TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba nama aktres ini terpalit dengan kontroversi terbaru apabila Scha Al-Yahya didakwa telah melabelkan wartawan sebagai monyet.
Barangkali berita itu agak mengejutkan kerana selama tiga tahun dia berkecimpung dalam bidang seni, jarang sekali namanya terheret ke kancah kontroversi yang melibatkan dirinya dan pihak media.
Apakah benar dakwaan yang sudah bertebaran di alam maya itu memang keluar dari mulut Scha sendiri?
Atau mungkinkah ada pihak yang cuba menabur fitnah terhadap dirinya sekali gus mahu menjatuhkan reputasinya sebagai seorang anak seni?
Ketika diminta mengulas tentang perkara itu, Scha hanya mampu menghela nafas panjang seraya menggelengkan kepalanya.
"Ingin saya tegaskan di sini, semua dakwaan itu tidak benar sama sekali. Memang cerita-cerita karut yang tersebar itu semuanya salah faham dan telah disampaikan dengan maksud yang berbeza.
"Mana mungkin saya mahu menggali kubur saya sendiri dengan mengatakan pihak wartawan sebagai monyet. Itu memang kerja gila kalau benar saya yang mengatakannya. Saya juga bukan bodoh untuk berbuat demikian.
"Selama tiga tahun dalam bidang ini, saya langsung tidak ada masalah dengan mana-mana wartawan dan hubungan saya dengan mereka pun semuanya berjalan lancar," kata Scha dalam nada tegas.
Juara Dewi Remaja 2006 ini ditemui ketika penggambaran drama bersiri, Awan Dania musim ketiga di Seoul, Korea, baru-baru ini.
Tambah Scha, dia menyedari perkara itu selepas buah hatinya, Awal Ashaari menelefonnya dan memberitahu akan perkara itu.
Jelas Scha, semuanya berpunca daripada satu kenyataan yang dikeluarkannya menerusi Twitter yang berbunyi, "When a production is run by a bunch of monkeys, you will get peanuts."
"Saya memang mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas keluhan salah seorang saudara saya yang tidak puas hati dengan perjalanan syarikat tempat dia bekerja.
"Entah siapa yang salah faham dengan kenyataan itu telah menyalah tafsir sehingga ia menjadi satu perkara yang besar dan mengatakan saya melabelkan wartawan sebagai monyet pula," katanya dalam nada serius.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini juga memberitahu, seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan cerita yang kurang enak sehingga mampu menjejaskan perjalanan seninya.
Kerana itu, dia cukup sedar kebelakangan ini namanya sedikit suram daripada industri seni dan dia sendiri tidak kisah dengan senario itu.
Adalah lebih baik kata Scha, untuk dia menumpukan fokus dan perhatiannya terhadap kerja tanpa mahu sebarang kontroversi lagi mengiringi kariernya.
Bagi wanita berusia 27 tahun ini, segala kisah panas yang pernah berlaku dalam hidupnya dijadikan sebagai pengajaran dan salah satu proses dalam mematangkan dirinya.
"Apabila saya melihat nama saya semakin reda dengan kisah panas dan kurang menjadi perhatian, saya berasa sedikit lega.
"Tidaklah lagi asyik-asyik dikaitkan dengan kontroversi yang saya sendiri sudah letih untuk melayannya. Cukup-cukuplah apa yang berlaku dan semua itu telah membuka mata agar lebih berhati-hati dalam setiap langkah saya.
"Kini, saya mahu terus melangkah ke depan dengan kerjaya saya. Itu adalah lebih penting untuk saya. Nanti masyarakat dan peminat pun akan bosan dengan saya kerana bukannya cerita karier yang banyak diceritakan tetapi kisah personal," katanya yang tidak pernah menyesal dengan segala yang telah berlaku.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment