Seorang wanita warga emas kelainan upaya yang menghidap kanser tulang nyaris rentung dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Che Mas di sini pagi semalam gara-gara enggan keluar dari rumah kerana sayangkan ubat, dokumen kesihatan dan peribadinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Teo Peck Hiang, 59, yang lumpuh sebelah kiri badan, pekak dan bisu hanya duduk terpaku di kerusi di ruang tamu sambil menangis teresak-esak sebelum anak dan anak saudaranya datang menyelamatkannya.
Anaknya, Chu Ai Reen, 31, berkata, pada masa itu dia tiada di rumah kerana membeli sayur di pasar berhampiran namun segera pulang apabila diberitahu oleh anak saudaranya Hong Ee Chen, 13, yang tinggal bersama warga emas itu pada masa kejadian.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, saya lihat ibu saya hanya duduk di kerusi dan menangis manakala api telah merebak menghampiri ruang tamu. Kalau saya lambat, mungkin ibu saya tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ai Reen, sebelum dia tiba, Ee Chen telah cuba mengajak Peck Hiang keluar tetapi wanita itu tidak mahu berbuat demikian sehinggalah Ai Reen datang.
“Melalui bahasa isyarat, dia risaukan ubat serta dokumen kesihatannya tapi setuju untuk keluar setelah saya mengatakan akan mengambil semua ubatnya kemudian,” katanya.
Menurut Ai Reen, rumah itu didiami oleh lima orang iaitu ibu bapanya, ibu Ee Chen, Ong Kim Kee, 47, bersama dua anaknya. Namun, pada masa kejadian hanya ada Peck Hiang dan Ee Chen sahaja berada di rumah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat tiba dengan bantuan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor namun semasa tiba, 90 peratus rumah telah terbakar,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dengan dibantu punca air dari sungai di depan rumah mangsa.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
.
1 Penyokong CHELSEA:
owh macik, nyawa itu lebih penting daripada dokumen2 dan ubat2 tu.. apa pun syyukur lah segalanya selamat..
memang selalu kita dengar kes musibah berlaku bila menjelangnya aidilfitri
Post a Comment