Singapore Airlines (SIA) hari ini menawarkan juruterbang-juruterbangnya untuk bercuti tanpa gaji selama dua tahun selepas syarikat itu bergelut dengan kelembapan sektor penerbangan.
Tawaran kepada juruterbang berpangkat di bawah Kapten itu dibuat selepas syarikat tersebut mengumumkan penurunan pendapatan lebih separuh untuk suku akhir 2011 bulan lalu, ekoran peningkatan kos bahan bakar, pengurangan penumpang serta permintaan kargo dari Eropah.
Keputusan itu dibuat bagi membantu mengurangkan pegawai kanan pertama, pegawai pertama, pegawai kedua dan juruterbang kadet yang berlebihan, menurut jurucakap SIA, Nicholas Ionides.
Beliau berkata, SIA tidak dapat memberikan angka khusus jumlah juruterbang yang mungkin menerima tawaran itu kerana ia adalah skim sukarela.
Ionides bagaiamanapun berkata, SIA tidak merancang untuk mengurangkan penerbangan dan mengecilkan operasi mereka untuk tempoh terdekat.
Pengumuman itu dibuat ketika industri global dilanda peningkatan harga bahan bakar dan permintaan yang rendah.
Persekutuan Pengangkutan Udara Antarabangsa pada November lalu mengurangkan ramalan keuntungan industri itu tahun ini kepada AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion), tetapi memberi amaran kerugian lebih AS$8 bilion (RM24 bilion) mungkin berlaku jika ekonomi dunia mengalami satu lagi kemelesetan.
SIA mengumumkan, keuntungan bersih syarikat itu jatuh 53 peratus kepada SG$135.2 juta (RM324 juta) untuk tempoh Oktober hingga Disember 2011 berbanding tahun sebelumnya.
Mengikut laporan tahunan SIA bagi tempoh 2010/2011, kira-kira separuh daripada 2,335 juruterbang SIA bukan berpangkat Kapten. - AFP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment