Wednesday, September 18, 2013

DULU BENCI, SEKARANG SUKA - ROSE ELIZA




Mengisahkan Nur Ain Zafira yang dibuang dari keluarga kerana fitnah dari orang lain. Hidup seolah dalam buangan, nasib baiklah dia ada mak su, Humaira dan Eddie Zakuan, kekasih mak su yang banyak mengambil berat. Semuanya bermula ketika dia jatuh cinta dengan seorang jejaka kaya bernama Hazrul. Hazrul yang ditemuinya dikampung. Bila Hazrul nekad mengahwininya, dia difitnah dan sebelum perkara sebenar didedahkan, Hazrul terkorban dalam satu kemalangan. Dan selepas itu, hidupnya sentiasa berkisar dengan bos tempat kerjanya, Hazrel Hardy. Ada saja yang tak kena bila berkaitan dengan lelaki itu. Hazrel yang bongkak sering menghina Nur Ain Zafira. Dan dalam satu insiden, mereka telah ditangkap khalwat, dan terpaksa dinikahkan.

Tanpa pengetahuan keluarga ibu bapa Hazrel, dia telah menjadi suami buat Nur Ain Zafira. Wanita yang dia pandang rendah dan sering dihina. Akhirnya dia jatuh cinta pula dengan isteri sendiri. Entah kenapa hatinya boleh terpaut dengan gadis biasa ini. Bukannya ada kelebihan pun. Sudahlah mukanya berparut.. Namun dia tidak mampu menidakkan rasa sayang dan cinta yang mulai terbit. Dia mula nekad melindungi isterinya. Namun bahagia belum menjadi milik Nur Ain Zafira sepenuhnya apabila mama Hazrel tetap mahu meneruskan perkahwinan Hazrel dan Qistina. Dan Nur Ain Zafira difitnah lagi. Entah apa malangnya wanita ini, sering saja difitnah.

Mama Hazrel marah apabila dapat tahu anaknya sudah berkahwin. Lebih-lebih lagi dengan seorang wanita kampung. Dan, dia memang sangat mengenali wanita yang dinikahi anaknya.. Apakah cerita sebenarnya? Siapakah yang sering memfitnah wanita sebaik Nur Ain Zafira? Adakah kasih sayang suami isteri ini akan tetap utuh walau ditimpa masalah? Bagaimana dengan Qistina? Baca novel ini dan semua persoalan akan terjawab..



Tajuk : Dulu Benci, Sekarang Suka
Penulis : Rose Eliza
Halaman : 726 muka surat
Harga : RM27.90/RM30.90






.

Ada apa dengan kucing parsi ini?


Ada apa dengan kucing parsi ini? | Selepas berjaya menghantar monyet ke orbit awal tahun ini, Iran sekali lagi mahu mencari kelainan untuk program angkasa lepasnya dengan memilih kucing Parsi bagi tujuan itu. Pegawai kanan program angkasa lepas Iran, Mohammad Ebrahimi berkata, misi kali akan dilaksanakan pada 21 Mac tahun depan, walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan misi membabitkan monyet sebelum ini. Katanya, selain kucing, Iran juga sedang menimbangkan untuk menghantar seekor tikus dan arnab ke angkasa lepas. "Pelancaran berikutnya mungkin menggunakan roket lebih besar dan mampu mencapai jarak 116 kilometer,'' katanya.

Iran merancang untuk menghantar angkasawan pertamanya ke orbit menjelang 2018, namun menggunakan haiwan sebagai 'angkasawan' bagi tujuan ujian. Mohammad dalam pada itu menegaskan bahawa media negara ini telah tersilap menghantar gambar monyet yang menyertai program angkasa lepasnya pada Februari lalu. Katanya, hanya seekor monyet iaitu 'Pishgam' atau 'Pioneer' dihantar dalam program selama 20 minit itu yang berlepas sejauh 116 kilometer dan berjaya kembali dengan selamat. Pada 2010, pegawai Iran mendakwa pihaknya telah menghantar seekor tikus, kura-kura dan beberapa ekor cacing menaiki pesawat angkasa lepas, sebagai sebahagian program angkasa lepasnya. - AGENSI




.

Kanak-kanak perempuan mati dibunuh ibu bapanya?


Kanak-kanak perempuan mati dibunuh ibu bapanya? | Seorang budak perempuan berusia lima tahun menjadi 'korban' ibu bapanya yang nekad mengambil keputusan cuba membunuh diri bersama abangnya berusia tujuh tahun akibat mengalami masalah hutang. Dalam kejadian di sebuah rumah kedai milik saudara mereka di kawasan perindustrian Sri Manja Square dekat Jalan Klang Lama di sini, Mable Shiew Mun, 5, maut akibat dilemaskan di dalam asap daripada arang yang dibakar di kediaman tersebut pada 12 September lalu. Kedua-dua pasangan berusia 50-an dan 30-an serta seorang lagi anak mereka dikenali sebagai Matthew berusia tujuh tahun bagaimanapun tidak mati.

Perbuatan kedua-duanya tidak terhenti setakat itu sebaliknya tetap cuba membunuh diri termasuklah pergi ke Klang, Selangor untuk mencari lokasi sesuai selain ingin menggantung diri di rumahnya. Segala-galanya akhirnya terbongkar setelah kenalan mereka datang ke rumah pagi ini, untuk bertanyakan tentang ketidakhadiran Mable selama seminggu di sekolah tadika. Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, rakan karib Mable mengadu kepada ibu bapanya tentang mangsa yang tidak hadir di tadika yang terletak di Jalan Othman di sini. "Mereka datang dan mengetuk pintu dengan kuat pukul 8.30 pagi setelah mendapati keluarga itu ada di dalam rumah.

"Mulanya pasangan itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam rumah, namun selepas diugut untuk menghubungi polis, mereka beralah dan membenarkan masuk. "Ketika itu, abang mangsa yang bersekolah darjah satu menerpa ke arah mereka dan memberitahu adiknya telah mati. Mayat mangsa kemudian ditemui di atas katil di dalam bilik utama dan juga melihat banyak arang di dalam rumah itu," katanya. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pasangan itu telah cuba membunuh diri bersama dua anaknya sekurang-kurangnya tiga kali. "Pada malam 11 September lalu, mereka cuba membunuh diri di dalam rumah tetapi tidak berjaya dan pada keesokan harinya, mereka melakukan perkara sama dan kali ini, anak bongsunya meninggal.

"Dua hari selepas itu (13 September), mereka ke Klang untuk mencari lokasi bunuh diri tetapi membatalkan hasrat tersebut kerana takut. Kami percaya mereka membawa mayat mangsa bersama," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini. Beliau seterusnya memberitahu, polis turut menemukan tali dipercayai untuk digunakan bagi mengantung diri di dalam rumah berkenaan. Kata Arjunaidi, polis percaya motif pasangan terbabit mahu membunuh diri adalah akibat masalah kewangan dan setakat ini polis masih menyiasat kemungkinan penglibatan peminjam wang haram atau ah long dalam kes terbabit.

"Pasangan suami isteri itu telah ditahan di rumahnya hari ini manakala anak lelaki suspek akan diserahkan kepada saudara terdekat," katanya yang memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh. Dalam perkembangan sama, seorang jiran yang dikenali sebagai Hajah Ros berkata, pasangan suami isteri itu adalah seorang yang peramah di samping mempunyai anak-anak yang baik. "Biasanya anak-anak mereka terutama yang mati itu akan berlari-lari di koridor sambil diperhatikan ibunya. Saya terkejut diberitahu tentang tragedi ini kerana mereka menyayangi dua beradik itu," katanya. -Utusan




.

Prihatin : Mari kita bantu seorang abang mencari adik yang hilang selama 15 tahun


Prihatin : Mari kita bantu seorang abang mencari adik yang hilang selama 15 tahun | Pencarian selama 15 tahun seorang abang untuk mencari adiknya menemui jalan buntu, walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk merujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mohd Hassan Mahat, 60, anak ketiga daripada empat beradik ini teringin menjejaki adik bongsunya, A Jamal Mahat, 58, selepas dua saudara lain meninggal dunia. Jelasnya, dia dan adiknya terpisah sejak 1998 ketika mereka tinggal di Kampung Parit Haji Hassan, Simpang Renggam. Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk menyemak rekod perubatan di klinik dan hospital bagi mengesan alamat adiknya itu, namun tidak berhasil. “Saya berharap selagi saya bernafas, saya dapat menemui adik bongsu saya ini. "Kakak dan abang kami telah meninggal dunia pada 2006 dan 2012 lalu.

Kini, hanya dia seorang sahaja saudara saya, jadi saya teringin berjumpa dengannya," katanya. Menurutnya, kali terakhir dia bertemu adiknya itu, mereka sekeluarga tidak mempunyai sebarang masalah. "Setahu saya, masa dia keluar rumah dulu, kami adik-beradik tidak pernah bergaduh dengannya. “Dia keluar rumah untuk mencari pekerjaan tetap. Namun, kali terakhir dia keluar, dia langsung tidak pulang. "Pada mulanya kami fikir dia tidur di rumah kawan, tetapi tiada berita tentangnya hingga hari ini,” katanya. Mohd Hassan yang menetap di Taman Seri Tengah mengharapkan adik bongsunya itu pulang menemuinya. "Saya cuma mahu pastikan dia selamat dan sihat. “Kepada sesiapa yang mengenali adik saya ini, sila hubungi saya di talian 010-3354551,” katanya. -SH




.

Misteri wanita selamat walaupun terperangkap selama 15 hari dalam perigi


Misteri wanita selamat walaupun terperangkap selama 15 hari dalam perigi | Seorang wanita ditemukan masih hidup selepas terperangkap selama 15 hari dalam sebuah perigi terbiar dengan hanya memakan batang jagung dan minum air hujan. Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan, Su Qixiu, dipercayai terjatuh ke dalam perigi tersebut di perkampungannya di wilayah Henan selepas keluar mencari herba. Su tidak dapat keluar daripada perigi tersebut ekoran dinding yang licin dan sempit. Wanita berusia 38 tahun itu hanya ditemukan oleh penduduk kampung pada Isnin lalu dan dibawa ke hospital untuk rawatan. - REUTERS




.

Curi kucing jiran, dan jual dagingnya sebagai daging kambing



Curi kucing jiran, dan jual dagingnya sebagai daging kambing | Seorang lelaki di Zhengzhou di wilayah Henan mencuri kucing jirannya untuk mendapat bekalan daging haiwan itu sebelum menjualnya sebagai ‘daging kambing’ di restoran tempatan. Akhbar semalam melaporkan, lelaki terbabit menggunakan burung pipit sebagai umpan menarik perhatian kucing di sekitar kejiranannya. Polis berkata, ketika ditangkap, pihak berkuasa menemui tiga karung berisi 20 ekor kucing hidup yang disusun di atas motosikalnya. Menurut sumber, untuk menampakkan daging kucing itu seperti daging kambing, lelaki terbabit merendamnya dalam air kencing kambing serta sejenis minyak. Ia kemudian dijual ke restoran tempatan pada “harga borong.” - Agensi




P/S - Sekadar gambar hiasan





.

Kemalangan ngeri melibatkan mayat sepasang kekasih di Muar


Kemalangan ngeri melibatkan mayat sepasang kekasih di Muar | Hajat sepasang kekasih bertunang pada hujung tahun ini tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut digilis sebuah treler sejauh kira-kira 40 meter di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad sini malam tadi. Kejadian berlaku pukul 11.05 malam semasa pasangan itu yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 sedang memotong treler itu tetapi malangnya bertembung dengan beberapa motosikal dinaiki sekumpulan remaja di laluan bertentangan yang sedang merempit. Difahamkan, terdapat lima hingga tujuh buah motosikal kumpulan remaja itu yang melakukan aksi berbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan.

Insiden itu menyebabkan kenderaan mangsa terjatuh lalu kedua-duanya, Mohd. Azamudin Ahmad, 18, dari Parit Limbung dan Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Parit Bakar digilis treler tersebut manakala beberapa remaja berkenaan terbabas dan terhumban ke dalam parit bersebelahan kebun kelapa sawit. Difahamkan, penunggang remaja yang terbabas ke tepi jalan dilarikan rakan mereka kerana cedera ringan dan yang terhumban ke dalam parit dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini kerana patah kaki. Lebih menyedihkan cebisan daging kedua-dua mangsa turut bertaburan di atas jalan dalam jarak lima meter selain ada beberapa anggota badan yang putus akibat digilis treler 28 tayar berkenaan. Kejadian dipercayai berlaku semasa Mohd. Azamudin dalam perjalanan menghantar pulang Wan Hs Norfatihah yang bekerja sebagai jurujual di Pasar Raya Econsave.

Saksi, Faiz Ali, 20, yang berada di belakang kumpulan motosikal remaja itu berkata, semasa kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk menjemput kakaknya pulang bekerja lalu berhenti membantu penunggang motosikal yang terjatuh dalam parit. "Semasa dipapah remaja belasan tahun itu tidak dapat berjalan dan terdapat lima hingga tujuh motosikal dalam kumpulan itu. Walaupun tidak dengar hentaman kuat tetapi bunyi mangsa di lenyek begitu jelas," katanya. Pemandu treler itu, Mohd. Isa Hamid, 52, berkata, semasa kejadian dia bersama kelendannya, Musa Muhamad, 45, dalam perjalanan menghantar makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat. "Selepas berlaku pelanggaran, saya lihat di cermin sisi motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya. "Kami ingatkan tiada apa-apa yang serius dan saya memberhentikan treler pada jarak kira-kira 40 meter kerana mahu melihat apa yang berlaku.

"Apabila turun, alangkah terkejutnya ternampak dua mangsa bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya. Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam pada itu, bapa Mohd. Azamudin, Ahmad Semi, 50, berkata, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Parit Limbung. "Anak sulung saya sudah setahun berkenalan dengan teman wanitanya dan merancang bertunang hujung tahun ini tetapi apakan daya, tidak kesampaian," katanya yang mempunyai lima orang anak. -Utusan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!