Friday, November 1, 2013

Di negara jiran, Pocong sudah boleh mengundi


Di negara jiran, Pocong sudah boleh mengundi | Seorang penduduk Kalimantan Barat, Pocong akhirnya diiktiraf pengundi sah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) selepas mengesahkan lelaki itu benar-benar wujud. Nama Pocong dimasukkan dalam senarai pengundi bagi pilihan raya tahun depan selepas pegawai di Singkawang membuat bantahan rasmi kepada KPU di Jakarta yang enggan memasukkan namanya kerana menganggapnya sebagai gurauan. “Pegawai kami di Singkawang menunjukkan gambar Pocong bersama mereka,” kata Pengerusi KPU Husni Kamil Manik pada seminar di Jakarta Isnin lalu.

 “Mereka turut memberi kad keluarga Pocong untuk menyokong kewujudannya,” katanya. Pocong ialah karakter paling popular dalam cerita seram masyarakat Indonesia. Ia sejenis hantu berbungkus kain kafan yang kerap digambarkan menghantui penduduk. Keputusan dibuat ketika KPU bertungkus-lumus mengemaskini senarai pengundi yang akan diterbitkan minggu depan. Pada masa lalu, kesilapan biasa yang dibuat pegawai KPU tempatan termasuk nama sama, nama orang yang sudah mati atau tak wujud dikatakan direka oleh pegawai parti politik tertentu dengan tujuan untuk menipu dalam pilihan raya. - AFP




.

Bila pelakon takut tengok muka sendiri kerana berlakon menjadi hantu dalam filem


Bila pelakon takut tengok muka sendiri kerana berlakon menjadi hantu dalam filem | Reaksi orang sekeliling yang seakan takut, seram hingga memandang wajahnya pun tak sudi membuatkan pelakon baru Aishah Ilias, 26, enggan melihat cermin sepanjang dia berada di set penggambaran filem Paku selama kira-kira sebulan. Kata gadis tinggi lampai ini, dia bimbang keadaan dirinya disolek menyerupai puntianak itu mengganggu emosi dan tumpuan tatkala sedang berlakon. “Saya ada sedikit rasa takut dengan hantu sebenarnya. Sesudah siap disolek, ramai yang cakap wajah saya menyeramkan. Malah ada yang tidak berani memandang saya. Disebabkan itu, saya putuskan untuk tidak melihat wajah sendiri di cermin sebaik disolek.

“Bagaimanapun, pada hari terakhir penggambaran, saya memasuki tandas dan tanpa disangka di dalam tandas itu terdapat sebuah cermin. Ini menyebabkan saya terpandang diri sendiri dalam keadaan menyeramkan itu di cermin secara tak sengaja. “Itulah keadaan diri saya yang paling menakutkan pernah saya lihat,” kata gadis yang iras wajahnya seperti Sushmita Sen ini.-HM





.

Gambar sebelum dan selepas pembedahan menggantikan rupa Xu Jianmei



Gambar sebelum dan selepas pembedahan menggantikan rupa Xu Jianmei   | Sekumpulan doktor pakar berjaya melakukan pembedahan bagi menggantikan wajah seorang gadis remaja yang terbakar, hanya dengan menggunakan kulit daripada dadanya. Wajah Xu Jianmei, 17, terbakar teruk ketika berusia lima tahun sehingga mengakibatkan dia kehilangan dagu, kelopak mata dan telinga, selain tidak boleh tersenyum. Kedua ibu bapa Jianmei tidak mampu menampung kos pembedahan plastik yang mahal sehingga menyebabkan remaja itu berada dalam keadaan sedemikian sejak 12 tahun lalu. Namun begitu, gadis berkenaan bagaikan mendapat harapan baharu apabila doktor bersetuju untuk menawarkan perkhidmatan pembedahan secara percuma.


Dengan wajah baharu ini, Jianmei mampu meluahkan perasaan dalam bentuk yang lebih baik. Wajahnya juga boleh menjadi kemerah-merahan apabila berlaku perubahan emosi, namun perkara itu mungkin memakan masa yang agak panjang,’’ kata pakar bedah Jiang Chenhong. Jelas Chenhong, pihaknya menyalurkan darah dari kaki ke dada Jianmei, sebelum menggunakan belon berisi air bagi mengembangkan kulitnya di bahagian dada untuk digunakan dalam membina wajah baharu.


“Pada mulanya kami mengambil saluran darah dari paha kemudian ditanamkan di dalam dadanya. “Kami memasukkan pengembang kulit di mana darah berkenaan ditanam, ini bagi menghasilkan kulit yang cukup untuk digunakan bagi membentuk muka baharu ,’’ ujar Chenhong. Kumpulan pakar bedah berkenaan sebelum ini pernah melakukan pembedahan pemindahan seumpama itu beberapa bulan lalu, termasuk mencipta hidung baharu dengan menggunakan kulit dahi. - AGENSI





.

Bolehkah orang islam menyambut perayaan Halloween?


Bolehkah orang islam menyambut perayaan Halloween? | Individu beragama Islam yang menyambut perayaan Halloween seperti amalan masyarakat barat menunjukkan aktiviti yang menyimpang daripada akidah. Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sharul Nizam Abu Bakar berkata, sambutan yang merujuk pada amalan agama Kristian itu boleh mengundang persepsi negatif dan aktiviti tidak sihat jika masyarakat Islam turut serta.

“Dalam al-Quran ada menyebut, jika kita meniru perbuatan atau amalan kaum tertentu, kita boleh terjerumus dalam kalangan mereka. Secara jelas, amalan sambutan Halloween ini tidak mengikut syarak langsung,” katanya. Menurutnya, tidak sepatutnya masyarakat Islam terpedaya untuk bersama menyambut perayaan berkenaan. Malah, apa yang dibimbangkan ia boleh menggalakkan aktiviti lain seperti pesta minuman keras dan seks bebas.




.

Punca Flat PKNS Kerinchi terbakar


Punca Flat PKNS Kerinchi terbakar | “Saya hanya mampu menjerit memberitahu ada kebakaran sebaik terlihat api mula merebak ke dalam kediaman kami yang berpunca dari rumah sebelah didiami warga Indonesia dan terus berlari turun tanpa sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” kata Aishah Alang, 52, mangsa kebakaran kediaman Pangsapuri 16 tingkat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kerinchi, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, enam unit kediaman paling atas pangsapuri berkenaan membabitkan 28 orang musnah selepas kebakaran dipercayai berpunca dari rumah disewa warga Indonesia yang dikatakan sedang memasak di dalam bilik mereka. Menurut Aishah, sebelum kejadian, dia ada terlihat jirannya itu sedang memasak di dalam bilik mereka, namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana mereka memang selalu memasak di dalam bilik.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terbau asap dari kediaman itu, malah tiba-tiba api turut merebak melalui siling bumbung kediaman saya menyebabkan saya menjerit dan menyuruh anak saya menghubungi suami yang sedang bersolat di surau di tingkat bawah. “Malah, ketika itu keadaan menjadi kelam-kabut apabila semua jiran yang menyedari kebakaran termasuk warga Indonesia terbabit menyelamatkan diri. Saya juga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya yang gagal menahan sebak dan menangis selepas melihat kediaman yang diduduki puluhan tahun itu musnah terbakar. Sementara itu, suaminya, Zamri Mohamad Tenang, 58, berkata, ketika kejadian dia baru lepas bersolat Asar di surau sebelum dihubungi anaknya memberitahu rumah mereka terbakar.

“Saya kemudian terus bergegas naik dan ketika itu lif masih berfungsi. “Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, api didapati sudah mula merebak dan saya terus memaklumkan kejadian itu kepada jiran lain agar mereka menyelamatkan diri,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu berkata, kebakaran itu menyebabkan semua mereka tinggal sehelai sepinggang. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.40 petang. Menurutnya, sebanyak 13 jentera bomba dari lapan balai bomba dan penyelamat (BBP) dari Pantai, Seputeh, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Sri Hartamas, Bandar Tun Razak dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian. “Jentera pertama dari BBP Seputeh tiba di tempat kejadian pada jam 4.57 petang dan mendapati enam unit kediaman pangsapuri sedang terbakar. “Api berjaya dikawal dua jam kemudian. Setakat ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-HM




.

Kanak-kanak 5 tahun di kurung dalam reban ayam kerana sebab yang tidak masuk akal


Kanak-kanak 5 tahun di kurung dalam reban ayam kerana sebab yang tidak masuk akal | Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bukan saja dimaki dan dipukul ayahnya sendiri, malah turut dikurung dalam reban ayam gara-gara tindakannya yang gemar ke rumah kakaknya dalam kejadian di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, Ahad lalu. Menurut sumber, nasib menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui kakaknya berusia 20 tahun yang tinggal di Kampung Losong Megat Hussin, di sini, kira-kira jam 8 malam hari sama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lagi adik perempuannya yang memaklumkan perbuatan ayah mereka. Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah kakaknya dimarahi suspek berusia 50-an yang kebetulan datang ke rumah kakaknya itu.

“Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang masih kecil dimaki hamun suspek yang dikatakan tidak suka melihat anaknya berada di situ. “Selepas puas memarahi mangsa, suspek kemudian beredar sambil membawa mangsa meninggalkan kediaman itu. “Perasaan tidak puas hati suspek rupa-rupanya tidak berakhir di situ apabila mangsa dipukul ketika berada di rumah. “Malah, suspek turut bertindak kejam apabila mengurung anak kecil itu di dalam reban ayam kononnya sebagai memberi pengajaran,” katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian, seorang lagi kakak mangsa berusia 16 tahun turut berada di rumah, tetapi hanya mampu melihat tindakan tidak berperikemanusiaan ayah mereka kerana bimbang diapa-apakan jika masuk campur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya. Katanya, susulan kejadian itu, kakak mangsa yang bimbang keselamatan adiknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.-MD




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!