Tuesday, December 16, 2014

Remaja kacak ini didapati tidak bersalah oleh mahkamah selepas 18 tahun lalu dihukum mati



Remaja kacak ini didapati tidak bersalah oleh mahkamah selepas 18 tahun lalu dihukum mati | Seorang remaja yang dihukum mati selepas didapati bersalah kerana merogol dan membunuh seorang wanita 18 tahun lalu, diisytiharkan tidak bersalah oleh mahkamah. Agensi berita Xinhua melaporkan, Huugjilt dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Mongolia ketika berusia 18 tahun pada 1996. Namun keraguan wujud dalam keputusan itu apabila seorang perogol bersiri, Zhao Zhihong mengaku atas jenayah tersebut pada 2005.


“Mahkamah Mongolia mendapati keputusan asal Huugjilt bersalah tidak konsisten dengan fakta-fakta dan tidak terdapat bukti yang mencukupi. Oleh itu, mahkamah mendapati Huugjilt tidak bersalah," menurut kenyataan mahkamah Hohhot. Sebagai tanda kesal dan simpati, timbalan presiden Mahkamah Tinggi, Zhao Jianping menyerahkan 30,000 yuan (RM16,949) kepada keluarga Huugjilt. - SCMP





.

Konstabel polis ditemui mati gantung diri



Konstabel polis ditemui mati gantung diri | Seorang konstabel polis ditemui mati dipercayai dalam keadaan tergantung di rumahnya di Jalan Indah, Bandar Baru, Slim River di sini hari ini. Mayat anggota Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim berusia 24 tahun itu ditemui pada pukul 7 pagi. Difahamkan, si mati yang bertugas di IPD berkenaan sejak Disember 2012 tinggal di rumah berkenaan bersama tiga rakan sekerjanya. Mayatnya dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. - Utusan




.

Subhanallah!! Burung alami kecederaan belakang dan lumpuh, kini mampu terbang selepas jalani rawatan akupunktur



Subhanallah!! Burung alami kecederaan belakang dan lumpuh, kini mampu terbang selepas jalani rawatan akupunktur | Seekor burung hantu yang mengalami kecederaan belakang badan sehingga menyebabkannya tidak mampu berdiri, berjaya pulih sepenuh daripada masalah tersebut selepas menjalani rawatan akupunktur selama 10 minggu. Mail Online melaporkan, burung hantu dari jenis Athene noctua itu mengalami kecederaan tersebut dua bulan lalu selepas secara tidak se­ngaja terbang memasuki saluran paip dapur sebuah kilang di timur Madrid.

Burung berkenaan kemudian dihantar ke sebuah pusat rawatan burung hantu yang dikenali sebagai Brinzal. Pakar akupunktur, Edurne Cornejo berkata, empat batang jarum dicucuk di titik utama sistem saraf burung berkenaan untuk memulih­kan kecederaan belakang badan yang dialaminya. “Pada mulanya, burung hantu ini langsung tidak boleh berdiri. Namun lama-kelamaan burung ber­kenaan boleh terbang seperti sedia kala.


“Rawatan akupunktur menggunakan mekanisme pemulihan secara semulajadi. Rawatan ini tidak mendatangkan kesan sam­pingan kepada pesakit seperti mana ra­watan yang menggunakan ubat-ubatan,” jelas Cornejo. Menurut Persatuan Akupunktur Veterinar Antarabangsa, penggunaan kaedah rawatan yang berasal dari zaman China purba itu ke atas haiwan sudah semakin mendapat tempat di kebanyakan pusat perubatan di seluruh dunia.-AP




.

Inilah rumah satu bilik tidur yang dikatakan paling mahal di Britain.. Macam mana rupanya?



Inilah rumah satu bilik tidur yang dikatakan paling mahal di Britain.. Macam mana rupanya? | Sebuah rumah yang hanya memiliki sebuah bilik tidur di Britain diiklan untuk dijual pada harga £1.8 juta (RM9.8 juta) sekali gus menjadi kediaman sebuah bilik tidur termahal di negara berkenaan.


 Rumah berkeluasan 726 meter persegi yang terletak di Mayfair, tengah London itu dilengkapi sebuah ruang tamu, bilik membaca, dapur, balkoni serta tempat menyidai pakaian. Seorang ketua firma hartanah Pastor Real, Susan Cohen berkata, tawaran itu adalah peluang unik kepada pembeli untuk memiliki sebuah rumah kecil di Mayfair yang merupakan antara lokasi strategik di London.


 Kediaman tiga tingkat itu adalah tiga kali lebih mahal berbanding harga purata sebuah rumah di England dan Wales serta hampir sama dengan harga sebuah rumah agam di bandar Clifton, Bristol. Setakat ini, rumah berkenaan dianggap sebagai kediaman satu bilik tidur paling mahal di negara itu. “Hartanah ini terletak di kawasan yang tenang dan amat sesuai kepada pembeli yang mahu mencari kedamaian,” kata Cohen. – Agensi




.

Kenali remaja Islam ini yang berjaya bergelar jutawan. Apa yang menjadikan dia jutawan?



Kenali remaja Islam ini yang berjaya bergelar jutawan | Usianya belum mencecah 18 tahun, namun seorang remaja di Amerika Syarikat (AS) berjaya mengumpul kekayaan kira-kira AS$72 juta (RM252 juta) dengan hanya meluangkan masa menceburi dunia pasaran saham melalui Internet setiap kali waktu rehat di sekolahnya. Mohammed Islam, 17, ber­asal dari Queens, New York, mula berkecimpung dalam pelaburan saham pada usia sembilan tahun dan menghabiskan waktu rehat di Sekolah Tinggi Stuyvesant untuk berurusan dalam bidang perdagangan minyak dan emas selain ekuiti kecil dan sederhana.

Menurut laporan Mail Online, kejayaan pemuda itu turut membuatkan dia mampu membeli sebuah kereta mewah BMW walaupun tidak mempunyai lesen memandu dan menyewa sebuah pangsapuri di Manhattan selain membelanja kawan-kawan sekolahnya di tempat mewah selepas tamat sesi pembelajaran. Mohammed Islam berkata, setiap kali waktu rehat, dia akan mengikuti perkembangan pasaran saham, mencari peluang dan menggunakan segala pengetahuan termasuk analisis asas serta analisis teknikal untuk mengetahui spekulasi dalam pasaran.

Jelasnya, selepas memperoleh pulangan yang tinggi dalam pa­saran sen, dia akan beralih kepada pelaburan modal ekuiti kecil serta pertengahan dan kemudiannya mengikuti spekulasi pasaran masa depan emas dan minyak. “Kini saya telah memahami pasaran saham dan semakin ghairah untuk menjana pendapatan melalui dagangan saham,” katanya. Mohammed Islam me­ngakui, kehidupannya pernah ‘lumpuh’ apabila mengalami kerugian ketika kali pertama mula menceburi bidang tersebut, namun dia dapat bangkit semula apabila mempelajari cara idolanya, Paul Tudor Jones, seorang jutawan pelaburan AS.-AP




.

[Gambar] Inilah Ratu Cantik Dunia 2014 yang berasal dari Afrika Selatan



[Gambar] Inilah Ratu Cantik Dunia 2014 yang berasal dari Afrika Selatan  | Peserta Afrika Selatan, Rolene Strauss dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia 2014 pada malam kemuncak pertandingan tersebut di London, semalam.Strauss, 22, menewaskan peserta Hungary, Edina Klucsar dan peserta dari Amerika Syarikat (AS), Elizabeth Safrit yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Pertandingan Ratu Cantik Dunia Edisi Ke-64 kali ini disertai wanita dari 121 buah negara.

Strauss yang merupakan seorang pelajar perubatan menyatakan kejayaan yang dicapainya itu adalah untuk negara kelahirannya tersebut. “Saya mahu membantu menyebarkan betapa pentingnya pendidikan di negara kelahiran saya dan pada masa sama membantu mereka mencapai impian masing-masing.


“Saya berada di sini kerana peluang yang saya peroleh dan saya ingin menyediakan peluang sama kepada orang lain termasuk menyediakan pelajaran, peluang untuk mengajar, membuat keputusan yang baik dan mencapai impian,’’ katanya. Pertandingan jelitawan itu kali ini dibayangi pembunuhan Ratu Cantik Honduras, Maria Jose Alvarado, 19, bersama kakaknya, Sofia Trinidad yang ditembak mati pada bulan lepas. – AFP




.

Gara-gara berebut ikan, empat mati dibunuh



Gara-gara berebut ikan, empat mati dibunuh | Seramai empat orang awam di Bihar ditembak mati sekumpulan penduduk yang dipercayai berkasta tinggi kerana enggan berkongsi hasil tangkapan ikan yang diperoleh mereka, kata polis hari ini. Insiden itu berlaku lewat petang kelmarin apabila empat orang mangsa berkasta rendah itu sedang sibuk menangkap ikan di sebatang sungai berdekatan kampung Aiyara, daerah Patna, kata seorang pegawai polis. “Mereka dibunuh oleh satu kumpulan bersenjata berkasta tinggi selepas mangsa enggan berkongsi ikan yang ditangkap di satu sungai di atas tanah kerajaan,” kata pegawai polis. Berang dengan kejadian pembunuhan itu, beratus-ratus orang sehingga hari ini bertindak menghalang laluan jalan raya utama dan menuntut tangkapan dilakukan ke atas tertuduh. - Agensi




.

Ibu hamil empat bulan maut, keluarga koma dalam kemalangan ngeri di Sg. Petani



Ibu hamil empat bulan maut, keluarga koma dalam kemalangan ngeri di Sg. Petani | Seorang ibu hamil empat bulan maut manakala suami dan tiga anaknya parah selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh dua kereta dari arah bertentangan di laluan Sungai Petani-Gurun di Taman Desa Budiman, di sini, petang tadi. Dalam kejadian 1.15 petang, mangsa, Intan Safina Hussin, 26, yang memandu kereta berkenaan manakala suaminya, Mohd Azrul Azmi, 30, berada di tempat duduk hadapan dan tiga anaknya berusia tiga hingga lapan tahun duduk di belakang sedang dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani ke rumah mereka di Taman Sri Utama, Gurun, dekat sini.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati mangsa cuba memotong kenderaan yang berada di hadapannya namun gagal lalu merempuh kereta yang datang dari arah bertentangan. "Pada masa sama, kenderaan kedua yang berada di belakang di laluan bertentangan itu juga tidak sempat menekan brek lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan. "Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami dan anak sulung mereka masih koma manakala dua lagi anak mereka dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, " katanya.




.

Suami belasah isteri kerana isteri suspek suami curang



Suami belasah isteri kerana isteri suspek suami curang | Seorang wanita pecah mulut dan lebam di badan akibat dibelasah suami selepas mangsa bertanyakan hubungan sulit suspek dengan seorang wanita Indonesia. Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 29 tahun itu mengesyaki suaminya menjalin cinta lain sebelum meminta penjelasan suspek di rumah mereka di Pandan Indah di sini. Sumber polis berkata, suspek mulanya enggan mengaku, namun berlaku pertengkaran antara mereka akibat didesak.

“Pertengkaran itu bertukar ganas apabila suspek menumbuk muka isterinya bertubi-tubi. “Tidak cukup dengan itu, suspek turut membelasah isterinya selama beberapa minit sebelum keluar dari kediaman mereka,” katanya. Mangsa yang cedera kemudian membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini, untuk tindakan lanjut. Sementara itu jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!