Meskipun berita mengenai kes kecederaan serius akibat bermain mercun sering dilaporkan di media, ia seolah-olah tidak memberi pengajaran malah jumlah mereka yang terlibat terus meningkat.
Dalam kes terbaru di Seberang Takir dekat sini malam tadi, Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin, 13, tiga batang jari tangannya hancur dan hampir putus selain melecur di dada dan leher apabila mercun yang dipasang meletup secara tiba-tiba.
Pelajar Sekolah Menengah Kompleks Sukan Seberang Takir yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dikatakan keluar untuk menunaikan solat terawih di sebuah masjid bersama rakan-rakan seperti biasa.
Namun, menurut ibunya, Norayati Ismail, 34, pada malam itu, anaknya yang sering menunaikan tarawih di surau berhampiran rumah bersama neneknya memaklumkan untuk menunaikan terawih di surau lain, kira-kira satu kilometer dari rumah.
"Setengah jam selepas dia keluar, seorang rakannya menghubungi saya dan memaklumkan tiga jari Syafiq hancur ketika bermain mercun," katanya ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.
Menurut Norayati, anaknya itu kemudian dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan dan doktor memaklumkan dia perlu ditahan beberapa hari untuk proses menyambung jarinya.
Mohd. Syafiq ketika ditanya sama ada serik dan tidak akan lagi bermain mercun, hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa apabila ada peniaga yang mementingkan keuntungan berbanding keselamatan dengan menjual bahan terlarang itu kepada orang ramai.
Beliau turut mengibaratkan peniaga mercun seolah-olah peniaga dadah kerana bahan yang dijual mampu mencedera dan memusnahkan kehidupan orang lain.
"Kalau kena anak sendiri macam mana?, Banyak lagi benda yang boleh dijual bukan dengan jual mercun sahaja," kata beliau melahirkan kemarahan kepada peniaga mercun menjelang musim perayaan ketika ini.
.
2 Penyokong CHELSEA:
raya kalau takde mercun, tak sah. main mercun, kalau tak cedera tak sah. mesti ada yg cedera setiap tahun.
saya satu je nak cakap---> dah kena baru padan muke... satu lagi nak cakap---> undang2 ketat patut di beri buat mereka2 yang mengedar2 mercun ni.. kesian generasi muda lahir membesar dengan puntung2 tangan
Post a Comment