Hashimah bersama cucu ketujuhnya, Nur Rijal Hakimi yang dilahirkan pada hari yang sama dengan pemergian datuknya, M. Rajoli. |
PEMERGIAN seniman tersohor, M. Rajoli ke rahmatullah pada 17 September lalu benar-benar membuatkan peminat seni terasa kehilangan besar bagi industri seni tanah air.
Namun kehilangan itu hakikatnya lebih dirasai oleh salah seorang balu pelakon itu sendiri iaitu isteri pertamanya, Hashimah Mohd. Din, 55, yang ditemui di kediamannya di Menara Rajawali, AU3, Hulu Kelang baru-baru ini.
Menjaga suami yang sakit sejak empat tahun lalu bukanlah suatu tempoh masa yang singkat bagi Hashimah, sejak doktor mengesahkan suaminya itu menghidap penyakit limfoma (kanser kelenjar otak).
"Memanglah terasa sunyi bila arwah dah tiada sebab sepanjang empat tahun, arwah sakit dia sentiasa ada di depan mata.
"Dalam tempoh empat tahun saya tengok macam-macam perubahan yang dia alami akibat penyakit yang dihidapinya itu.
"Jika tiga tahun lalu walaupun dalam keadaan sakit arwah masih mampu berbicara dengan kenalannya dan kami masih boleh berjalan-jalan ke rumah sanak-saudara pada hari raya namun, tahun ini Aidilfitri kami hanyalah di rumah," kata Hashimah memulakan bicaranya.
Cerita Hashimah, suasana gembira menyambut kelahiran cucu ketujuh, Nur Rijal Hakimi pada pagi Syawal, 17 September lalu bagaimanapun bertukar suram pada sebelah malamnya apabila dikejutkan dengan berita pemergian suaminya itu.
Nama Rijal yang diberi pada cucunya yang dilahirkan seberat empat kg itu menurut Hashimah, diambil bersempena nama datuknya.
M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajab @ Mohd. Ghazali Mohd. Zain, 65, meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam di Hospital Ampang pada 17 September lalu selepas dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada keesokan harinya.
Reda dengan pemergian suaminya itu, katanya, inilah lumrah kehidupan yang mana setiap insan pasti akan merasai saat kehilangan insan tersayang.
"Semua orang memang akan mengalami saat begini. Sedih dan perasaan sunyi itu memang saya tidak boleh nafikan tetapi kita perlu tabah hadapi segala apa yang terjadi.
"Empat tahun macam-macam penderitaan yang arwah tempuhi. Sampailah pada tahun ini dia tak bercakap langsung.
"Cuma apa yang mengejutkan saya, beberapa hari sebelum dia meninggal dia bercakap dengan lancar (Mah nak air) meminta air daripada saya," katanya lagi..
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment