Lirik dan lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu didakwa kononnya mempunyai sedikit persamaan dengan melodi lagu If We Hold On Together dendangan Diana Ross tidak lama dulu.
Isu itu dicetuskan seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris pada sidang akhbar selepas berakhirnya peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 25 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.
Edry semasa dihubungi berasa kecewa dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia bukan sahaja tidak berasas tetapi berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya sebagai komposer.
"Semua itu fitnah! Saya ada bukti mencipta lagu itu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan menciplak mana-mana lagu. Malah score music (nota muzik) untuk membuktikan yang lagu ini tiada persamaan dengan lagu yang dimaksudkan.
"Dengan score music itu saya boleh membawanya ke mahkamah sebagai bahan bukti dan segala tuduhannya itu tidak berasas dan saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kerana dia telah mencemari kreativiti saya.
"Saya hairan mengapa selepas lebih tujuh bulan lagu itu dicipta dan dipopularkan oleh Adira baru sekarang pihak terbabit mempertikaikannya?" soalnya sewaktu dihubungi kelmarin.
Ku Ada Kamu merupakan lagu nyanyian Adira yang merupakan finalis pertandingan Akademi Fantasia 8 yang terpilih mara ke peringkat seterusnya dalam Muzik Muzik 25 bersama lima lagi lagu lain. [KLIK SINI]
Lima lagi lagu yang terpilih pada peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 25 itu ialah Drama King (Meet Uncle Hussain), Tolong Ingatkan Aku (Anna Raffali), Jahat (Stacy), Susun Silang Kata (Aizat)dan Sofea Jane (Black).
Menurut anggota KRU itu, pihak yang menuduh mengatakan lagu Ku Ada Kamu sebuah lagu ciplak sepatutnya tampil dengan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan.
Katanya, dia berasa kesal kerana tuduhan yang dilemparkan dan disebarkan di kalangan wakil-wakil media massa lain boleh mempengaruhi kredibiliti dan peluang lagu itu untuk mara pada pertandingan tersebut.
"Ini melibatkan maruah saya sebagai komposer. Apatah lagi, selepas 18 tahun terbabit dalam bidang muzik tuduhan seperti ini menyebabkan saya berasa amat kecewa.
"Saya tidak faham mengapa wartawan terbabit menuduh saya begitu. Selama ini beratus ribu orang sudah mendengar lagu Ku Ada Kamu tetapi belum ada pun yang merungut atau mempertikaikannya," ujarnya.
Sama seperti lagu-lagu lain yang terpilih pada peringkat separuh akhir kedua dan pertama Muzik- Muzik 25, Ku Ada Kamu juga mempunyai harapan cerah untuk mara ke peringkat seterusnya iaitu Anugerah Juara Lagu 25.
Sayangnya, kata Edry, dengan tuduhan dan cerita-cerita kurang enak berhubung lagu itu, dia bimbang ia juga akan mempengaruhi penjurian untuk Ku Ada Kamu bagi meneruskan kemaraannya.
"Walau apa pun bukti yang saya akan kemukakan tetapi apabila cerita negatif dan tidak benar tentang keaslian lagu Ku Ada Kamu, ia akan menjejaskan reputasinya untuk terus bersaing.
"Kalau benar lagu itu tidak asli saya minta pihak terbabit tampil bagi mengemukakan bukti. Saya tidak faham mengapa wartawan tersebut membuat tuduhan begitu?
"Dia bukan sahaja membuat tuduhan melulu tetapi turut mempengaruhi wartawan lain dengan kenyataan seperti itu yang memang tidak berasas. Biasalah dalam bidang penciptaan lagu ia sangat subjektif.
"Takkanlah saya mencipta lagu genre pop yang penyanyi lain nyanyikan, maka saya dituduh menciplak. Sedangkan dalam lagu itu melodi dan liriknya saya cipta sendiri. Bagi saya perkara seperti itu tidak adil," jelasnya.
Sehubungan itu, tambah Edry lagi, adalah tidak adil bagi segelintir wakil media yang menjustifikasikan sesebuah lagu dan mengaitkannya dengan lagu-lagu lain daripada segi melodi.
Ini kerana, penggunaan konsep muzik seperti pop dan rock telah dijadikan medium oleh ramai komposer dalam mencipta lagu di mana kelainan melodi lagu dan lirik baru yang ditulis boleh membezakan kelainannya.
"Menciplak lagu bermaksud mengambil sedikit melodi atau mengambil idea daripada lirik lagu-lagu lain. Tetapi saya tidak lakukan perkara seperti itu dalam lagu Ku Ada Kamu.
"Kalau macam itu, adakah kumpulan Bunkface dikatakan meniru lagu kumpulan Green Day kerana mereka membawakan konsep muzik punk rock yang terlebih dahulu diketengahkan oleh Green Day? Ini satu persepsi yang salah," kata Edry.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment