunjukkan pukul 5 petang..
Wah letihnya..
Pagi tadi pergi majlis orang nikah..
Kejap lagi, pun nak pergi rumah lain pula...
Sanding gitu..
ekekeke...


Tengah hari tadi, migrain menyerang..
Pergh...Lama dah tak kena..MySpace
Tadi kena, dah berkali-kali muntah..
Pening, hah, mata dah zigzag tak nampak sangat..
Pastu tidur sekejap, hah baru ok..


Susah kena migrain ni..menyampah haku..
Tapi Syukurlah sekarang dah ok..
Bila dah ok ni, dan tgk jam dah pukul 5,
ngee.. baru ingat hari ni krismas...



Buat semua pembaca Lulu-Pages,
selamat meraikan krismas..


Eheh, tak sabar nak tunggu tahun baru...MySpace
Dah terfikir ni, nak buat perubahan lagi untuk Lulu-Pages...
Perubahan apa?
Entah...Nanti korang tau le...
Just, setia bersama lulu....
Boleh ke?
(Huh Penat..)

MySpace




.

Loji penapisan PPTSB di Kemaman terbakar malam tadi


Sebuah loji penapisan minyak milik syarikat Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd (PPTSB) di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman di sini terbakar kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan loji memaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 11.54 malam tadi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba seramai 30 anggota bersama empat jentera dari balai Bomba dan Penyelamat Bandar Kerteh, Balai Paka, Balai Kompleks Petronas Kerteh dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain dan berjaya memadamkan api kira-kira 30 minit kemudian,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

“ Pihak kami terpaksa menunggu dan menjalankan pemeriksaan rapi sehingga jam 3 pagi bagi memastikan kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya lagi, sepasukan pekerja daripada syarikat loji penapisan minyak berkenaan yang dikenali sebagai Pasukan Tindak balas Kecemasan (ERT) seramai 30 anggota juga turut membantu usaha memadamkan kebakaran itu.

Khairulhasni berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dikatakan berpunca daripada sebatang paip minyak yang mengalami kebocoran namun pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.
Hasil tinjauan dari luar kawasan tersebut mendapati sebahagian daripada paip di pusat pemprosesan minyak itu terbakar teruk.




.

Elle dituduh hina Aishwarya


Majalah Elle dituduh menghina golongan bukan kulit putih selepas 'memutihkan' kulit aktres terkenal Bollywood, Aishwarya Rai, 37, pada gambar pelakon itu yang disiarkan pada muka depan penerbitan berkenaan.

Ramai peminat aktres itu menyuarakan kemarahan mereka di laman web Elle merujuk kepada gambar berkenaan pada edisi terbarunya.

Seorang daripada mereka berkata: “Saya tidak suka dengan tindakan itu kerana seolah-olah kulit lebih cerah sentiasa dianggap fesyen membayangkan kulit lebih gelap sesuatu yang tidak disukai.”

Pembaca memberi pandangan mereka bahawa majalah itu mungkin mencerahkan penampilan Aishwarya Rai Bachchan, bekas ‘Miss World’ yang juga membintangi filem Bride & Prejudice dan The Pink Panther 2.

Menantu Amitabh Bachchan itu muncul pada muka depan majalah itu bagi edisi India bulan ini dengan kulitnya seolah-olah lebih cerah daripada biasa.

Dalam majalah itu, perkara yang sama dilihat pada gambar pelakon terkenal berkenaan dalam beberapa foto. Ini bukan kali pertama Elle dikecam kerana dituduh mencerahkan model bukan kulit putih yang bergaya untuknya.


September lalu, aktres kulit hitam, Gabourey Sidibe juga muncul di muka depan majalah yang sama dengan keadaan kulitnya lebih cerah.
Pada masa itu, dalam penjelasannya, Elle menjelaskan ia tidak membuat perubahan besar kepada selebriti terbabit termasuk orang lain yang diambil gambar bersama dengannya.

Isu memutihkan kulit adalah sesuatu yang mencetuskan kontroversi di India.




.

6 kali tenggelam


PUCHONG: Pembinaan apartmen 21 tingkat dan masalah saluran pembetungan didakwa menyebabkan lebih 10 rumah penduduk dan kedai di Jalan Besar, Batu 14, dekat sini, menanggung kerugian setiap kali berlaku banjir selepas hujan lebat.
Penduduk, V Appavoo, 40, mengakui masalah banjir tidak pernah berlaku sebelum ini, namun selepas pembinaan apartmen kira-kira 70 meter dari rumahnya dua tahun lalu, kejadian terbabit mula menghantui mereka.

Dia yang tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan sejak kecil berkata, setiap kali hujan, mereka terpaksa mengemaskan barangan termasuk pakaian, perabot, peralatan rumah bagi mengelakkan ia rosak akibat banjir.
“Bagi tahun ini, sudah enam kali banjir berlaku dan paling teruk berlaku pada awal Disember lalu apabila paras air banjir mencecah 0.6 meter.

“Lebih teruk, ayah saya yang mengalami masalah kesihatan terjatuh dari katil dan hampir lemas dalam banjir ketika itu.

“Pernah kejadian banjir berlaku sebanyak tiga kali untuk tempoh seminggu dan saya sangat kecewa kerana masalah itu berpunca dari pembangunan apartmen terbabit,” katanya ketika hadir dalam lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T Murugiah di sini, semalam.

Katanya, masalah terbabit pernah dilaporkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun selepas tempoh dua tahun menunggu masih tiada tindakan.

Sementara itu, Murugiah berkata, banjir berlaku disebabkan saluran pembetung terlalu kecil bagi menampung keseluruhan air dan proses pembangunan apartmen terbabit.

Katanya, tindakan segera akan diambil dalam tempoh seminggu antaranya cadangan memperbesarkan pembetung terbabit, selain ia akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kerja Raya.




.

Arsenal gentar kelibat Drogba


Carlo Ancelotti mengakui Arsenal gementar untuk berdepan Didier Drogba pada pertemuan Liga Perdana England di Stadium Emirates, Isnin ini.

Pengurus Chelsea itu berharap penyerang Ivory Coast tersebut untuk meneruskan sentuhan jaringan selepas dia meledakkan 13 gol daripada 13 perlawanan menentang skuad The Gunners itu.
"Saya fikir, Arsenal gementar melihat kelibat Drogba kerana dia seringkali bermain dengan baik apabila bertemu mereka.

"Sekiranya dia bermain pada tahap terbaik Isnin ini, kami memperoleh peluang yang baik untuk menang. Kami memiliki rekod yang baik setiap kami menentang Arsenal dan mereka mengetahui kemampuan kami dengan baik.

"Arsenal menampilkan aksi bola sepak yang menakjubkan tetapi mereka mungkin menggunakan strategi bertahan dan kami perlu menggunakan kemampuan yang ada untuk membuka ruang, sekali gus mencipta sesuatu yang menyukarkan mereka.

Untuk rekod, Chelsea memenangi kesemua tujuh perlawanan terakhir menentang Arsenal manakala The Gunners hanya menang dua kali daripada 18 pertemuan.
Situasi yang sama berlaku di Stamford Bridge pada Oktober lalu apabila Drogba sekali lagi menjaringkan gol untuk membantu mereka mencatat kemenangan 2-0.

Bagaimanapun, Chelsea menurun di tempat keempat selepas hanya mampu mengutip tiga mata daripada lima perlawanan terakhir mereka.

"Kami menghadapi masalah kerana ramai pemain kami mengalami kecederaan.
"Apabila kamu berada dalam situasi yang buruk, sangat sukar menurunkan barisan pemain muda kerana kamu tidak mahu meletakkan tanggungjawab yang besar kepada mereka.

"Tetapi, kini kami sudah dua minggu tidak bermain dan kami perlu menggunakan cuti itu sebagai kelebihan."



 P/S - Ekeke..abang didi tak makna orang.. tak payah takut..




.

Anugerah Skrin 2010

Senarai pemenang Anugerah Skrin 2010:


Kategori Filem
Filem Terbaik: Muallaf
Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Bront Palarae (Belukar)
Pelakon Wanita Terbaik Filem: Sharifah Amani (Muallaf)
Pengarah Terbaik Filem: Yasmin Ahmad (Muallaf)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fazura (Pisau Cukur)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Aaron Aziz (Evolusi KL Drift 2)
Lakon Layar Terbaik Filem: Shamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2)


Kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Komedi Bersiri


Drama Terbaik: Antara Garisan
Pelakon Lelaki Terbaik: Fauzi Nawawi (Sebelum Akhirat)
Pelakon Wanita Terbaik: Norkhiriah (Antara Garisan)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Azma Aizal Yusoof (Antara Garisan)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fadilah Mansor (Sebelum Akhirat)
Pengarah Terbaik: Murali Abdullah (Sebelum Akhirat)
Lakon TV Terbaik : Shahrul Ezad Mohamedin (Antara Garisan)
Drama Rantaian Terbaik: Nur Kasih
Drama Komedi Terbaik: Simpang 3


Kategori Penerbitan Dalaman


Dokumentari atau Majalah Terbaik: Epik Suatu Ketika (Laskar Senoi) (Astro Prima)
Bual Bicara Terbaik: Isu Khas Gaza Palestin Kami Bersamamu (RTM)
Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 24 (TV3)
Rancangan Hiburan Terbaik: Anugerah Bintang Popular
Rancangan Realiti Terbaik: Showdown 2010 Episod 10 (8TV)
Laporan Khas/ Berita Terbaik: Aduan Rakyat Berbumbung Langit (TV3)
Videografi Terbaik: Datang Bulan
Anugerah Yasmin Ahmad: Shaheizy Sam





















.

Maut dirempuh lori..


Hasrat seorang lelaki untuk menetap di rumah yang baru dibelinya musnah apabila dia maut dalam satu nahas ngeri - motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori di Jalan Yeap Chor Ee di sini hari ini. Aung Kok Guan, 58, yang menyewa seorang diri di Jelutong sebelum ini amat teruja untuk menetap di rumah barunya yang terletak di Lorong Penang.

Bagaimanapun hajatnya tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Adiknya, Aung Kok Wah, 52, berkata, abangnya itu bekerja sebagai subkontraktor di tapak pembinaan apartmen yang dibelinya.
Menurutnya, Kok Guan membeli salah sebuah unit di apartmen itu setelah disyorkan oleh majikannya.

"Abang saya begitu bersemangat untuk berpindah ke rumah baru yang sudah hampir siap. Dia begitu sibuk menguruskan proses pembelian rumah itu bersama anak angkatnya. Tidak sangka, dia tidak sempat untuk duduk di rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Turut berada di tempat kejadian, beberapa ahli keluarga mangsa iaitu kakaknya, Aung Swee Hoe, 59, anak saudaranya, Lee Gim Hong, 22, serta anak angkatnya, Danny Ong Soo Yong, 21.

Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian dan melihat mayat bapa angkatnya, Danny hanya mampu menangis sambil duduk terpaku memandang ke arah mayat.
Kesemua mereka datang ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan oleh rakan mangsa yang melalui kawasan berkenaan.

Menurut Kok Wah, mangsa belum berumahtangga dan anak angkatnya itu yang sedang belajar di sebuah kolej di sini sering ke rumahnya dan hubungan mereka sangat rapat.

"Dia menyewa seorang diri. Danny selalu datang menemaninya terutama hujung minggu. Ketika ini Danny sedang menghadapi peperiksaan. Pasti kehilangan Kok Guan memberi sedikit tekanan kepadanya," katanya.
Kemalangan itu berlaku ketika Kok Guan dalam perjalanan ke tempat kerjanya tidak jauh dari situ selepas pulang untuk makan tengah hari.

Menurut jurucakap polis, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang seorang diri sebelum dia tiba-tiba dirempuh sebuah lori muatan satu tan.

Akibat rempuhan itu, mangsa dan motosikalnya hilang kawalan dan terjatuh.
Mangsa dan motosikal kemudian diseret sejauh hampir 50 meter. Pemandu lori berkenaan kemudian melarikan diri bersama kenderaannya.
Kok Guan yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.




.

Menantu tidak setaraf


Umpama filem Tan Sri P Ramlee ‘Antara Dua Darjat’, seorang bapa didakwa cuba memisahkan perkahwinan anak perempuannya yang bergelar ustazah disebabkan enggan menerima menantu yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Lantaran tidak merestui perkahwinan itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul mendakwa bapanya memaksa dia membuat laporan polis mengatakan suaminya memukau, memukul serta mengancam nyawanya.

Terbaru, kata Nurul, bapanya membuat permohonan kepada Jabatan Pelajaran supaya dia ditukar mengajar di sekolah lain ajar dia berjauhan dengan suaminya.
Menurut Nurul, dia berkawan dengan suaminya selama enam tahun sebelum mengambil keputusan kahwin lari di Thailand kerana keluarga terutama ayah tidak menerima calon pilihan hatinya sebagai menantu.

“Sejak itu saya dibuang keluarga apabila SMS dan panggilan telefon saya tidak dibalas. Masalah makin teruk apabila ayah mencampuri urusan rumah tangga dan mengadu perkara tidak elok kepada pengetua sekolah tempat saya mengajar.

“Saya ingatkan campur tangan pihak sekolah membantu meleraikan kekusutan itu, tetapi menjadi lebih teruk apabila ada kakitangan sekolah menjadi sebagai mata dan telinga melaporkan kepada keluarga mengenai tindak tanduk saya.

“Saya pernah dihalang daripada berjumpa suami selama sebulan dan ayah memaksa saya membaca nota mendakwa suami memukau, memukul dan mengancam keselamatan saya ketika berada di balai polis,” katanya.

Kata Nurul, bapanya menolak hasrat mereka berkahwin disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan suami yang memiliki STPM sedangkan dia berkelulusan ijazah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Hubungan kami ditolak kerana saya anak sulung dan bapa berharap saya bertemu jodoh dengan pilihan hati mereka berbanding suami yang mempunyai STPM dan bekerja sendiri,” katanya.

Suaminya yang mahu dikenali sebagai Daim berkata, walaupun mendapat tentangan keras daripada bapa mentua, dia berusaha mencari jalan perdamaian, namun dibalas dengan cubaan memisahkannya dengan isteri.

“Bapa mentua pernah memfailkan perintah kami berpisah di mahkamah syariah berdasarkan laporan polis yang kononnya dibuat oleh isteri sebelum ini.

“Saya mengambil keputusan mendaftarkan perkahwinan secara sah di Mahkamah Tinggi Syariah Johor sebelum perintah mahkamah sama menyatakan perkahwinan kami sah pada 30 November 2010,” katanya.

“Saya dan keluarga sanggup datang ke rumah mentua tetapi kedatangan kami tidak disambut kerana mereka enggan membuka pintu rumah,” katanya.

Daim berkata, usaha memisahkan mereka tidak setakat itu saja apabila bapa mentuanya turut memohon pertukaran tempat mengajar isterinya ke sebuah sekolah di utara Semenanjung.

“Berbekalkan lima laporan polis berkenaan bapa mentua melakukan permohonan pemindahan isteri untuk bertugas di Pulau Pinang dan bertemu dengan pelbagai pihak mencapai hajatnya.

“Saya menghantar surat kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kementerian Pelajaran di Putrajaya serta permohonan secara on-line di laman web kementerian bagi membatalkan pertukaran terbabit.

“Namun, permohonan itu ditolak dengan surat mengarahkan isteri saya mendaftarkan diri di negeri itu pada 1 Januari 2011.

“Kini, kami buntu dan tidak tahu ke mana lagi tempat mengadu. Kami tertekan dengan masalah ini,” katanya.




.

Kereta terbabas langgar buaya


TAWAU: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas selepas melanggar buaya tembaga lebih tiga meter yang melintas di Jalan Apas, Batu 5, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang enggan dikenali berusia 20 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya terkejut apabila mendapati buaya itu melintangi jalan.

Pemandu terbabit bagaimanapun gagal mengelak melanggar reptilia itu menyebabkan tayar Proton Wira dipandunya pecah sebelum terbabas ke dalam parit di kanan jalan.
Namun, mangsa tidak cedera, tetapi buaya tembaga betina dianggarkan seberat lebih 150 kilogram parah di mulut.

Difahamkan, lelaki itu pada awalnya menyangka haiwan yang melintangi jalan itu biawak kerana keadaan jalan agak gelap, namun tanggapannya meleset sebaik menghampiri dan mendapati ia buaya.

Sejurus kejadian, pemandu itu menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau untuk menyelamatkan haiwan berkenaan yang cedera selain bimbang menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Steven berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada pemandu berkenaan.

“Sebaik tiba ditempat kejadian, buaya itu masih bergerak dan tersepit di dalam parit.

“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan haiwan berkenaan,” katanya.

Julius berkata, buaya tembaga itu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.




.

Makanan mamak naik harga


Di sebalik peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mahu menaikkan harga semua makanan dan minuman yang dijual disemua restoran ahli persatuan itu mulai awal tahun depan.

Tindakan yang dilihat agak tergesa-gesa itu tanpa perlu melakukan rundingan dengan kerajaan jelas membuktikan bahawa persatuan tersebut mempunyai kuasa penuh untuk menaikkan harga setiap jenis makanan dan minuman di antara lima hingga 10 peratus.

Seperti biasa alasan yang diberikan oleh Presma untuk menjustifikasikan kenaikan harga itu ialah ahli-ahlinya yang kini seramai 2,700 orang sudah tidak lagi sanggup menanggung kos operasi berikutan kenaikan kos bahan mentah.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!