Wednesday, October 2, 2013

JERAT HATI - TINA DERIKA



JERAT HATI - TINA DERIKA | Hafiza menyimpan perasaan dengan pelajar pintar, Asyraf yang juga seorang anak Tan Sri. Sedar mereka tidak setaraf, permintaannya menjadi kawan pun ditolak kasar dengan lelaki itu. Tak cukup dengan itu dia sering menghina Hafiza . Berbeza dengan Darina, yang juga sepupu Hafiza. Seorang yang cantik, kaya dan juga pintar. Namun, bila dia mengetahui perasaan Hafiza, dia pula yang cuba 'masuk jarum', dan dia menjadi kekasih Asyraf, sehinggalah suatu hari Darina menghilang tanpa berita. Bertahun menghilang, Asyraf yang tertanya-tanya, nekad mencari kekasih hatinya itu. Dan dia teringat dengan sepupu Darina.. Mungkinkah maklumat dimana Darina akan diketahui daripada Hafiza?

Niatnya hanya satu. Mendekati Hafiza untuk memastikan Darina pulang ke pangkuannya. Dari Hafiza dia mendapat tahu yang Darina sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Darina hanya pulang jika ada keluarga yang kahwin atau majlis-majlis tertentu saja. Asyraf yang semakin terdesak menunggu kepulangan Darina, terpaksa bersetuju mengahwini Hafiza atas permintaan ibunya, Puan Sri Laila yang tertarik menjadikan Hafiza sebagai menantunya. Dia yakin, dengan perkahwinan itu, Darina pasti akan muncul.

Benarlah seperti yang dirancang, Darina benar-benar kembali, dan menagih kasih Asyraf walaupun lelaki itu sudah menjadi suami orang. Dibelakang Hafiza, mereka tetap berjumpa, dan ketika itulah Darina mula memburuk-burukkan Hafiza dengan tujuan Asyraf akan meninggalkan isterinya itu. Namun aneh bagi Asyraf, entah kenapa, perasaannya mula berbelah bagi, dan itu membuatkan Darina terpaksa berlakon bahawa dia dan Asyraf telah terlanjur sehingga dia hamil. Mampukah Hafiza terus bertahan menjadi isteri lelaki yang dicintainya, dan dapatkah kebenaran sebenar terserlah? Apa tindakan Asyraf apabila dituduh menjadi bapa anak yang dikandung Darina? Masih adakah rasa cinta Asyraf pada Darina?



Tajuk : Jerat Hati
Penulis : Tina Derika
Halaman : 533 muka surat
Harga : RM22/RM25





.
 

Inilah makanan yang boleh mengurangkan tekanan



Inilah makanan yang boleh mengurangkan tekanan | Anda mengalami tekanan dari tempat kerja? Atau cuaca yang panas membuatkan anda berasa tertekan? Jangan risau. Makanlah makanan yang boleh membebaskan anda daripada stress seperti senarai di bawah:


Oren

Kajian dari German menunjukkan bahawa vitamin C membantu untuk mengurangkan tekanan dan membuatkan tekanan darah menjadi normal semula. Vitamin C juga dikenali untuk meningkatkan sistem imunisasi dalam badan. Kentang Kentang boleh mengurangkan stress kerana ia memuaskan keinginan anda untuk mendapatkan karbohidrat dan kemanisan apabila anda berada di bawah tekanan yang berlebihan. Kentang penuh dengan 'betacarotene' dan lain-lain vitamin serta fiber yang membantu badan anda untuk memproses karbohidrat dalam proses yang mantap.


Aprikot kering

Buah aprikot kaya dengan magnesium yang mana dapat mengurangkan tekanan dan boleh mengendurkan otot secara semulajadi.


Almond, pistachio & walnut

Kacang almond penuh dengan vitamin B dan E dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi. Manakala walnut dan pistachio membantu untuk menurunkan tekanan darah.


Ayam belanda

Daging ayam belanda mengandungi amino asid yang juga dipanggil 'L-trytophan'. Amino asid ini juga melepaskan serotonin, satu bahan kimia yang baik untuk otak. Inilah sebabnya orang berasa sangat tenang selepas makan daging ayam belanda.


Bayam

Kekurangan magnesium dalam badan boleh menyebabkan migrain dan rasa keletihan. Satu cawan bayam memberikan 40 peratus magnesium yang anda sememangnya perlu dalam badan.


 Salmon

Ikan salmon mempunyai asid lemak Omega 3 yang tinggi yang mana boleh membantu menangani penyakit jantung. Kajian menunjukkan bahawa Omega 3 menyimpan hormon tekanan daripada memuncak.


Avokado

Lemak tidak tepu dan potassium yang ada dalam buah avokado membantu untuk mengurang tekanan darah dalam badan. Potassium yang cukup dalam badan boleh mengurangkan tekanan darah dan tahukah anda, avokado mempunyai lebih potassium berbanding pisang? Sayur-sayuran hijau Brokoli, sawi dan sayur-sayuran hijau lain adalah sumber utama vitamin yang membantu menyegarkan badan anda di kala stress.





.

Kisah tragis dari seberang



Kisah tragis dari seberang | Sebuah lori pikap sarat dengan penumpang yang baru pulang manghantar jemaah haji, dilanggar sebuah kereta api di Desa Jengkok, di daerah Indramayu, Jawa Barat semalam mengakibatkan 13 orang maut manakala enam yang lain cedera. Menurut polis, kejadian pada pukul 10.26 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori pikap itu nekad meneruskan perjalanannya di satu lintasan kereta api tidak berpalang, walaupun lampu isyarat memberi amaran bahawa kereta api akan melalui jalan berkenaan pada ketika itu. Impak perlanggaran itu menyebabkan lori pikap itu tercampak ke dalam kawasan sawah kering, manakala kereta api dari Jakarta itu yang tidak mengalami kerosakan serius, meneruskan perjalanannya ke Solo.

Menurut saksi, sebelum kejadian berlaku penduduk sekitar lintasan kereta api itu memekik memberi amaran kepada pemandu lori pikap berkenaan bahawa kereta api sudah dekat, namun kenderaan itu tetap dipandu laju di lintasan itu. Para penumpang lori pikap itu dilaporkan baru pulang dari menghantar jemaah haji dari kampung mereka ke Asrama Haji Indramayu. Seorang jurucakap syarikat Kereta Api Indonesia berkata, sungguhpun lintasan kereta api itu tidak berpalang, namun ia dilengkapi papan tanda dan lampu isyarat secukupnya, sehingga pengguna jalan raya boleh mengetahui jika ada kereta api akan melalui di situ pada satu-satu masa. - BERNAMA




.

Bahasa Melayu-Indonesia diangkat jadi bahasa dunia



Bahasa Melayu-Indonesia diangkat jadi bahasa dunia | Usaha mengangkat Bahasa Melayu-Indonesia sebagai bahasa dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dan Indonesia. Inisiatif berkenaan, kata Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim boleh dijadikan usul oleh NGO berkenaan secara kerjasama antara kedua-dua kerajaan untuk dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagaimanapun, Rais berkata, pada masa sama jawatankuasa istilah antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Bahasa Indonesia perlu memainkan peranan untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan. Beliau optimis, Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia kerana bahasa berkenaan ditutur oleh lebih 300 juta penduduk di rantau ini.

"Kalau di Perancis, penduduknya tidak sampai 200 juta orang, tapi bahasa Perancis menjadi sebahagian daripada bahasa rasmi PBB, begitu juga Rusia, penduduknya hanya berjumlah 100 juta lebih, tapi bahasa merekapun mendapat perhatian sedemikian. "Kita Indonesia dan Malaysia bahasanya sama, cuma vokal a dan e yang membezakan, tapi bernyanyi dalam sebutan bahasa sama," katanya ketika ditemui selepas berucap pada forum Diaspora Indonesia kali kedua, di sini hari ini. Beliau turut mencadangkan badan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersama rakyat di Indonesia termasuk universiti-universiti di Indonesia boleh memainkan peranan untuk menjuarai perjuangan mengangkat kedudukan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia itu.

Ketika berucap pada forum itu pula, Rais berkata, inisiatif Indonesia menganjurkan diaspora merupakan langkah tepat bagi masa depan bangsa Nusantara. Ini kerana, jelas beliau, penduduknya dicantumkan melalui bahasa. "Kalau 240 juta orang Indonesia dan 30 juta orang Malaysia, Brunei serta beberapa wilayah seperti selatan Thailand, menjadikan 300 juta penutur Bahasa Indonesia-Bahasa Melayu, kenapa kita tak boleh jadi bahasa dunia di PBB," katanya. Sementara itu, Ketua Satu Gapena Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar yang ditemui pada forum itu menyambut baik gesaan Rais dan menganggapnya sebagai tepat kerana Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia kini berada di kedudukan kelima bahasa paling ramai dituturkan di dunia. - Utusan






.

Lagi insiden presiden yang dibaling kasut


Lagi insiden presiden yang dibaling kasut | Kereta yang membawa Presiden Iran Hassan Rohani telah dibaling kasut oleh individu tidak dikenali ketika beliau meninggalkan Lapangan Terbang Mehrabad selepas kembali dari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam. Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kasut tersebut gagal mengenai beliau yang ketika itu sedang melambaikan tangan ke arah penyokongnya.

Kejadian itu dipercayai berlaku berikutan sekumpulan penunjuk perasaan berang kerana Hassan berbual selama 15 minit bersama Presiden AS Barack Obama untuk pertama kali, malam kelmarin selepas hubungan antara kedua-dua negara terbabit dilaporkan dingin sejak lebih 30 tahun lalu.

Khamis lalu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif turut mengadakan pertemuan bersama wakil beberapa negara termasuk Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk berbincang mengenai program nuklear yang dibangunkan negara tersebut. Difahamkan laporan dipetik dari AFP, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad juga pernah menerima nasib yang sama ketika beliau mengadakan lawatan ke Mesir, awal tahun lalu. -AP




.

Pelakon cantik ini cipta sejarah tersendiri



Pelakon cantik ini cipta sejarah tersendiri | AKTRES cantik, Sandra Bullock mencipta sejarah tersendiri dalam industri perfileman Hollywood apabila menjadi individu pertama meraih anugerah lakonan terbaik dan terburuk pada tahun sama. Pada 2010, Bullock memenangi Anugerah Aktres Terbaik menerusi Anugerah Akademi ke-82 (Oscar) dalam filem The Blind Side dan Anugerah Aktres Terburuk dalam Anugerah Golden Raspberry ke-30 (Razzie) yang mengiktirafnya menerusi lakonan dalam filem komedi romantik, All About Steve. Menerusi filem itu, Bullock dan Bradley Cooper turut diiktiraf sebagai Pasangan Filem Terburuk. “Saya sungguh seronok hadir dan menerima anugerah. Saya sifatkan ia sebagai sesuatu yang sungguh seimbang dengan kemenangan saya di Razzie dan Oscar.

“Sudah pasti saya akan mempamerkan kedua-dua anugerah ini dalam almari perhiasan. "Cuma, kedudukan anugerah Razzie itu bawah sedikit daripada Oscar,” katanya sambil berseloroh. Kemenangan Bullock atau nama sebenarnya, Sandra Annette Bullock di Oscar mencipta satu momen terindah dalam diari seninya sebagai seorang aktres tersohor apatah lagi berjaya menewaskan pelakon veteran, Meryl Streep. Ternyata filem The Blind Side mengubah hidupnya secara total. Tidak dinafikan lagi, filem itu membawa tuah berlipat ganda kepada Bullock dan berjaya membuka mata ramai pihak terhadap kredibilitinya sebagai seorang aktres. Sebelum memenangi Oscar, Bullock telah membawa pulang dua anugerah berprestij iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild yang merupakan penentu kejayaannya di pentas Oscar.

Tidak cukup dengan itu, Bullock juga mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi aktres pertama memenangi Oscar menerusi filem yang mencatat kutipan melebihi AS$250 juta di Amerika Syarikat (AS) sahaja. Sebelum ini, tiada aktres yang berjaya mencipta kejayaan sebegitu kerana filem-pemenang sebelum ini biasanya kurang mendapat sambutan atau kutipannya akan melonjak naik selepas kemenangan. Cetus kontroversi bogel Ramai tidak tahu, perjalanan karier seni Bullock bukanlah semudah seperti dilihat hari ini. Dia gigih membina nama dengan membintangi filem seperti Love Potion No.9 (1992), Demolition Man (1993), The Vanishing (1993) dan Speed (1994).

Ia bukan sahaja tidak laris di pasaran tetapi turut mendapat kritikan pedas. Namun, semuanya berubah apabila dia membintangi filem Speed bersama aktor tampan, Keanu Reeves. Ia terus meletakkan namanya di persada kegemilangan. Seterusnya, aktres berusia 49 tahun ini lebih dikenali sebagai pelakon bergenre komedi romantis berikutan kekerapan berlakon dalam filem seperti Miss Congeniality (2000), While You Were Sleeping (1995), Forces of Nature (1999), The Proposal (2009), The Heat (2013) dan banyak lagi. Namun, Bullock meledak kontroversi apabila tampil berbogel menerusi filem komedi romantis, The Proposal. Walhal sebelum ini, sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, dia tidak pernah berlakon bogel. Menurutnya, dia bersedia untuk berbogel dalam filem itu selepas membaca skrip dan berpuas hati bahawa adegan itu penting dalam filem tersebut.

Bullock juga memberitahu, dia sanggup melakukannya kerana mahu membantu The Proposal mendapat kutipan box-office. Hakikatnya, filem The Proposal yang ditayang di United Kingdom mendapat kutipan tiket lebih AS$34 juta (RM121.2 juta) pada tayangan pembukaan di AS. “Box-office sukakannya, saya akan berbogel dalam setiap filem lakonan saya selepas ini, walaupun ketika berusia 70 tahun,” katanya berseloroh. Watak saintis dalam Gravity Nama Bullock terus gah di persada dunia lakonan. Selepas membintangi filem aksi komedi, The Heat, Bullock kembali lagi ke persada seni dengan mempertaruhkan filem terbarunya, Gravity. Kali ini dia bergandingan bersama aktor berkarisma, George Clooney. Tampil berbeza kerana Gravity adalah sebuah filem pengembaraan angkasa arahan Alfonso Cuaron.

 Dalam Gravity memerlukan Bullock membawa watak sebagai seorang saintis bernama Dr Ryan Stone yang berpakaian lengkap dengan sut angkasa lepas. Demi menjayakan wataknya itu, dia terpaksa berlakon dengan gerak tubuh seperti penari. “Menari sangat membantu untuk persiapan watak itu. "Kami berlakon dalam tempo yang sangat perlahan dan mujur saya cepat belajar gerak-geri yang diperlukan untuk watak Dr Ryan Stone,” katanya. Sangat beruntung kerana dia mendapat bimbingan daripada jurulatih tariannya. Bukan itu saja, Bullock berkata, dia turut bekerja keras sebagai persiapan emosi dan fizikal bagi merealisasikan watak itu. “Saya mahu watak itu hilang aura kewanitaan dan keibuan dalam dirinya seiring perasaan kecewa selepas tragedi dialaminya di bumi sebelum berlepas ke angkasa. “Untuk persediaan fizikal saya berlatih di lokasi setiap hari termasuk mendukung anak saya yang berusia tiga tahun ke hulu hilir bagi mengekalkan bentuk badan diperlukan,” katanya. Gravity bakal bersiar pada 3 Oktober depan di pawagam seluruh Malaysia. -AP





.

Akhirnya setelah 69 tahun, tentera udara yang hilang, ditemui


Akhirnya setelah 69 tahun, tentera udara yang hilang, ditemui | Setelah 69 tahun hilang tanpa khabar berita, akhirnya keluarga juruterbang Perang Dunia Kedua dapat menarik nafas lega apabila beberapa rangka tulang juruterbang itu ditemui, baru-baru ini. Walaupun tidak berada dalam jasad yang lengkap, mendiang tetap dikebumikan dengan penghormatan penuh adat istiadat ketenteraan di Utah, semalam. Pesawat yang dipandu Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) Kedua, Leftenan Vernal J.Bird terhempas di sebuah pulau berhampiran Lautan Pasifik hampir 70 tahun yang lalu.

Bird hilang di Papua New Guinea ketika pengeboman lapangan terbang Jepun pada tahun 1944. Kawasan kejadian ditemui 12 tahun lalu tetapi serpihan mayat yang ditemui baru dikenal pasti yang mengatakan ia milik Bird. Hanya tulang kaki Bird yang ditemui dan ia dibawa dalam sebuah keranda yang dilitupi bendera. Minggu ini, kira-kira 150 saudara mara Bird dari jauh datang ke Lapangan Terbang Salt Lake untuk menyambut ‘kepulangan’ Bird. Namun, serpihan mayat juruterbang bersama Bird, Sarjan Roy Davis dari New Hampshire tidak ditemui. -AP





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!