Lebih 40 keluarga di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil dekat sini berdepan dengan gangguan dan ancaman kira-kira 1,000 ekor kera liar yang menceroboh rumah mereka setiap hari.
Binatang yang menghuni kawasan hutan belakang rumah penduduk tersebut telah memasuki rumah untuk mencari makanan terutama pada waktu pagi dan tengah hari.
Seorang penduduk, R. Ramayi, 70, berkata, kera-kera itu bertindak agresif dan berani ketika memasuki rumah secara berkumpulan untuk mencari sisa makanan tanpa menghiraukan penghuni rumah.
Katanya, masalah itu berlaku sejak lebih dua tahun lalu tetapi semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Menurutnya, ini adalah ekoran daripada pembiakan haiwan itu yang semakin banyak serta terdapat pembangunan di kawasan hutan berdekatan.
"Pada awal pagi semalam kumpulan kera berkenaan melompat di atas bahagian belakang badan saya semata-mata mahu mendapatkan makanan tanpa rasa takut, ini menyebabkan saya takut hendak keluar rumah," katanya.
Tambahnya, disebabkan jumlahnya yang banyak, kera-kera itu turut merosakkan tanaman milik penduduk seperti pokok kelapa, sayur-sayuran dan tanaman lain.
Jiran Ramayi, G. Mariayee, 62, pula berkata, kanak-kanak di situ juga berasa trauma hendak berada di luar rumah kerana binatang itu pernah mencederakan salah seorang kanak-kanak ketika sedang bermain bersendirian.
"Jika kera-kera ini terlalu lapar, maka mereka akan keluar beramai-ramai memasuki kawasan rumah kami untuk mencari makanan," katanya.
Justeru, penduduk yang rata-rata penoreh getah berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bertindak mengatasi masalah berkenaan.
Seorang remaja, G.Thinagaran, 18, berkata, dia pernah dikerumuni berpuluh ekor kera semasa sedang membuang sampah di belakang rumahnya.
"Ketika saya membuang sampah, kera-kera itu tiba-tiba mengerumuni saya. Saya tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah seorang saudara datang membantu menghalau kera berkenaan," jelasnya.
Katanya, dia tidak mahu kehadiran kera yang semakin banyak itu menjadikan kampung berkenaan diberi nama julukan sebagai 'Zoo Kera' suatu hari nanti.
Seorang lagi penduduk, K. Kannan, 56, berkata, semua rumah penduduk terpaksa diletakkan jaring bagi menghalang kumpulan kera berkenaan memasuki kediaman mereka.
"Kami terpaksa meletakkan jaring di bahagian yang terdapat lubang di rumah untuk mengelakkan mereka masuk setiap hari," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan meminta Perhilitan berbuat sesuatu termasuk mengadakan kerjasama menghalau binatang berkenaan keluar dari kawasan penempatan penduduk.
Beliau menjangkakan binatang yang banyak itu dipercayai adalah kumpulan kera dari Pulau Pinang yang dibuang di situ sejak dua tahun lalu dan mulai membiak.
"Pihak kita bersama Perhilitan akan bekerjasama minggu depan untuk menghalau binatang berkenaan keluar dari kawasan berkenaan," ujarnya.
Kampung Kuala Temekah terletak kira-kira 300 meter dari tapak projek pembinaan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) oleh kerajaan negeri.
Selain kaum India yang menghuni kampung itu, terdapat kira-kira empat keluarga kaum Melayu turut mendiami kawasan berkenaan.
P/S - Jom Tengok ni.. [KLIK]
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment