Wednesday, September 7, 2011

Rekod terbaru Guinness World Records


Pihak Guinness World Records mengesahkan seekor anjing di sini memiliki telinga anjing terpanjang di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Anjing jantan dari jenis coonhound bernama Harbor itu memiliki telinga kiri sepanjang 31.24 sentimeter (sm) manakala telinga kanan haiwan tersebut pula berukuran 34.54 sm.


Ia dipelihara oleh seorang wanita, Jennifer Wert yang menetap di sini, negeri Colorado.
“Setiap kali saya membawa anjing saya bersiar-siar, terdapat pemandu kereta akan berhenti untuk melihat Harbor dari dekat dan merakam gambarnya,” kata Wert.
Menurut wanita itu, baka anjing tersebut dibela untuk memburu rakun kerana telinga mamalia tersebut yang panjang dapat membantu menolak bau ke arah hidungnya.



.

"Saya sudah terlalu tua untuk itu.."


Pelakon Rowan Atkinson yang melakonkan watak Mr. Bean kemungkinan tidak akan muncul lagi dalam filem, lapor sebuah akhbar semalam.
Atkinson yang kini berusia 56 tahun menyatakan dia percaya, dirinya sudah terlalu tua untuk melakonkan watak Mr. Bean.

Siri televisyen pertama Mr. Bean muncul selama lima tahun sejak 1990.
Lebih 18 juta orang menonton siri televisyen tersebut di Britain walaupun ia mendapat kritikan.

Dia berlakon dalam filem Bean: The Ultimate Disaster Movie pada 1997 dan Mr. Bean’s Holiday empat tahun lalu selain Johnny English.
Dia kini sibuk mempromosikan filem Johnny English Reborn yang turut dibintanginya bersama Gillian Anderson dan Rosamund Pike.

Namun, dia berkata: “Saya berasakan semakin tua untuk melakonkannya (Mr. Bean). Saya suka Mr. Bean sebagai watak kartun yang umurnya tidak pernah meningkat.”
Atkinson berkata, umurnya semakin meningkat.
“Semakin saya berumur, saya berasakan tidak layak untuk melakonkan watak Mr. Bean,” katanya.



.

Memang tersangat besar..


Seekor buaya tembaga berukuran 6.4 meter panjang, dipercayai yang paling besar ditemui, ditangkap di bahagian selatan Filipina setelah beberapa kejadian serangan buaya berlaku.
Seorang pemburu, Rollie Sumiller berkata, reptilia jantan seberat 1,075 kilogram itu dipercayai membaham seorang petani yang hilang Julai lalu di bandar Bunawan dan juga menyerang dan membaham kepala kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dua tahun lalu.
Pemburu itu menyiasat isi perut haiwan itu dengan memaksanya muntah selepas ia ditangkap Sabtu lalu, tetapi, tiada cebisan tubuh manusia ataupun kerbau yang dilaporkan hilang oleh penduduk di situ ditemui.

“Penduduk merasa lega, tapi kami tak pasti ia telah memakan manusia kerana mereka pernah melihat beberapa ekor buaya lain di kawasan itu,” kata Sumiller.

Kerajaan tempatan di bandar miskin yang menempatkan 30,000 orang penduduk itu, membuat keputusan untuk tidak membunuh buaya tetapi akan membuka sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu kepada orang ramai.

Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, mungkin buaya itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di dunia.

“Berdasarkan rekod yang ada, buaya yang terbesar ditangkap sebelum ini ialah sepanjang 5.48 meter,” katanya.



.

Wordless Wednesday





.

Bakal buka studio sendiri


SEBAIK sahaja melangkah kaki ke dunia seni, anak muda ini sudah mengatur kemas langkahnya bagi memastikan impiannya tercapai sebagai seorang anak seni yang berjaya.
Semangat kental yang ditunjukkan Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali dengan nama komersial, Aizat ini membuktikan kehadirannya ke pentas seni bukan sekadar suka-suka.

Dengan pelbagai pengiktirafan baik dari segi popular mahupun terbaik yang sudah diterimanya berjaya membuka mata masyarakat bahawa bakat dimilikinya bukan sembarangan.
Menyedari keseriusannya sebagai seorang karyawan, Aizat dengan penuh teruja memberitahu dia bakal membuka studionya sendiri tidak lama lagi.
Jelas Aizat, dia dan abangnya, Anas akan mengusahakan studio yang bakal dibina di pejabat Kasi Gegar Entertainment (KGE) di Ampang, Selangor itu tidak lama lagi.

"Saya cukup gembira kerana impian saya untuk memiliki studio sendiri akhirnya terlaksana juga. Malah, sejak dari awal lagi sewaktu mula-mula menjadi artis, ia merupakan salah satu cita-cita saya.
"Selepas hampir empat tahun menjadi artis, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya merealisasikan impian itu," jelas Aizat sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa, Aizat & Frenz anjuran Dream Music di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujar penyanyi muda yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu lagi, pembinaan studio itu masih lagi di peringkat perbincangan.
Katanya lagi, ia memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan studio yang dibina itu dapat mencapai kepuasan kepada semua pihak.
"Memang banyak perkara yang perlu diambil kira apabila mahu menubuhkan studio. Kita perlu memastikan peralatan dan sistem audio berada dalam keadaan terbaik.

"Bukan itu sahaja, persekitaran bilik yang akan ditukar menjadi studio itu juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan mutu bunyi yang baik.
"Jadi, buat masa ini kami masih lagi berbincang dan merangka pelbagai perkara untuk penubuhan studio ini," jelas Aizat yang mula dikenali menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima pada tahun 2007 ini lagi.

Penyanyi dan komposer berusia 22 tahun ini juga tidak menafikan dengan penubuhan studio itu kelak adalah sebagai langkah awalnya sebagai seorang ahli perniagaan.
Katanya, selepas merakamkan dua albumnya di studio milik orang lain, Aizat begitu kepingin untuk menerbitkan albumnya di studio miliknya juga.

"Dengan adanya studio kelak, ia juga akan menjadi tempat untuk saya bekerja dan menghasilkan lagu. Sebagai seorang pengkarya, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk studio saya itu.
"Sudah pasti, saya mahu melihat ia berjaya dan siapa tahu, studio saya itu nanti akan setanding dengan Studio Abbey Road, London yang merupakan studio yang cukup saya kagumi," ujar pengagum kumpulan The Beatles ini yang kelihatan semakin kurus ini sambil ketawa.

DFP menanti Aizat

BIARPUN album keduanya, Urusan Aizat Amdan masih lagi mendapat tempat di kalangan pencinta muzik tempatan, Aizat kini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album ketiganya.
Sudah mempunyai beberapa lagu dalam simpanannya, penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-16 (2009) ini mahu berterusan bereksperimentasi dengan muzik baru agar karyanya tidak kedengaran statik.

Dalam hal ini, pelantun lagu Sungai Lui dan Lagu Kita ini mengambil contoh penerimaan positif masyarakat terhadap album Urusan Aizat Amdan yang ternyata membuatkannya berasa puas hati.
Selain itu, Aizat turut mengkhabarkan dia akan beraksi dalam sebuah persembahan di Sydney, Australia sebelum penghujung tahun ini.

"Tetapi, apa yang lebih mengujakan saya apabila terpilih mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di bawah siri Spotlight pada 3 Oktober ini.
"Sebelum ini, saya hanya membayangkan diri saya menyanyi di pentas yang cukup gah itu. Namun, tidak sangka pula akhirnya impian itu bertukar realiti.

"Sesungguhnya saya cukup teruja dan dalam masa yang sama gementar juga. Sudah pasti saya akan menyampaikan lagu-lagu popular saya selain lagu lama kegemaran saya yang diberi nafas baru.
"Secara eksklusifnya juga, saya akan menyampaikan lagu-lagu baru saya nanti," kata Aizat tentang persembahan yang juga akan menampilkan Yuna pada 12 dan 13 September.
Bagi mereka yang berminat mahu menonton persembahan Aizat di DFP, bolehlah melayari laman web, www.dfp.com.my untuk keterangan lanjut.



.

Anak menjadi pendorong..


Kejayaan empat orang anak pelakon Mubarak Majid atau nama sebenarnya Mohamad Mubarak Majid,55, menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi pendorong kepada beliau untuk melanjutkan pelajaran.
Mubarak, adalah antara 3,883 pelajar baru yang mendaftarkan diri dalam program Ijazah Sarjana Muda Lakonan dan Pengarahan secara sepenuh masa di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Selasa.

“Sudah lama saya mahu menyambung pelajaran, namun hasrat itu terbantut akibat menguruskan keluarga dan anak-anak yang masih kecil. Kejayaan anak-anak seramai empat orang yang berjaya menamatkan pengajian di IPTA telah mendorong saya untuk berjaya seperti mereka.
"Dulu giliran mereka, sekarang tiba pula giliran saya untuk membuat mereka bangga," katanya yang ditemui di sini.

Tambahnya, dua lagi anaknya sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan belajar di tingkatan lima.
Mubarak, yang melibatkan diri dalam bidang lakonan hampir 30 tahun, berkata pemilihan USM itu dianggap cabaran buat dirinya untuk berusaha lebih gigih dalam mengharungi kejayaan.
"Saya suka mencabar diri agar lebih kuat berusaha dan menjadi contoh kepada penggiat seni lain dalam usaha menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang menarik untuk diteroka sepanjang hayat mereka," katanya.




.

Teruja dapat adik..


Anak sulung penyanyi Krisdayanti, Aurel gembira menerima kelahiran adik bongsunya, Ariannha Amora Lemos yang dilahirkan, Isnin.
Dia yang menunjukkan gambar adiknya di telefon Blackberry memberitahu belum puas untuk mencium bayi kecil itu.
"Iya senang sangat dapat adik perempuan, lepas ni saya boleh bermain-main dengannya," katanya.

Aurel juga berhasrat memberi hadiah berupa pakaian untuk adik barunya itu.
"Saya nak belikan dia baju, namun belum beli lagi, jika ada masa saya akan membelinya. Buat masa ini saya memang sangat gembira ada adik perempuan," katanya.
Bagaimanapun kata Aurel dia tidak sabar untuk mendukung dan memandikan bayi berkenaan.



.

Bekas mertua AC Mizal dakwa anaknya terpaksa pinjam duit


Bekas ibu mertua pengacara dan pelakon, AC Mizal mendakwa anak perempuannya, Shafnie Zainuddin terpaksa meminjam duit daripadanya semata-mata untuk menampung perbelanjaan dua cucu lelakinya.
Rafiah Ab. Talib, 62, menerusi afidavit keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang dekat sini, hari ini memberitahu anak perempuannya turut terpaksa menjual pelbagai barangan kepada rakan-rakannya bagi tujuan tersebut.

Menurut pesara itu, Shafnie terpaksa berpindah dari rumah yang disewa di Kota Damansara ke rumahnya di Kajang kerana tidak mampu membayar sewa dan gaji pembantu rumah.
Berhubung penghantaran anak sulung pasangan tersebut, Muhammad Shafiq Iman, 15, ke Sekolah Menengah Islam al-Amin, Bangi iaitu sebuah sekolah swasta yang berteraskan Pendidikan Islam, Rafiah dalam afidavitnya menyatakan:

''Muhammad Shafiq tidak mendapat bimbingan agama daripada ayahnya sejak kecil lagi, oleh sebab itu dia dihantar ke sekolah tersebut,'' jelasnya.
Rafiah juga mendakwa, emosi dua cucunya akan terganggu apabila melihat laporan media yang menyatakan AC Mizal hidup senang-lenang kerana mempunyai sebuah syarikat menjual gelang tangan selain membintangi filem serta mengacara rancangan di televisyen.

''Muhammad Shafiq pernah mempertikaikan apabila melihat ayahnya memakai sepasang kasut berjenama ketika remaja itu hadir bersama ibunya ke prosiding mahkamah tahun lalu sedangkan dia hidup sederhana,'' jelas Rafiah.
Rafiah dipanggil hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes tuntutan pengubahan nafkah anak yang dikemukakan oleh Shafnie, 35, selaku plaintif terhadap bekas suaminya, AC Mizal, 39.

Ketika sesi soal balas oleh peguam syarie, Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal selaku defendan, saksi kedua plaintif itu menafikan isu tuntutan pengubahan nafkah anak terbabit difailkan selepas Shafnie bercerai menerusi perkahwinan keduanya.
Jelas ibu Shafnie, anak perempuannya itu pernah berkahwin dengan lelaki lain selepas bercerai dengan AC Mizal, namun beliau tidak mengingati bila tarikh pernikahan tersebut berlangsung.

Dalam permohonan pengubahan nafkah anak, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Azmi Rais menuntut agar
jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan.
Ia merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).

Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).



P/S - Zaman sekarang mana cukup RM300. Jangan cakap, untuk anak remaja, bayi pun belanja besar tau.. mana susu, pampers.. 



.

Trauma makan mi segera bersawang, berulat


Seorang kakitangan kerajaan terkejut selepas salah satu bungkusan mi segera berjenama terkemuka yang dibelinya di sebuah pasar raya di sini didakwa bersawang dan berulat.
Syed Mazlan Syed Zubir, 42, berkata, kejadian berkenaan disedari oleh isterinya ketika hendak menyediakan hidangan itu kepada anak perempuannya yang berusia enam tahun baru-baru ini.
"Setelah memeriksa dengan teliti, saya dapati ada benda asing menyerupai sawang labah-labah dan ulat berada di permukaan mi segera itu," katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan tarikh luput yang tertera pada pembungkus mi segera itu adalah pada 11 September ini.
"Agak trauma juga saya selepas ini untuk menikmati mi segera tersebut kerana bimbang mengandungi ulat," dakwanya.

Syed Mazlan berkata, syarikat pengeluar mi segera tersebut perlu menjalankan pemeriksaan secara lebih teliti dan kerap ke atas produk makanan mereka yang dijual bagi mengelakkan kejadian sama berulang.



.

Pemandu lori cedera parah


Seorang pemandu lori cedera parah setelah kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok penghadang Plaza Tol Jalan Duta, di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang semasa lori yang membawa muatan alat ganti kereta dari Bukit Beruntung dekat sini, sedang menuruni bukit dan dipercayai tiba-tiba mengalami masalah brek.
Lori terbabit turut bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh seorang pengarah projek yang sedang menunggu giliran untuk membayar tol.
Pemandu MPV terbabit, Khairul Aizad Mustafa, 25, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan tersebut menyebabkan tiga lorong plaza tol di situ, terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana lori terbabit melintang jalan sehingga mengakibatkan kesesakan sepanjang satu kilometer.
Pemandu lori yang mengalami kecederaan parah itu dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Khairul Aizad ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Putrajaya setelah melawat tapak projek pembinaan di Sungai Buloh.
"Semasa hampir memasuki lorong ke plaza tol, tiba-tiba kenderaan saya bergegar kuat dan kedengaran bunyi dentuman kuat di sebelah kiri kereta saya.

"Saya bernasib baik kerana sempat membelok kenderaan ke arah kiri sebelum lori terbabit merempuh tembok konkrit di plaza tol berkenaan," katanya.
Khairul Aizad yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, kemalangan tersebut berlaku pantas tetapi dia bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami kecederaan.



.

Hari raya keempat yang penuh pengertian..


Dikala masih hangat beraya, lulu di hospital....
Wah... kenapa agaknya??
Sekarang takde masa lagi nak cerita...
Insya Allah dalam waktu terdekat ni...


korang still beraya???
Kuih raya ada lagi tak??
Hulur sikit dekat lulu..ngee



.

Kerana duit raya..

Gara-gara tidak berpuas hati enam cucunya hanya mendapat duit raya RM1 daripada ibunya, seorang warga emas berusia 60 tahun gagal mengawal diri apabila menyerang dua adik perempuannya dengan merosakkan harta benda serta menghamburkan kata-kata kesat berbaur ugutan dalam kejadian Jumaat lalu.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki terbabit yang berlainan bapa dengan mangsa naik berang apabila enam cucunya hanya memperoleh duit raya RM1 daripada ibunya berusia 84 tahun sebelum menuduh kononnya dua adiknya itu mengawal duit ibunya yang sudah uzur.
Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam di rumah seorang adik berkenaan, Noleha Sulong, 42, di Kampung Pengadang Baru, di sini, menyebabkan dia dan dan adiknya, Rokiah, 37, trauma serta hidup dalam ketakutan.

Noleha berkata, dia tidak sangka abangnya itu tergamak menyerang dia dan adiknya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan jumlah duit raya diberikan ibu mereka.

“Hairan juga saya dengan sikap abang yang tidak pernah berpuas hati dan berprasangka buruk terhadap kami adik-beradik, padahal bukan cucunya saja mendapat RM1, tetapi anak bongsu saya dan semua cucu lain turut mendapat jumlah yang sama.



.

Hajat pulang beraya tidak kesampaian..


Hasrat seorang gadis yang baru mendapat cuti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 67, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Kuala Abang di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 6.50 petang itu dikatakan berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki mangsa, Fadhilah Harun, 27, tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Kembara.
Sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke rumah ibu saudaranya di Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu bersama adiknya yang memandu kereta, Abdul Hakim, 26. Turut berada dalam kenderaan tersebut ialah isteri adiknya, Alen Abas, 22.

Akibat kejadian tersebut, mangsa yang duduk di bahagian belakang kereta cedera di kepala dan patah kaki kiri meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdul Hakim dan Alen cedera parah.



.

Nyaris maut terminum 'sirap pandan'

Seorang wanita nyaris maut apabila terminum racun semut yang dibancuh oleh suaminya dalam cawan di rumah mereka di Kampung Rambutan Rendang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Norhafizah Badli Afendi, 27, dikatakan terus menggelepar sebelum rebah tidak sedarkan diri sejurus terminum racun yang disangkakan sirap pandan tersebut.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Suaminya, Mat Din Yusof, 27, berkata, dia membancuh racun itu disebabkan serangga tersebut terlalu banyak dalam rumahnya sehingga menggigit anak kecilnya, Shafira Aishah yang berusia 11 bulan.

Katanya, dia membancuh racun tersebut setelah anaknya menjerit digigit semut dan ketika itu isterinya masih tidur.
"Kerana ingin cepat, saya mengambil cawan minuman dan membancuh racun semut tersebut dengan air lalu meninggalkannya di atas meja di dapur dan pergi ke halaman rumah sementara menunggu ia benar-benar sebati.

"Kemudian apabila saya pergi semula ke dapur, saya tengok isteri saya sudah lembik di kawasan tangga rumah dan memberitahu dia telah minum air di atas meja dapur. Saya kemudian bergegas membawanya ke hospital," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini.
Mat Din berkata, isterinya yang baru bangun tidur mungkin menyangka racun semut berwarna hijau itu adalah sirap pandan yang biasa diminum oleh keluarganya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, racun semut memang sudah lama disimpan di dalam rumahnya memandangkan serangga itu memang biasa masuk ke dalam rumahnya.
"Selalunya saya hanya menabur racun ini di kawasan yang sering dilalui semut kerana ia berbentuk serbuk. Hari ini saya membancuhnya dengan air kerana semut terlalu banyak dan untuk menjadikannya lebih berkesan," katanya.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!