Wednesday, October 6, 2010

Lembaga Pengarah Liverpool terima bidaan pemilik Boston Red Sox


LONDON: Lembaga Pengarah Liverpool sudah menerima tawaran New England Sports Ventures, pemilik pasukan bola lisut Amerika Syarikat (AS), Boston Red Sox, dalam pembelian kelab bola sepak Inggeris, kata kenyataan hari ini.

Pengerusi Martin Broughton membidas tindakan pemilik Liverpool dari AS, Tom Hicks dan George Gillett, atas cubaan menghalang penjualan kelab berkenaan dan berkata, beliau berharap perjanjian itu akan membolehkan pasukannya memberi tumpuan kepada aspek pembangunan pasukan.






Nyata dan terjadi......



Bukti pemanasan global atau global warming..









Keluarga Krisdayanti belum beri restu kahwin


JAKARTA - Seorang ahli perniagaan, Raul Lemos gagal mendapat restu daripada keluarga penyanyi Krisdayanti yang lebih popular dengan panggilan KD untuk membolehkan mereka berkahwin, lapor sebuah akhbar semalam.
Keluarga Krisdayanti enggan memberikan restu itu kerana Raul masih berstatus suami kepada Silvalay Noor Arthalia alias Ata
"Yang penting bukan persetujuan antara KD dan Raul, tetapi antara Raul dan keluarga KD. Sehingga sekarang, keluarga KD belum merestui untuk mereka berkahwin," kata seorang rakan KD, Elsie Lontoh kepada akhbar Kompas kelmarin.
Menurut Elsie, keluarga KD hanya akan membuat keputusan sama ada akan merestui hubungan mereka apabila Raul bercerai dengan Ata.
"Keluarga KD akan membuat keputusan setelah surat cerai dikeluarkan," jelas Elsie.
Pada masa yang sama, Elsie mengakui KD-Raul jarang bertemu atau menampilkan kemesraan ketika berada di khalayak.
"Kalau sering tampil berdua, kemungkinan besar nanti timbul fitnah," ujarnya.
Disebabkan pelbagai alasan itulah, menurut Elsie lagi, KD-Raul masih belum memutuskan untuk berkahwin pada tahun ini.
"Bukan tahun ini (perkahwinan mereka). Paling singkat, mereka memerlukan setahun untuk melakukan persiapan. KD tidak mahu majlis (perkahwinannya) dibuat secara tertutup" jelas Elsie.






Kahwin bukan untuk sehari dua

HUBUNGAN cinta juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil dengan buah hati pengarang jantungnya, Irma Hasmie bukan lagi satu rahsia.
Umum pun sudah mengetahui betapa seriusnya hubungan mereka berdua sehinggakan peminat mereka sendiri pun menggesa agar mereka segera berkahwin bagi mengelakkan cerita buruk terus menghimpit mereka.
Baik Nabila atau Irma, masing-masing sudah pun mengakui memang ada memikirkan soal rumah tangga dan perancangan untuk masa depan mereka berdua.
Kalau semuanya sudah lengkap serba-serbi, memang tiada masalah untuk berkahwin dengan segera.
"Tetapi, saya dan Irma mahu melengkapkan diri kami dengan mengumpul duit sebanyak yang mungkin sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Semuanya demi melengkapkan diri kami untuk kehidupan selepas berkahwin itu nanti.
"Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi ia adalah ikatan suci yang perlu dijaga sehingga ke akhir hayat.
"Kalau ditanya kepada saya, memang saya sudah bersedia tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, saya perlu bekerja keras untuk menyiapkan diri saya terlebih dahulu," demikian luahan jujur Nabil ketika ditemui baru-baru ini.
Anak jati Negeri Sembilan ini memang tidak berselindung tentang soal perkahwinan dan dia sendiri mengakui dia bakal menamatkan zaman bujangnya tahun depan.
Namun, dia dan Irma masih lagi belum memutuskan tarikh yang sesuai untuk hari bahagia mereka itu.
Memperkatakan mengenai perkahwinannya, seboleh-bolehnya dia mahu melakukannya secara kecil-kecilan dan melaksanakan perkara yang wajib sahaja.
Tetapi, pemuda ini cukup sedar. Dengan kedudukannya sebagai selebriti ternama, mana mungkin untuk dia mengadakan majlis sedemikian rupa.
"Susah juga apabila difikirkan tentang perkara ini khususnya senarai jemputan. Kalau kita buat majlis yang kecil, pasti akan dipersoal. Begitu juga kalau dibuat secara besar-besaran, orang akan mula mengatakan kita cuba menunjuk-nunjuk dan bersikap riak.
"Saya dan Irma pun masih belum duduk berbincang tentang perkahwinan kami kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
Apa yang pasti, kami berdua tidak mahu membazir dalam menyempurnakan majlis perkahwinan kami," kata Nabil bersungguh.
Menyebut tentang perkahwinan, Nabil sebenarnya memiliki satu impian yang sudah lama dipendam walaupun dia tahu memang mustahil untuk dilaksanakannya.
"Saya selalu fikir kalaulah saya ini seorang hartawan yang memiliki wang yang banyak, saya akan menjemput semua anak-anak yatim di seluruh Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan saya," ujarnya lagi.






Tidak buat rawatan di London

SEJAK mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, sudah tidak terhitung jumlah soalan mengenai cahaya mata yang diajukan kepadanya.
Setiap kali disoal mengani anak, jawapan Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berubah.
"Masih belum ada rezeki. Insya-Allah, kalau diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, saya akan mengumumkan kepada semua pihak. Tiada apa yang perlu hendak saya rahsiakan."
Itulah antara jawapan yang sering diberikan Siti kepada sesetengah pihak yang tidak pernah henti bertanyakan soalan itu kepadanya.
Terfikir juga, adakah mereka tidak mengerti atau sengaja buat-buat tidak faham dengan jawapan Siti itu.
Sebagai seorang bintang ternama negara, Siti tidak mungkin akan merahsiakan dan pasti akan memberitahu kepada semua pihak seandainya dia diberikan rezeki untuk menimang zuriatnya sendiri.
Lewat ini, berita kononnya Siti kini sedang hamil kembali menjadi bualan gara-gara dia membatalkan sebuah konsert di Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 25 September lalu.
Ia dikuatkan lagi dengan surat sokongan daripada doktor pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang menyatakan Siti perlu berehat dan tidak dibenarkan menjalani aktiviti berat.
Terbaru, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikatakan telah bertemu dengan seorang doktor pakar bagi mendapatkan nasihat ketika berbulan madu sebelum bulan Ramadan lalu.
Bukan itu sahaja, penyanyi popular itu juga dikatakan telah diberikan dengan ubat kesuburan bagi membantu mempercepatkan lagi proses kehamilannya
Semuanya adalah usaha Siti dan Khalid yang tidak pernah lelah untuk terus mencuba menimang cahaya mata mereka sendiri.
Bertemu dengan tuan punya badan sewaktu majlis rumah terbuka anjuran SimplySiti di Restoran Saloma Bistro di ibu negara, baru-baru ini, Siti hanya tersenyum apabila diminta untuk mengesahkan berita tersebut.
Dengan nada berhemah, Siti menafikan bahawa dirinya telah mendapatkan rawatan tersebut seperti mana yang dilaporkan.
"Sewaktu bercuti ke sana, saya dan suami sempat berkunjung ke sebuah pusat akupunktur untuk mendapatkan rawatan alternatif.
"Saya rasa tidak salah untuk kita mencuba rawatan lain selain daripada bertemu dengan doktor pakar. Seperti mana yang kita tahu juga, akupunktur ini memang baik untuk kesihatan dan kita dapat tahu masalah yang dihadapi.
"Apatah lagi, kebaikan ubat dan akar kayu yang sering kali digunakan dalam rawatan itu juga dapat membantu melancarkan sistem dalam badan. Itu yang sebenarnya berlaku ketika di London dan bukannya mendapat rawatan kesuburan itu," luah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai ini tanpa selindung.
Sudah menjadi seorang isteri selama empat tahun, untuk memegang portfolio sebagai ibu memang cukup diinginkan Siti.
Sebagai hamba Allah, dia cukup sedar dan akur dengan Qada dan Qadar apabila membicarakan tentang soal cahaya mata.
Terfikir juga tidak pernahkah Siti berasa bosan untuk menjawab soalan tentang anak daripada pihak yang seolah-olah tidak faham bahasa yang berterusan bertanyakan soal itu walaupun sudah dijawab berkali-kali oleh Siti.
"Saya cukup sedar dan akur dengan kedudukan saya sebagai seorang artis dan apa sahaja tentang diri kita, masyarakat mahu ambil tahu.
"Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana ini jalan yang saya pilih dan saya harus menghadapinya dengan tabah serta tenang.
"Jadi, saya tidak boleh berasa marah mahupun geram apabila soal anak sering kali diajukan kepada saya. Apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu gelodak di dalam hati saya.
"Insya-Allah, sampai waktu dan ketikanya, saya pasti akan mengumumkannya sebab ia adalah perkara yang baik. Teruskan berdoa untuk saya," pinta juara Bintang HMI 1995 ini dengan maksud yang cukup mendalam.
Siti juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriatnya.
Namun, semuanya bergantung kepada keadaan dan masa apabila difikirkannya perlu untuk mencubanya.


P/S - Siti akui jalaini rawatan penyuburan? [klik]





Tujuh bomoh dipanggil rawat Balqis

JERTIH: "Malam ini (tadi) kami akan mengubatinya secara tradisional membabitkan tujuh bomoh dan dijangka turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali," kata Norizan Said, 47, ibu kepada Siti Nor Balqis, 22, yang ghaib secara misteri menjelang senja dan lewat malam sejak beberapa bulan lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, petang semalam.
Menurutnya, sejak kejadian misteri menimpa anaknya itu disiarkan Harian Metro kelmarin, kediamannya tidak putus-putus dikunjungi penduduk yang ingin mengetahui cerita sebenar kejadian itu selain memberi kata-kata semangat.
Norizan berkata, dia dan keluarga sentiasa berdoa supaya semua usaha itu dapat merungkai misteri kehilangan anaknya itu termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional dan tokoh agama.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, ketika diminta mengulas menyifatkan kejadian dialami Siti Balqis tidak mustahil berlaku.

"Alam ghaib memang wujud dan boleh berlaku kepada sesiapa dengan kehendak Allah ke atas hamba-Nya dengan memberi hijab,” katanya.


P/S - Petikan cerita kelmarin [klik










Hentikan kisah tidak benar




RIAK wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup menggambarkan dia sedang menjalani kehidupan yang benar-benar menjadikannya seorang wanita sempurna.
Senyuman dan ketawa yang tidak lekang dari wajah mulusnya itu membuktikan pelakon kulit gebu, Zizie Ezette, 32, cukup bahagia dengan statusnya sebagai seorang isteri.
Meskipun pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 51, telah mencetuskan perdebatan dan polemik, Zizie enggan ambil pusing tentang perkara itu.
Cuma, Zizie memohon kepada semua pihak agar untuk hentikan menyebar berita yang kurang manis berhubung rumah tangganya kerana tidak mahu ada pihak yang terluka lagi.
Aktres popular itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia kini satu-satunya isteri Bung Mokhtar selepas wakil rakyat itu dikatakan telah menceraikan isteri pertamanya.
"Cukup-cukuplah memperkatakan dan mensensasikan kisah rumah tangga kami. Jujurnya, keadaan semuanya telah dan berjalan dengan baik sekali. Saya tidak mahu cerita sebegini akan mengeruhkan kembali keadaan.
"Jika ada yang berterusan mahukan komen saya lagi selepas ini tentang madu saya, minta maaf kerana saya tidak akan menjawabnya. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Apa yang boleh saya katakan, semuanya dalam keadaan yang baik," katanya berkali-kali lalu mematikan terus topik hangat itu.
Zizie berkata demikian ketika ditemui pada malis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, malam Sabtu lalu.
Kehadiran dua orang anak Bung Mokhtar pada majlis itu sekali gus membuktikan mereka memang tidak mempunyai sebarang masalah apabila masing-masing begitu mesra antara satu sama lain.
Apabila diminta untuk bergambar bersama, Zizie dengan penuh diplomasi menolaknya dengan mengatakan biarlah dia dan suaminya sahaja yang menjadi titik tumpuan pada malam itu.
Bagi Zizie, apa yang penting buatnya kini adalah untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersama suami tercinta yang benar-benar membuatkannya bersyukur dengan kurniaan Yang Maha Esa.
"Alhamdulillah, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, terasa hidup saya begitu lengkap dengan adanya seorang suami di sisi. Tidak pernah saya membayangkan kebahagiaan yang saya kecapi seperti hari ini.
"Saya harus akui kehidupan saya sekarang memang sudah jauh berbeza ketika saya bujang dulu. Sekarang saya harus menumpukan fokus kepada suami dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa buat masa ini," luah Zizie jujur.
Kekok
Menyambung bicara, Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Ezette Abd. Samad ini memberitahu kesibukannya sebagai seorang isteri membuatkannya jarang berada di ibu negara.
Ini kerana katanya, setiap dua minggu dia akan menemani suaminya pulang ke Sabah selama dua minggu.
Dua minggu lalu dihabiskan di Kuala Lumpur.
Zizie juga mengakui di awal perkahwinannya dia agak kekok dengan perubahan hidupnya terutama apabila melihat skop kerja suaminya sebagai seorang wakil rakyat.
"Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya tahu rangkuman kerja seorang wakil rakyat itu dan saya pun memang tidak pernah ambil tahu sebelum ini.
"Namun, selepas bernikah dan memerhatikan kerja suami saya, barulah saya tahu kesibukan seorang wakil rakyat itu. Skop kerja mereka tidak ubah seperti seorang selebriti yang perlu bertemu dengan masyarakat hampir setiap hari.
"Secara tidak langsung, dunia kami berdua memang tidak banyak bezanya. Saya bersyukur dalam kesibukannya itu, dia tetap menjaga dan melayan saya dengan baik lalu membuktikan dia seorang suami yang bertanggungjawab," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir ini bersungguh.
Rezeki
Bukan hendak meninggi diri atau mahu menggambarkan perkahwinannya adalah sempurna, tetapi bagi Zizie, suaminya itu seorang yang cukup baik dan menjalankan tugasnya sebagai suami dengan penuh dedikasi.
Mengenai cahaya mata pula, kakak kepada aktor Shaheizy Sam ini memang sudah benar-benar bersedia untuk bergelar seorang ibu.
"Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah untuk mengurniakan rezeki kepada kami berdua," katanya sambil menafikan dirinya kini sudah berbadan dua.
Pada majlis itu, Zizie memang menarik perhatian ramai terutama pihak media yang kagum dengan penampilannya yang semakin langsing.
Zizie hanya ketawa besar apabila ada seorang wakil media mengusiknya dengan mengatakan dia kurus kerana melakukan penyedutan lemak.
"Saya tidak akan buat perkara-perkara yang membahayakan itu. Saya kini banyak mengikuti kelas senaman dan aktiviti lasak seperti latihan angkat berat, kickboxing dan hot yoga.
"Hasilnya, saya kini menghampiri berat badan ideal saya iaitu 55 kilogram. Berbanding ketika berkahwin, berat badan saya mencecah 65 kilogram sehingga semua baju saya tidak muat lagi. Kerana itu, saya berazam untuk menguruskan badan," katanya optimis.


P/S - Lagi cerita mengenai Bung dan Zizie [klik]






 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!