Monday, February 17, 2014

Kenali Tasik Laut Salton dengan pemandangan indah namun aneh



Kenali Tasik Laut Salton dengan pemandangan indah namun aneh | DARI jauh, tiada perkara yang ganjil kelihatan pada tasik Laut Salton di California, Amerika Syarikat (AS) melainkan pemandangan air yang kebiruan-biruan dan pasir yang memutih. Bagaimanapun, pemandangan indah itu sebenarnya merupakan ilusi anda semata-mata kerana hakikat sebenar ialah air tasik di situ sebenarnya berwarna coklat dan warna biru itu adalah pantulan daripada awan. Selain itu, tebing tasik Laut Salton yang kelihatan seperti pasir pantai yang memutih sebenarnya ialah tulang hancur daripada jutaan ikan yang mati di situ sejak puluhan tahun lalu. Malah, anda tidak boleh mengabaikan bau busuk di situ yang diibaratkan seperti sebuah pasar besar yang hanya menjual ikan-ikan busuk dan rosak. Apa yang berlaku di Tasik Laut Salton itu sebenarnya berpunca daripada satu kemalangan. Tasik itu terbentuk pada 1905 apabila sebuah projek terusan daripada Sungai Colorado pecah selepas hujan lebat mengakibatkan air keluar daripada tebing terusan.

 Keadaan itu mengakibat berjuta-juta gelen air mengalir keluar ke kawasan rendah lalu membentuk takungan yang terdapat di gurun California. Laut Salton turut mempunyai zaman kegemilangannya pada sekitar 1950-an dan 1960-an sehingga menjadi tumpuan pelancong dan digelar sebagai ‘keajaiban padang pasir’. Malah, ia turut menjadi lokasi pilihan selebriti pada ketika itu seperti Beach Boys dan Sonny Bono untuk mandi dan bermain bot laju sehingga pemaju hartanah berlumba-lumba untuk memajukan kawasan itu. Malang sekali, kemasyhuran Laut Salton hanya bersifat sementara selepas tasik buatan itu mengumpulkan garam, baja dan racun serangga daripada kawasan pertanian berhampiran tasik. Keadaan itu mengakibatkan air Laut Salton, 30 peratus lebih masin berbanding Laut Pasifik sehingga pada sekitar 1970-an, menyebabkan tasik itu tidak lagi mampu menjadi habitat kepada sebarang hidupan.


Keadaan itu mengakibatkan kawasan tebing tasik dibanjiri dengan jutaan bangkai-bangkai ikan sekali gus menjadikan kawasan itu mula dilupakan. Menurut seorang pengembara yang melawat kawasan itu, Jamie Lee, dia mengunjungi semula Muzium Pisang Antarabangsa dan Muzium Sejarah Laut Salton di situ baru-baru ini dan ternyata, ia tidak lagi beroperasi. Bagaimanapun, kawasan sekitar Laut Salton masih mampu menarik perhatian pengarah filem dokumentari atau mereka yang suka kepada ‘pelancongan bencana’. Namun menurut laporan BBC, keadaan di sekitar Laut Salton seperti tulang ikan mahupun airnya merupakan perkara yang tidak perlu ditakuti. Apa yang perlu dibimbangkan adalah apabila tasik itu kering kerana dikhuatiri ia akan menghasilkan awan debu toksik di sekitar California Selatan. Untuk itu, kerajaan AS dilihat mula mempertimbangkan pelbagai kemungkinan untuk membangunkan semula kawasan itu bagi tujuan penghasilan tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan hartanah. - AGENSI





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!