Friday, May 10, 2013

CUCUR BAWANG & KOPI 'O' - HASRUDI JAWAWI



Terpikat dengan ilustrasi yang yang cute dan tajuk novel yang unik, lulu membeli novel ini, walaupun sebenarnya novel ini bukanlah keluaran baru yang berada dipasaran. Sungguh pun begitu, penulisnya, bukanlah asing bagi penggemar novel, kerana hasil tulisan terbarunya Ops! Zulaikha menduduki carta antara novel terlaris sejak beberapa minggu.

Cerita mengisahkan Iskandar, seorang lelaki yang pernah kecewa dalam percintaan sebanyak 2x. Malah Isteri yang pernah dikahwininya, meninggalkannya bersama 2 orang anak tiri yang sering mencetus hura-hara dirumah dengan membuatkan pengasuh-pengasuh sebelum ini tidak betah menjaga mereka. Tertekan dengan keadaan itu, Iskandar mencipta peraturan baru dan pelik untuk bakal pengasuhnya. Dan kerana terdesak inginkan pengasuh segera, dia terpaksa menerima seorang gadis yang gemar berpenampilan tomboy. Peraturan baru segera dilaksana, dan dia lega kerana pengasuh ini mampu 'menjinakkan' anak-anak tirinya. Tanpa disedari, Iskandar dan pengasuh ini saling terpaut rasa. Namun kehadiran cinta pertama Iskandar merubah segalanya, apatah lagi gadis yang bernama Amanina ini nekad melakukan apa saja untuk kembali meraih cinta Iskandar.

Tak cukup dengan itu, rakan baik Iskandar, Khairulnizam juga menaruh hati pada pengasuh anaknya. Mampukah cinta mereka bersatu dalam erti kata sebenar? Menariknya, tajuk novel ini berkait rapat dengan keperibadian kedua insan ini. Walaupun banyak perbezaan, namun mereka bersatu atas nama cinta..



Tajuk : Cucur Bawang & Kopi O
Penulis : Hasrudi Jawawi
Halaman : 709 muka surat
Harga : RM25.90/RM28.90





P/S - Recommended by Lulu Caldina





.

Pelajar 15 tahun buat hal..


Tiga pelajar sekolah menengah ditahan atas kesalahan memecah masuk sekolah mereka di Ledang malam Rabu lepas. Mereka dilapor mengambil telefon bimbit, rantai leher serta beberapa barangan lain yang dirampas guru disiplin daripada mereka sebelum ini. Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, perbuatan mereka itu turut disertai seorang murid tahun lima sebuah sekolah di Serom. "Polis menahan salah seorang daripada mereka yang berusia 15 tahun di sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.10 pagi semalam dan hasil soal siasat ke atasnya, polis menahan pula tiga lagi rakannya termasuk murid tersebut," katanya. Beliau berkata, polis juga menemui cakera padat video berjudul Jiwa Kacau daripada mereka yang kini ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama





.

Ini adalah kisah sebenar mengenai Michael Jackson?


Entah dari mana datangnya seorang lelaki yang mengakui dia adalah bapa kandung kepada anak-anak mendiang Michael Jackson. Menurut sumber, lelaki itu berkeras bahawa ketiga-tiga anak Raja Pop itu, Prince Michael, Paris dan Blanket, adalah anak kandungnya. Malah dia mendakwa Micheal Jackson tidak mempunyai zuriat sendiri. "Dalam hal tersebut, lelaki itu turut menjelaskan bahawa dia sedia menjalankan ujian DNA bagi membuktikan dia bercakap benar," kata sumber. -SH





.

Kematian tragis ketika berbulan madu

Seorang lelaki Perancis yang sedang berbulan madu di Pulau Reunion, Lautan Indian mati akibat serangan jerung. Demikian diberitakan oleh kerajaan tempatan. Lelaki berusia 36 tahun yang tak disebutkan namanya itu sedang bersantai di pantai Brisants de Saint-Gilles yang popular di kalangan pelancong. Ketika itulah seekor ikan jerung menyerang lelaki itu dua kali. Seorang pelancong yang berada di dekat lokasi serangan berlaku, mendapatkan bantuan. Petugas pengawal pantai menuju ke lokasi serangan jerung dan berhasil menarik mangsa ke pantai, namun sayang nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.

Jerung menggigit lengan dan paha mangsa. Isteri mangsa sedang berada di pantai saat insiden itu terjadi. Dia kini sedang dirawat akibat trauma dan terkejut. Serangan jerung itu adalah yang pertama terjadi di Reunion pada tahun ini. Dalam dua tahun sebelumnya, tiga orang mati akibat keganasan jerung. -AGENSI





.

Pengarah terkenal lakukan kesalahan besar dan bakal didenda jika dakwaan itu benar



Pihak berkuasa China menyiasat seorang pengarah terkenal yang dituduh mempunyai tujuh anak sekali gus melanggar undang-undang menetap satu anak bagi setiap keluarga. Laporan online minggu ini menyatakan, Zhang Yimou, mempunyai tujuh anak menerusi dua perkahwinan dan hubungan intim dengan dua lagi wanita. Yimou terkenal selepas mengarah filem The Flowers of War dibintangi Christian Bale selain dikenali sebagai pengendali majlis pembukaan sukan Olimpik Beijing. Kami sedang mengesahkan gosip online berkenaan, kata seorang wanita di pejabat jawatankuasa perancangan keluarga bandar Wuxi.


Identiti tak didedah 

Wanita itu yang meminta identitinya tidak didedahkan berkata, dia tidak dapat beritahu maklumat lain hingga siasatan selesai dijalankan. Zhang, 61, boleh didenda 160 juta yuan (RM80 juta) jika dakwaan berkenaan didapati benar. Kadar denda itu adalah dua kali ganda pendapatan tahunannya, kata akhbar People's Daily. Pengguna media sosial China mengkritik Zhang dan membezakan kehidupan dan layan kepada golongan elit dan warga biasa.


Satu keistimewaan 

Bagaimanapun, tidak kira berapa banyak anak seseorang itu adalah hak asasi mereka tetapi dalam masyarakat di sini, ia satu keistimewaan yang diberi, kata penduduk Beijing, Liu Weiling yang bekerja dalam sebuah syarikat media kepada Sina Weibo. Mengapa dunia tidak hormati China? Orang kaya miliki kumpulan wanita simpanan, selebriti tua kahwin lagi, Zhang Yimou dapat banyak keistimewaan. Empat wanita dan tujuh anak. Jika orang biasa yang buat seperti itu, mereka akan bunuh atau denda kamu secara keterlaluan tetapi dia tidak pula kena begitu, sebab itulah dunia tidak hormati kita, kata penulis, Christopher Jing. Filem terkenal arahan Zhang yang lain termasuk 'A Simple Noodle Story' yang berasaskan filem terbitan Coen Brothers 'Blood Simple' dan 'Under the Hawthorn Tree,' kisah cinta ketika Revolusi Budaya di China. Awal semalam, laman web People's Daily memetik seorang pegawai Wuxi sebagai berkata, mereka sudah mula menyiasat laporan online itu. Isteri kedua Zhang adalah aktres Chen Ting yang berasal dari Wuxi. -AP





.

Gambar Kaki Kim Kardashian yang sedang hamil


KIM KARDASHIAN sebelum ini mengakui hamil bukan suatu perkara yang mudah buat dirinya. Bintang realiti TV itu kini sedang hamil anak sulung hasil perkongsian cinta dengan kekasihnya, penyanyi Kanye West. Ternyata kehamilan adalah sesuatu yang sukar buat Kim, khususnya kerana dia agak obses dengan kasut tumit tinggi. Biarpun usia kandungannya itu kini sudah mencecah tujuh bulan, Kim, 32, tetap ingin kelihatan seperti tidak hamil menerusi pakaian ketat yang digayakan lengkap dengan kasut tumit tingginya.


Baru-baru ini, Kim berada di sekitar Los Angeles dengan menyarung kasut tumit tinggi daripada jenama Givenchy yang baru dibelinya. Mahu tahu apakah yang terjadi kepada kakinya itu? Kim sendiri mendedahkan jawapannya menerusi Instagram miliknya. Memuat naikkan gambar kakinya yang bengkak gara-gara menyarungkan kasut tumit tinggi tersebut, dia menulis dalam Twitternya yang berbunyi: "Kaki bengkak atau tatu baharu Givenchy?"


Kim sebelum ini menyelar kritikan media terhadap gaya pemakaiannya ketika hamil. Ujarnya kepada Extra TV: "(Kritikan) itu agak melampau. Saya gemarkan fesyen. Saya gemar membuat eksperimental dengan fesyen sebab itu saya cuba semua jenis baju rekaan terbaharu - tidak kiralah sama ada saya tengah mengandung atau tidak hamil. Fesyen adalah sesuatu yang menyeronokkan buat saya." -AP




.

Kejam! Kanak-kanak 11 tahun jadi mangsa rogol dan bunuh


Jenayah kekerasan terhadap kanak-kanak berulang kembali dan kali ini, seorang budak perempuan berusia 11 tahun bukan setakat menjadi mangsa memuaskan nafsu pelaku malah dia yang tidak berdosa turut dibunuh. Pembunuhan kejam ini menggemparkan penduduk kawasan Bukit Tinggi di sini apabila mayat kanak-kanak malang itu, Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor dijumpai di tempat letak kereta Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini semalam. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tempat kejadian pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan anggota polis dan pegawai perubatan hospital telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia. "Hasil pemeriksaan ke atas mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan pada bahagian kemaluan. "Kita syak kanak-kanak tersebut telah dirogol berdasarkan kesan pendarahan tersebut dan percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, susulan kejadian ini dan siasatan lanjut pihak polis, dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 pagi ini bagi membantu siasatan. "Polis turut menemukan satu penyodok tanah berhampiran lokasi mayat mangsa ditemui dipercayai dibawa salah seorang suspek untuk menanam mayat mangsa. "Bagaimanapun, suspek mungkin tidak sempat berbuat demikian kerana terdapat beberapa individu melalui kawasan tersebut," katanya. Mohamad memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Mei ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -utusan




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!