Thursday, May 16, 2013

Prihatin : Kisah bayi Muhammad Adnan Azlan



Penderitaan seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit hidrosefalus atau kepala besar meluluhkan hati sesiapa sahaja yang memandang. Muhammad Adnan Azlan, 4, dijaga saban hari dengan penuh kasih sayang oleh ibunya, Rasidah Abdul Rahim, 29, yang bimbang fizikal anaknya yang terbantut dan saiz kepalanya yang semakin mengembang. Rasidah berkata, penyakit anak bongsu dari tiga beradik itu mula dikesan sejak dalam kandungannya ketika berusia enam bulan. Menurutnya, doktor memaklumkan risiko yang bakal dihadapi dan menunjukkan gambar-gambar berkenaan penyakit terbabit namun dia dan suami, Azlan Shaik Daud, 29, mengambil keputusan untuk melahirkan Muhammad Adnan melalui pembedahan.

“Dalam tempoh seminggu selepas melahirkannya, saya berkeras untuk melihatnya walaupun tidak dibenarkan. Alangkah luluh hati saya melihat keadaan anak dan saiz kepalanya yang ketika itu menjangkau 3.6 kilogram. “Bagaimanapun, kami reda dan mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi,” katanya ketika ditemui di Taman Impian Indah, Alma dekat sini. Rasidah berkata, enam kali pembedahan sudah dilakukan sejak anaknya itu lahir bagi membuang lebihan cecair di kepalanya. “Kesemua rawatan dijalankan di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya kelihatan agak baik walaupun tubuhnya tidak membesar.

“Kini, saya hanya membawanya ke klinik berhampiran sekiranya dia kurang sihat,” katanya. Suaminya yang bekerja sendiri memiliki pendapatan tidak tetap dan barangan keperluan Muhammad Adnan sahaja mencecah RM200 setiap bulan. Katanya, susu formula yang diminum anaknya itu berharga RM58 setiap tin. “Sekurang-kurangnya dua tin susu diperlukan setiap bulan dan ini tidak termasuk lagi perbelanjaan lampin pakai buang. “Rumah disewa dengan harga RM380 sebulan manakala anak pertama dan kedua pula bersekolah. Kadang-kadang memang pening apabila memikirkan mengenai perbelanjaan terutamanya ketika hujung bulan,” katanya.

Dia berharap mana-mana pihak atau individu dapat tampil membantu meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga. “Sebelum ini, ada yang membantu menyalurkan bantuan kewangan dan saya berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan. Ada juga yang membantu dengan mencadangkan anak dibawa berubat secara tradisional. “Kami tidak akan putus asa dan berharap dia dapat sembuh seperti biasa,” katanya. -SH


Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun 108-002-002115-1 (Ambank) di bawah nama Azlan Shaik Daud atau hubunginya di talian 017-4388805.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!