Monday, October 11, 2010

Janin 17 minggu tersenyum lebar..


London : Wajah yang sedang senyum berseri-seri ini adalah gambar janin yang baru berusia 17 minggu. Hasil imbasan terhadap janin dalam kandungan itu menunjukkan, janin dapat mengalami perasaan seperti kebahagiaan dan sakit lebih awal daripada yang disangkakan sebelumnya.

New World record?

New world records will go into the Guinness book of records 2011











































































7,200 pasangan kahwin serentak



ASAN, Korea Selatan - Kira-kira 7,200 pasangan Korea Selatan dan asing melafazkan ikrar perkahwinan pada majlis perkahwinan beramai-ramai di Gereja Penyatuan di sini semalam.
Pengasas gereja itu, Paderi Sun Myung-moon memberi restu kepada pasangan yang berkahwin di Universiti Sun Moon itu.
Universiti itu ditubuhkan Myung-moon yang terletak di selatan Seoul.
"Saya mengumumkan perkahwinan untuk merahmati wanita cantik dan lelaki tampan yang berdiri di depan Tuhan, dunia dan diri saya," kata paderi yang berumur 90 tahun itu.
Menurut beberapa pegawai gereja, pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan dalam majlis selama satu jam yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen satelit ke 194 buah negara.
Paderi itu mencetuskan kontroversi kerana pernah menyatakan bahawa semasa berumur 15 tahun, Nabi Isa memintanya meneruskan kerja-kerja yang tidak dapat disempurnakannya.
Kali pertama dia menganjurkan perkahwinan beramai-ramai ialah pada awal 1960-an dengan melibatkan 24 pasangan dan memperbaharui ikrar perkahwinan 12 pasangan.



P/S - Macam mana dia kawenkan begini ramai orang? Tak best weh...Bagus kawen sendiri je...






Terkini kemalangan ngeri..10.10.10


3 lagi mangsa nahas bas, kereta, van meninggal dunia


39 pengantin langsung perkahwinan 10.10.10


KOTA BHARU: Seramai 39 pasangan pengantin baru di negeri ini mengambil peluang melangsungkan perkahwinan beramai-ramai menerusi dua majlis berasingan sempena tarikh istimewa 10.10.2010, semalam.

Sebanyak 11 pasangan muda masyarakat Orang Asli dari Pos Sungai Rual, Jeli melangsungkan perkahwinan secara serentak anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Majlis itu dimulakan dengan upacara akad nikah semua pasangan itu yang dilakukan jurunikah merangkap Kadi Jajahan Jeli, Joey Yusmizan Yusof, dengan dibantu lima penolong pendaftar nikah rujuk jabatan berkenaan.
Sebahagian besar pasangan pengantin adalah suku Jahai berusia antara 13 hingga 26 tahun.

Pengantin baru, Arpah Rahim, 20, berkata majlis perkahwinan beramai-ramai itu bukan saja menggembirakannya dan meriah, malah dalam masa sama mengurangkan perbelanjaan keluarga.

“Saya berharap detik bersejarah hari ini (semalam) diabadikan bagi membolehkan ia dijadikan tatapan keturunan akan datang,” katanya yang memilih Mona Samad, 15, sebagai isteri.

Sementara itu, Rohaimi Lisad, 22, pula menyifatkan majlis perkahwinan itu secara tidak langsung mengurangkan perasaan gementar terutama ketika upacara akad nikah.
“Saya dapat melafazkan akad nikah walaupun terpaksa melakukannya dua kali,” katanya.

Sementara itu, di bandar ini, 26 pasangan pengantin kaum Cina dan dua berketurunan Siam, mengambil peluang mengabadikan detik bersejarah mereka secara beramai-ramai di bangunan Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, anjuran Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan.

Pada majlis itu, pasangan pengantin baru itu juga melakukan Upacara Mengangkat Sumpah Perkahwinan dengan disaksikan ibu bapa, sanak saudara dan sahabat mereka.

Pembantu pentadbiran sebuah syarikat di Singapura, Wee Phui Ling, 23, berkata beliau memilih tarikh itu bagi melangsungkan perkahwinan sebagai menghormati permintaan suaminya, Koick Soon Fatt, yang menyambut hari lahir ke-34, semalam.

"Kami juga berharap tarikh bertuah ini akan terus diingati sebagai detik bersejarah seumur hidup," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pendaftaran Perkahwinan Berkumpulan Sempena 10.10.10 di sini, semalam.

Pasangan keturunan Siam, Ei Bau Eib Bun, 34, dan Wee Lai Ehtih, 27, berkata mereka yang berkenalan lebih 12 tahun lalu, mengambil keputusan menamatkan zaman bujang pada tarikh istimewa dan berharap perkahwinan dibina atas dasar cinta itu akan berkekalan sehingga akhir hayat.

"Selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju berkahwin hari ini (semalam) kerana dalam masa sama dapat meraikan hari lahir saya yang ke-27," katanya.

Bagi pasangan muda, Khoo Choy Chong, 19, dan Chan Fong Leng, 20, pula berkata, mereka memilih nombor berkenaan kerana ia senang diingat selain mengharapkan tuah di sebalik angka sepuluh.

"Usia muda tidak menghalang kami berkahwin dan bersyukur kerana keluarga kedua-dua pihak merestui perkahwinan ini," katanya.







Terkini : Senarai nama mangsa terbunuh dalam kemalangan ngeri

Ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, kelihatan sayu di bilik mayat Hospital Melaka semasa proses menuntut mayat semalam. 11 Okt. 2010.

MELAKA - Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Polis melaporkan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar.
Mangsa tersebut ialah pemandu bas ekspres R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim; Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas; Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar; Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di sini.
Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah Pau Khan Tual, 21; Kam Khaw Tual, 28; dan Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).
Pemandu van, Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat, Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki).

Melaka hulur sumbangan ringan beban keluarga mangsa

MELAKA 11 Okt. - Kerajaan Melaka mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat sini, petang semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM1,000 bagi menguruskan pengkebumian setiap jenazah manakala mangsa yang cedera parah juga diberi RM1,000 dan cedera ringan sebanyak RM500.
"Kepada semua keluarga yang terlibat saya harap mereka bersabar,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mangsa kemalangan itu di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.
Turut menziarahi mangsa, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.
Dalam kemalangan ngeri jam 6.40 petang semalam, seramai 12 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kanan) cuba menenangkan Talib Ali (tengah) bersama ahli keluarganya yang sayu selepas keluar dari bilik mayat Hospital Melaka bagi menuntut jenazah anaknya, Mohd. Farizuddin yang maut dalam kemalangan maut di kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, semalam. 11 Okt. 2010.



P/S -  Berita terperincin mengenai kemalangan itu [klik sini] .. Takziah..






Sekitar majlis angkasawan negara..


Hambik ko, besarnya kek dia.. sedap ke agaknya eh?

Nak juga merasa... ni kek untuk berapa org ni..




Takkan cium tudung? Bagi kena la kat dahi...muaxxxx...Takkan lah memalu..dah sah le...


P/S - ngee... nak lebih gambar? [klik sini]






Rakam gambar Bumi guna belon




NEWBURGH, New York - Seorang bapa, Luke Geissbuhler, 40, dan anak lelakinya, Max berusia tujuh tahun mencipta cara untuk merakamkan gambar Bumi yang kelihatan seperti dirakamkan dari angkasa lepas dengan hanya menggunakan telefon pintar iPhone dan kamera video, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Gajet iPhone dan kamera video itu diletakkan di dalam sebuah bekas makanan kecil dan diterbangkan dengan menggunakan belon cuaca di sini pada Ogos lalu.
Selepas berada 30.57 kilometer dari Bumi dan merakamkan gambar serta terbang selama 102 minit, belon itu pecah dan jatuh ke Bumi dengan menggunakan payung terjun.
Geissbuhler mengesan belon yang jatuh itu berpandukan sistem penentu kedudukan global (GPS) iPhone tersebut.
Belon itu didapati jatuh di atas dahan sebatang pokok 48.28 kilometer dari tempat ia diterbangkan.
Telefon dan kamera itu mengharungi angin selaju 160.93 kilometer sejam dan suhu -60 darjah Celsius.






.

Aqasha Enggan Isteri Berhenti Kerja



KUALA LUMPUR: Tidak seperti pasangan lain, penyanyi Aqasha, 28, meletakkan syarat agar isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri, 27, tidak berhenti kerja.

Bukan kerana mahu mengongkong isteri, sebaliknya penyanyi lagu Cahaya Hati ini ingin isterinya berdikari apabila dia keluar bekerja.

Bagi Aqasha, wanita sepatutnya perlu turut serta menyumbang kepada pendapatan keluarga. Tambahan pula, wanita zaman moden kini lebih terdedah kepada dunia kerjaya.



“Saya nak pasangan saya pandai berdikari serta boleh menjaga diri dan keluarga apabila saya keluar bekerja. Kalau saya mendapat isteri yang lemah-longlai, bagaimana saya nak tinggalkan rumah. Sekurang-kurangnya dia boleh melatih minda dan bersikap responsif,” katanya selepas diijabkabulkan di Lake Fields, di sini, Ahad.
Perkenalan yang tercetus sejak dua tahun lalu tidak disangka mampu membawa dua pasangan ini ke jinjang pelamin. Selepas bertunang pada 23 Mei lalu, akhirnya Aqasha dan Baizura memilih tarikh 10.10.10 untuk disatukan.

Kedua-dua belah pihak pada mulanya tidak merancang untuk memilih tarikh yang penuh dengan simbolik nombor itu.

“Idea untuk memilih tarikh 10.10.10 ini datang secara kebetulan. Dalam keadaan ahli keluarga dan sanak-saudara bertanya tentang bila tarikh perkahwinan kami, terus kami menetapkan 10.10.10. Kebetulan ia jatuh pada hari Ahad. Lagipun, tarikh dan nombor tu cantik dan amat bermakna,” ujar Aqasha sambil tersenyum di samping isterinya.



Semasa majlis yang berlangsung penuh meriah itu, ramai sanak saudara kedua-dua pihak yang hadir. Tidak kurang juga saudara-mara Aqasha yang sanggup datang dari negeri Pantai Timur dan Utara.
Bukan sahaja tarikh yang dipilih tersebut penuh bermakna kepada kedua-dua mempelai ini, malah warna pakaian yang disarungkan ke tubuh mereka iaitu kuning juga mencetuskan makna tersendiri kepada Aqasha kerana dia yang memilih warna kegemarannya itu.

“Kami diibaratkan seperti raja sehari pada hari ini. Jadi, apa salahnya saya memilih warna kuning yang sinonim dengan warna di raja. Kami nak ambil berkat daripada warna ini,” tutur Aqasha, anak sulung daripada tiga beradik ini.

Kedua-duanya bagai pinang di belah dua dan seperti dilahirkan untuk hidup bersama. Jika ditanya kepada Aqasha mahupun Baizura, mereka merasakan seperti saling melengkapi antara satu sama lain.

Bersama ibu bapa Aqasha

Di mata Aqasha, Baizura merupakan pilihan yang terbaik untuk menjadi isterinya kerana wanita itu memahami kerjayanya. Selain itu, Baizura yang berkhidmat di jabatan Network Presentation Unit di Astro itu menepati ciri-ciri wanita idaman seperti yang diingini oleh mana-mana lelaki.

Seperti pasangan lain yang baru berumah tangga, kedua-duanya tidak menolak jika dikurniakan anak dalam masa terdekat ini. Jika ada rezeki, mereka menerima dengan hati terbuka.

Tentang perancangan bulan madu, kemungkinan mereka akan memilih pulau di Malaysia sebagai destinasi percutian selepas melangsungkan majlis resepsi sebelah pihak lelaki pada 25 Disember ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks dan Kebudayaan Shah Alam.


Dalam majlis persandingan yang dijangka dilakukan secara besar-besaran itu, Aqasha sekali lagi memilih warna tema kuning dan putih dengan gabungan konsep perkahwinan Melayu tradisional dan moden Inggeris. Pakaian mereka akan ditaja oleh Butik Fidz.

Tinggalkan sementara tentang percutian bulan madu mereka kerana ada yang lebih penting menanti Aqasha pada 21 November ini iaitu pelancaran album EP berjudul Qashanova.

"Saya menganggap album yang memuatkan enam buah lagu ini sebagai album peribadi pertama saya kerana semuanya saya lakukan sendiri termasuk dari segi penulisan lirik, gubahan lagu dan susunan muzik.

"Saya juga bertindak selaku penerbit album di samping penerbit bersama, Alex Tan dari Star Mount Records.
"Saya memilih tajuk album Qashanova kerana lagu-lagu saya bertemakan cinta dan supernova bermaksud bintang yang menjadi sangat terang," jelasnya.


P/S - Jump ke entri sebelumnya [klik sini]







10 bayi bertuah lahir pada tarikh istimewa


SUBANG JAYA: Seramai 10 bayi yang lahir di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC) di sini antara bayi bertuah kerana berkongsi tarikh lahir 10.10.10, semalam.

Bayi pertama seberat 3.66 kilogram (kg) dilahirkan jam 12.55 pagi oleh Su Zee Vei, 35, manakala bayi kedua seberat 2.54 kg dilahirkan jam 4.58 pagi oleh Dayang Zarina Abang Johny, 33.

Zee Vei berkata, dia bersama suaminya, Ling Sew Shin, 43, amat gembira kerana anak ketiga mereka itu dilahirkan pada tarikh yang dianggap bertuah 10.10.10 kerana tidak dirancang selepas mengalami kesakitan pada lewat malam 8 Oktober lalu.
“Kami gembira kerana bayi ini sihat dan paling bermakna apabila dilahirkan secara normal pada hari yang bertuah ini,” katanya yang turut ditemani suami dan dua anaknya Ling Xiu Rui, 4, dan Ling Hui Yu, setahun di hospital itu, semalam.

Bagi Dayang Zarina pula, selain gembira kerana dapat melahirkan anak ketiga pada tarikh angka istimewa terbabit, dia juga bersyukur apabila tidak mengalami sebarang masalah ketika proses melahirkan anaknya itu.


P/S - Ini kat SDMC je kan? macam mana pula dengan tempat lain eh..





Tiga bomoh tangkap 12 lagi jin

Siti Balqis ghaib 30 minit sebelum pasukan perubatan Islam YIT tiba di rumah

JERTIH: Usaha tiga pengamal perubatan Islam daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT) merawat gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, malam kelmarin, dikatakan berjaya menangkap 12 lagi jin yang mengganggu gadis berkenaan, selepas dua bomoh yang enggan dikenali sebelum ini mendakwa berjaya menangkap sembilan jin.

Pada awalnya, usaha pasukan perubatan berkenaan dianggotai Pengelola Khidmat Masyarakat YIT, Hassan Yusof; penolongnya, Fauzi Malik dan Pengurus Khidmat Masyarakat, Wan Adi Rahman Wan Abd Rahman untuk merawat Siti Balqis seperti tidak kesampaian berikutan gadis itu didapati ghaib kira-kira setengah jam sebelum ketibaan pasukan perubatan itu ke rumah keluarganya di Kampung Gong Nangka, di sini, kira-kira jam 8 malam.
Ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, berkata Siti Balqis tiba-tiba ghaib kira-kira jam 7.30 malam ketika mereka berkumpul menunggu ketibaan pasukan perubatan itu di rumah dan usaha mencarinya dilakukan di atas bumbung, dalam siling rumah, almari, rumah kosong, di bawah rumah dan di pokok manggis, tetapi gagal.

Berikutan itu, katanya, orang ramai termasuk pasukan perubatan berkenaan membaca surah Yasin beramai-ramai, sebelum Norizan menerima SMS daripada Siti Balqis jam 11.30 malam berbunyi ‘tolong dah jauh ni’ dan SMS kedua pada jam 12 tengah malam menyatakan ‘Umi cepat datang, kita dok (duduk) Bukit Keluang,’.

Selesai membaca surah Yasin, pasukan perubatan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, tetapi gagal menemuinya di kawasan pelancongan terkenal itu.

Sebaliknya, Ramlan berkata, mereka terserempak dengan sembilan orang termasuk dua wanita yang kelihatan seperti sedang bertapa dalam gua berkenaan.
Katanya, ketika gerakan mencari Siti Balqis dijalankan, beliau dimaklumkan gadis itu ada di atas pokok rambutan di belakang rumah keluarganya kira-kira jam 1.30 pagi dan pasukan perubatan yang dihantar khas oleh kerajaan negeri itu kembali semula ke rumah untuk menjalankan proses rawatan mengikut kaedah Islam.

Pasukan perubatan itu memulakan usaha rawatan dan mendakwa berjaya mengeluarkan 12 jin yang kemudian dimasukkan ke dalam botol. Siti Balqis hanya sedarkan diri kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima rawatan berkenaan.



P/S Banyak sungguh jin dalam badan dia.. Yang kelmarin dah 9...[klik sini]






Terkini kes Datuk Sosilawati

Polis tak mahu terburu-buru: Bakri

ORANG awam mengambil kesempatan melihat tempat disyaki Sosilawati dan tiga individu lain dibunuh dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Kertas siasatan diserah dengan bukti lengkap

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara apabila segala fakta dan bukti yang dikumpul sepanjang proses siasatan termasuk penyiasatan kes lain yang dikaitkan dengan suspek, dilengkapkan sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, sehubungan itu meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan terperinci kes itu bagi memastikan mereka yang didapati terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.
Beliau berkata, polis tidak terburu-buru dalam melengkapkan kertas siasatan kerana proses penyiasatan yang dijalankan perlu dilakukan secara terperinci termasuk mengemukakan bukti dan fakta bagi membantu mengukuhkan proses pendakwaan.

“Kita tidak boleh terburu-buru (menyiapkan kertas siasatan) bagi kami ruang dan jangan ‘push’ kami untuk siapkan siasatan dengan segera kerana kita tidak mahu ada perkara yang mungkin menjejaskan penyiasatan.

“Apabila siap semua siasatan (termasuk kes lain yang terbabit), kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk menilainya dan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, polis dilapor menubuhkan dua pasukan petugas khas iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang di-kaitkan dengan suspek.
Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan perunding kewangannya, Noorhi-sham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.

Susulan itu, polis menahan reman lapan suspek termasuk dua peguam adik beradik bagi membantu siasatan. Sebaik tempoh reman 14 hari tamat, mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan kes bunuh ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan.

Semua suspek ketika ini sedang direman bagi membantu siasatan kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah, Shafik Abdullah, 37, bersama rakannya yang dilaporkan hilang sejak lima bulan lalu.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan Sosilawati kepada polis pada 21 September lalu untuk diperincikan lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri memberi jaminan, akan ada satu keputusan yang diperoleh pada akhir siasatan kes pembunuhan kejam itu.

“Akhirnya nanti akan ada individu didakwa... tetapi tunggulah sehingga kita menyelesaikan sepenuhnya siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada kertas siasatan yang akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara nanti membabitkan tiga kes berasingan atau disatukan semua kes yang disiasat pihaknya.







Rahsia pernikahan Bienda


DIA optimis dengan keputusannya. Menyembunyikan tarikh dan lokasi pernikahan daripada pengetahuan umum, Bienda tahu dia akan mendepani beragam spekulasi. Namun, hati penyanyi dan pelakon itu tekad untuk terus merahsiakan hari bahagianya atas alasan tertentu.
Bagi peminat yang belum mengetahui, Bienda atau Nor Razlinda Razli telah selamat disatukan dengan belahan jiwanya, Kamarul Zariman Abd. Rahman atau Boy, 25, dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat baru-baru ini.
Memuntahkan segenap perasaan, anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda itu pasrah jika selepas ini ada sebilangan pihak terus menebar pelbagai andaian termasuk yang kurang manis tentang penyatuan dirinya dan Boy dalam upacara lafaz akad nikah yang disembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Terus terang, saya menyorokkan tarikh dan lokasi majlis pernikahan ini atas permintaan keluarga sendiri dan pihak Boy. Sebelum ini, timbul kekecohan kononnya saya sudah berkahwin secara senyap. Malah, ada lagi gosip menimpa kami sehingga menyebabkan banyak hati terluka.
“Oleh kerana terlalu banyak cerita negatif, keluarga sendiri minta hari pernikahan saya tidak digembar-gembur. Yang penting, saya dan Boy sudah selamat disatukan dalam ijab kabul,” katanya ketika ditemui usai resepsi persandingannya di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang, Selangor Jumaat lalu.
Kalau mengikut gerak hati mudanya, wanita berusia 25 tahun itu tidak mahu mengadakan sebarang majlis persandingan. Semahunya, Bienda ingin merealisasikan sebuah majlis di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan. Namun, pada waktu sama, dia terikat dengan batasan lain sekali gus mahu meraikan teman artis dan pihak media.
“Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat beritahu tarikh dan lokasi pernikahan. Biarlah orang lain ingin buat apa jua spekulasi, hakikatnya, saya tetap hendak merahsiakan hal baik ini. Lagipun, bukan mudah saya mahu memuaskan hati orang lain.
“Sejujurnya, selama ini saya sekadar berdiam diri dan menahan sabar jika ada cerita negatif tentang saya tersebar.
“Cuma, kali ini, saya minta mereka hormat keputusan dilakukan. Jangan paksa saya jadi macam artis lain yang terbuka untuk berkongsi kisah peribadi termasuk pernikahan,” jelasnya yang sudah 13 tahun mempertaruhkan diri dalam laman seni.
Selepas mengadakan resepsi persandingan yang disuntik tema Arab dan Bollywood untuk pihaknya dengan persalinan dari Butik Udaimatunnur dan Arma Abd. Rahman, sebuah lagi majlis meraikan pihak pengantin lelaki akan berlangsung di Melaka pada 17 Oktober ini.

Cinta tiga tahun
Mengimbas bunga cintanya berputik bersama Boy, Bienda dengan pantas menuturkan kata. Jelasnya, bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang menjadi saksi pertemuan dua hati yang kebetulan belum terisi nikmat berpacaran.
“Saya jumpa Boy sewaktu sedang menjalani penggambaran untuk sebuah sitkom di Finas manakala dia pula bertugas sebagai salah seorang tenaga produksi secara sambilan. Kemudian, kami bertegur sapa antara satu sama lain sebagai salam perkenalan dan bertukar nombor telefon.
“Bayangkan, pada masa itu, dia tidak tahu saya merupakan seorang penyanyi. Dia ingatkan saya berlakon saja. Kami lebih banyak berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding membuat panggilan telefon bagi merapatkan hubungan persahabatan.
“Tiga minggu selepas itu, dia mula melamar saya untuk menjadi teman wanitanya dan menyatakan hasrat menyunting saya sebagai isteri. Selepas itu, kami terus bercinta. Sepanjang tempoh tiga tahun lalu sehingga bersepakat menamatkan zaman bujang.
“Untuk sampai pada tahap alam perkahwinan, ianya bukan menjadi perkara senang. Ada dugaan yang kami lalui selama ini. Alhamdulillah, kini semua berjalan seperti dirancang apabila akhirnya kami sah bergelar suami isteri,” luahnya sambil menghela nafas lega.
Bercerita tentang personaliti suami yang bekerja sebagai penerbit di salah sebuah stesen televisyen swasta itu, pelantun lagu Penantian itu melihat Boy sebagai individu bersikap lemah lembut, menghormati orang tua dan bijak mendamaikan jiwa keras Bienda.


P/S  - Detail mengenai perkahwinan bienda [klik sini]






Bapa gesa henti spekulasi rumah tangga Aidil, Rita

Pelbagai kisah didedah media burukkan usaha keluarga berbaik

SEREMBAN: Bapa pemain bola sepak kebangsaan Mohd Aidil Zafuan, Abd Radzak Salleh mahu cerita rumah tangga anak dan menantunya, pelakon popular, Rita Rudaini dihentikan segera kerana ia tidak memberi faedah sebaliknya memburukkan lagi keadaan apabila disiarkan media.
Abd Radzak, 61, berkata beliau juga kesal dengan pelbagai kenyataan Rita yang menyentuh maruah keluarganya, sedangkan mereka sedia berbaik ibarat ‘buang yang keruh ambil yang jernih’.
“Ketika menguruskan pendaftaran perkahwinan mereka dulu, saya memang ingin bantu supaya daftarkan di Seremban tetapi Rita nak buat di Wilayah Persekutuan.

“Ketika Rita melahirkan anak (Airit Rayyan Rizkin), kami sekeluarga termasuk Mohd Zaquan Adha melawatnya, malah isteri saya turut menelefon besan (emak Rita) dua kali bertanyakan khabar menantu dan cucu ketika mereka di Perlis.

“Kami berusaha menenangkan keadaan kerana kami sayang anak, menantu dan cucu, malah tiada niat campur urusan keluarga mereka.

“Bagaimanapun, semuanya bagaikan tidak menjadi apabila kenyataan demi kenyataan dikeluarkan pelakon itu,” katanya di kediamannya di Taman Rashibah Indah, Sikamat, di sini, semalam.
Sejak kebelakangan ini, akhbar menyiarkan mengenai mahligai Rita, 34, dan Aidil, 23, yang dikatakan mula goyah dipercayai berpunca campur tangan pihak tertentu terutama mentua pelakon itu.

Abd Radzak mendakwa, sejak mendirikan rumah tangga, pelakon itu tidak pernah ke rumahnya di Sikamat walaupun dijemput termasuk ketika mereka mengadakan kenduri bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, tahun lalu.

Mengenai dakwaan Rita Aidil tidak balik ke, beliau berkata, keluarganya keliru dengan kenyataan itu kerana setiap kali selepas perlawanan bola sepak atau menjalani latihan, Aidil terus ke Kuala Lumpur.


P/S - Saban hari asyik dengar cerita ni je..Mudah-mudahan dapat selesaikan secara baik dan hubungan kekeluargaan serta cinta suami isteri tu dapat dipelihara..







Menyayat hati - kemalangan ngeri 10.10.10



REMBAU: “Saya melihat ada mayat tanpa kepala dan ada yang putus tangan sebaik turun dari bas selepas kemalangan. Keadaan begitu tragis kerana banyak mayat bergelimpangan,” kata Bohari Saikon, 48, saksi kemalangan ngeri menyebabkan 12 kematian membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Pedas, petang semalam.


Ketika kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, Bohari dan 43 rakannya yang juga bekas tentera menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perhimpunan raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Bukit Jalil, jam 2.30 petang.


Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bas ekspres dari Melaka tiba-tiba terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum merempuh tiga kereta, sebuah van dari arah bertentangan termasuk bas dinaikinya.

“Bas ekspres itu terbalik merentangi jalan. Pemandu bas yang saya naiki juga parah akibat rempuhan bas terbabit yang mengenai bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Katanya, sebaik kejadian, dia dan rakannya turun dari bas untuk membantu menyelamatkan penumpang yang selamat.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila saya lihat banyak mayat bergelimpangan. Saya tidak dapat pastikan mangsa yang terbunuh itu menaiki kenderaan apa kerana keadaan bas ekspres, tiga kereta dan van itu remuk.

“Kami hanya membantu mereka yang cedera dan mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang selamat dan berjaya dikeluarkan dibawa ke tepi lebuh raya sebelum kami meminta bantuan kereta yang lalu untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka.


“Kami tidak berani mengangkat mayat kerana keadaan kecederaan pada mayat yang mengerikan. Setakat yang saya tahu, kebanyakan mangsa lelaki. Mungkin mereka ini penumpang bas ekspres berkenaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini, sembilan mangsa dikenal pasti lelaki manakala selebihnya wanita.

Katanya, polis belum dapat mengenal pasti identiti semua mangsa dan jenis kenderaan yang mereka naiki ketika kemalangan. Ini kerana mayat berkenaan bergelimpangan di atas jalan dipercayai tercampak sejurus selepas kejadian.


“Semua mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Kuala Lumpur,” katanya.

Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Yusof Samad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam sebelum menghantar satu jentera ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di tempat kejadian walaupun terletak kira-kira 20 kilometer berikutan kesesakan teruk lalu lintas sepanjang tiga kilometer,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.



Kesesakan teruk empat jam di kawasan kemalangan



ALOR GAJAH: Kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan di antara Hentian Pedas-Linggi dan Tol Plaza Simpang Ampat, mengakibatkan laluan di kawasan itu bagi kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam malam tadi.

Laluan paling teruk mengalami kesesakan adalah ke arah Selatan apabila ribuan kenderaan terkandas agak lama berikutan dua bas dan beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu melintang di atas lebuh raya.


Beberapa mayat serta orang ramai yang cedera bergelimpangan di atas jalan turut menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Tinjauan mendapati banyak kenderaan berhenti di tepi jalan, dipercayai akibat pemandunya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan atau untuk mengelakkan enjin kenderaan terlalu panas.

Kelihatan juga polis trafik dan peronda bertungkus-lumus cuba membantu bagi melancarkan perjalanan.

Plaza Tol Simpang Ampat yang letaknya kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan terpaksa ditutup sejurus selepas insiden pada kira-kira jam 6.50 petang itu.

Ini menyebabkan ribuan pengguna terutama yang hendak ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan lama melalui Rembau, Negeri Sembilan manakala bagi ke Selatan, menggunakan Plaza Tol Ayer Keroh.
Antara yang dilaporkan terperangkap dalam kesesakan itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau dikatakan terpaksa masuk ke Tol Plaza Pedas Linggi, Negeri Sembilan, sebelum menuju ke Rembau dan Simpang Ampat.

Kebanyakan pengguna lebuh raya yang hendak memasuki Melaka atau menuju ke Johor datang dari Kuala Lumpur selepas bercuti hujung minggu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS memaklumkan, laluan di lokasi kemalangan mula ditutup jam 8.45 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi kerja pembersihan dan penyuraian trafik, menyebabkan lebuh raya kesesakan teruk sejauh 15 kilometer menghala ke selatan dan lapan kilometer di laluan arah utara.

“Hampir keseluruhan laluan di kedua-dua arah terjejas berikutan kemalangan itu kerana membabitkan banyak kenderaan,” katanya.

“Kami mengambil masa agak lama untuk membersihkan lokasi nahas bagi memberi ruang kepada kerja menyelamat oleh pihak berkaitan, termasuk polis, bomba dan paramedik sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.






 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!