Tuesday, May 22, 2012

Nenek tawan Everest


Seorang nenek yang menjadi wanita tertua di dunia sampai ke Gunung Everest sedekad lalu, memecahkan rekodnya sendiri hari ini dengan kembali menawan puncak gunung tersebut pada usianya 73 tahun. Jurucakap Persatuan Mendaki Gunung China Tibet, Ang Tshering berkata, Tamae Watanabe bersama empat ahli pasukannya mencapai puncak Everest dengan ketinggian 8,850 itu dengan pendakian dari sebelah utara gunung di Tibet dan tiba awal pagi.

Watanabe menawan puncak Everest pada 16 Mei 2002 semasa berusia 63, sekali gus menjadikannya wanita tertua di dunia pada ketika itu berjaya menakluki gunung tertinggi tersebut. Tshering berkata, Watanabe dan anggota pendakiannya yang lain dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dalam perjalanan pulang ke kaki gunung. Mereka mula meninggalkan kem terakhir di ketinggian 8,300 meter pada Jumaat malam dan meneruskan pendakian sepanjang malam sebelum tiba di puncak Everest pada pagi ini.

Ketibaan kumpulan Watanabe di puncak Everest hampir sama dengan kumpulan pendaki lain yang mendaki dari sebelah selatan gunung di Nepal. Cuaca di puncak Everest agak mencabar tahun ini sehingga ada beberapa kumpulan membatalkan ekspedisi mereka namun bulan Mei dikatakan menjadi masa terbaik untuk mendaki. Seorang lelaki Nepal, Min Bahadur Sherchan, merupakan manusia tertua yang memegang rekod mendaki Everest pada 2008 ketika usianya 76 tahun. - AP





.

Jackie Chan umum bersara dari berlakon filem aksi


Bintang filem terkenal kelahiran Hong Kong, Jackie Chan mengumumkan persaraannya daripada membintangi filem aksi, selepas berlakon dalam lebih 100 filem genre berkenaan. Pelakon yang terkenal dengan kemahiran seni mempertahankan diri itu mengakui, dia 'terlalu tua' untuk melakukan lagak ngeri sambil menyatakan peningkatan keganasan di seluruh dunia turut menjadi punca persaraannya.

"Saya rasa sangat letih dan saya tidak lagi gembira untuk membuat filem aksi kerana bimbang mengenai peningkatan sikap agresif manusia ketika ini. "Dunia kini terlalu ganas. Saya berdepan dengan dilema kerana saya suka berlawan dan melakukan lagak ngeri, tetapi saya tidak suka keganasan," katanya ketika pelancaran filem terbarunya, Chinese Zodiac di Festival Filem Cannes. Menurut Chan, Chinese Zodiac adalah filem terakhirnya melakonkan watak sebagai hero filem aksi.

"Saya mahu penonton tahu saya bukan sahaja tahu berlawan. Saya kini mahu memberi tumpuan kepada watak yang lebih serius dan mengikut jejak pelakon Robert De Niro. "Saya bukan sahaja pelawak, tetapi juga boleh berlakon dan saya akan tunjukkan siapa Jackie Chan yang sebenar," katanya. - AGENSI





.

Bina masjid ketiga terbesar di dunia


Kerajaan Algeria akan membina sebuah masjid besar di ibu negara Algeria ini, berharga satu bilion euro (RM4 bilion), yang bakal menjadi masjid ketiga terbesar di dunia. Masjid yang mampu memuatkan 120,000 jemaah itu dianggap ketiga terbesar, selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah. Projek yang dijangka siap pada 2015 itu dibina oleh Syarikat Kejuruteraan Pembinaan China.

Projek itu bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada 17,000 orang, kebanyakan mereka rakyat tempatan. Menteri Hal Ehwal Agama Algeria, Bouabdallah Ghlamallah dan Duta China di negara ini, Liu Yuhe hadir bagi menyempurnakan upacara perletakan batu asas pembinaan projek tersebut, di sini semalam. "Pembinaan bangunan ini (masjid) menjadi mercu tanda baru hubungan Sino-Algeria yang sudah lama terjalin," kata Ghlamallah merujuk kepada hubungan bersejarah antara kedua-dua negara.

Kompleks masjid tersebut mengandungi menara paling tinggi di benua Afrika, dengan ketinggian 270 meter atau bersamaan ketinggian Menara Eiffel di Paris. Menara setinggi 25 tingkat itu dan dilengkapi lapan buah lif untuk membawa pengunjung ke tingkat paling atas, yang membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan Teluk Algiers. Masjid itu turut dilengkapi sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan 2,000 kerusi, sebuah muzium kesenian dan sebuah pusat penyelidikan. - AFP





.

Mohd. Nazmi Faiz : 'ini adalah peluang besar dalam karier saya. '


Teka-teki mengenai nasib Mohd. Nazmi Faiz akhirnya terjawab apabila pemain muda sensasi negara itu berjaya mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab bola sepak Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar sehingga Jun 2015. Nazmi dalam akaun laman Twitternya berkata seperti sukar mempercayai peluang yang diraih itu dan rasa bersyukur dengan kejayaan berkenaan. ‘‘Sukar untuk perjelaskan perasaan saya, ini adalah peluang besar dalam karier saya.

‘‘Bermain di Eropah adalah impian terbesar saya dan saya ucapkan terima kasih kepada keluarga serta peminat selama ini," katanya. Nazmi sebelum ini telah meraih perhatian pihak ejen dari Singapura, Marco Guimaeres dan telah menawarkan tempat untuk menjalani pemilihan selama seminggu mulai 13 hingga 20 Mei lalu. Nazmi memulakan latihan pertamanya bersama kelab yang terkenal dengan gelaran emas dan hitam itu, Khamis lalu bersama beberapa lagi pemain dari negara lain bagi mencari tempat beraksi di Portugal.

“Setiap ujian yang dilakukan oleh Nazmi dilalui dengan baik sekali, walaupun cuaca di sini agak sejuk berbanding di Malaysia tetapi dia mampu berlari di atas padang dalam tempoh yang lama, dia mempunyai stamina yang tinggi. “Nazmi juga berpeluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan simpanan kelab tersebut yang rata-ratanya dibarisi pemain muda, dia berjaya membantu skuad utama menang 2-1," ujarnya.

Pemain yang berusia 17 tahun dan beraksi di posisi tengah itu mula menunjukkan kehebatannya ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 London. Namanya mula meniti di bibir peminat tempatan dan juga luar negara selepas berjaya melakukan jaringan cantik dari luar kawasan penalti ketika bertemu Bahrain, November tahun lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu tewas 2-3. Nazmi kini menjadi pemain Asia Tenggara pertama bermain di Portugal dan berpeluang untuk mencipta nama di Eropah.




 P/S - Tahniah... Pemain bola kita semakin cemerlang ^__^





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!