Wednesday, July 24, 2013

Guru Islam diarah buka hijab atau purdah ketika mengajar dalam kelas


Guru Islam diarah buka hijab atau purdah ketika mengajar dalam kelas | Guru-guru Islam di negara ini diarah membuka purdah atau hijab ketika mengajar di dalam kelas. Peraturan kerajaan itu bertujuan membentuk hubungan yang lebih baik antara guru dan pelajar. Setiausaha Pendidikan, Armin Luistro berkata, arahan itu merupakan sebahagian daripada perubahan bagi menjadikan sekolah lebih sensitif kepada agama. Berdasarkan salinan arahan yang diterima AFP, pelajar beragama Islam masih dibenarkan memakai purdah atau hijab di sekolah dan 'pakaian bersesuaian' ketika kelas jasmani.

Bagaimanapun, guru wanita Islam boleh memakai purdah di luar kelas, namun perlu menanggalkannya ketika mengajar supaya mereka boleh berinteraksi lebih baik dengan pelajar. ''Sebaik-baik guru itu memasuki kelas, dia diminta membuka hijab. ''Dengan mengarahkan guru wanita membuka tudung, mereka akan membenarkan pelajar lebih mengenali identiti guru dan mempromosi hubungan guru-pelajar dengan lebih baik,'' menurut arahan itu, hari ini. Arahan itu menyebut, apabila guru wanita membuka hijab akan membolehkan pelajar melihat muka guru tersebut dan membantu dalam 'pembentukan bibir' bagi menyebut perkataan tertentu.

Agensi kerajaan, Pejabat Hal Ehwal Islam berkata, pihaknya bersetuju dengan pendekatan Jabatan Pendidikan tersebut namun masih belum menerima salinan arahan berkenaan. Penasihat pejabat tersebut, Roque Morales berkata, beliau tidak mempunyai data berapa ramai orang Islam bekerja sebagai guru, namun purdah merupakan pakaian yang dipilih di selatan negara ini. - AFP





.

Bonus raya untuk kakitangan awam


Bonus raya untuk kakitangan awam  | Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54. Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka. Katanya, pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini. Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itumasing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanyadalam kenyataan di sini, Rabu. Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok (Khamis), sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya. Najib berkata, langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun. "Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya. Najib berkata, kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - BERNAMA





.

Tiada yang mustahil dengan izin Allah


Tiada yang mustahil dengan izin Allah | Seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami strok ketika berusia setahun, menolak segala ramalan perubatan tentang masa depannya yang tipis untuk pulih dengan belajar untuk berjalan dan bercakap. Isabel Manchip dari Portsmouth merupakan seorang daripada kanak-kanak termuda di Britain yang menderita akibat strok hingga merosakkan 75 peratus otak kanannya. Kecederaan otak di bahagian kanan dikenali sebagai hemiplegia, boleh melumpuhkan bahagian kanan badan dan begitu juga sebaliknya. Kini usia kanak-kanak itu sudah lebih dua tahun, dan dia mula menggunakan bahagian kiri badannya serta memakai anduh setiap hari bagi menyokong tangan kirinya. Tidak seperti orang dewasa yang terdedah kepada penyakit strok akibat merokok, diet yang teruk dan kolestrol tinggi, punca penyakit itu terhadap kanak-kanak masih belum dapat dijelaskan.


Namun, menurut ibu bapa Manchip, Rebecca, 45, dan Eddie, 48, anak mereka itu dipercayai mengalami strok akibat demam campak pada Disember 2011 dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama lima hari. Malah, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai harapan tinggi untuk hidup apabila doktor memaklumkan bahagian otak kanannya telah mengalami kerosakan sebanyak 95 peratus. Namun, tiga bulan kemudian, ujian imbasan menunjukkan kerosakan otak Manchip menurun kepada 75 peratus, sekali gus menjelmakan harapan cerah untuk kanak-kanak itu pulih semula. Kini setelah setahun, Manchip menidakkan jangkaan awal doktor sebelum ini, apabila dia bukan sahaja terus hidup, malah sudah mampu berjalan, berlari dan berbasikal. Sebelum ini, doktor mendapati, Manchip buta mata kiri, namun kini penglihatan kanak-kanak berkenaan juga telah pulih sepenuhnya. - AGENSI






.

Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang diikat tangan dan kakinya pada tangga


Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang diikat tangan dan kakinya pada tangga | Seorang lelaki ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat pada tangga yang disandarkan pada sebatang pokok manggis di sebuah kebun buah-buahan di Padang Siding dekat sini, Selasa. Mayat lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang bahagian matanya turut ditutup dengan ikatan kain ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh orang ramai yang kemudiannya melaporkan kepada polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Superintenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lokasi kejadian hanya kira-kira 20 meter dari jalan raya utama dan punca kematian sedang disiasat. "Tiada sebarang kesan luka pada mayat mangsa. Identiti mangsa belum diketahui dan tidak dapat diketahui sama ada mangsa itu warga tempatan atau rakyat asing," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Menurutnya siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan punca kejadian. - BERNAMA





.

Man. United kalah lagi aksi persahabatan pramusim


Man. United kalah lagi aksi persahabatan pramusim | Manchester United kalah 2-3 kepada kelab Jepun, Yokohama Marinos dalam aksi persahabatan pramusim semalam, iaitu kekalahan kedua dalam tiga perlawanan di bawah pengurus baharu, David Moyes. United ketinggalan seawal minit pertama namun bangkit mendahului 2-1 pada babak kedua hasil jaringan Jesse Lindgard dan gol sendiri pemain Yokohama. Namun, tandukan Fabio Aguiar berjaya menyamakan kedudukan 2-2 sebelum Yoshihito Fujita menjaringkan gol kemenangan Yokohama Marinos tiga minit sebelum wisel penamat. Setakat ini di bawah kendalian Moyes, United kalah 0-1 di Bangkok dan menang 5-1 di Melbourne. Sementara itu, United dimaklumkan agar tidak lagi membuang masa dengan membuat bidaan kali ketiga untuk Cesc Fabregas.

United menawarkan 35 juta pound (RM170 juta) selepas Barcelona menolak tawaran 31 juta pound (RM151 juta) United sebelum ini. Rakan sepasukan Fabregas, Gerrard Pique berkata, United hanya membuang masa mereka. “Dia (Fabregas) mengambil masa yang lama untuk kembali ke Sepanyo. Kelab ini adalah rumahnya, beraksi untuk Barca membolehkannya bermain dengan rakan rapatnya. Dia gembira di Barca," kata Pique. United mula membuat tawaran bekas pemain Arsenal itu dengan nilai 26 juta pound (RM126 juta) namun ditolak Barca minggu lepas. Selepas itu, United meningkatkan tawaran kepada 31 juta pound. - AGENSI






.

Gambar bayi pewaris ketiga takhta England, anak Kate Middleton dan Putera Charles


Gambar bayi pewaris ketiga takhta England, anak Kate Middleton dan Putera Charles | Ungkapan ‘Its a boy!’ (anak lelaki!) terpampang hampir di semua muka depan akhbar di Britain, laman Twitter, Facebook hingga ke puncak Menara British Telecom (BT Tower) di Fitzrovia di London, menggambarkan rasa gembira dengan kelahiran pewaris ketiga takhta England dan cucu sulung pewaris takhta pertama, Putera Charles. Kota London terang benderang dengan lampu berkelipan di hampir semua tempat, manakala lampu di London Eye bertukar merah, putih dan biru sejurus berita kelahiran putera itu diumumkan. Bayi berkenaan dilahirkan pada jam 4.24 petang di sayap persendirian Lindo Wing, Hospital St Mary di Paddington dengan berat 3.79 kilogram. Putera William berada di sisi isterinya ketika anak mereka dilahirkan.


Dan buat pertama kalinya, bayi itu diperlihatkan kepada rakyat semalam, apabila Kate dibawa keluar daripada hospital berkenaan. Kate yang baru melahirkan dilihat sangat berseri dan gembira dengan status barunya sebagai ibu. Ramai yang berkata, mereka kagum melihat Kate yang tidak menyembunyikan perutnya, selepas melahirkan. Putera Charles dilihat mendukung bayi itu tanpa rasa kekok.. Tahniah buat pasangan diraja ini dan seluruh rakyat Britain..






.

MY PRECIOUS IRIS - MELUR JELITA



Untuk pertama kalinya, setelah dah banyak novel yang lulu review, novel yang satu ini, memang sukar untuk di tafsirkan. Hasil tulisan penulis ini, Melur Jelita memang tidak pernah mengecewakan. Perasaan gembira, sedih, teruja dan terharu bercampur dalam satu, dan menjadi saksi ketika membaca setiap helaian demi helaian karya yang hebat ini. Dan dalam hati lulu, kalau dulu hasil tulisannya, karya cinta agung Hilman Yong dan Intan Zulaikha (Awak Suka Saya Tak?) memikat hati, kini giliran Firman Ebrahim dan Iris Nur pula. Ya Allah, terus terfikir, apa agaknya yang bermain dalam fikiran kak Melur Jelita ketika menulis karya hebat sebegini. Milikilah hasil tulisannya dan rasailah getaran hebat itu. Setiap helaian membangkitkan rasa tidak sabar, dan walau setebal mana pun novelnya itu, ianya masih tidak cukup untuk dibaca.

Cerita kesinambungan daripada I Love You, Stupid ini, memaparkan kisah cinta antara Firman dan Iris yang kini melayari alam rumahtangga. Pembaca akan terbuai, merasai tebalnya kasih sayang diantara dua insan ini dan alhamdulillah, inilah kesinambungan yang sangat ditunggu-tunggu oleh pembaca selepas membaca ILUS. Dalam ILUS memang tak puas membaca jalinan cinta mereka, namun dalam MYPI, lengkap dan teratur. Penulis menulis dengan lengkap setiap perbuatan dan rasa hati watak, dan menjadikan lulu membaca sambil menangis teresak-esak. seolah-olah setiap kejadian yang diceritakan benar-benar berlaku dihadapan mata.

Kagum! Itulah ayat yang paling tepat bagi menggambarkan penulis, yang berjaya menulis sebuah novel yang wajar diangkat sebagai antara novel yang terbaik. Dalam novel ini, bukan saja kita berpeluang mempelajari bagaimana bercinta dan mencintai, kita juga melihat dalam suatu hubungan itu, adalah saling melengkapi diantara satu sama lain. Tak lari dari konsep asal, novel ini memang banyak kata-kata dan perlakuan yang wajar dijadikan ikutan dalam hidup seharian kita. Nasihat lulu, samada anda pembaca novel ataupun tidak, marilah ringankan hati memiliki karya-karya dari penulis ini, dan rasailah kehebatan karyanya..


Tajuk : My Precious Iris (MYPI)
Penulis : Melur Jelita
Halaman : 1001 muka surat
Harga : RM35/RM38




P/S - FULLY RECOMMENDED BY LULU CALDINA





.

Punca sebenar isu murid makan dekat tandas


Punca sebenar isu murid makan dekat tandas | Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tindakan tegas diambil terhadap pengurusan sebuah sekolah di Sungai Buloh, dekat sini, sekiranya dakwaan pelajar bukan Islam sekolah itu diminta makan dan minum dekat tandas berasas. “Saya sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan menyiasat isu murid bukan Islam yang disuruh makan dekat tandas. Tindakan tegas akan diambil, jika ada asas,” katanya yang juga Menteri Pendidikan yang dipetik dalam laman Twitternya, semalam. Beberapa laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog semalam memaparkan beberapa gambar menunjukkan murid bukan Islam yang didakwa terpaksa makan dan minum dalam tandas di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh.


Naik taraf kantin 

Seorang ibu murid sekolah itu ketika dihubungi mendakwa, murid sekolah terbabit diminta makan dan minum dekat bilik air berikutan kantin sekolah sedang dinaik taraf. Katanya, mereka hairan kenapa murid sekolah terbabit diminta makan dekat bilik yang masih berbau hanyir, biarpun sudah dibersihkan. “Kami tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah mengarahkan murid bukan Islam makan dan minum dekat bilik air, sedangkan sepatutnya pihak sekolah boleh menyediakan khemah sementara,” katanya. Katanya, pihak sekolah tidak sepatutnya memindah kawasan makan dekat bilik air dan sekiranya kantin berkenaan ditutup untuk proses naik taraf, satu kawasan yang lebih sesuai perlu digunakan sebagai ruang makan.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, murid di sekolah berkenaan terpaksa makan dan minum di bilik persalinan sejak Mac lalu sebagai tambahan ruang kantin yang ketika ini gagal menampung murid yang ramai iaitu 1,375 orang. Katanya, berikutan itu pihak sekolah menaik taraf kantin bermula 17 Julai lalu sehingga semalam. Dakwaan pihak tertentu kononnya tapak berkenaan tandas adalah tidak benar, sebaliknya ia bilik persalinan yang bersih serta sudah diubah suai menjadi tempat makan. “Saya kesal kerana isu ini dibangkitkan pihak luar yang tidak tahu perkara sebenar, tetapi bertindak membuat tuduhan melulu yang menjejaskan reputasi sekolah. Saya sudah mengarahkan pihak kantin untuk beroperasi semula seperti biasa esok (hari ini) bagi mengelak isu ini berpanjangan,” katanya. -BH





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!