Wednesday, August 17, 2011

Dijangka bersalin bulan depan

SERI wajah wanita hamil terpancar pada wajah Kris Dayanti ketika bertemu pada sesi berbuka puasa di salah sebuah kafe popular di Jakarta baru-baru ini.
Perutnya semakin ke depan. Jalannya juga sudah tidak selincah dulu. Dia sangat berhati-hati.
Kehamilan kali ketiga selepas 11 tahun diakui penghibur kontroversi itu menawarkan pengalaman baru buatnya.

"Seperti ia kandungan anak sulung kerana semuanya seperti baru buat saya. Bayangkan, kali terakhir saya hamil 11 tahun lalu iaitu anak kedua saya, Azriel.
"Kini saya melaluinya sekali lagi pada usia 36 tahun. Semuanya serba baru buat saya. Bahkan, saya sudah terlupa bagaimana sakit bersalin," katanya sambil tertawa semasa berbuka puasa pada hari ke-11 Ramadan lalu.

Bagaimanapun, pada pertemuan itu, suami Kris, Raul Lemos tidak dapat turut serta kerana sedang bertugas.
Kehamilan kali ketiga penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Menghitung Hari ini turut mencetus kontroversi.

Ini kerana kehamilan itu berlaku lebih awal daripada tarikh pernikahan kali keduanya dengan usahawan dari Timor Leste pada 20 Mac lalu.
Hidup Kris selepas bercerai dengan suami pertamanya, Anang Hermansyah sentiasa dihimpit pelbagai kontroversi.

Dia juga sehingga kini masih belum mendapat hak penjagaan kedua-dua anaknya, Auriel Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah daripada bekas suaminya itu.
Justeru, penantian untuk menimang cahaya mata ketiga ini merupakan anugerah yang paling indah dalam hidupnya biarpun Kris menyedari akan ada pihak yang akan mencemuh kehamilan kali ini.

"Saya sudah banyak diuji termasuk dengan kehamilan ketiga ini. Biarlah apa sekalipun yang difikirkan orang ramai saya reda dan bersyukur dengan anugerah Allah ini," katanya yang asyik mengusap kandungannya yang sudah memasuki penghujung bulan kelapan.
Berdasarkan perhitungan doktor, Kris dijangka bersalin awal September ini. Dia juga tidak menolak mungkin bayi itu dilahirkan pada Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Kerana itu, Kris dan suaminya kini hanya menghitung hari untuk sama-sama menyambut kelahiran benih hasil daripada kasih sayang yang disemai.
Tidak lagi memberi perhatian pada persiapan lebaran, sebaliknya, segala-galanya difokuskan untuk menyambut kedatangan ahli keluarga baru.

"Semua persiapan dilakukan oleh saya dan Raul. Kami sama-sama mencari kelengkapan bayi, kami juga sudah meninjau wad bersalin di hospital, mencari orang tua yang akan menjaga saya sepanjang berpantang dan sebagainya," kata Kris.
Bahkan, setiap kali bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan kandungan, Kris sentiasa ditemani suaminya.

Pasangan itu juga sudah mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan Kris menerusi pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor.
Namun, Kris tidak mahu berkongsi apakah jantina anak yang bakal dilahirkannya itu.
"Saya mahu bikin surprise (kejutan) buat kamu juga. Kamu harus datang ziarah aku selepas aku bersalin nanti," pesannya.
Kata Kris, nama untuk bayinya juga sudah berada di fikiran dia dan Raul.

 

.

3 Penyokong CHELSEA:

Unknown on August 17, 2011 at 11:35 PM said...

semoga dia selamat melahirkan..:)

hazirah kasimon on August 18, 2011 at 12:57 AM said...

:) congrats kris

Unknown on August 18, 2011 at 10:34 AM said...

sentiasa gorges walaupun pregnant..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!