Thursday, August 18, 2011

Fasa baru bagi mereka


PENYANYI Mizz Nina, 31, yang selama ini sering beraya di Kampung Baru, Kuala Lumpur mengaku tidak sabar untuk merasai suasana raya di luar kota metropolitan.

Dia yang baru pulang dari berbulan madu bersama suami, Noh Salleh, 27, vokalis kumpulan Hujan di beberapa negara Eropah awal bulan ini berkata, kesempatan itu hanya dapat diperolehi apabila beraya di Miri dan Kuching, Sarawak kelak.
“Tidak sabar rasanya nak merasai pengalaman beraya di tempat baru. Selama ini saya beraya di Kampung Baru sahaja.

“Raya pertama di sini. Petang raya kami akan bertolak ke Kuching selama dua hari dan dua hari lagi di Miri,” jelasnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama 22 orang anak yatim dari Yayasan Murad, Seremban di Restoran Seri Melayu di sini, baru-baru ini.

Mizz Nina yang popular dengan lagu What You Waiting For memberitahu, Ramadan kali ini berbeza baginya dan suami kerana masing-masing buat pertama kali berbuka dan bersahur bersama.
Katanya, sebelum ini dia tidak kisah berbuka di rumah atau di luar. Bagaimanapun rutin itu berubah sejak berumah tangga.
“Saya memang tidak pandai memasak tapi saya cuba. Nak kata sedap macam chef, tidaklah. Setakat ini, dia tak adalah pula sakit perut. Saya sudah berjaya memasak ayam masak kicap dan sambal tumis.

“Lama kelamaan mungkin lebih banyak lagi makanan kegemaran dia yang saya mampu masak. Walaupun dia jenis tidak kisah tentang makanan tetapi sebagai isteri, saya ingin dia merasai masakan saya,” kata pemilik nama sebenar, Shazrina Azman terus terang.
Sementara itu, Noh berkata, dia tidak kisah kalau isterinya hendak memasak atau tidak kerana apa sahaja yang dihidang, pasti dimakannya.

“Saya tidak paksa isteri memasak sebab saya tahu dia macam mana tapi dia tetap nak masak. Adalah yang terlebih dan terkurang, tapi saya tetap suka kerana kesungguhannya itu,” ceritanya.
Katanya, apabila sudah berumah tangga, rutin kehidupannya pada bulan Ramadan berbeza kerana sewaktu bujang, masanya banyak dihabiskan di studio.

“Saya dan isteri sedang membiasakan diri melalui fasa baru ini seadanya. Biasalah dulu sesuka hati hendak berbuka atau bersahur di mana sahaja, tapi sekarang, mesti bersama.
“Terasa hidup lebih teratur kerana ada orang yang mengambil berat tentang diri kita. Inilah masanya untuk kami mengeratkan lagi hubungan,” akuinya.



.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on August 18, 2011 at 10:45 PM said...

semoga kebahagiaan itu berkekalan buat pasangan ini..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!