Tuesday, July 12, 2011

Mawi bakal bergelar ayah.. Tahniah!!


Penyanyi Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi mengakui isterinya Nora’Asikin Rahmat atau Ekin kini hamil 7 minggu selepas berkahwin hampir tiga tahun lalu.
Mawi berkata, dia dan Ekin mengetahui berita gembira itu selepas mengadakan pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Bangi, Selangor kira-kira dua minggu lalu.

"Kami berjumpa doktor dua minggu lalu, selepas mendapati kitaran haid Ekin tidak stabil dan doktor mengesahkan Ekin hamil 7 minggu.
"Namun saya tidak berani untuk bercakap banyak kerana ia masih lagi terlalu awal untuk diperkatakan sebab dalam tempoh seawal itu macam-macam boleh terjadi," ujarnya ketika ditemui semasa rakaman Konsert Raya 1 Malaysia Muzik FM di sini, Selasa.

Jelas Mawi, buat masa ini doktor menasihatkan agar Ekin mendapat rehat secukupnya dan tidak banyak bergerak.
"Dia dinasihatkan agar banyak berehat bagi menjaga kandungannya. Lagi pula dia pernah mempunyai sejarah keguguran dua kali," tambahnya.

Ketika ditanya tentang perasaannya yang bakal bergelar bapa, Mawi berkata dia bersyukur dan gembira dengan berita tersebut.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira. Ini mungkin rezeki selepas menunaikan umrah pada bulan April lalu,

"Saya berharap peminat dan masyarakat mendoakan agar semuanya selamat," katanya yang tidak berharap kepada jantina bayi tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya tentang khabar angin bahawa dia ingin menjual rumah banglonya yang terletak kawasan kelab golf di Bangi, Mawi berkata ia adalah tidak benar sama sekali.
"Saya tidak pernah terfikir untuk jual rumah saya itu. Gosip tersebut tidak benar sama sekali," katanya menjawan desas desus berkenaan berikutan prestasi kerjayanya yang dilihat semakin merudum.




.

Bisikan anaconda


Hutan Lipur Ulu Bendul bukanlah lokasi asing kepada penduduk di negeri ini kerana ia terkenal dengan pelbagai spesies tumbuhan mahupun hidupan.
Dengan menjadikan dua elemen itu sebagai daya penarik, ditambah pula dengan air terjun, maka tidak hairanlah kawasan ini sering menjadi destinasi orang ramai untuk bercuti.

Jika sebelum ini hanya tumbuhan sahaja menjadi penunggu setia para pengunjung, kini ular sawa bakal 'menjalar' di lokasi ini dengan ular sawa jenis anaconda bakal menjadi daya penarik utama.
Melihat akan potensi lokasi itu menjadi sebagai pusat ekopelancongan, kewujudan Taman Ular Sawa di Ulu Bendul itu merupakan satu lagi aset pelancongan di negeri ini.

Taman Ular yang mula dibuka sejak Oktober itu bertujuan untuk memelihara semula reptilia berkenaan yang mana ia perlu dilindungi selain memperkenalkan spesies itu kepada umum.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan yang dipilih ini mempunyai dirian hutan yang terdiri daripada kayu jaras, pokok kecil dan pokok besar serta terdapat sungai yang mengalir sekali gus menggambarkan suasana semula jadi hutan lipur itu.

Jelasnya, melihat kepada keadaan sekeliling, taman ini sesuai dan berupaya untuk mengumpul dan memelihara haiwan reptilia ini dari seluruh dunia secara in-situ dan ex-situ untuk pemerhatian umum di samping memberi kesedaran supaya spesies itu tidak pupus.
''Kita melihat kewujudan Taman Ular Sawa Ulu Bendul ini akan menjadikan lokasi ini sebagai kawasan ekopelancongan terkemuka dan popular di negeri ini yang mana orang ramai boleh datang untuk melihat sendiri spesies ular anaconda secara dekat.

''Apa yang saya dimaklumkan, taman ini mempunyai 42 ekor ular terdiri daripada 11 spesies," kata Mohamad pada lawatannya di Taman Ular Sawa Ulu Bendul di sini baru-baru ini.
Mohamad juga memberitahu, Taman Ular ini juga bakal menjadi salah satu lokasi penyelidikan bagi para saintis untuk menyelidik secara dekat mengenai keunikan reptilia berkenaan.
Tambah beliau, antara daya tarikan terbaru di taman ini ialah ular sawa batik yang mempunyai berat 90 kilogram dan panjangnya lebih enam meter.

''Malah kita juga memiliki ular jenis Green Anaconda yang mana ia telah melahirkan sebanyak 17 ekor ekor. Ular ini juga mempunyai berat lebih kurang 20 kilogram dan panjangnya hampir empat meter.
''Dengan pengalaman sebelum ini, saya percaya bahawa lokasi ini berupaya untuk menjadi salah satu pusat pelancongan terkemuka bukan sekadar untuk berekreasi semata-mata malah ia mampu menjadi tempat tumpuan orang ramai yang meminati ular sawa anaconda ini," katanya.




.

Haram Makan, Berubat Guna Cicak Tokek


Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang buat kali ke-95 pada 16 hingga 18 Jun lalu memutuskan hukum memakan dan berubat dengan menggunakan cicak tokek adalah haram.
Dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web e-fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan berpandangan bahawa para ahli fekah telah mengklasifikasikan cicak tokek sebagai binatang yang haram dimakan kerana ia tergolong dalam kategori yang menjijikkan serta mempunyai racun.

“Justeru, masyarakat Malaysia diseru tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan.
“Sehingga kini, tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan penggunaan cicak tokek mampu menjadi penawar kepada penyakit-penyakit tertentu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

Sebelum ini laporan akhbar pernah menyebut permintaan cicak tokek amat tinggi dan didakwa dijual pada harga ratusan ribu bagi seekor cicak jika ia dijual.
Ada juga dakwaan yang menyebut cicak ini mampu mengubati penyakit HIV bagaimanapun sehingga kini tiada kajian yang dapat mengesahkan kesahihannya.
“Justeru, Jawatankuasa Muzarakah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum memakan cicak tokek adalah haram di sisi Islam.

“Manakala untuk tujuan perubatan penggunaan cicak tokek adalah diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan sekiranya tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkenaan,” katanya.

Mei lalu, media melaporkan seorang ahli perniagaann Nazaruddin Saidin diculik berpunca daripada keinginannya bertemu dengan penjual cicak tokek, yang hanya dikenali sebagai Ghafar , di selatan Filipina.
Nazarudin, 38, bapa kepada enam orang cahaya mata ini dilaporkan diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina ketika dia sedang menguruskan pembelian cicak tokek di negara tersebut. Sehingga kini pihak berkuasa masih belum dapat menemuinya.



.

day 5 - status anda ? relationship anda?


Weee, ramai yang tepuk tangan dengan soalan cabaran hari ke 5 ini...
Sila tepuk beramai-ramai dan baca entri ini dengan penuh perasaan..ekeke...


Selama setahun lebih Lulu-Pages jadi belog,
ramai yang mengakui Lulu Caldina memang jarang sangat membicarakan mengenai hati, status dan perasaan... Lebih tepat lagi, Lulu Caldina memang jarang menulis mengenai hal peribadi...
Sedangkan ramai yang ingin tahu..
Ramai yang tertanya-tanya...


Tujuan Lulu-Pages diwujudkan pun, sebenarnya bukan bertujuan untuk itu,
so, rasanya, sudah ramai yang dapat terima konsep blog ni..
Dan, syukur, semoga kita semua dapat manfaat dari maklumat dan pengetahuan yang ada dalam blog ini..
Yang jelas, ada banyak blog yang cerita hal peribadi..
Masing-masing kan ada keistimewaan tersendiri ;)


Untuk menjawab soalan cabaran hari ke5 ini,
err.... lulu err..boleh tak, tak jawab??????






*










*











*



Yang pasti, Lulu Caldina memang disayangi oleh ramai orang..
Dan lulu bersyukur untuk semua itu...




P/S - Tamat cabaran hari ke 5, semoga semua puas hati dengan jawapan itu..ngee ;)
Jom baca yang lain [KLIK]. Gambar ehsan Google..




.

Nak anak cepat


JIKA ditakdirkan pernikahan yang dimeterai pada 1 Julai lalu diserikan dengan kehadiran cahaya mata dalam waktu terdekat ini, Mohammad Noh Salleh atau Noh, 27, dan isteri, Mizz Nina, 31, tidak menolak untuk menerima kehadiran orang baru dalam istana cinta mereka.
Sebaliknya khabar itu akan disambut dengan perasaan gembira kerana pasangan suami isteri itu tidak menolak anugerah yang diberikanNYA.

"Orang kahwin mesti nak anak. Bagi saya, kalau cepat dapat anak, itu lagi bagus. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, janji sihat," kata Noh yang mengenakan pakaian rekaan Michel Ong pada majlis resepsi di Hotel Doubletree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pada majlis berkonsep budaya Jepun itu, para tetamu yang terdiri dihiburkan oleh kumpulan Sore daripada Indonesia.

Noh yang bakal mengadakan majlis resepsi di East Wood Golf Resort, Miri, Sarawak pada 15 Julai ini berkata, jika diizinkan Allah, dia ingin memiliki dua orang cahaya mata terlebih dahulu, sementara Nina atau Shazrina Azman, mahu tiga orang anak.
Pasangan yang bakal berbulan madu ke United Kingdom, Rome dan Maldives bermula 17 Julai sehingga 1 Ogos ini berkata, sejurus balik daripada percutian itu, masing-masing akan sibuk dengan jadual kerja yang telah diatur.

Tambah Noh lagi, menjelang Ramadan, dia dan kumpulan Hujan akan sibuk menjalani rakaman album keempat, sementara Nina pula dengan single terbarunya.
"Setakat ini saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan Hujan kerana memahami keadaan saya yang sibuk menguruskan majlis perkahwinan.
"Jadi, selepas balik dari berbulan madu, saya perlu meneruskan kerja yang tertangguh," ujar Noh.
Noh turut berkongsi kata-kata pesanan bapa mertuanya, Tan Sri Azman Hashim ketika majlis resepsi yang diadakan 3 Julai lalu di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Kata Noh, dia diamanahkan supaya menyayangi anak kesayangan Azman itu sehingga ke akhir hayatnya.
Pesanan itu, ujar Noh, diucapkan sendiri oleh bapa mertuanya itu.
Namun bagi Noh sendiri, dia diingatkan agar setia kepada isteri tercinta dan nasihat daripada bapa mertuanya itu amat menyentuh hatinya.
"Saya berjanji dalam hati akan menjaga, menyayangi, mencintai dan setia kepada Nina sepanjang hayat saya.
"Dia adalah ratu hidup saya dan tidak mungkin saya berubah. Keistimewaan yang ada pada dirinya membuatkan saya akan setia bersamanya. Insya-Allah," kata Noh.




.

Lulu-Pages sudah serba Pink..




Ramai yang terkejut sejak pagi tadi, sebab akhirnya Lulu-Pages sudah bertukar dari warna biru ke warna pink... maafkan lulu lah yer jika header itu tak lawa... ekeke, buat cepat dan tergesa-gesa, maka hasilnya pun tidaklah sekreatif mana..


Lulu-Pages terpaksa bertukar ke warna pink kerana setelah undian/POLL dibuat, keputusannya menyatakan bahawa ramai nak Lulu-Pages berwarna pink.. So, untuk menghormati permintaan pembaca, lulu dengan ini menunaikan impian korang.. ekeke, sila jangan bangga dulu eh...


Lulu-Pages serba pink hanya untuk 24 jam sahaja....
Lepas 24 jam, kita kembali ke warna asal, warna kecintaan ku, iaitu warna biru...
Janganlah, Lulu-Pages memang biru...
Lepas ni pun kekal biru.. musim dah nak mula wooo...
keep the blues flying high..



So, hayatilah warna pink itu, sebab lepas ni dan biru balik....... :)




.

Tunggu pinangan ;)


Dua tahun menjalin percintaan masih belum meyakinkan pasangan merpati dua sejoli, Amylea Azizan, 25, dan Farouk Flava, 21, untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.
Walaupun Amylea dan Farouk telah berkawan selama empat tahun namun kedua-duanya masih dalam proses memahami dan mengenali hati budi masing-masing.
"Hubungan kami bukan rahsia kerana keluarga masing-masing mengetahuinya.
"Bagi saya, restu keluarga itu amat penting dan alhamdulillah, kami mendapat restu dalam menjalin hubungan ini," kata Amylea.

Baru-baru ini, tercetus khabar angin yang mengatakan kononnya bekas pelajar program realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketiga (2005) itu telah berkahwin.
"Saya belum lagi berkahwin. Khabar angin itu mengatakan dengan siapa agaknya saya berkahwin?
"Kalau dengan kekasih saya (Farouk), tak mengapalah. Jangan pula saya dikatakan berkahwin dengan orang lain.
"Kalau benar saya sudah berkahwin, pastinya saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan semua orang dan tidak mahu menyembunyikannya.

"Apa yang saya nyatakan ini adalah benar walaupun ia soal peribadi. Lain kali, kalau ada terdengar berita seperti ini, eloklah bertanya terus kepada saya," katanya tenang.
Amylea yang pernah menjadi peserta One In A Million (OIAM) musim ketiga pada tahun 2009 tidak melenting ditebak dengan soalan berbaur peribadi itu beranggapan, khabar angin itu merupakan doa yang baik ke atas dirinya.

"Itu adalah satu doa yang baik ke atas diri saya. Jadi, saya tidak marah cuma jika masih ada lagi pihak yang enggan percaya dengan penjelasan saya ini, bolehlah bertanya kepada ibubapa saya," katanya.
Sementara itu, Farouk atau nama sebenarnya, Mohd. Farouk Abdul Razak, peserta pertandingan Gangstarz musim pertama (2007) yang berdiam diri sepanjang mendengar jawapan daripada Amylea berhubung gosip perkahwinan, tersenyum apabila diminta bercerita tentang hubungan cintanya dengan kekasihnya itu.

"Saya sebenarnya ingin membawa hubungan kami ini ke satu peringkat lagi iaitu ke arah perkahwinan tetapi ia bukan semudah itu.

"Jujurnya saya beritahu di sini bahawa saya masih mengumpul duit kerana hasrat di hati memang ingin menghantar rombongan peminangan pada tahun hadapan.
"Sama ada awal, pertengahan atau pun hujung tahun, masih belum dapat ditentukan," kata Farouk dalam nada tenang.

Bercinta dengan Amylea, akui Farouk, mengajarnya erti kematangan dalam menjalani kehidupan.
Ini kerana, katanya, walau pun Amylea empat tahun lebih tua daripada usianya, dia tidak pernah terasa kekasihnya itu bersikap dominasi.

"Dia matang dalam membuat keputusan. Dia juga tidak pernah membuatkan saya terasa rendah diri.
"Hubungan dengannya seimbang dan bersamanya, saya merasa diri ini lengkap," katanya sambil memandang ke arah Amylea yang duduk di sebelahnya.
Katanya lagi, dia dan Amylea adalah pasangan yang serasi dan hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing.

"Apabila hubungan yang dijalin ini mendapat restu daripada orang tua kami, itu adalah satu petanda yang baik.
"Jadi, dari sekarang kami belajar erti susah senang bersama dan kami lebih mengenali hati budi masing-masing," katanya.




.

Cedera ketika padam kebakaran


Dua anggota Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh cedera setelah disambar api berpunca daripada letupan kecil ketika memadam kebakaran sebuah kilang perabot di kawasan perindustrian Bukit Rambai, di sini malam tadi.
Ketika kejadian pukul 9.30 malam itu, kedua-duanya iaitu Amran Kassim, 36, dan Sabri Ahmad, 40, sedang bertungkus lumus memadamkan api bersama 27 anggota Bomba dan Penyelamat lain.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Zainudin Md Alip berkata, berikutan itu, mereka diberi rawatan pesakit luar di Hospital Melaka (HM).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Razak Manap berkata, kebakaran pertama melibatkan kilang yang sama berlaku pukul 12.45 tengah malam, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kebakaran dipercayai bermula pada bahagian operasi kilang tersebut, namun berjaya dikawal kira-kira pukul 4 pagi.

"Bagaimanapun, pukul 9.29 malam tadi, kami nampak cahaya yang terang sebelum menyedari ia adalah kebakaran kilang sama, tetapi lokasinya agak jauh sedikit iaitu kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pertama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kata beliau, sebanyak lima jentera dari Balai Bomba Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Ayer Keroh dan Jalan Kubu dikejarkan ke kilang berkenaan bagi memadam kebakaran tersebut dan mengelak daripada merebak ke kilang bersebelahan.

Menurutnya, api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dengan kekuatan anggota seramai 30 orang.
Ujarnya, nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM2 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihaknya.
Menurut pemilik kilang terlibat, Datuk Peter Sow, kebakaran kali kedua itu membabitkan gudang menyimpan bahan membuat perabot dan kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta.




.

Kemalangan yang tidak disangka..


Keriangan seorang wanita bercuti di sebuah taman tema air di Dengkil, dekat sini, bersama keluarganya sempena cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila cedera di leher dan tangan akibat dirempuh seekor kuda, petang kelmarin.
Ketika kejadian, Nor Zainab Saron, 37, dari Kajang berjalan kaki bersama suami dan empat anak mereka yang masih kecil di kawasan gerai makanan apabila dirempuh seekor kuda yang mengamuk dan keluar dari trek latihan.

Lebih malang, anak Nor Zainab berumur lima tahun yang ketika itu berjalan bersamanya turut menjadi mangsa apabila terjatuh dan terseret bersamanya akibat rempuhan itu. Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan itu dibenarkan keluar wad, tetapi masih perlu menerima rawatan susulan.
Difahamkan, mangsa dan keluarga tidak menyedari kehadiran kuda yang mengamuk itu kerana kawasan itu dipenuhi orang awam dan trek latihan kuda terletak agak jauh dari kawasan kejadian.

Kakak Nor Zainab, Nor Hayati, 40-an, berkata adiknya dirempuh secara tiba-tiba dari belakang oleh kuda yang ditunggang pelatih pusat latihan tentera berkuda menyebabkan dia terjatuh dan terseret beberapa meter sehingga mulutnya terkoyak selain luka di kepala dan jari.

“Suasana menjadi panik dan akibat kejadian, adik tidak sedarkan diri serta tidak mampu mengingati apa berlaku disebabkan hentakan kuat di kepala. Anaknya cedera di kepala dan menerima rawatan susulan.
“Selepas menerima rawatan dan pemeriksaan X-Ray di Hospital Banting, pada mulanya pihak hospital mengatakan adik saya tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kami diarahkan untuk tunggu 24 jam lagi bagi melihat tindak balasnya.

“Bagaimanapun, pada malam yang sama adik saya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HTAR di sini, semalam.
Nor Hayati yang juga suri rumah sepenuh masa, berkata setibanya di HTAR, doktor mendapati adiknya mengalami kecederaan serius di leher serta tangan kanan yang memerlukan rawatan rapi dengan segera.

“Saya kecewa dengan kecuaian penunggang kuda terbabit yang dipercayai gagal mengawal kuda miliknya sehingga menyebabkan adik saya yang bertubuh kecil terpaksa menanggung kesakitan,” katanya yang bakal membuat laporan polis berhubung kejadian itu.




.

"Tiba-tiba dia terjun.."


“Sejak sebulan lalu, arwah tidak pernah tinggal solat lima waktu. Malah, segera menunaikannya sebaik mendengar azan,” kata Suzana Mat Saad, 37, ibu kepada remaja lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU), Mohamad Amirul Amrie Ainsa, 13, yang ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa yang datang bersama enam ahli keluarganya dikatakan tiba-tiba terjun seorang diri ke dalam tasik sedalam kira-kira 10 meter itu sejurus tiba di situ sebelum hilang. Suzana berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu lumpuh kaki kanannya selepas terbabit kemalangan pada usia tujuh tahun. “Saya sedih sangat kerana baju raya tahun ini sudah siap dibeli dan dia juga sudah beberapa kali mencuba baju itu. Dia kata tidak sabar untuk memakainya pada pagi hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Abang mangsa, Mohamad Amirul Assuar, 17, berkata ketika kejadian dia baru meletakkan beg pakaian dan sedang berurusan menyewa jaket keselamatan daripada seorang operator di kaunter berdekatan untuk kegunaan ahli keluarganya.
“Dari jarak kira-kira 20 meter, saya lihat adik berjalan ke tepi ponton dan terjun ke dalam tasik seorang diri sebelum tenggelam dan hilang. Sejurus itu, suasana menjadi kecoh dan kelam-kabut.

“Tanpa berfikir panjang, saya berlari dan turut terjun ke dalam tasik itu untuk cuba menyelamatkan adik, malangnya tidak sempat memegang baju atau rambutnya,” katanya.

Mohamad Amirul Assuar berkata, kejadian yang berlaku pantas itu turut disaksikan beberapa pelancong asing yang kebetulan sedang mandi dan berenang dalam tasik berkenaan pada jarak 10 meter dari tempat adiknya terjun.
“Ekoran itu, seorang pelancong Eropah turut menyelam bersama saya ke dasar tasik bagi mencari mayat adik, namun usaha itu juga gagal kerana airnya dalam dan kami keletihan selepas beberapa minit menyelam.

“Selepas semua usaha berkenaan gagal, saya dan ahli keluarga mengambil keputusan menghubungi dan membuat aduan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi (IPD) dan bomba bagi meminta bantuan,” katanya.




.

Dia ditumbuk dan ditendang


Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.

Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.

“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam.




.

Cedera Parah...


Seorang guru wanita maut, manakala empat anak perempuannya berusia 10 hingga 17 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua motosikal di Batu 6, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Tunjong, di sini hari ini.

Mangsa, Junaidah Mohd. Nor, 45, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dekat sini maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan pukul 7 pagi itu.
Anak mangsa, Nurul Julia Mohd. Nawi, 17, patah paha dan tangan, manakala tiga adiknya, Nabila Jasmin, 15, Nurjaihan Afilin, 13, serta Natasha Juliana, 10, cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan ke sekolah bagi menghantar Nurul Julia yang belajar di SMK Zainab 1 dan Natasha Juliana di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab II.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa berlanggar dengan sebuah van dipandu oleh seorang lelaki.

"Sebelum itu, van tersebut berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil ketika cuba memotong kenderaan lain di hadapannya. Van terbabit kemudian masuk ke laluannya semula dan melanggar sebuah motosikal.
"Van itu yang terus hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta dinaiki mangsa dan anak-anaknya.

"Sebuah motosikal lain yang berada di belakang kereta mangsa turut terbabas. Mangsa cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azham berkata, mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, pemandu Perodua Kancil dan penunggang motosikal Yamaha Legenda hanya cedera ringan. Turut cedera, seorang murid sekolah yang juga pembonceng motosikal jenis Demak dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha sedang dibuat bagi mengesan pemandu van terbabit.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd. Nawi Deraman, 45, yang juga seorang guru memberitahu, isteri bersama empat anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Tukol, Peringat, dekat sini pukul 6.40 pagi untuk ke sekolah.

Menurutnya, rutin harian isterinya adalah menghantar Nurul Julia dan Natasha Juliana sebelum ke SMK Putera bersama-sama dua lagi anak mereka, Nurjaihan Afilin dan dan Nabila Jasmin.
"Saya keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi. Selepas memasuki Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, saya tengok jalan raya mengalami kesesakan teruk dan menjangkakan ada berlaku kemalangan.

"Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memberitahu isteri dan anak saya terlibat dalam kemalangan tetapi, ketika itu saya hanya menjangkakan ia kemalangan kecil sahaja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II di sini.
Tambahnya, beliau yang bergegas ke tempat kejadian mendapati isterinya meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak-anaknya dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.




P/S - Pemandu van tu lari, kan?



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!