Wednesday, July 27, 2011

Dia reda dan menerimanya dengan hati terbuka


APABILA anak pertama yang dilahirkan 16 tahun lalu disahkan menghidap sindrom Brahme de Lange yang menyebabkan pertumbuhan Nurmaya Diyana Zamaris lambat berbanding kanak-kanak normal lain, Norzielawati Abd Kadir, 37, tabah menghadapinya.
Dia reda dan menerimanya dengan hati terbuka. Fikirnya pasrah, mungkin Tuhan mahu menguji ketabahan serta keimanan hamba-Nya.
Beberapa bulan selepas melahirkan anak pertama dia diuji lagi, kandungan kedua benar-benar meresahkan jiwanya.

Namun doktor pakar yang merawat Norzielawati ketika mengandung anak pertama mengatakan dia bakal melahirkan anak normal.
 Kata-kata itu diambil untuk menguatkan semangatnya. Seperti diberitahu doktor selepas melakukan ujian imbasan dan ujian darah, kelahiran Muhammad Danial Ikhwan sedikit sebanyak melegakan jiwanya. Danial dilahirkan sama seperti kanak-kanak lain, comel, sihat dan tiada cacat celanya sehinggalah dia berusia empat bulan.

 Namun takdir Tuhan tiada siapa mampu menghalang, kegembiraan dikecapinya itu hanya seketika cuma dan dia diuji lagi.
Menjelang empat bulan, Danial diserang sawan buat kali pertama. Apabila ke klinik sawannya berkurangan, namun pada ketika yang tidak dapat ditentukan penyakit itu datang berulang kali.

“Dalam sehari sehingga beratus kali Danial terpaksa ditenangkan dan dibawa ke hospital tanpa mengira waktu. Sudah puas air mata ini tumpah akibat sawan yang semakin lama semakin teruk,” katanya.
Keadaan ini menyebabkan darah Danial diambil dan dihantar ke Eropah untuk dibuat uji kaji. Namun hasilnya dia bukan mengalami sindrom Down atau penyakit lain cuma sawan yang sukar dikesan puncanya.

Sawan tarik yang dialami menyebabkan saraf otak mengecut dan menyebabkan pertumbuhan Danial terbantut.
Dia tidak boleh berjalan sehingga usia empat tahun, tidak boleh bertutur, malah gagal memahami arahan dengan jelas.
Keadaan itu berlarutan sehingga usianya lapan tahun apabila sawan dialaminya semakin berkurangan dengan bantuan ubat-ubatan.

Menurut Norzielawati, kelahiran Danial memberikan trauma kepadanya. Tambahan pula apabila melihat kembali gambar comel Danial ketika bayi.
“Berbanding Diyana memang saya sukar menerima kenyataan ini pada mulanya.
Namun, saya mula merenung diri dan mencari kelemahan saya sebagai manusia kerana Allah lebih mengetahui semuanya.

“Dia berkuasa atas semua kejadian, Dia mengetahui setiap sesuatu itu sama ada baik atau buruk untuk kita, akhirnya saya reda dan berserah kepada Allah,” ujar wanita ini sambil mengesat air mata dengan hujung bajunya.
Walaupun melahirkan dua anak istimewa, semua itu tidak menghalang Norzielawati untuk mengandung lagi kerana naluri keibuannya begitu kuat dan harapannya agar selepas ini dia dikurniakan anak yang sihat dan normal.

Selepas berbincang dengan doktor dan menjalani ujian darah, Norzielawati mengandung lagi. Kali ini kandungannya sama seperti terdahulu, sihat dan tiada alahan. Cukup tempoh, dia melahirkan seorang puteri comel menerusi kaedah pembedahan disebabkan kandungannya songsang.
Kelahiran Zurainis tiada bezanya dengan kanak-kanak lain. Dia mengalami pertumbuhan yang sama, boleh meniarap, merangkak dan berjalan apabila tiba waktunya. Namun kegusaran yang selama ini ditakuti dan menghantui dirinya datang semula.

“Apabila usia Zurainis meningkat dua tahun dan masih tidak boleh bertutur, ini merisaukan saya. Doktor juga tidak mampu mengesan masalah Zurainis cuma mereka memberitahu Zurainis bermasalah daripada segi pertuturan saja,” katanya.
Sama seperti Diyana yang dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seawal usia lima tahun, kini Zurainis dihantar lebih awal bagi memastikan dia tidak ketinggalan berbanding kanak-kanak lain.

“Saya pernah menghantar Zurainis untuk mengikuti kelas bahasa isyarat namun tidak diterima kerana Zurainis tiada masalah pertuturan, cuma lambat saja. Dia sukar menyebut sesuatu perkataan walaupun diajar berulang-kali. Sebab itu dia juga tidak boleh ke sekolah biasa,” katanya yang turut menjadi tenaga pengajar di PDK San Peng memandangkan tiga anaknya berada di sana.

Kini Diyana sudah menjangkau usia 16 tahun, Danial, 15 dan Zunairis, sembilan tahun. Bagi Norzielawati, tiada apa lagi yang mampu mengubat jiwanya dengan kehadiran anak-anak istimewa ini melainkan menjaga mereka sebaik mungkin dan berbakti selagi hayatnya dikandung badan.


Sebagai manusia, tipu sekiranya Norzielawati tidak menangis mengenangkan nasib anak-anaknya nanti sekiranya dia sudah tiada. Siapa yang akan menjaga mereka nanti?
Apabila mengenangkannya, jiwanya meruntun hiba. Sering kali dia mencari apa salahnya sehingga Tuhan menghukumnya sedemikian rupa? Dalam keluarga seramai 13 beradik tiada seorang pun dilahirkan istimewa begitu juga dalam sejarah keluarga suami.

Namun sebagai seorang Islam, dia percaya pada qada dan qadar Tuhan apatah lagi apabila memandang wajah anak-anaknya hatinya berkata mereka tidak berdosa.
“Saya mula menerima kenyataan, reda dan memberikan yang terbaik kepada mereka.
Walau apa juga yang berlaku mereka tetap anak-anak saya yang perlu diberi pendidikan dan dicurahkan kasih sayang sepenuhnya,” katanya.

Menurut Norzielawati, selepas menjalani pembelajaran di PDK banyak perubahan pada Diyana sehingga dia boleh menguruskan diri seperti ke bilik air, makan dan minum sendiri. Begitu juga Zurainis yang mampu berdikari, tetapi dia tidak boleh dibiarkan berseorangan kerana dikhuatiri hilang, tambahan pula apabila dia tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
“Saya berharap Diyana mampu bekerja suatu hari nanti, sekurang-kurangnya untuk pendapatan diri sendiri,” katanya yang mahu membuktikan kepada masyarakat anak Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh berjaya seperti orang lain.

Kerisauan Norzielawati hanya pada anak keduanya, Danial yang kesihatannya semakin merosot dan berkemungkinan lumpuh. Dia juga kini sudah tidak mampu berjalan dengan baik dan hanya mengesot untuk bergerak. Doktor memberitahu kemungkinan jangka hayat Danial tidak lama.

“Dalam waktu sebegini saya sudah bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Selagi Danial di depan mata, saya akan memberikan yang terbaik kepadanya dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya yang memperoleh pendapatan sebagai tenaga pengajar di PDK dan elaun untuk ketiga-tiga anaknya sebanyak RM150 seorang.

Dengan wang sebanyak itulah dia menguruskan anak-anaknya. Membayar sewa rumah, bil hospital dan perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Kadangkala saya tidak membayar sewa rumah dan bil yang lain kerana mengutamakan keperluan asas. Apabila hujung bulan dengan baki duit yang ada baru saya jelaskan setakat yang termampu,” katanya.

Melihat keadaan Norzielawati, sesungguhnya dia berjiwa kental mengharungi kesukaran membesarkan anak-anak dalam keadaan serba kekurangan. Malah, dia tidak malu memberitahu mempunyai tiga anak i
istimewa jika ada yang bertanya. Dia juga membawa anak-anaknya keluar bertemu orang ramai, membawa mereka ke pusat beli-belah dan ke taman seperti anak-anak orang lain.
Walaupun ada yang melihat dengan pandangan sinis dan mengejek, dia berbangga kerana diberikan kelebihan berkenaan.

“Saya selalu ingatkan diri, diberi tiga anak istimewa sekali gus tidak bererti saya susah kerana lebih ramai ibu bapa yang susah daripada saya.
“Ada yang mempunyai seorang anak OKU, tetapi tidak mampu berjalan dan terlantar saja. Saya mempunyai tiga anak namun mereka semuanya boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri.

“Saya percaya setiap dugaan itu berbeza-beza. Saya berbangga dan bersyukur kepada Allah kerana dipilih menerima ujian ini yang sesungguhnya tidak semua orang merasainya.
“Untuk apa saya menyorok anak-anak saya kerana mereka juga punya hak untuk menikmati kehidupan seperti orang lain. Kehadiran mereka membuatkan saya lebih sabar, reda serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah,” ujarnya.

Ditanya bagaimana Ramadan dan Aidilfitri nanti, nyatanya sama seperti tahun sebelumnya disambut secara ala kadar dan sederhana saja.
“Pakaian raya anak-anak semuanya disumbangkan PDK sepasang seorang. Itu sudah mencukupi lagipun perasaan mereka tidak sama seperti kanak-kanak lain kerana mereka tidak mengerti kemeriahan Aidilfitri.

“Dalam keadaan kesempitan duit untuk perbelanjaan harian mungkin kami akan merayakan Aidilfitri di sini saja dan tidak pulang ke kampung di Pahang,” katanya yang tinggal di PPR, Ampang Hiliran, Kuala Lumpur.
Bagi sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh melakukannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhammad Danial Ikhwan Zamaris 14107-29-00006171-4.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!