Bintang bola sepak David Beckham melawat mangsa taufan Haiyan di Filipina | Bintang bola sepak David Beckham melawat Filipina semalam untuk memberi sokongan kepada mangsa taufan Haiyan ketika tidak semua benar-benar pasti identitinya.
Ratusan mangsa bencana alam itu bergegas meninggalkan khemah sementara masing-masing untuk menyambut selebriti dunia itu di negara yang lebih ramai peminat bola keranjang berbanding bola sepak itu.
Lawatan berkenaan adalah kunjungan kedua Beckham ke Filipina dalam kapasitinya sebagai duta khas Dana Kanak-kanak PBB.
Dia tiba di Tacloban dengan pesawat peribadi dengan kemeja T berlambang UNICEF dan meluangkan masa menziarahi khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat taufan Haiyan November tahun lalu.
Malah Beckham, 38, turut memasuki satu daripada khemah berkenaan dan berbual-bual dengan penghuninya.
Kemunculan Beckham itu memang mudah menarik perhatian orang ramai dengan sesetengah mereka terpesona dengan kekacakannya.
Ibu kepada empat anak, Darilyn Bascug berkata, dia difahamkan Beckham bermain untuk pasukan Azkals - merujuk kepada kelab bola sepak kebangsaan Filipina.
“Saya tidak begitu kenal dia, atau isterinya,” katanya. Sejurus selepas ketibaan Beckham, seorang lagi wanita di kawasan berkenaan sempat bertanya kepada wartawan: “Adakah lelaki itu selebriti?” - AFP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment