Tuesday, August 9, 2011

Ibu harap anak dapat ke universiti


Harapan seorang ibu yang menghidap barah payu dara dan mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) untuk melihat seorang daripada anaknya menjejakkan kaki ke menara gading mungkin tidak kesampaian.
Ini kerana, Siti Noridah Jamal, 47, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak mampu menyediakan yuran kemasukan untuk anak keduanya, Nurizzati Aqirah Amran, 19, ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.
Menurut Noridah, yuran kemasukan iaitu hampir RM2,000 amat tinggi sedangkan dia yang baru menjalani pembedahan tidak mempunyai pendapatan tetap atau wang simpanan kerana semuanya habis digunakan untuk rawatan penyakitnya.
"Suami pula hanya bekerja menjual kuih dari rumah ke rumah. Pendapatan tidak menentu dan apa yang merisaukan, anak kedua memerlukan duit untuk daftar masuk ke UTHM pada 7 September ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Daya di sini, semalam.
Katanya, mereka yang hidup sederhana itu tidak mampu menyedia wang untuk yuran tersebut kerana menanggung anak sulung, Norazlin, 22, yang tidak boleh duduk atau berjalan selain hanya terbaring dengan kos lampin dan perubatan setinggi kira-kira RM600 sebulan.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu, Nurizzati sebelum ini pernah memohon bantuan di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi tiada maklum balas diterima.
Justeru, bagi orang ramai yang ingin membantu, boleh berhubung dengan keluarga Noridah melalui suaminya iaitu Amran Jabar 016-7963593.
Terdahulu, keluarga Noridah menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaluddin melalui Program Ziarah Ramadan Pemuda UMNO Tebrau.



.

Wah, dia bangga...


Seekor kuda jantan bernama Alfie memiliki misai sepanjang 17.7 sentimeter dan ia tidak mahu misai itu dipotong, lapor sebuah akhbar semalam.

Alfie yang bermisai sejak ia dewasa, akan mengelak setiap kali melihat pengurus kandang tempat ia dipelihara di sini, England datang dengan membawa sebilah gunting.
Misai kuda sepatutnya dipotong setiap enam bulan tetapi misai Alfie yang dibela sejak lima tahun lalu, tumbuh panjang sehingga mencecah bibir bawahnya.


"Alfie seekor kuda yang gagah dan amat berbangga dengan misainya," kata pengurus kandang berkenaan yang berusia 20 tahun, Hayley Coxteth .
Sementara itu, beberapa pakar haiwan yang memeriksa Alfie memberitahu, misai itu mungkin yang terpanjang dalam kategori kuda di Britain.


 
.

Maut kerana disedut


Seorang jurutera kapal terbang terbunuh semalam, selepas dia disedut ke dalam enjin pesawat yang sedang diujinya.

Syarikat penerbangan domestik, Air New Zealand, mengesahkan jurutera berusia 51 tahun itu sedang menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan biasa ke atas pesawat Lockheed C-130 Hercules kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan).

Kejadian berlaku di lapangan terbang Woodbourne di Blenheim.
Jurucakap Air New Zealand berkata, enjin itu berada di tempat penyangga dan tidak dipasang kipas.

Sementara itu, jurucakap polis pula berkata, pasukan paramedik cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal.



.

Bilik tidur dirempuh kereta


Seorang warga emas tidak menyangka tindakannya ke dapur untuk mendapatkan segelas air telah menyelamatkan nyawanya apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh bilik tidur di rumahnya di Jalan Kamaruddin di sini malam tadi.

Jamillah Abdul Rahman, 63, berkata kejadian pada jam 10.30 malam itu berlaku hanya beberapa saat setelah beliau meninggalkan bilik tidurnya.

"Saya tidak percaya setelah melihat sebuah kereta dalam bilik saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Jamillah berkata suaminya Wan Harun Awang, 64, yang baru pulang daripada menunaikan solat terawih, juga bernasib baik kerana berada di ruang tamu ketika itu.




.

Sawi putih masak udang..

[klik untuk tumbesaran]


Lauk berbuka kelmarin :)
meh kongsi bersama... Sesuai juga untuk kanak-kanak...


  • Sawi Putih
  • Udang, tak perlu banyak..
  • Lada besar, hiris nipis
  • Bawang putih, diketuk
  • Sedikit air
  • Sedikit sos tiram
  • perasa

Panaskan sedikit minyak, masukkan bawang putih yang sudah diketuk.. Bila bawang putih sudah naik bau, masukkan udang... Goreng sekejap dan masukkan sawi putih. goreng sekejap, masukkan lada besar dan sos tiram..Goreng lagi, dan masukkan air dan perasa.. Pastikan sawi putih tidak terlalu masak (biar masih berwarna hijau, tengok dalam gambar), sebab bila sayur terlalu masak, khasiat akan hilang... terus angkat..



.

Cuping telinga tertanggal


Mangsa simbahan asid, Syafiq Haikal Mat Safar Zaidi (gambar), 13, mungkin kehilangan cuping telinga kiri sekiranya doktor tidak berjaya menyambung semula organ itu melalui pembedahan hari ini.
Datuk kanak-kanak itu, Che Sam Abu, 67, ketika menghubungi Kosmo! semalam berkata, ia berlaku selepas cuping telinga cucunya itu tertanggal sebelum ini.
"Cuping telinga abang (Syafiq Haikal) tertanggal dan hanya disedari berada di atas katil semalam (kelmarin). Kalau tak dapat disambung, dia mungkin tidak mempunyai cuping telinga," katanya.

Dalam kejadian di Felda Jengka 9 dekat Maran pukul 8.30 malam 19 Julai lalu, Syafiq Haikal dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10, cedera parah selepas disimbah asid oleh buruh ladang, Muhammad Hafiz Ismail, 33, yang telah dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh baru-baru ini.
Kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur sejak hari kejadian.
Tambah Che Sam, kedatangan Syawal kali ini semakin sayu dan tidak bermakna selepas keluarganya dimaklumkan mengenai keadaan telinga cucunya itu.

"Luka di hati seluruh keluarga akibat kejadian itu pun masih belum dapat dilupakan. Saya makin sayu setiap kali memandang kedua-dua mereka (cucu)," katanya.




.

Saluran darah terputus akibat mercun


Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.

Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.
Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.

"Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.
"Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.

"Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.
"Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.




.

Nyaris buta terkena mercun bola


Gerak hati seorang ibu yang tidak sedap hati untuk membenarkan anaknya keluar bermain pada petang Sabtu lalu rupa-rupanya menjadi petanda malang akan menimpa.
Selepas beberapa minit sahaja keluar ke taman berhampiran rumah mereka di Taman Teja, Changlun, kanak-kanak itu pulang dengan muka dan mata kemerahan selepas terkena mercun bola.
Mangsa, Fakhrul Danish Fadzil, 8, dikatakan duduk mencangkung sambil melihat sebutir mercun yang tidak meletup namun ia tiba-tiba meletup menyebabkan api percikan mercun itu terkena pada mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd., 41, berkata, dia tidak menyangka anaknya itu keluar bermain mercun bersama abang dan rakannya sebelum ditimpa kejadian itu.
"Dalam pukul 7 petang, Fakhrul memberitahu mahu ke taman untuk bermain tetapi saya kata duduk rumah sahaja kerana sudah nak masuk waktu berbuka namun dia mendesak juga.

"Beberapa minit selepas itu, dia pulang dengan muka dan mata kemerahan selain meraung mengatakan matanya pedih," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Manisah yang merupakan seorang guru berkata, dia cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Changlun namun disyorkan supaya ke hospital.
Di Hospital Jitra, katanya, doktor memberitahu supaya Fakhrul dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana dia perlu mendapatkan rawatan doktor pakar mata.


Katanya, Fakhrul Danish, murid darjah dua di Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun bernasib baik apabila doktor memberitahu kecederaan pada matanya tidak serius selain melecur pada bahagian muka.
"Hasil pemeriksaan doktor termasuk pada kornea mata, saya bersyukur kerana mata anak saya tidak cedera serius cuma kabur sahaja tetapi ia akan sembuh," kata Manisah lagi.
Dalam pada itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, kanak-kanak itu mungkin mengalami masalah kekurangan penglihatan pada kedua-dua belah mata akibat letupan mercun tersebut.




.

Jakim kesal e-mel tak betul


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan e-mel tidak betul mengenai status halal sesuatu produk hingga menimbulkan kekeliruan pengguna dan menjejaskan perniagaan pengeluar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, berkata terdapat beberapa e-mel yang tersebar kini mengambil maklumat lama mengenai status halal sedangkan produk berkenaan sudah mendapat pengiktirafan halal Malaysia.

Beliau memberi contoh mangsa terbaru dalam kes ini iaitu produk kecantikan milik Datuk Siti Nurhaliza Taruddin di mana berus pemerah pipi dikatakan menggunakan bulu babi.
“Tindakan ini tidak wajar berlaku kerana penyebaran maklumat yang tidak jelas memberi kesan negatif kepada pengguna dan industri, malah perbuatan itu satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi.

Hakimah berkata, ada produk yang disenaraikan Jakim sebagai tidak halal kerana mengandungi benda haram, tetapi selepas pelbagai proses dilalui pengeluar antaranya melakukan proses samak, Jakim menyenaraikan produk terbabit sebagai halal.

“Saya minta masyarakat tidak menerima maklumat baru tanpa menyelidiki kesahihannya dan sila rujuk Jakim untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Beliau meminta masyarakat Islam yang was-was mengenai status halal sesuatu produk menghubungi 03- 83150200 untuk keterangan lanjut.

Beberapa hari lalu, Siti Nurhaliza terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertahankan status halal produknya apabila seorang pemilik blog menyebarkan surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (Jaip) mengenai senarai nama syarikat yang tidak berjaya mendapat sijil pengesahan halal Malaysia.

Sehubungan itu Hakimah menasihati masyarakat supaya tidak terlalu mudah percaya dengan maklumat yang tersebar melalui laman sosial.

“Sila buat rujukan dengan Jakim jika timbul sebarang keraguan kerana banyak produk yang sudah disucikan semula,” katanya.




.

Maut bersama kereta baru


Impian seorang pemandu jentera berat untuk menyambut hari raya bersama keluarga dalam suasana lebih meriah dengan kereta yang baru dibelinya musnah apabila dia maut dalam nahas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang hari ini di Gemuruh dekat sini, kereta yang dipandu Abdullah Tahir, 55, terbabas ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa yang dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk tersepit dalam kereta jenis Honda Civic yang remuk teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Abdullah dari Kampung Basung, Hulu Terengganu bersendirian ketika kejadian dan dipercayai dalam perjalanan dari Setiu menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut seorang rakannya, mangsa mengeluarkan wang simpanannya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini untuk membeli kereta Honda Civic terpakai itu.
"Bagaimanapun, saya tidak menyangka dia akan meninggal dunia bersama kereta yang baru dibelinya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Dalam pada itu, pemandu lori, Azhan Mat Yusof, 36, yang terbabas ke bahagian kiri jalan akibat kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Azhan ketika ditemui berkata, dia menyalakan lampu tinggi dan membunyikan hon sebaik sahaja melihat Abdullah terbabas dan memasuki laluannya.

"Saya rasa dia mungkin tertidur kerana kereta yang dipandunya terus menuju ke arah lori saya dan saya hanya sempat elak sikit saja sebelum terbabas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.



.

Bahaya ni..


“Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, kami akan mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan,” kata guru besar Tadika Smart Stars , VR Ranee, 56, menceritakan kejadian sebuah kereta melanggar dinding tadika miliknya di Jalan 18, Taman Selayang, di sini, pagi semalam.
Sebelum itu, Perodua MyVi terbabit melanggar dua pelajar sekolah menengah yang melalui lorong di hadapan tadika berkenaan.

Katanya, selepas itu, kenderaan itu melanggar dinding tadikanya dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran. “Ketika itu, saya berada di dalam kawasan tadika dan beberapa pembantu saya membawa masuk murid yang dihantar ibu bapa kira-kira jam 7.20 pagi.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat di depan tadika disusuli teriakan seorang wanita. Saya tergamam selepas melihat kereta itu melanggar dinding,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, dia seperti hilang arah akibat takut dan ketika itu, dia hanya terfikir untuk mencari mangsa yang menjerit kesakitan di luar kawasan tadikanya.

Katanya, dia nampak seorang pelajar perempuan menangis kesakitan dan orang ramai menolong pelajar itu dan rakannya yang cedera ringan untuk dihantar ke Hospital Selayang.


“Saya bersyukur kerana tiada pelajar tadika atau orang lain parah dalam kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata akibat kejadian itu, dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun cedera ringan di kepala manakala pemandu berkenaan yang berusia 22 tahun cedera dan dirawat sebagai pesakit luar.




.

Bersyukur dikurniakan anak selepas 7 tahun menanti


Pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan suaminya, Hazli Zakaria, 39, bersyukur kepada Allah SWT apabila penantian selama tujuh tahun mereka untuk mendapatkan anak kedua berakhir setelah dikurniakan anak kembar empat.

Jasmina yang melahirkan kembar empat itu dengan cara pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Jun lalu berkata, dia dan suami tidak pernah menyangka akan dikurniakan anak kembar.
“Kami berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas mendapat anak pertama Eimann Arrazi yang lahir pada 2004 sewaktu saya sedang belajar di United Kingdom (UK).
“Pelbagai usaha dibuat sehingga saya dan suami memilih untuk menjalani kaedah persenyawaan dalam rahim (IUI). Doktor ada memberitahu IUI akan membolehkan saya mendapat anak kembar tetapi saya tidak pernah menyangka ke arah itu.

“Selepas disahkan mengandung, tiga minggu selepas itu, saya sudah diberitahu akan mendapat anak kembar empat. Tidak banyak masalah sewaktu mengandung, cuma pada bulan keenam saya sudah dimasukkan ke HKL sehinggalah bersalin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.
Menceritakan pengalamannya, Jasmina berkata, sewaktu pembedahan, doktor mengambil masa selama satu setengah jam untuk mengeluarkan anak dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keempat-empat anak saya, yang mana dua lelaki dan dua perempuan sihat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.
Beliau berkata, sewaktu dilahirkan anak kembar mereka iaitu Eirfann Arrazi adalah seberat 2 kilogram (kg), Sara Yasmin (1.34kg), Eihsann Arrazi (2.1kg) dan Shaza Jasmin seberat 1.66kg.
“Eirfann dilahirkan pada pukul 2.08 petang, Sara (2.09 petang), Eihsann (2.10 petang) dan Shaza pada pukul 2.11 petang iaitu masing-masing selang seminit,” jelasnya.




.

Failkan saman untuknya..


Seorang penjawat awam yang sanggup membeli barang hantarannya di Las Vegas, Amerika Syarikat, hari ini menyaman bekas tunangnya bagi menuntut ganti rugi lebih RM1 juta selepas wanita itu didakwa membatalkan majlis perkahwinan mereka lima jam sebelum akad nikah dilangsungkan pada 3 Jun lalu.

Mohd. Masran Ab. Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan saman tersebut melalui peguamnya, Latifah Ariffin dan Murtadza Mokhtar di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dia selaku plaintif menamakan bekas tunangnya, Zulyana Mat Hassan, 28, dan bapa wanita tersebut, Mat Hassan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam writ samannya, lelaki itu yang tidak hadir di mahkamah hari ini, menuntut ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk (RM500,000) dan ganti rugi malu (RM500,000).
Mohd. Masran turut menuntut ganti rugi khas yang tidak dinyatakan jumlahnya setelah mendakwa terlalu kecewa selepas dia banyak berkorban untuk memastikan majlis perkahwinan mereka berjalan lancar.

Menurut Latifah, wanita itu yang bekerja sebagai juruteknik makmal perubatan didakwa datang ke rumah plaintif bersama bapanya kira-kira pukul 11 pagi, 3 Jun lalu untuk membatalkan perkahwinan mereka sedangkan majlis akad nikah dijadualkan berlangsung pukul 4.30 petang hari yang sama.

''Mereka tiba-tiba sahaja datang dan membatalkan perkahwinan sedangkan keluarga di pihak lelaki sudah bersedia malah semua persiapan untuk majlis perkahwinan di rumah wanita itu sudah tersedia,'' katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Melalui kad jemputan perkahwinan pasangan itu, majlis persandingan di rumah pihak perempuan dijadual diadakan sehari selepas upacara akad nikah di Kampung Salor, Pasir Mas manakala persandingan di pihak lelaki pada 6 Jun di alamat Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah.

Menurut Latifah lagi, jumlah saman tersebut adalah gambaran rasa kecewa, malu dan kerugian yang dialami oleh pihak plaintif sebagai anak golongan kenamaan, setelah mengundang lebih 1,200 tetamu ke majlis perkahwinannya.

Tambahnya, disebabkan pembatalan tersebut, majlis persandingan di rumah pihak lelaki bertukar menjadi kenduri kesyukuran kerana kebanyakan jemputan telah hadir.
Selain itu katanya, barang hantaran yang disediakan oleh Mohd. Masran bukan sahaja dibeli di negara ini tetapi ada yang turut ditempah khas dari luar negara.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!